Yang sedih dan lucu di mesin ATM....

Saturday, February 11, 2017 Ana 2 Comments


Yang sedih dan lucu di mesin ATM....



Assalamualaikum & salam sejahtera....

Saya nampak 'sesuatu' yang menyedihkan semasa keluarkan duit di mesin ATM pagi tadi.

Mesin ATM sebuah bank yang diletakkan di kedai Mesra stesen minyak Petronas itu memang 'istimewa' sikit. Kenapa istimewa?

Mesin ATM itu pada pandangan saya ada masalah nak keluarkan resit dengan betul. Resit yang dikeluarkan dari slot resit itu seakan-akan 'ditendang' keluar dari mesin itu dan akan 'terbang' (saya pun tak pandai nak gambarkam dalam bentuk tulisan) serta jatuh ke lantai sebelum sempat si pelanggan ambil resit tersebut. Selalunya akan terbongkok-bongkoklah pelanggan di depan mesin itu mengutip resit di lantai. Tapi kebanyakan masanya pelanggan akan biarkan saja resit itu. 'Hasilnya', banyak lah resit bertaburan di atas lantai depan mesin ATM tersebut.

Jadi, apa yang menyedihkan?

Menyedihkan bila kebanyakan resit yang saya nampak di atas lantai itu tercetak transaksi yang tak berjaya atau di reject.

Biasa lah transaksi tak berjaya. Apa yang sedih sangat?

transaksi gagal di mesin ATM


Ya, memang biasa bila transaksi tak berjaya. Dalam banyak-banyak resit yang bertaburan di lantai itu ada di antaranya tertulis 'Transaction declined'  tapi yang menyedihkan ialah bila nampak transaksi yang gagal dengan respons 'Insufficient Fund'. Bukan satu dua resit yang tercetak begitu, sempat juga saya kira (sempat mengira sebab orang di depan saya begitu lama urusannya di mesin ATM tersebut) ada lebih dari sepuluh resit dengan respons yang sama.

Saya pun terbayang-bayang dan mula terfikir macam-macam. Ada kah transaksi-transaksi itu dilakukan oleh orang yang sama atau berbeza? Jika orang yang sama, mungkinkah orang tersebut begitu terdesak memerlukan duit hingga mencuba berkali-kali meskipun transaksinya telah gagal berkali-kali? Tak dapat terima hakikat yang duit yang nak dikeluarkan dari ATM melebihi daripada amaun yang ada dalam akaun simpanannya?

😢😢😢

Baca juga:
Duit palsu, ATM dan mesin deposit tunai...

Ada juga insiden lucu juga berlaku bila hendak keluarkan wang daripada mesin ATM. Di sebuah cawangan sebuah bank yang saya singgah, ada disediakan 4 buah mesin ATM dan 2 buah mesin deposit tunai. Daripada 4 buah ATM itu, hanya satu yang berfungsi dan panjang juga barisan orang yang hendak menggunakannya. Dalam fikiran saya mesti lah lagi 3 ATM itu rosak tak boleh digunakan, jadi saya terus saja turut sama beratur dalam barisan panjang itu.  Keadaan agak kurang selesa dan sedikit sesak kerana kawasan tersebut tidak berapa luas dan orang pula semakin ramai disebabkan waktu cuti perayaan ketika itu. Semakin barisan itu bergerak ke hadapan, dari jauh dapat saya baca tertera ayat notis yang dicetak di atas kertas 'Harap Maaf, Mesin ATM Ini Tidak Dapat Digunakan Buat Sementara Waktu' tertampal di mesin ATM yang bersebelahan.


pengalaman keluarkan wang di mesin ATM

Di bawah ayat notis tersebut ada kelihatan beberapa patah perkataan yang ditulis dengan pen. Sangkaan saya mungkin itu notis tambahan daripada pihak bank. Hampir saja saya nak tergelak kuat bila membaca apa yang tertulis di situ:

"Maaf diterima, lain kali jangan buat lagi ye!"

😆😆😆

Di sebalik reaksi normal pelanggan yang tak puas hati dan mungkin marah-marah terpaksa beratur panjang untuk gunakan satu-satunya ATM yang ada, bagus lah ada juga orang yang berfikiran 'positif' dapat terima kenyataan dan 'redha' dengan keadaan tersebut. Malah sempat lagi tinggalkan 'pesanan' kelakar itu sebagai jawapan balas kepada notis daripada pihak bank!


Yang sedih dan lucu di mesin ATM. Pasti kita semua ada pengalaman tersendiri menggunakan mesin juruwang automatik ini....


2 comments:

  1. Pengalaman indah masa student. Beratur di mesin ATM, insufficient fund. Check baki. Beratur di mesin CDM untuk bank in RM 10. Beratur balik di mesin ATM, baru boleh bawa keluar duit RM 50 terakhir itu..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Bijak tu. Simpati pada orang yg beratur di mesin ATM, dapat insufficient fund dan hanya mampu termenung pandang saja skrin ATM sbb itu saja satu-satunya duit yg ada...

      Delete