Pembesar suara senjata rahsia Olimpik Tokyo 2020




Assalamualaikum & salam sejahtera...

Pembesar suara senjata rahsia Jepun?

Sukan Olimpik di Rio de Janeiro , Brazil baru saja melabuhkan tirai 2 minggu yang lalu. Tuan rumah sukan Olimpik yang akan datang, Tokyo telah pun bersedia dengan pelbagai persiapan untuk menghoskan acara sukan 4 tahun sekali itu. Terkini, Jepun sedang menguji 'senjata rahsia' yang akan digunakan dalam temasya Olimpik tahun 2020 itu nanti.

"Syarikat pengeluar barangan elektrik, Panasonic melancarkan sebuah pembesar suara istimewa sempena penganjuran Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang mampu menterjemahkan bahasa Jepun kepada tiga bahasa berbeza dalam tempoh hanya beberapa saat. Alat pembesar suara yang dikenali sebagai megaphone itu membolehkan pengguna bercakap dalam bahasa Jepun sebelum frasa itu akan diulang semula dalam bahasa Inggeris, Korea dan Cina" (sumber: Utusan Malaysia 7 September 2016)

Menarik kan? Seperti barang-barang ajaib yang keluar dari poket Doremon jadi nyata. Info juga melaporkan megaphone yang juga dikenali sebagai Megaphoneyaku ini telah pun mula diuji di Lapangan Terbang Narita selepas kesukaran menghubungi penumpang warga asing ketika insiden salji tebal yang lalu (baca di sini).

pembesar suara boleh alih bahasa
Sumber : amanz.my

'senjata' jepun untuk olimpik tokyo 2020
Sumber : Utusan Malaysia 7 September 2016

Selain memudahkan kerana tak perlu ada ramai penterjemah bahasa, megaphone ini juga akan membolehkan maklumat disampaikan dengan lebih cepat, terutama dalam keadaan kecemasan. Tak mustahil akan ada lain-lain bahasa yang akan ditambah kemudian hari menjelang Olimpik nanti.

Terkenal dengan watak-watak animasi kesukaan ramai, teknologi dan gajet ciptaan terkini serta masyarakatnya yang bersopan santun dan berdisiplin tinggi, ramai yang tak sabar menantikan Sukan Olimpik Tokyo 2020 @ Sukan Olimpik masa depan itu.



Cerita haji saya dan emak...



Assalamualaikum & salam sejahtera....

Cepat saja waktu berjalan dan hari ini dah masuk 4 Zulhijjah. Jika di 'campak belakang' (throwback) sejauh 8 tahun yang lalu, ketika ini saya dan emak sedang berada di tanah suci Mekah Al-Mukarramah. Kami telah selamat mendarat dengan nombor penerbangan KT69 dan nombor pesawat SV5007 pada 24 November 2008 di Lapangan Terbang Antarabangsa King AbdulAziz Jeddah, kurang seminggu sebelum masuknya bulan Zulhijjah tahun 1429 Hijrah.

kenangan mengerjakan haji


Perjalanan mengerjakan haji berdua bersama emak (selain jemaah haji dalam rombongan yang sama) adalah suatu pengembaraan yang banyak pengalamannya. Sudah pasti ketika itu saya lah yang menjadi 'pengurus peribadi merangkap setiausaha' buat emak. Antara tugas rasmi saya ketika itu ialah:

1. Saya lah yang pastikan ubat darah tinggi emak dimakan ikut jadual. Siapkan reminder di handphone untuk ingatkan waktu makan ubat. Pastikan yang inhaler lelah/asthma emak sentiasa dibawa bersama setiap kali keluar dari hotel untuk ke masjid atau aktiviti ziarah.

kenangan di tanah suci
Menunggu bas untuk ke Mekah, di airport Jeddah

kenangan di tanah suci
Ruang menunggu untuk jemaah haji di airport Jeddah


2. Saya lah yang akan pastikan kelengkapan emak seperti gelang tanda pengenalan jemaah haji sentiasa dipakai sebelum keluar dari hotel, beg atau uncang untuk letakkan kasut sebelum masuk ke dalam masjid mesti ada dibawa bersama. Tisu dan botol kecil berisi air untuk wuduk sentiasa tersedia di dalam beg galas. Bukan mudah hendak berulang alik ke tandas dalam keadaan jutaan jemaah haji ketika itu. Tak lupa juga ubat sakit tekak yang perit ketika cuaca panas di sana. Pernah sekali kami hampir 'lemas' dalam kesesakan yang berlaku dalam tandas wanita. Waktu masuk ke ruang depan tandas tak nampak sangat keadaan yang sesak. Bila mula bergerak hingga ke ruang dalam baru nampak keadaan yang sangat-sangat sesak! Sukar nak nampak cari jalan keluar dari tandas ditambah dengan jemaah haji wanita yang bertubuh besar turut sama bersesak-sesak.

3. Saya juga yang siapkan jubah dan telekung yang hendak dipakai esok hari supaya tak terlambat ke masjid. Solat Subuh yang pertama kami di Masjdil Haram memang pengalaman yang 'menarik'  kerana sujud hampir-hampir di atas kaki jemaah di saf depan kami! Kami sangka kan dah awal sangat lah bangun pagi untuk ke masjid Subuh itu, rupa-rupanya Masjidil Haram dah pun dipenuhi jemaah sehingga kami hanya mampu menyelit-nyelit di ruang dekat dengan tempat saie.

4. Handphone saya perlu pastikan telah penuh di charge dan dibawa bersama ke masjid (hanya ke Masjid Nabawi saja saya tinggalkan handphone di hotel kerana pemeriksaan agak ketat di pintu masuk masjid). Penting kegunaan handphone ini kalau-kalau kami terpisah dan tersesat. Tambahan  pula jarak antara hotel dan Masjidil Haram agak jauh ketika itu. Berbeza dengan di Madinah, jarak antara hotel kami menginap dengan Masjid Nabawi sangat dekat dan jika terpisah tidak begitu sukar hendak cari sendiri jalan pulang ke hotel.

5. Buku-buku nota, doa dan Al-Quran kecil mesti ada dalam beg sebagai bacaan dalam perjalanan atau sementara menunggu masuk waktu solat di masjid. Saya perlu pastikan juga cermin mata emak tidak tertinggal di bilik hotel. Pengalaman menarik ketika kami membeli Al Quran di sebuah kedai tidak jauh dari Masjidil Haram, dapat satu 'bonus' yang tak disangka-sangka. Bukan saja kami keluar dari kedai itu dengan 2 mushaf Al Quran, tapi dapat juga 15 buah Al Quran yang disedekahkan oleh Tuan kedai yang baik hati! Hadiah Al Quran itu kami agih-agihkan kepada jemaah haji yang lain.

6. Walaupun emak bawa bersama buku doa yang bersaiz kecil itu semasa mengerjakan tawaf, saya sebagai 'setiausaha' emak lah yang sebenarnya akan membacakan doa semasa tawaf itu dan emak akan aminkan. Ini bagi memudahkan emak untuk fokus bertawaf dan tak perlu susah payah nak baca doa dengan bercermin mata. Begitu juga dengan segala dokumen penting seperti pas pengenalan dan buku rekod kesihatan yang saya pastikan sentiasa ada dalam beg galas kami.

7. Sepanjang berada di tempat-tempat yang penuh sesak seperti di tempat tawaf, saya dan emak akan sentiasa berpegang tangan. Memang ketika pertama kali melakukan tawaf ada juga perasaan bimbang jika kehilangan antara satu sama lain dan sesat. Pernah juga sekali itu setelah selesai saie dan bergunting dan hendak balik menuju ke hotel, saya berhenti seketika untuk isi refill botol air dengan air zam-zam. Saya siap pesan kepada emak supaya tunggu saya di tepi dinding kerana orang agak ramai di tempat mengisi air zam-zam tersebut. Selesai refill botol dan berpaling ke arah dinding, saya lihat emak tiada di situ, Berderau dan cemas masa itu Tuhan saja yang tahu. Melilau cari di sekitar dan saya nampak emak dah jalan ke depan terlebih dahulu. Kata emak, ingatkan saya nampak beliau dah jalan ke depan. 'Marah' juga saya dengan emak waktu itu, bukannya apa, marah sebab risau hilang, sesat dan sebagainya.

8. Segala urusan perbelanjaan saya sebagai 'pengurus' juga lah yang menguruskan. Belanja beli sim kad baru, bayar tambang teksi/van ketika buat umrah (yang tak termasuk dalam pakej) bersama jemaah lain, bayar dam haji tamattu', bayar korban sembelihan, dan tentu sekali belanja membeli barang-barang buah tangan untuk saudara mara di tanahair.

9. Sebagai 'pengurus' juga saya lah yang menguruskan hal-hal berkaitan beg. Yang ini agak susah sikit sebab kena menguruskan beg untuk 2 orang. Paling susah ketika membawa persiapan ke untuk wukuf di Arafah. Memang sudah dipesan oleh ketua rombongan supaya bawa apa yang perlu saja untuk kegunaan sepanjang berada di Arafah-Muzdalifah-Mina nanti. Tapi biasa lah, orang perempuan ini banyak sangat keperluannya dan bila balik dari Mina menuju semula ke Mekah, beg dah 'beranak -pinak' sikit setelah beli 'satu-dua' barang di Mina...


kenangan di tanah suci
Beg yang 'beranak-pnak'

10. Pernah juga saya dan emak teringin makan KFC ketika di sana. Hendak makan lain yang lain kononnya sempena hari lahir emak saya pada 29 November itu. Jadi saya redah saja lah buat pesanan di KFC. Lama juga saya tenung papan menu yang tertulis bahasa Arab itu. Akhir sekali nampak satu menu yang saya faham, Dinner Plate. Maka kami berdua makan dinner plate lah waktu tengahari itu. Sampai sekarang saya tertanya-tanya kenapa lah saya tak cuba tanya staff KFC itu dalam bahasa Inggeris. Dalam kepala saya masa itu agaknya memang dah set yang staff itu cuma tahu bercakap bahasa Arab saja! Entah-entah bahasa Melayu pun dia faham agaknya sebab ramai penjual di Mekah dan Madinah malah Jeddah yang fasih berbahasa Melayu. Saya tak teringat langsung masa itu!

Baca juga :
Boleh ke pergi haji lebih awal dari yang dijangka?
Cerita haji : Panggilan telefon dari Malaysia 2 hari sebelum wukuf...
Cerita haji : Pengalaman di Arafah dan Muzdalifah
Melontar di Jamrah, patuhi arahan, jangan ikut macam saya....


Puas hati dapat uruskan semua perkara di atas untuk emak. Selain tugasan di atas, banyak lagi coretan dan pengalaman haji yang saya nak kongsikan di sini. Antaranya ialah:

- Cerita Haji: Tinggal 2 hari lagi sebelum wukuf, dapat panggilan telefon dari Malaysia....
- Cerita Haji : Kisah makcik-makcik dan jejak kasih di bumi Mina
- Cerita Haji : Tak ikut arahan waktu melontar, nyaris kepala dilontar batu?
- Cerita Haji : Berkaki ayam pulang ke hotel di Mekah

Pengalaman mengerjakan haji sekali (mungkin kah ada peluang kali kedua?) seumur hidup yang tak akan dilupakan sampai bila-bila!

Nantikan cerita saya ya! :)







Jom sertai World #QuranHour!




Assalamualaikum & salam sejahtera...

World #QuranHour. 11 September, 2016. Jam 9 pagi. Seluruh dunia.

Buat pertama kalinya, bacaan Al Quran akan diperdengarkan serentak di seluruh dunia selama satu jam bermula jam 9 pagi, Disebabkan perbezaan waktu di negara-negara lain, maka sebenarnya World #QuranHour ini akan berlangsung selama sehari, mengikut waktu tempatan. Saya terbayang betapa seluruh dunia akan bergema dengan bacaan Al Quran sepanjang masa jika World #QuranHour ini dilaksanakan setiap hari, sebagaimana laungan azan yang tidak pernah berhenti.

Ketahui lebih lanjut mengenai World #QuranHour melalui video ringkas di FB WorldQuranHour ini, klik di sini dan di sini.

world #quranhour
Sumber : FB WorldQuranHour



Tujuan utama World #QuranHour atau #DuniaNgaji ini diadakan adalah untuk mengajak umat Islam kembali mengamalkan panduan yang telah digariskan dalam kitab suci tersebut. Sebagaimana kata penganjur World #Quran Hour ini, idea ini timbul setelah merasakan umat Islam hari ini masih gagal menunjukkan akhlak yang baik walaupun mereka menunaikan solat.

"Puncanya kerana orang Islam tidak faham Islam, jadi cara nak memahami Islam adalah dengan baca dan fahami kitab Allah itu (al-Quran). Ini yang kita nak push supaya orang Islam go back to basic... memahami Islam betul-betul"  - sumber : sinarharian.com.my

world #quranhour
Sumber : FB WorldQuranHour

world #quranhour
Sumber : FB WorldQuranHour


Beberapa tempat utama akan menjadi pusat berkumpul untuk acara World #QuranHour ini dan orang ramai boleh memilih untuk turut sama berada di pusat-pusat ini atau membaca Al Quran secara sendirian di rumah, World #QuranHour tidak terhad kepada membaca Al Quran sahaja, malah apa saja aktiviti yang bertujuan untuk mendalami isi Al Quran dan mengamalkannya. Kesemua stesen tv utama negara akan menyiarkan siaran langsung bermula jam 8:30 pagi pada hari tersebut.

world #quranhour
Sumber : FB WorldQuranHour

world #quranhour
Sumber : FB WorldQuranHour

Baca juga :
Cerita haji : Pengalaman di Arafah dan Muzdalifah...

cara sertai world #quranhour
Sumber : denaihati.com
Semoga niat murni aktiviti anjuran RumahNgaji ini akan menjadi titik tolak kembalinya kita kepada Al Quran dan permulaan amalan membaca dan mengamalkan Al Quran secara istiqomah. InsyaAllah..

Jom sama-sama kita sertai World #QuranHour!


Air Asia dan drama Korea 'On The Way To The Airport'



Assalamualaikum & salam sejahtera...

Apa kaitan antara Air Asia dan drama Korea?

Air Asia bakal muncul dalam drama Korea terbaru, On The Way To The Airport yang akan mula bersiaran di Astro KBS saluran 391 pada 21 September 2016 ini. Pelakon utama drama ini ialah gandingan Kim Ha-Neul dan Lee Sang-Yoon.

Pertama kali menonton teaser drama ini di FB CEO Air Asia, Tony Fernandes memang mengujakan (boleh juga tonton teaser di asianwiki.com, klik di sini). Saya dah lama tak tonton drama Korea dan dah jadi peminat yang 'kurang tegar'. Tak kenal pun dengan pelakon-pelakon drama On The Way To The Airport ini. Tapi bila menonton teaser nya rasa teruja nak tahu macam mana Air Asia dan Malaysia sendiri akan ditonjolkan dalam drama yang pastinya ditunggu-tunggu oleh peminat K-Drama sedunia. Imej pertama yang ditonjolkan dalam teaser drama Korea itu sendiri ialah jambatan Seri Wawasan di Putrajaya!





Satu inisiatif yang kreatif dan strategi pemasaran yang bijak untuk lebih memperkenalkan Air Asia di mata dunia. Drama-drama Korea telah ada peminat-peminat nya yang tersendiri begitu juga Air Asia yang telah ada pelanggan/penumpangnya yang setia terbang bersama. Gabungan kedua-dua elemen atau kumpulan peminat ini pastinya sedikit sebanyak akan memberikan pulangan yang menguntungkan. (Mungkin tak tambang tiket Air Asia ke Korea lebih murah lagi selepas ini?)

Kenapa drama-drama Korea mendapat sambutan di seluruh dunia? (ingat lagi drama Descendants of the Sun yang dapat berbilion tontonan dari peminat K-Drama seluruh dunia?). Salah seorang trainer bidang penulisan yang saya follow di FB iaitu Cikpuan Azzah Abdul Rahman ada buat kajian bagaimana K-Drama berjaya mengumpul peminat di seluruh dunia. Anda boleh ikuti info-info menarik mengenai drama Korea yang dikongsikan di FB beliau dengan hashtag #kdramareview.






Melihat pada komen-komen netizen sendiri, rata-ratanya memberikan komen yang positif dan teruja menantikan kemunculan AirAsia dalam drama Korea yang sekaligus membawa jenama Malaysia di peringkat antarabangsa. Ada juga netizen yang bukan peminat K-Drama, tapi teruja nak lihat Malaysia dalam drama Korea ini. Ada netizen yang tak pernah terbang bersama Air Asia tapi teruja melihat pelakon Korea memakai seragam Air Asia. Tapi ada juga komen dari netizen yang tak berapa nak teruja dengan kolaborasi ini kerana katanya sebelum ini pun pernah ada drama Korea yang ditaja oleh syarikat penerbangan (saya tiada info mengenai ini) dan tiada impak positif pun pada drama dan syarikat penerbangan tersebut. Err, mesti lah teruja, jenama Malaysia disiarkan dalam drama Korea yang ditonton di seluruh dunia tu!

Baca juga:
Best tak drama On The Way To The Airport?
Annyeong, On The Way To The Airport....

Sama-sama kita tonton 'On The Way To The Airport!'



Apa saja impian anda, mulakan sekarang!




Assalamualaikum & salam sejahtera....

motivasi diri
Sumber : FB theidealist




Mulakan sekarang!

Apa saja impian atau angan-angan atau rancangan yang ada dalam fikiran, mulakan sekarang...

Daripada sekecil-kecil dan semudah-mudah perkara hinggalah kepada perkara besar yang libatkan masa, wang dan tenaga, mulakan sekarang.

Anda calon pelajar UPSR yang akan bermula minggu hadapan? Masih banyak yang belum diulangkaji? Rasa belum bersedia tapi masih ingin berjaya dapatkan keputusan cemerlang? Masih belum terlewat, mulakan ulangkaji sekarang!

Anda seorang yang obes, terlebih berat badan dan hidapi penyakit disebabkan kolesterol tinggi? Teringin hendak pakai baju idaman tapi tiada saiz yang sesuai? Penat berulang alik ke hospital untuk pemeriksaan tahap kolesterol? Tak gembira dengan penampilan anda sekarang? Tak yakin boleh capai berat badan ideal? Dah berusaha bersenam tapi masih obes? Masih belum terlewat, mulakan cara pemakanan yang seimbang dan gaya hidup yang sihat sekarang. Yang penting, mulakan sekarang dan hari anda tersenyum melihat berat yang terpapar di mesin penimbang berat badan akan tiba juga satu hari nanti!

Anda ada perancangan nak mulakan bisnes sendiri tapi tak berani? Takut tak dapat sambutan? Tak ada orang nak beli? Takut tak pulang modal? Takut rugi? "Start with fear. Start with pain. Start with doubt". Selagi tak cuba tak akan tahu. Bila dah cuba dan gagal, jangan berhenti. Cuba lagi. Apa yang penting, rancang sebaik-baiknya dan mulakan langkah yang pertama. Mulakan perancangan anda sekarang!

Anda bosan dengan kerja anda sekarang? Statik dan tak mencabar? Kerja yang anda buat sekarang tak bagi anda peluang untuk lebih majukan diri dan potensi anda yang sebenarnya? Teringin nak cuba peluang kerja yang lain tapi dah terlalu selesa dengan apa yang anda ada hari ini? Sayang nak tinggalkan zon selesa dan dut gaji yang dijamin akan berada di tangan setiap kali anda masukkan kad ke dalam mesin ATM setiap bulan? Tak perlu buat apa yang anda tidak suka. Tidak perlu mengikut yang lain sekiranya bukan itu yang anda mahu. Berhenti  'menyeksa' diri sendiri. Mulakan teroka potensi anda yang terpendam dan rancang langkah seterusnya sekarang!

motivasi irfan khairi
Sumber : FB Irfankhairi


"Start where you are, with what you have. Just...start"

Selepas baca semua kata-kata di atas, anda rasa termotivasi tak nak mulakan apa yang anda cita-citakan selama ini? Mungkin ya dan mungkin juga tidak, maklumlah saya pun bukan pakar motivasi yang hebat motivasikan orang lain. Sebenarnya saya sendiri tengah memotivasikan diri sendiri untuk sambung kerja yang telah berbulan-bulan saya tinggalkan!

Kata kuncinya di sini ialah...mula bertindak. Mula, walaupun dengan hanya mula merancang. Selagi tiada tindakan, selagi itu lah tak ke mana. Pesanan untuk diri saya sendiri.

Perancangan tanpa tindakan hanyalah tinggal angan-angan...

A paln withiut action is just a dream....


Mulakan sekarang dan terus ke hadapan. Tak perlu toleh-toleh belakang (ragu-ragu) lagi dan jangan berhenti!



Kes virus Zika yang pertama di Malaysia



Assalamualaikum & salam sejahtera....

Kurang seminggu daripada kes pertama virus Zika dilaporkan di Singapura, Zika hari ini dah sampai di Malaysia..

Kes pertama disahkan oleh Kementerian Kesihatan melibatkan seorang wanita berusia 58 tahun di Klang. Kes telah dirujuk ke Hospital Sungai Buloh untuk pemeriksaan. Wanita tersebut dilaporkan telah mengunjungi anaknya yang berada Singapura yang turut dilaporkan positif Zika. Baca di sini untuk laporan lanjut Astroawani.

Sejujurnya bila disebut virus Zika, apa yang terlintas di fikiran saya ialah 3 perkara iaitu gambaran ibu mengandung dan bayi yang mengidap microcephaly (atau sindrom bayi berkepala kecil) disebabkan virus Zika pada si ibu tersebut. Yang ketiga saya terfikir ialah apa langkah yang telah diambil untuk mengawal virus ini semasa Sukan Olimpik Rio yang lalu dan ada nya kemungkinan jangkitan semasa ramai tertumpu di temasya sukan di Brazil itu (info: jangkitan pertama pada manusia dikesan di Brazil pada bulan Mei tahun lalu). Virus yang berada lebih daripada 16,000 km dari Malaysia 4 bulan yang lalu kini telah mencatatkan kes nya yang pertama di sini.



Virus Zika boleh dijangkiti melalui 3 cara iaitu gigitan spesies nyamuk Aedes (spesies aegypti yang paling banyak sebarkan Zika), melalui pemindahan darah dan hubungan intim. Selain kesan yang ketara virus ini kepada bayi, satu info yang baru saya tahu ialah virus Zika juga boleh menyerang orang dewasa (bukan ibu mengandung) dan mengakibatkan gangguan pada otak. Baca di sini.
Tapi yang pastinya memang sedih melihat kesan virus Zika ini kepada bayi. Bayi yang mengidap microcephaly @mikrosefali ini, anda boleh tonton video bayi mikrosefali di FB Public Health Malaysia, klik di sini.



Selain kes pertama yang dilaporkan di Malaysia, Indonesia juga mencatatkan kes pertama virus Zika bagi negara tersebut apabila seorang warga Indonesia juga dilaporkan dijangkiti virus Zika di Singapura.

Sama-sama kita lengkapkan diri dengan info mengenai cara-cara jangkitan virus Zika, cara mengelakkan jangkitan, simptom-simptom jangkitan Zika serta segera dapatkan rawatan dan rujuk pihak hospital jika ada tanda-tanda telah dijangkiti (baca juga info berguna mengenai Zika di sini).

Mencegah lebih baik daripada merawat. Rawat sebelum terlewat.





The Mainichi, suratkhabar yang bertukar jadi pokok!




Assalamualaikum & salam sejahtera...

Wah, suratkhabar yang boleh ditanam dan tumbuhkan pokok?

Beli suratkhabar dari penjual di tepi jalan. Suratkhabar di hantar ke rumah setiap pagi oleh penghantar suratkhabar. Pinjam suratkhabar dari kawan meja sebelah di pejabat. Semuanya dengan satu tujuan. Nak baca suratkhabar. Apa yang kita buat dengan suratkhabar tersebut selepas itu?

Kertas suratkhabar jadi kertas bungkus nasi lemak? Atau jual dan kitar semula? Atau balut buku sekolah? Atau bungkus kacang putih?

Sumber : FB Playground +


Saya terkagum dengan video yang dikongsikan di FB Playground mengenai kertas suratkhabar yang boleh ditanam dan tumbuhkan pokok! Boleh klik dan tonton video menarik itu di sini.

Suratkhabar di Jepun, The Mainichi menjadi suratkhabar pertama yang 'subur' dan boleh menumbuhkan pokok bila ditanam. Untuk kesahihan, saya cuba juga untuk cari maklumat lanjut selain yang terdapat dalam video di atas, tapi tak jumpa. Berdasarkan info dalam video ini, kertas suratkhabar tersebut boleh dikitar semula dan kertas itu sendiri mengandungi biji benih pokok. Dakwat pada kertas suratkhabar itu adalah dari sumber tumbuh-tumbuhan dan bertindak sebagai fertilizer atau baja.

Sumber : FB Playground +


Jadi, selepas selesai baca suratkhabar istimewa ini, hanya tanamkan kertas suratkhabar tersebut dalam pasu berisi tanah dan siram air seperti biasa. Dalam masa beberapa hari, segala bahan berita dalam suratkhabar yang anda baca tadi dah bertukar menjadi pokok bunga yang cantik!

Idea yang hebat dan sangat menarik!


Sumber : FB Playground +


Selain menarik minat orang ramai untuk cuba sendiri tanam-kertas-tumbuh-pokok ini, ia juga secara tak langsung dapat menggalakkan minat membaca dan yang paling penting minat untuk mengamalkan kitar semula. Sangat menarik konsep yang digunakan. Kertas dibuat daripada pokok dan pokok dibuat daripada kertas!

Mungkin tak harga suratkhabar ini lebih mahal daripada suratkhabar yang lain? Bolehkah kita yang ada di Malaysia melanggan suratkhabar istimewa ini dan dihantar melalui pos? Tak mustahil akan ada lagi ciptaan-ciptaan canggih selepas ini kan. Kertas surat khabar yang dibuat daripada  isi ayam dan bila digoreng akan menghasilkan ayam goreng? Ok, abaikan idea yang mengarut ni!

Baca juga:
Hanya perlukan 7 hari untuk baiki lubang sedalam 30 meter di Jepun!
Hanya berlaku di Jepun!

Jika betul info yang dikongsikan melalui video ini, maka wajib lah jadikan suratkhabar The Mainichi sebagai salah satu cenderamata untuk dibawa pulang jika melancong ke Jepun nanti!