Nasi lemak, aiskrim dan pegawai penguatkuasa...
Nasi lemak, aiskrim dan pegawai penguatkuasa...
Assalamualaikum & salam sejahtera......
Hari ini pegawai penguatkuasa DBKL datang lagi.
Termasuk hari semalam, sudah 2 hari penguatkuasa DBKL membuat rondaan di kawasan sekolah anak saudara saya itu. 'Hasilnya', sekitar kawasan luar sekolah itu tidak lagi meriah seperti kebiasaannya waktu habis persekolahan.
Tiada lagi kelihatan makcik dan pembantunya sibuk melayan permintaan anak-anak sekolah yang mahu beli barang jualan mereka. Ada air sirap, air oren, air jagung, snek makanan ringan malah ada juga bungkusan nasi lemak yang menanti pembelinya. Bukan hanya anak-anak sekolah, ibu bapa turut sama menjadi pelanggan setia makcik itu.
Tiada lagi kelihatan pakcik bermotorsikal yang jual aiskrim pelbagai jenis itu tak menang tangan layan peminat-peminat aiskrimnya.
"Akak suka nasi lemak makcik tu, sedap betul sambalnya. Sayang DBKL dah tak bagi berniaga"
"Time tunggu anak ni kalau lapar ke dahaga ke memang akak selalu beli kat makcik tu. Ni dah tak berniaga ni susah la, takkan nak pergi beli kat kantin sekolah. Guard kat depan pagar sekolah tu asyik jeling-jeling je"
Bukan hanya makcik jual makanan dan pakcik jual aiskrim yang berniaga di kawasan luar sekitar sekolah itu. Ada juga 2, 3 lagi peniaga yang turut sama hilang dari pandangan hasil rondaan penguatkuasa DBKL sejak kebelakangan ini.
Kerusi plastik dan meja kepunyaan makcik itu yang dirantainya di tiang di pejalan kaki itu telah 'selamat' dipotong rantainya oleh penguatkuasa dan dibawa masuk ke lori. Ketika saya melintasi kawasan itu, penguatkuasa masih kelihatan mundar-mandir , tak pasti jika mereka menantikan kedatangan makcik itu untuk mengambil barang kepunyaannya atau cuma untuk memastikan tiada yang kembali berjualan setelah mereka beredar dari kawasan tersebut.
Kasihan dan simpati juga kepada para peniaga yang terjejas. Ke mana agaknya mereka membawa diri untuk mencari rezeki selepas ini?
"Sampai hati ye penguatkuasa tu rampas barang-barang makcik tu. Hati kering betul. Kalau akak memang tak boleh lah, mudah kesian..."
"Kalau akak yang jadi penguatkuasa mesti belum sampai sehari kerja dah kena berhenti kot..."
"Betul tu!"
Kasihan itu kasihan juga pada makcik dan pakcik yang berjualan itu, tapi dalam masa yang sama pegawai penguatkuasa itu juga cuma menjalankan tugas mereka. Bukan soal sampai hati atau tak kasihan atau hati kering sebab tiada siapa yang tahu apa ada dalam hati mereka. Kita yang tak berada di tempat mereka memang mudah nak menghukum. Sampai hati atau tidak, kasihan atau tidak, tugas dan tanggungjawab mereka terpaksa juga dilaksanakan. Mungkin penguatkuasa itu juga dalam dilema, ditelan mati emak, diluah mati bapa?
Nasi lemak, aiskrim dan pegawai penguatkuasa. Hilang sudah kelibat nasi lemak dan aiskrim, yang tinggal kini hanyalah kelibat si penguatkuasa....
0 comments: