Selamat Hari Wilayah 2017...
Selamat Hari Wilayah 2017...
Assalamualaikum & salam sejahtera.....
Wilayah Ceria, Rakyat Sejahtera.
Semenjak Kuala Lumpur menjadi sebuah Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 1974 dan sehingga kini telah ditadbir oleh 9 orang Datuk Bandar, banyak pembangunan dan perubahan yang telah merubah landskap ibu kota ini. Bukan saja bangunan yang dah banyak berubah, malah persekitaran dan pengangkutan awam juga banyak bezanya berbanding dahulu.
Sumber : icu.gov.my |
Saya masih ingat lagi ketika saya dan kawan-kawan sekolah menengah berlari-lari dari hadapan Kompleks Campbell melintasi Jalan Dang Wangi menuju ke Odeon Cinema di seberang jalan. Masa itu semangat nak tonton filem 'Abang 92' lakonan Azhar Sulaiman 😁. Kini semua itu tinggal kenangan. Panggung wayang Odeon itu pun telah berubah. Bermula dengan hanya menayangkan filem-filem Hindi hinggalah kini menjadi pusat pelbagai kedai jual pelbagai barangan (saya pun belum pernah ke sana lagi).
Sumber : thestar.com.my |
Central Market atau Pasar Seni juga jadi tempat persinggahan utama selepas habis waktu sekolah atau sementara tunggu kelas tuisyen bermula di Pusat Tuisyen Kasturi yang terletak berhampiran. Waktu itu Pasar Seni tidaklah secanggih dan hari ini. Laluan Kasturi @ Kasturi Walk yang tersergam itu pun masih belum dibina. Antara aktiviti kegemaran bila singgah di Pasar Seni ialah singgah di kedai sewa buku. Saya pun dah lupa berapa sewa yang dikenakan ketika itu tapi memang rambang mata juga lah nak pilih buku yang nak disewa. Selain itu Pasar Seni juga jadi pilihan untuk cari cenderamata untuk guru atau kawan-kawan kerana harganya yang berpatutan.
Seiring dengan pembangunan yang rancak dijalankan, 'langit' di ibu kota juga turut berubah. Jika dulu mata luas memandang langit yang terbentang, kini jika mendongak ke atas, pemandangan dihiasi dengan laluan dan landasan LRT yang menjalar di sana sini. Tidak lupa juga dengan kemunculan laluan flyover dengan lebuhraya yang mengenakan tol untuk laluan yang lebih cepat.
Saya sempat juga merasa kenangan menaiki bas mini yang terkenal di jalan raya ibu kota suatu ketika dulu. Daripada zaman bas mini yang berwarna warni hinggalah kemudiannya diseragamkan kepada warna merah jambu. Begitu juga dengan bas Serijaya (SJ Kenderaan) yang kelibatnya sudah tidak kelihatan setelah digantikan dengan Intrakota dan kemudiannya bas Rapid. Tambang serendah 20 sen dengan tiket pelbagai warna juga pernah jadi koleksi saya yang kini entah ke mana hilangnya.
Sumber : bubblynotes.com |
Tak kurang juga yang berubah ialah kemunculan lebih banyak tempat letak kereta di ibu kota. Memang ia nya memudahkan terutamanya bila musim-musim perayaan dan ramai yang menaiki kenderaan persendirian masuk ke pusat bandar untuk membeli belah. Tapi yang kurang menarik nya ialah kadar bayaran yang dikenakan turut meningkat. Jika dulu masih boleh didapati tempat letak kenderaan dengan kadar bayaran serendah RM2 untuk satu jam letak kenderaan di kawasan lapang, kini ada yang mengenakan bayaran hingga RM7 ke atas untuk satu jam!
Kenangan akan tetap tinggal jadi kenangan. Perubahan akan tetap dilaksanakan.
Wilayah Ceria, Rakyat Sejahtera.
Semoga slogan wilayah ceria, rakyat sejahtera mampu direalisasi dan diteruskan.
Selamat Hari Wilayah 2017...!
0 comments: