PRU DUN Ke-15 : Undi lah dengan bijak!

Tuesday, August 01, 2023 Ana 0 Comments

PRU DUN KE-15 : UNDILAH DENGAN BIJAK!


Assalamualaikum & salam sejahtera...

"Mari lah mari..

Pergi mengundi..

Jangan lupa kewajipan, pada negara..."

Perang poster pilihanraya
Perang poster ketika PRU15 yang lalu


Musim pilihanraya datang lagi. Kali ini, rakyat di enam buah negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu akan turun mengundi pada Pilihanraya Umum Dewan Undangan Negeri ke 15 dan Pilihanraya Kecil di Kuala Terengganu.

Myspr semak
Semak kawasan mengundi anda di MySPR Semak 


Saya juga adalah bekas calon pilihanraya. Calon pilihanraya kerusi Parlimen? Bukan. Calon pilihanraya kerusi dewan undangan negeri? Bukan. 

Saya bekas calon pilihanraya pemilihan pengawas sekolah menengah je 😅.

Jadi calon pilihanraya pemilihan pengawas sekolah menengah pun saya dah nervous sebab saya bukanlah orangnya yang suka berada di hadapan. Saya suka bekerja di belakang tabir saja. Maka bila satu hari tu saya antara salah seorang yang dipanggil ke pejabat guru besar dan diberitahu akan jadi calon pengawas, mula lah saya susah hati. 

Cikgu-cikgu pula buat 'kejutan' keesokan harinya ketika waktu perhimpunan di dewan sekolah 

" Semua calon pengawas, sila naik ke pentas sekarang.  Sila perkenalkan diri anda pada semua pelajar untuk mudahkan pelajar mengundi anda sebagai pengawas nanti"

Aduhai. Memang tak ready betul waktu itu. Ada calon pengawas yang lain siap berkempen 'Undilah saya!' dan ada 'janji-janji' atau manifesto yang akan ditunaikan kalau mereka terpilih sebagai pengawas. Saya? Apa yang terkeluar dari mulut saya hanyalah nama dan dari kelas mana. Siap dengan blushing mula merah sebab saya memang sejenis tak berani nak bercakap depan orang ramai.☺️

Kempen pilihanraya pemilihan pengawas meriah juga dengan ada banner calon ditampal di kawasan sekitar sekolah. Semua itu adalah usaha setiap calon pengawas itu sendiri. Bagi calon yang aktif dalam aktiviti di sekolah maka kempennya lebih mudah sebab dah popular dan dikenali di kalangan pelajar. Dipendekkan cerita, semua pelajar selesai mengundi dear dewan sekolah dan bila keputusan pemilihan pengawas keluar, saya bukanlah salah seorang di antaranya.

"Eh, awak tak terpilih jadi pengawas?"

"Tak cikgu. Saya tak cukup popular cikgu" 😊 

 Itu jawapan saya bila ada 2,3  cikgu yang confident ingatkan saya salah seorang yang 'menang' dalam pilihanraya pemilihan pengawas sekolah. Saya lega sebenarnya tak terpilih sebab ramai lagi yang lebih layak dan ada 'tokoh' untuk jadi pengawas.

Tapi kan, memang betul pun popular itu penting dalam pilihanraya.

Popular dan dikenali ramai memang jadi bonus untuk seseorang calon pilihanraya. Tambahan bonus kalau calon itu popular dan bijak dan ada ketokohan dan ciri-ciri seorang pemimpin. Maka tak susah sangat rakyat di kawasan itu untuk buat pilihan ketika mengundi. 

Tapi itu kalau rakyat lihat pada kepimpinan seseorang. Kalau rakyat mengundi hanya berdasarkan parti semata-mata, susah juga. Hebat macam mana sekali pun calon lawan, kalau dah memang taat setia jiwa dan raga pada parti, maka sekalipun calon parti sendiri banyak kekurangan, tetap juga akan dipangkah calon tersebut di kertas undi nanti. Apa saja atau siapa saja yang jadi calon, asalkan daripada parti yang 'dianuti' , dia lah yang akan diundi. Maka agak menyedihkan jika hanya disebabkan semangat kepartian yang kuat, masa depan kawasan yang jadi taruhan. 

Yang dirisaukan juga adalah jika calon yang dipilih hanyalah calon tangkap muat atau bidan terjun. Tiada pengalaman hatta sebulan atau dua bulan pun di lapangan politik mahu pun turun padang untuk aktiviti dalam komuniti. Maka timbullah janji-janji atau manifesto yang pelik atau tak kena dengan keperluan rakyat di kawasan yang ditandingi. Sebut pasal manifesto teringat pula kata-kata seorang calon pilihanraya yang juga seorang pemain bola sepak yang bertanding PRN kali ini apabila ditanyakan tentang manifesto beliau.

"Ya, saya memang ada manifesto sendiri. Tapi manifesto itu akan terjadi apabila kemenangan berpihak kepada saya"

"Ok, antaranya apa dia, mungkin boleh share sikit?"

"Kena undi dulu baru boleh bagitahu"

"Oh, surprise??"

" Ha, surprise. Memang benda ini akan berlaku satu kejutan "

(🤔 Semasa pemilihan pengawas sekolah pun kami tahu yang manifesto itu ialah janji-janji yang dicanangkan semasa berkempen, sebelum mengundi. Tujuan nya kan nak menarik pengundi . Bukan bagitahu manifesto lepas mengundi ya, dan bukan juga satu surprise 😅)

Sedikit terkejut juga sebenarnya bila dapat tahu beliau bertanding di pilihanraya ini. Saya salah seorang yang suka cara beliau bermain bola sepak yang pada pandangan saya sangat tenang dan berbakat, hebat dalam menjaringkan gol dari luar kotak penalti dan gol hasil sepakan percuma. Yang paling saya ingat terutamanya jaringan kemenangan sepakan penalti beliau di Sukan Sea ke-26 pada tahun 2011. Memang satu kejutan dan sungguh tak sangka kemunculan beliau sebagai calon dalam PRN ini.  Betullah kata pepatah, air yang tenang jangan disangka tiada buaya. Semoga rakyat di kawasan Gurun membuat pilihan yang bijak di PRN nanti.

Apa-apa pun, sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, mari kita sama-sama turun mengundi pada 12 Ogos 2023 (dan 8 Ogos untuk undi awal) nanti. Kita sebagai 'majikan' , maka pilihlah 'pekerja' yang mampu bekerja untuk kita!

Undi anda penentu masa depan negara...

0 comments: