Siapa lagi yang boleh diharapkan?



Siapa lagi yang boleh diharapkan?



Assalamualaikum & salam sejahtera.....

Sedih betul baca laporan akhbar mengenai seorang anggota polis berpangkat koperal yang ditangkap pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes rasuah melibatkan rumah urut dan pusat judi haram (ada ke pusat judi halal?). Sejumlah besar wang tunai turut ditemui di rumah anggota polis itu. Masa kanak-kanak dulu bila sebut saja polis, maka yang terbayang ialah polis tangkap pencuri. Jadi kini bila ada kes polis pula yang ditangkap, apa sudah jadi dengan negara kita hari ini?

rasuah di mana-mana

Jika pihak yang diharapkan itu sudah tidak boleh dipercayai, maka ke mana lagi lah hendak diarahkan kepercayaan masyarakat dalam usaha membanteras jenayah hari ini? Mungkin tidak adil hendak menyamaratakan kesemua anggota keselamatan itu sebagai terlibat dengan rasuah. Tapi itu lah, kerana nila setitik , habis rosak susu sebelanga. Kerana sikap korup segelintir individu yang diamanahkan menjaga keselamatan itu, tak mustahil sudah terbit rasa ragu-ragu di hati anggota masyarakat hendak mengadu dan mengharapkan keadilan ditegakkan. Rakyat melaporkan kes jenayah kepada pihak berkuasa tetapi malang dengan ada nya individu yang sebegini, kes yang dilaporkan tidak pernah selesai kerana suapan wang ringgit telah menggelapkan mata.  Benar kah kes sebegini hanya melibatkan 'nila setitik?'

"Mesti banyak untung ni kan makcik, hari-hari habis licin kuih makcik ni saya tengok"

"Ada lah sikit. Itu pun kena kongsi dengan 'hantu' tu!"

Terkejut juga apabila saya dengar jawapan makcik jual kuih itu. Untung jual kuih kena kongsi dengan 'hantu'?

'Hantu' tu lah, tiap-tiap bulan datang kutip duit. Kalau tak bagi, memang tak dapat lah makcik jual kuih lagi kat sini"

Kasihan. Makcik yang mengerah tulang empat kerat jual kuih, ada pula pihak yang tak berhati perut senang-senang saja minta 'duit bulanan'.

Itu satu kes yang saya pernah dengar. Mungkin ada yang akan kata "Berapalah sangat 'hantu' itu dapat daripada makcik jual kuih tu". Saya tak tanya berapa yang perlu dibayar oleh makcik itu. Jika RM50 sekali pun jumlah nya, itu baru untuk satu gerai jual kuih. Belum campur lagi dengan gerai jual nasi ayam dara, gerai jual rojak dan cendol, gerai jual air mangga dan gerai-gerai lain yang berderet di situ!

Satu kes lagi ialah kes pekerja dari seberang yang menyewa sebuah rumah pangsa kepunyaan jiran saya. Apabila tiba hujung bulan waktu untuk kutip duit sewa, maka salah satu cerita sedih yang diceritakan penyewa itu ialah kisah dirinya dan isteri yang diperas ugut oleh pihak berkuasa kerana permit sudah tamat tempoh. Katanya, jika tidak mahu ditangkap, maka perlu bayar sejumlah wang kepada pihak tersebut. Dalam kes ini si penyewa itu sendiri yang seakan-akan 'membuka peluang' untuk diperas ugut sebegitu. Dan pihak yang tamak akan rebut peluang depan mata untuk cari 'pendapatan sampingan' dengan cara yang salah. Saya ada juga terfikir mungkin juga dalam kes ini si penyewa hanya mereka-reka cerita sebagai alasan untuk melewat-lewatkan membayar sewa. Tapi jika benar-benar berlaku maka bertambahlah satu lagi 'kes sedih' melibatkan amanah yang telah dikhianati. Siapa lagi yang boleh diharapkan?

Apa-apa pun, semua di atas ialah kes yang melibatkan pihak yang berkuasa dan dipercayai. Diamanahkan untuk melaksanakan tugas mengikut peraturan dan melindungi hak masyarakat tapi lain pula yang berlaku. Harapkan pagar, pagar makan padi.

Dalam perkara yang melibatkan kepercayaan, apabila sekali telah dikhianati, sukar untuk mudah percaya kembali!


Pindah rumah, puasa dan persediaan raya.....

Pindah rumah, puasa dan persediaan raya.....


Assalamualaikum & salam sejahtera....

Berpindah rumah sebagai persediaan sambut puasa?

Lama juga saya tinggalkan blog dek kerana sibuk dengan urusan pindah memindah barang. Barang dah siap dipindahkan dan kini hanya tunggu untuk tandatangan kontrak dengan penyewa dan serahkan kunci.

Perjanjian sewa rumah


Barang yang dipindahkan tak lah banyak mana pun tapi penatnya boleh tahan. Banyak juga barang yang saya tinggalkan untuk bakal penyewa. Tak dapat bayangkan jika semua barang yang ada di rumah itu saya pindahkan. Dan tak dapat nak bayangkan kalau urusan pindah memindah ini dibuat masa bulan puasa. Ada juga orang yang 'terbuka' puasa nanti agaknya!

Pindah rumah sebelum puasa

Dalam pada berhati-hati memindahkan barang itu ada juga barang yang kurang 'sihat' lepas proses pemindahan. Meja makan yang pada asalnya elok saja tapi lepas pindah jadi bergoyang, kurang stabil. Rak tv yang pada asalnya kukuh saja terletak tapi lepas dipindahkan kakinya jadi seperti 'cacat' sedikit meskipun tak begitu ketara. Apa nak buat, terima saja lah. Mungkin juga selepas hampir 10 tahun barang-barang itu tak 'bergerak' dan duduk diam saja di rumah tiba-tiba dipindahkan pula naik lori jadi mungkin jadi satu 'kejutan'.

Baca juga:
Refinance rumah anda...
Sayang tak bertempat!

Urusan pindah memindah dah selesai tak bermakna dah habis kerja nak buat. Satu hal pula nak mengemas dan menyusun atur barang-barang yang dah dipindahkan itu. Dan apa yang paling penting ialah semangat nak berkemas itu bukan lah mudah nak dapat. Sekali dah bersemangat memang tak ingat makan dan minum dan akan terus mengemas dan mengemas dan mengemas hingga sudah. Nak mengemas pun makan masa sebab perlu kerah otak memaksimumkan ruang yang ada dalam rumah. Bagus juga pindah memindah barang sebelum puasa ini sekaligus dah siap susun atur rumah untuk sambut raya nanti.

Sebelum ketibaan bulan Ramadhan ini, selain bersedia dengan persiapan berkaitan dengan ibadah puasa, elok juga kita buat persediaan menyambut raya. Bukanlah bermaksud nak meminggirkan bulan Ramadhan tapi lebih kepada nak elakkan daripada bulan Ramadhan nanti kita disibukkan dengan membeli belah baju raya, buat kuih raya, cat rumah, kemas rumah dan sebagainya. Dengan membuat persediaan awal untuk raya maka dapatlah kita lebih fokus kepada ibadah puasa, tadarus Al-Quran, tarawih dan amal ibadat yang lain di bulan Ramadhan nanti.

Beli baju raya sebelum puasa


Mungkin itu juga lah persiapan si penyewa rumah saya itu yang merancang untuk berpindah rumah sebelum puasa dan dapat beraya di rumah sewa yang baru pada satu Syawal nanti.

Bulan Ramadhan akan tiba kurang 10 hari lagi. Sudah cukupkah persediaan anda kita untuk bulan Ramadhan nanti?


Ini rumah kami yang ketiga!



Ini rumah kami yang ketiga!


Assalamualaikum & salam sejahtera....

Di FB tadi saya terbaca post seorang kenalan yang menulis begini:

"InsyaAllah, this will be our 3rd property"

Kenalan ini sudah lama tidak lama saya hubungi dan hanya saya 'stalk' khabar terkini beliau di FB. Beserta dengan postnya itu ialah gambar beliau bersama suaminya dan di belakangnya tersergam model kondominium dan nampaknya seperti sedang berada di sebuah show room. Hebat, baru saja menjangkau usia 30-an sudah mampu memiliki 3 buah rumah. Di saat ramai yang mengeluh harga rumah naik hingga hanya mampu tengok dan tak mampu milik, beliau perlahan-lahan mengorak langkah dalam mengumpul aset yang jadi impian setiap orang itu.

Melihatkan kehidupan yang dikongsikan kenalan ini dan suami di FB nampak ringkas saja. Beliau dan suami kedua-duanya bekerja di syarikat swasta dan si suami memandu GrabCar untuk menambah pendapatan sampingan. Baru memiliki seorang cahayamata. Perjalanan ke pejabat dari rumah yang terletak di Cyberjaya ke Kuala Lumpur ialah dengan 'merempit' berdua menaiki motorsikal. Kereta hanya digunakan untuk bersiar-siar bersama keluarga atau ketika memandu untuk GrabCar. Kenalan saya itu juga membuat bisnes online kecil-kecilan dengan menjual susu kambing dan produk kecantikan berasaskan bahan-bahan semulajadi. Antara kegemaran lain pasangan suami isteri ini selain 'memburu rumah' untuk dimiliki ialah menyertai pertandingan sama ada pertandingan online/atas talian mahu pun pertandingan yang diadakan di acara-acara tertentu. Dan sudah banyak kali rezeki memihak kepada mereka dengan menang baucer, wang tunai mahupun hadiah percutian. Apabila ditanya apa petua atau tips untuk menang, jawapannya mudah. Positif dan yakin saja boleh menang! 👍

beli rumah di usia muda

Seronok ikuti perjalanan harian mereka berdua. Daripada sebuah rumah di Cyberjaya, kemudiannya rumah kedua di Melaka dan baru-baru ini dalam proses membeli rumah di Sg Besi.sebagai rumah ketiga. Dengan perancangan kewangan yang betul, membeli rumah di usia muda adalah langkah yang bijak kerana harga rumah agak sukar untuk turun (tak mungkin akan turun?) dan semakin lama menunggu untuk memulakan langkah membeli rumah maka semakin tinggi harga yang perlu dibayar. Rumah yang saya beli pada tahun 2007 dengan harga RM247,000 kini telah naik 2 kali ganda harga pasarannya. Jiran belakang rumah menjual rumahnya dengan harga RM500,000 tanpa sebarang penambahan pada rumah tersebut. Bayangkan pula berapa harga yang boleh dijual untuk rumah yang telah ditambahbaik?

Kenapa menunggu lama untuk membeli rumah? Lain orang lain sebabnya. Sebab yang paling utama ialah wang yang masih belum mencukupi. Tak layak memohon pinjaman perumahan. Tanggungan yang banyak. Wang gaji banyak dihabiskan untuk bayaran bulanan pinjaman kereta yang-masa-beli-tak-fikir panjang-dan-nak-kereta-yang-mahal-dan-nampak-bergaya. Menunggu untuk beli rumah impian yang tersergam di kawasan perumahan elit. Terlalu banyak hutang terutamanya hutang pinjaman pendidikan atau hutang kad kredit. Mengamalkan gaya-hidup-mewah-biar-papa-asal-bergaya.

Tak salah nak melancong luar negara 4 atau 5 kali dalam setahun jika mampu tapi simpan juga lah sedikit dalam 'tabung ayam' itu simpanan untuk membeli rumah. Tak salah nak bergaya mewah dan berbelanja lebih untuk makan yang sedap-sedap tapi asingkan lah juga paling kurang 10% daripada gaji untuk simpanan.

Ada juga orang yang mampu dari segi kewangan tapi masih belum miliki rumah sendiri dan memilih untuk menyewa. Menyewa adalah gaya hidup terkini katanya? Dalam satu ceramah yang dikendalikan oleh seorang ustaz sempat pula beliau ceritakan mengenai seorang aktor lelaki yang dengan pendapatan beliau mampu untuk membeli lebih daripada sebuah rumah tapi memilih untuk menyewa sahaja. Harga sewa rumah yang dibayarnya juga mengejutkan kami di ceramah itu yang mendengarnya, iaitu lebih kurang RM5,000 sebulan! Err, saya pun dah tak ingat apa topik ceramah pada hari itu dan macam mana boleh termasuk pula cerita mengenai sewa rumah pelakon lelaki tersebut dalam ceramah ustaz tersebut 😀

Ada juga yang takut (takut?) atau kurang rajin untuk mulakan langkah beli rumah. Memang betul ada banyak proses yang terlibat seperti pinjaman dengan pihak bank, urusan dengan pihak peguam, urusan dengan syarikat perumahan dan lain-lain lagi tapi ikut saja proses dan prosedur yang diperlukan satu persatu dan bayangkan di akhir semua proses itu nanti ialah anda kini telah memiliki sebuah rumah. Tiada apa yang mudah di dunia ini. Semuanya perlukan usaha dan tindakan. Hatta hendak makan pun perlu gerakkan tangan menyuap ke mulut kan.

Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian. Mulakan langkah untuk memiliki rumah idaman anda hari ini juga. Selagi belum bermula selagi itulah tak terjangkau rumah yang diidam-idamkan!

😊







Mintalah apa yang dihajati....


Mintalah apa yang dihajati....


Assalamualaikum & salam sejahtera....

Sumber : FB Nur El-Hikmah

Jom sama-sama kita kuatkan semangat untuk 
bangun qiam pada malam yang istimewa 
(malam Jumaat dan Nisfu Syaaban) ini (pesanan untuk diri sendiri!)

Jom sama-sama kita panjatkan doa pada yang Maha Berkuasa 
memohon sebanyak-banyaknya hajat yang terbuku di hati malam ini..

Jom sama-sama berpuasa sunat 3 dalam 1 
(sunat hari Khamis + sunat bulan Syaaban + sunat hari putih) 
pada esok hari..

15 hari lagi sebelum kaki melangkah ke bulan mulia yang ditunggu-tunggu..

Sempat kah kita melangkah ke bulan itu?

😟😟😟


Bayar RM30 je kak!



Bayar RM30 je kak!


Assalamualaikum  & salam sejahtera...

Asalkan rajin, macam-macam cara boleh tambah pendapatan kan. Sebagai peniaga/penyedia perkhidmatan yang ada servis/perkhidmatan yang baik dan harga/upah/bayaran yang berpatutan, tak mustahil pelanggan kali pertama akan 'save' nombor anda dan mana tahu akan rekomen kan  pula perniagaan anda kepada orang lain.

Hari Wesak yang lepas saya habiskan dengan mengemaskan rumah di Bangi sebelum pindahkan barang-barang seperti karpet, meja makan, tv dan lain-lain barang yang penting. Seperti yang saya ceritakan dalam entry yang lalu (baca di sini), penyewa akan mula menyewa pada 1 Jun nanti dan barang penyewa akan mula dipindahkan ke rumah saya sebelum bulan puasa. Maklumlah, bulan puasa kurang sikit tenaga nak angkat-angkat barang ni. Menarik karpet dari bawah kaki sofa dan katil pun dah cukup semput dibuatnya, tak tahu lah macam mana kalau kerja-kerja mengemas ini saya lakukan di bulan puasa. Nampak saja sikit tapi perlu juga menyewa lori 1 tan untuk memindahkan barang-barang ini.

Selain kemas barang, saya juga kena pastikan rumah berkeadaan baik sebelum disewakan. Ada salah satu powerpoint yang rosak, tiada elektrik bila di 'on' kan dan perlu dibaiki. Tv yang dilekat di dinding juga perlu diturunkan dan dipasangkan semula pada stand nya semula dipindahkan. Jadi nya saya call tukang elektrik yang business card nya saya dapat dari sebuah kedai hardware.

"Assalamualaikum, ini Encik Amirul ke? Saya nak minta tolong checkkan powerpoint kat rumah saya ini ada satu yang rosak"

"Saya kat KL sekarang ni kak, kalau akak boleh tunggu lepas Zohor nanti saya sampai"

Maka menunggu lah saya hingga waktu Zohor. Ada juga tukang dari kedai hardware tapi yang lecehnya pekerja kedai itu perlu saya jemput dari kedai untuk ke rumah saya dan setelah selesai perlu pula saya hantar dia kembali ke kedai. Bukan tak boleh panggil tukang yang lain, tapi nombor tukang yang lain itu berat hati sikit saya nak hubungi, Tukang itu pernah datang untuk tukar lampu di luar rumah saya iaitu kerja yang tak sampai 5 minit (seingat saya dalam 2 minit dah siap) pun tapi upahnya RM50. Itu lah kali pertama dan terakhir saya hubungi beliau. Dalam handphone saya telah saya 'save' kan nama tukang itu sebagai 'tukang yang mahal' 😒, mana lah tahu kalau-kalau terpaksa juga saya hubungi jika memerlukan. Untuk Encik Amirul ini saya anggarkan mungkin mahal juga upahnya sebab ada syarikatnya sendiri siap dengan business cara jika hendak dibandingkan dengan tukang yang mahal itu tadi.

upah tukang elektrik


Setengah jam lepas waktu Zohor masih tiada bayang tukang itu kelihatan. Sekali lagi telefon berdering.

"Akak boleh tunggu sampai pukul 3 tak kak? Kat KL sekarang ni hujan. Atau pukul 3 tu dah lambat sangat ke kak?"

Sekali lagi saya menunggu hingga jam 3 petang. Lebih kurang 3:30 petang baru lah kelihatan Encik Amirul yang datang bersama dengan 2 lagi rakannya. Dalam hati sudah terdetik, mungkin kali ini upahnya lebih mahal sebab yang datangnya sampai 3 orang.

Selesai kerja-kerja membaiki dan tv juga dah selamat ditanggalkan dari dinding dah telah 'berdiri' dengan 'kaki' nya, saya pun bertanyakan berapa yang perlu dibayar.

"Mesti mahal kena bayar ni , datang sampai 3 orang..." Saya cuba berseloroh sambil mengira-ngira duit yang ada.

"Eh, tak ada lah kak, sikit je kerja ni. RM30 je kak"

Berulang kali juga lah saya bertanya untuk pastikan saya dengar jumlah yang yang betul. Biar betul, RM30 saja?

"Betul kak. Akak kalau ada nak betulkan apa-apa lagi boleh call saya. Company kami ni ada buat macam-macam. Wiring, atap bocor, cat rumah, lori untuk angkat barang pindah rumah, renovation dan macam-macam lagi. Call je kak, kami kerja 24 jam"

Wah, macam mana lah saya tak tahu pun kewujudan syarikat ini selama ini? Kerja 24 jam dan upahnya pun berpatutan. 2 orang rakan yang datang bersama Encik Amirul itu ialah pelajar praktikal di syarikat tersebut. Syarikat itu siap menyediakan rumah untuk mereka. Bagusnya!

Sudah pasti khidmat syarikat ini akan saya rekomen kepada sesiapa yang memerlukan. Berbanding si 'tukang yang mahal' dan si 'tukang yang perlu dijemput dari kedai', pasti lah saya pilih tukang yang efisien, murah dan kerja 24 jam dengan pelbagai khidmat yang disediakan seperti syarikat Encik Amirul!



Tinggal lagi 21 hari untuk merayu..


Tinggal lagi 21 hari untuk merayu..


Assalamualaikum & salam sejahtera....

Ada 21 hari lagi sebelum tempoh rayuan Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) tamat pada 31 Mei nanti.  Bagaimana dengan anda yang kecewa dengan status 'Tidak Lulus' dalam permohonan yang lalu, sudahkah anda buat permohonan rayuan?

Pada hari Selasa yang lepas, saya ke Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) cawangan Wangsa Maju untuk membuat rayuan bagi pihak emak saya. Dalam perjalanan nak ke sana itu merungut-rungut juga lah sebab terpaksa buat rayuan sedangkan untuk 2 tahun yang sudah tiada sebarang masalah untuk permohonan yang sama. Sudah terbayang-bayang keadaan sesak orang ramai di bahagian hantar borang rayuan. Mesti beratur panjang dan kena habiskan masa yang lama di sana nanti. Dalam pada merungut-rungut itu sampai juga lah saya di LHDN. Kaunter rayuan BR1M terletak di tingkat 3. Ada beberapa orang yang sedang menunggu lif bersama-sama dengan saya dan saya penuh yakin mereka pun menuju ke tingkat 3. Tapi sangkaan saya meleset sama sekali. Hanya saya seorang yang melangkah keluar dari lif apabila tiba di tingkat 3.


sudah buat rayuan BR1M?


Sampai di tingkat 3, toleh kiri dan kanan dan rasa macam salah tempat pula. Waktu itu jam lebih kurang pukul 3 petang dan suasana di situ sunyi sepi. Toleh kanan dan ternampak papan tanda di sebelah kanan menunjukkan arah kaunter BR1M. Sambil melangkah ke kaunter untuk minta borang (anda boleh download borang terlebih dahulu dan isi maklumat yang diperlukan sebelum pergi ke LHDN untuk mempercepatkan lagi urusan) rasa was-was pula bila situasi tak seperti yang saya jangkakan. Hampir tiada orang hingga saya sangkakan mungkin ke tempoh rayuan dah tamat atau mungkin ke kaunter telah ditutup. Dari jauh hanya kelihatan seorang sahaja pakcik yang sedang duduk di kawasan yang disediakan untuk mengisi borang rayuan dan saya adalah orang yang kedua mengambil tempat duduk tidak jauh dari pakcik tersebut. Selang 5 minit kemudian, datang seorang makcik bersama anak perempuannya duduk di sebelah saya.

"Adik dapat tak yang pertama dulu?" 

Soalan cepumas daripada makcik yang duduk di sebelah saya itu

"Oh, saya buat rayuan untuk mak saya ni makcik. Mak saya memang tak dapat langsung untuk kali ni, tahun-tahun sudah ok je"

"Makcik untuk tahun ni yang pertama dah dapat. Tiba-tiba untuk yang kali kedua ni dia minta isi borang rayuan pula. Bukan kali pertama dah dapat tu maksudnya memang makcik layak ke? Ni saja lah ni nak suruh kita buat kerja merayu-rayu!"

Saya tersenyum saja lah dengar rungutan makcik itu. Memang saya pun fikirkan perkara yang sama ketika membaca berita mengenai perkara ini dahulu. Wang BR1M diberikan secara berperingkat iaitu peringkat pertama pembayaran ialah pada bulan Februari yang lalu. Ada di antara permohonan yang gagal telah diluluskan dan pembayaran telah dibuat tetapi pemohon masih perlu mengemukakan penyata pendapatan perniagaan atau penyata akaun bank jika masih ingin menerima bayaran yang seterusnya pada bulan Jun dan Ogos. Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan mereka tidak akan menerima pembayaran kedua dan ketiga itu nanti. Tak pasti kenapa masih perlu buat rayuan sedangkan pembayaran pertama telah pun diluluskan.

Baca juga:
BR1M oh BR1M...
Bawa semua dokumen yang anda ada!

Saya tinggalkan makcik itu dan anaknya yang masih berbincang-bincang di mana kedai fotostat yang terdekat untuk buat salinan kad pengenalan pasangan sebagai dokumen sokongan. Kaunter pertama yang perlu saya singgah ialah kaunter semakan. Serahkan borang rayuan dan dokumen sokongan seperti penyata akaun bank dan jawab beberapa soalan seperti adakah mak saya bekerja lagi setelah pencen 😀 serta saya perlu tunjukkan di penyata akaun yang mana satu ialah amaun wang pencen yang mak saya terima setiap bulan. Kemudian saya diminta pula untuk ke kaunter serahan.untuk proses akhir dan pengesahan penerimaan borang. Tak sampai 5 minit, selesai sudah urusan rayuan BR1M bagi pihak emak saya...

Kalau selepas ini tidak lulus juga, tak tahu lah nak kata apa. Nak buat rayuan lagi tidak mungkin rasanya, Anggap saja lah tak ada rezeki 😊😊😊





Sayang tak bertempat!


Sayang tak bertempat!


Assalamualaikum & salam sejahtera....

Ingat lagi saya pernah cerita mengenai rumah yang saya refinance sekitar 2 tahun yang lalu?

Rumah yang terletak di Bangi itu saya beli pada tahun 2007. Masuk tahun ini dah 10 tahun usianya. Dalam tempoh 10 tahun itu hanya satu malam saja saya pernah bermalam di sana. Selebihnya saya hanya datang bertandang pada waktu pagi dan menjelang lewat petang saya pun pulang ke rumah di Ampang. Itu rutin saya setiap bulan sepanjang 10 tahun. Setiap kali ke rumah itu saya akan membersihkan apa yang patut, berkemas dan call abang Bangla untuk potong rumput. Halaman luas yang sesuai untuk main bola sepak atau bermain kejar-kejar dengan anak-anak itu memang ambil masa juga untuk dipotong rumputnya. Tapi setiap kali selesai rumput dipotong, mata memang seronok tak lepas memandang laman berumput yang siap saya tanam pokok cempedak, nangka dan pisang itu. Terselit juga puluhan pokok bunga kertas dalam pasu dan 2 pokok kemboja yang kadangkala malu-malu nak berbunga. Dalam rumah juga sudah lengkap dengan perabot, mesin basuh, peti ais, meja makan, katil, sofa malah tv yang lengkap dengan Astro.

Baca juga:
Refinance rumah anda...
Harga rumah akan turun?
Buat duit dengan rumah sewa
Hak milik strata, deposit rumah dan pinjaman bank yang tak diluluskan...

Sepanjang 10 tahun ini ramai juga yang bertanyakan mengapa tak disewakan sahaja rumah tersebut. Ada juga hasilnya daripada terbiar kosong. Dapat juga duit sewa rumah itu digunakan untuk bayar duit bulanan pinjaman perumahan. Jawapan saya ialah saya sayangkan rumah itu. Bimbang bila disewakan akan rosak atau penyewa tak jaga rumah itu macam saya menjaganya. Terbayang-bayang rumah yang tak terjaga dan laman yang semak samun dengan rumput panjang terbiar tak dipotong 🙁

Dengan jawapan 'sayang' saya itu, ramai juga yang tak setuju. Ada yang kata saya kurang bijak dengan biarkan rumah kosong sebegitu. Ada juga yang kata saya sayang tak bertempat. Malah yang lebih 'menakutkan' ialah ada seorang kenalan yang mengatakan saya ini kufur nikmat sebab tak gunakan nikmat rezeki mempunyai rumah tapi tak gunakan nikmat itu dengan sebaiknya 😓


Selepas 10 tahun, akhirnya saya ambil keputusan untuk melepaskan. Melepaskan rasa sayang yang tak bertempat itu dan rasa bimbang yang tak menentu itu dengan membuat keputusan untuk menyewakan rumah tersebut. Bulan Mei ini akan menjadi bulan terakhir saya bersantai-santai menonton tv di rumah tersebut. Mulai bulan depan, rumah itu sudah ada penyewa yang akan menjadi pemilik 'sementara' nya yang baru. Besar harapan saya agar rumah itu akan dijaga dengan sebaik mungkin oleh penyewa tersebut. Memang semua tuan rumah mengimpikan penyewa dari 'syurga' tapi bagi saya memadailah jika penyewa itu menjaga amanah dan mematuhi apa yang telah dipersetujui bersama dalam perjanjian sewaaan.

Menyewakan rumah itu adalah satu keputusan yang berat juga untuk saya lakukan. Apa tidaknya, kad laporan semasa di sekolah tadika pun masih saya simpan sebab sayang nak dibuang apa tah lagi rumah yang jauh lebih besar nilainya.

Ok. Ini dinamakan sentimental terlebih. Nampaknya terpaksa lah saya terima kenyataan dan kritikan orang yang katakan saya ini sayang tak bertempat!

Wang sewa bulanan saya minta tidak di bank in dan saya sendiri akan datang setiap bulan untuk mengambilnya. Tujuannya ialah agar saya masih berpeluang untuk intai-intai rumah itu setiap bulan 😊

Susah juga bila jadi orang yang sayang tak bertempat ini ya!