Perlukah guna valet doa?
Perlukah guna valet doa?
Assalamualaikum & salam sejahtera....
Valet Doa.
Mula-mula baca bila viral di FB memang tak percaya. Ingat orang buat lawak saja. Dalam hati mengata juga kenapa lah pasal doa pun ada orang nak buat lawak. Dah tak ada modal lain agaknya.
Tapi malang sekali valet doa rupa-rupanya bukan cerita lawak. Servis yang tawarkan khidmat berdoa di tempat-tempat mustajab doa di kota suci Mekah dan Madinah rupa-rupanya memang wujud. Siap disediakan dengan pakej dan 'harga' bagi setiap pakej. Bukan itu saja, siap jaminan wang dikembalikan jika doa yang anda kirimkan itu tak dimakbulkan!
Hebat!
Antara ayat dalam iklan FB valet doa ini ialah:
"Dah bertahun berdoa tapi hajat belum makbul juga? Valet Doa bantu anda berdoa depan Kaabah. Confirm makbul cepat!
Astaghfirullah hal a'zim....
Sedangkan bila kita makan pun kita tak tahu sama ada kita akan kenyang atau tidak. Apabila kita tidur pun kita tak tahu bila masanya kita akan tidur lena. Sebenarnya tak perlu fikir jauh pun, sebab udara yang kita sedang sedut sekarang ini pun kita tak tahu sama ada itu adalah udara dalam nafas kita yang terakhir!
Tiada apa yang pasti, tiada apa yang kita tahu pasti akan berlaku pada diri kita kecuali mati. Perkara yang akan berlaku pada diri kita sendiri pun kita tak boleh nak jangka dan tak mampu nak kawal, apa tah lagi nak begitu confirm kemakbulan sesuatu doa yang pastinya lebih jauuuuh dari kawalan kita.
Jadi mengapa masih ada yang berani mewujudkan servis yang nyata mempermain-mainkan agama dan seolah-olah mencabar kuasa Tuhan yang Maha Mengabulkan doa ini? Mungkin sudah merasakan diri cukup hebat hingga mampu memberi jaminan doa mereka akan dimakbulkan.
Baca kenyataan daripada Mufti Wilayah Persekutuan mengenai valet doa di sini.
Penyedia servis tak masuk akal ini satu hal. Satu hal lagi ialah ada pula orang yang gunakan servis tersebut! Kenapa? Tak pandai nak berdoa memohon sendiri hajat kepada Tuhan? Kurang yakin untuk berdoa sendiri? Atau lebih kronik, malas hendak berdoa? Kita pernah dengar lawak jenaka yang menceritakan bagaimana seorang yang malas nak berdoa maka setiap kali selesai solat dia pun hanya angkat tangan dan berkata "Oh Tuhan, aku mohon sama macam semalam". Itu memang tak patut tapi paling kurang pun orang tersebut berdoa sendiri.
Membaca kisah si penyedia servis valet doa ini mungkin pada asasnya niat beliau ialah ingin membantu menyampaikan doa-doa bagi mereka yang sangat berhajat dan mahukan doa mereka dibacakan di tempat mustajab doa di dua kota suci tersebut. Itu niat yang murni, membantu mereka yang berhajat. Tapi bila bantuan itu dikenakan pula dengan bayaran yang paling murah pun dikatakan RM250 dan paling mahal ialah RM5000 (maaf jika saya tersilap), maka berhati-hatilah dengan servis sebegini. Bukan setakat duit hangus yang dibimbangkan, lebih besar daripada itu ialah bimbang kita akan tergelincir dari landasan yang betul bila mana kita percaya dengan ayat 'confirm makbul' dalam iklan itu tadi.
Sumber : FB AstroAwani |
Menurut apa yang dikatakan pengasas valet doa ini dalam temubual di AstroAwani (tonton di sini), bayaran yang dikenakan itu adalah sebagai kos untuk beliau pergi ke tanah suci untuk membacakan doa-doa yang dikirimkan itu. Dan bayaran yang berbeza-beza mengikut pakej bertujuan untuk membolehkan 'semua lapisan masyarakat' menggunakan khidmat valet doa ini. Kasihan pada mereka yang 'berhajat' untuk kirim doa tapi tak mampu nak sediakan bayaran paling rendah RM250....
Ustaz Dr Muhammad Lukman dalam temubual itu ada menjelaskan bahawa sesiapa saja boleh berdoa walau di mana sahaja untuk memohon hajatnya. Dan apa yang saya dengar bila ditanya pula pendapat si pengasas valet doa itu, katanya manusia ini ada macam-macam jenis. Apa maksudnya itu? Adakah yang dimaksudkannya manusia ada macam-macam jenis dan ada jenis manusia yang malas berdoa maka perlukan khidmat valet doa? Tidakkah ini akan menyebabkan lebih ramai lagi manusia yang malas berdoa? Dan valet doa mengambil kesempatan atas sikap manusia yang sebegini? 😒
"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir. Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka mendapat petunjuk" (Surah al-Baqarah, 186)
Ya, satu usaha inovatif daripada anak Malaysia...😒😒😒
Macam-macam ada di zaman ini. Doa pun boleh dijadikan 'barang' untuk diniagakan.
Perlukah guna valet doa?
Doa itu senjata orang mukmin.
Sesungguhnya berdoa itu percuma. Angkatlah tangan dan berdoalah dengan ikhlas sepenuh hati....
0 comments: