Kita, bila lagi?

Saturday, March 11, 2017 Ana 0 Comments


Kita, bila lagi?


Assalamualaikum & salam sejahtera...

Macam mana kedai A boleh jual air berperisa itu dengan harga RM3.20 tapi kedai B jual air yang sama dengan harga RM4.70?

Jauh beza harganya sampai RM1.50!

Kat kedai mana yang jual murah sangat itu? Di Speedmart 99. Tak pernah naik pun harga air itu dari mula saya beli di kedai tersebut hinggalah sekarang. Jika di kedai B, harga air hanya akan murah bila ada jualan murah dan paling murah pun ialah RM3.95, masih tak boleh 'lawan' murahnya air itu di Speedmart 99!

Err, bukan nak cerita mengenai kedai harga murah sebenarnya tapi teringat nak tulis mengenai Speedmart 99 ini lepas baca entry yang ditulis oleh Tuan Syahril A.Kadir, seorang bekas wartawan terkenal yang saya follow di FB (baca entry beliau di sini). Daripada artikel beliau baru saya tahu yang pemilik Speedmart 99 ini iaitu Lee Thiam Wah ialah seorang Orang Kelainan Upaya (OKU). Walaupun menggunakan kerusi roda kerana menghidap polio pada usia lapan bulan dan hanya belajar setakat darjah enam, beliau berjaya membuktikan itu semua bukanlah penghalang untuk berjaya memiliki bukan 10 atau seratus tapi 600 buah kedai setakat hari ini!

OKU buktikan mampu berjaya


Membaca kisah Lee Thiam Wah mengingatkan saya kepada kisah adik Khairul Nizam yang juga merupakan seorang OKU. Pasti ramai yang kenal adik Khairul Nizam yang juga merupakan anak didik kepada Azizan Osman. Sama seperti Thiam Wah, adik Khairul Nizam juga memulakan perniagaan kecil-kecilan bermula dengan menjual kad prabayar dan kini telah berjaya menghasilkan minyak wangi jenamanya sendiri, DewAmor yang dijual secara online. Sama seperti Thiam Wah, adik Khairul Nizam juga bersekolah setakat darjah enam. Beliau yang tidak boleh berjalan serta hanya mampu menggerakkan 3 jari nya ternyata tidak menjadikan penyakitnya itu sebagai penghalang untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya dengan keuntungan bisnesnya mencapai 7 angka.

Masih ingat lagi kepada adik manis, saudari Haziqah Nurul Huda Harun atau Yaya yang viral kisahnya membuat dan menjual kuih bakul? Yaya yang lumpuh setelah diserang demam panas ketika di tingkatan empat bijak mencari peluang bisnes dengan mengusahakan bisnes yang lain daripada yang lain. Kuih bakul bukan saja digemari oleh kaum Tionghua malah ada juga peminatnya di kalangan orang Islam. Maksud saya, bisnes kuih bakul bukanlah sesuatu yang ganjil tetapi bisnes kuih bakul yang diusahakan oleh seorang muslim pastinya menjadi kuih bakul yang dicari-cari oleh penggemar kuih bakul halal di kalangan umat Islam. Apabila kurang @ tak banyak pilihan peniaga kuih bakul halal maka lebih tinggi permintaan untuk kuih bakul Yaya kan? Kuih bakul Yaya dikatakan menerima hampir 2000 biji tempahan setiap bulan dan meningkat sekali ganda menjelang perayaan Tahun Baru Cina. Tempahan bukan hanya dari dalam negara tetapi jauh sehingga ke Singapura, Qatar, Brunei dan Australia!

Memang betul kata saudara Syahril bila beliau menyebutkan hanya dari wheelchair Thiam Wah sudah mampu membawa pulang untung berbillion ringgit, bayangkanlah jika beliau seorang yang normal dan cukup sifat!

Terinspirasi (harap-harap bukan hanya untuk 10 minit saja!) juga bila baca kisah-kisah kejayaan sebegini. Kisah-kisah yang berjaya menukarkan cabaran menjadi kejayaan. Kisah-kisah yang memfokuskan kepada mencari penyelesaian dan bukan merenung lama kepada permasalahan.

Fokus cari cara selesaikan masalah


Lee Thiam Wah, Khairul Nizam, Yaya dan saya percaya ramai lagi OKU di luar sana yang telah berjaya mencapai perkara yang di luar jangkaan. Perkara luar jangkaan yang mungkin tidak mampu dicapai oleh kebanyakan individu yang cukup sifatnya.

Mereka telah berjaya.

Saya Anda Kita, bila lagi?


0 comments: