Ikat perut atau berjimat?

Friday, March 29, 2019 Ana 0 Comments


Ikat perut atau berjimat?



Assalamualaikum & salam sejahtera....

Food Bank untuk siswa. Apabila baca pasal Food Bank dan pelajar terpaksa ikat perut dan makan cuma sekali sehari, teringat kembali zaman belajar di UKM dulu.

Food bank untuk siswa
Sumber : Harian Metro


Zaman itu dah berlalu bertahun-tahun juga lah lamanya. Zaman itu mungkin sedikit beruntung dan bertuah kerana tidak pula muncul berita pelajar ikat perut makan sekali sehari kerana kesempitan wang. Atau mungkin juga ada tapi tidak ramai seperti sekarang?

Jalan kaki 6 km pergi dan balik dari bilik asrama ke fakulti ialah perkara biasa bagi saya dan rakan-rakan masa belajar di UKM dulu. Ketika itu asrama terletak di hujung sana dan Fakulti Kejuruteraan pula di hujung 'dunia' yang satu lagi. Masa itu kami pelajar Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat masih belum ada bangunan sendiri dan terpaksa berkongsi bangunan dengan pelajar kejuruteraan. Berjalan kaki jauh menapak setiap hari dah jadi perkara biasa. Menunggu bas dalam kampus pula tak tentu jadualnya. Pernah juga satu hari ada juga pelajar yang kami tak kenali kasihan melihat saya dan rakan berjalan di tengah panas lalu mengajak naik tumpang keretanya 😅. Masalah juga apabila ada kelas di waktu malam, memang terkejar-kejar bas jawabnya. Hikmah apabila tak ada pengangkutan sendiri ini ialah selain jimat duit minyak dapat juga badan yang slim sebab hari-hari berjalan kaki!

Soal makan ketika zaman belajar dulu tak jadi masalah besar buat kami. Dapat lah juga makan lengkap 3 kali sehari. Sarapan pagi yang ringkas saja seperti roti. Pada waktu itu untuk berjimat, roti yang dah expired bagi saya masih boleh dimakan lagi 2-3 hari selepas tarikh luputnya 😅. Air pula cukup dengan air 3 in 1 kopi, milo atau teh. Waktu tengahari memadai dengan lauk sejenis dua dan makan malam pula sama ada nasi atau goreng-goreng seperti mi, kuetiau dan sewaktu dengannya. Jika rajin dan berkesempatan (dan yang penting ada duit!) , meronda pula ke pasar malam berdekatan pada hujung minggu. Ketika tinggal menyewa di luar kampus pula, kami berkongsi beli lauk saja dan nasi siap dimasak di rumah sewa. Jimat duit makan. Pernah juga kami kongsi-kongsi duit untuk buat rumah terbuka raya di rumah sewa kami. Siap masak kuah kacang, sayur lodeh, mi dan bihun goreng lagi.

'Mewah' juga lah rasanya makan pada zaman itu. Kadang kala walaupun dah sarapan di bilik asrama dan masih terasa lapar, singgah lah di kedai makan roti canai 2 keping. Sesekali apabila tekak teringin nak makan yang 'mahal' sikit, kedai kek di Pusanika jadi tempat persinggahan dan kek coklat jadi sasaran.

Zaman belajar dulu jarang perlu minta duit dengan mak sebab duit biasiswa/pinjaman sudah memadai untuk tampung keperluan.

Apa yang bezanya dengan zaman sekarang?

Tak banyak beza pun. Mungkin yang paling banyak ketara berbeza ialah kos sara hidup yang semakin meningkat. Keperluan siswa yang semakin meningkat. Keperluan untuk belajar dan keperluan peribadi. Zaman saya belajar dulu ketika menjadi pelajar tahun tiga baru merasa ada handphone sendiri. Sebelum ada handphone sendiri memang setiap malam akan setia beratur panjang di telefon awam siap syiling atau kad panggilan dalam poket untuk telefon mak di rumah. Setiap malam tanpa gagal hehehe. Jadi apabila perlu guna telefon awam secara automatik akan jadi berhemah dengan duit yang nak dibelanja. Setiap kali nak berbelanja akan pastikan ada duit untuk telefon mak nanti. Err sekarang ada lagi ke orang guna telefon awam?

Pagi semalam ada tertonton sikit di Malaysia Hari Ini bersama Abang Abu dari Mekanik Wang mengenai cara-cara pelajar/mahasiswa boleh jimatkan wang perbelanjaan. Antara caranya mudah saja iaitu senaraikan wang yang perlu dibelanjakan setiap minggu. Daripada situ kita akan dapat jejak ke mana wang dibelanjakan dan yang paling penting ialah apa yang boleh kita kurangkan atau jimatkan daripada perbelanjaan tersebut.

Cara yang mudah untuk bijak berbelanja tapi tak ramai yang buat (termasuk saya!).

Berbalik kepada Food Bank untuk siswa, ia adalah satu langkah yang baik bagi membantu golongan pelajar daripada keluarga B40 dan miskin tegar. Perut berkeroncong lapar memang susah nak fokus belajar. Diharapkan program ini dapat diuruskan dengan cara yang betul dan berguna untuk kumpulan sasar.

0 comments: