Masih gigih berusaha menyimpan 'Si Hijau'!

Thursday, February 09, 2017 Ana 0 Comments



Masih gigih berusaha menyimpan 'Si Hijau'!


Assalamualaikum & salam sejahtera....

Dalam banyak-banyak cara dan tips untuk menyimpan duit yang banyak dikongsikan di Internet mahu pun media sosial, saya paling suka cara simpan duit mengikut warna duit. Salah satunya yang telah lama diamalkan oleh kebanyakan orang ialah 'Kempen Si Hijau' iaitu simpan duit kertas RM5 setiap kali kita terima baki selepas beli barang.

Simpan duit dengan cara yang seronok!

Kenapa simpan duit kertas RM5 dan bukan RM1 atau RM20 yang lebih besar nilainya? Lebih besar nilai lebih cepat bertambah simpanan kan? Ikutkan pandangan saya sendiri, duit RM5 ialah nilai yang 'sederhana' besarnya dan tak terasa sangat rasa 'sayang' nak simpan. Maksud saya dengan rasa 'sayang' nak simpan itu ialah berat hati nak ketepikan duit RM5 sebab rasa ada nak digunakan untuk tujuan yang lain. Simpan RM5 lebih mudah jika nak dibandingkan dengan duit RM1 yang lebih kerap kita gunakan dan RM20 yang agak besar nilainya dan mungkin kita akan terasa sedikit 'kesempitan' wang bila kita asyik ketepikan RM20 untuk disimpan.

Kena cekal hati juga nak menyimpan si hijau ini walaupun adakalanya saya terbabas juga 'terguna' duit RM5 yang disimpan. Tapi sebagai hukuman untuk diri sendiri, saya akan ganti balik duit yang telah digunakan dengan 2 kali ganda nilai yang saya dah gunakan. Adakalanya saya gantikan juga dengan RM1 dan lepas itu buat azam bersungguh-sungguh tak nak terguna RM5 lagi. Duit kertas RM5 tak boleh digunakan walau apa pun yang terjadi!

Pernah juga saya cuba (konon-kononnya) nak 'naiktaraf' dengan menyimpan duit RM20 pula tapi tak berjaya. Dapat lah simpan sekeping dua tapi lepas itu ada saja barang yang nak dibeli dan terpaksa lah 'berkorban' duit RM20 yang baru mula nak disimpan.

menabung dengan cara simpan baki duit syiling


Memang ada banyak cara yang disyorkan untuk menyimpan wang seperti simpan 10% daripada wang pendapatan, simpan dalam akaun yang tiada kad ATM seperti Tabung Haji dan ASB, simpan baki yang diterima dalam bentuk duit syiling dan banyak lagi. Terpulang pada keselesaan dan kemampuan masing-masing. Cuma bagi saya bila menyimpan ikut warna duit kertas ini rasa seronok lihat berkeping-keping duit yang sama warna dan bagi semangat untuk simpan lagi dan lagi dan lagi....

Harap-harap saya mampu untuk teruskan Kempen Si Hijau ini untuk jangka masa panjang. Harap-harap duit RM5 yang telah banyak terkumpul setakat ini tak akan masuk pula ke dalam sampul duit raya menjelang hari raya yang akan datang!

Masih belum terlewat untuk menyimpan, jom mulakan Kempen Si Hijau hari ini juga!

😊😊😊

 

0 comments: