Your savings for today....

Tuesday, March 12, 2019 Ana 0 Comments


Your savings for today....



Assalamualaikum & salam sejahtera....


Anda ada nampak apa-apa yang menarik kat resit di bawah?

Teknik menarik pelanggan


Bagi saya, semestinyalah ayat manis 'Your savings for today' ialah benda yang paling menarik kat resit tersebut. Kebiasaannya di resit-resit selalunya tertera point yang terkumpul jika kita ialah ahli sesebuah pasaraya/restoran/kedai. Yang paling tak menarik untuk dilihat di resit ialah jumlah cukai perkhidmatan yang dikenakan untuk servis atau barangan yang dibeli!

Ayat manis itu secara tak langsung menjadi penarik kepada pelanggan untuk berkunjung lagi ke pasaraya tersebut. Yang pastinya, barangan di pasaraya tersebut memang betul-betul murah semasa tempoh promosi jualan murahnya dan bukan sekadar promosi semata-mata. Ada pasaraya yang saya kunjungi semasa promosi jualan murahnya tak seperti yang dijanjikan. Harga barang di pasaraya tersebut semasa tempoh jualan murahnya lebih mahal daripada harga barangan yang sama (tanpa harga murah) di pasaraya yang lain.

Selain faktor harga, ambience atau suasana premis dan juga kakitangan yang bertugas turut memainkan peranan utama. Kunjungan saya ke kedai tekstil terkenal di pusat bandar tidak lama dahulu sedikit agak 'merimaskan'. Jurujual yang menyambut 'ketibaan' saya di kedai tersebut terus saja mengekori saya ke mana saja saya pergi. Rasa tidak puas membelek-belek kain yang dipamerkan apabila berterusan diekori begitu.

"Err, adik, tak payah ikut saya, nanti ada kain yang saya berkenan saya panggil adik ye"

"Tak boleh kak. Nanti bos nampak saya tak ikut akak nanti saya yang kena marah. Setiap customer kena ada staf yang ikut kak"

Oh macam tu pula. Sudahnya saya tak beli apa-apa pun di kedai tersebut. Terpulang pada individu, mungkin ada yang suka diiringi dan dilayan khas sebegitu. Bagi saya layanan semacam itu buat saya sedikit kurang selesa!

Kedai yang kurang terkenal mungkin ada sedikit masalah daripada segi pemasaran atau untuk tarik pelanggan. Betul ke?

Malam Ahad yang lalu saya lihat sendiri betapa hebatnya 'kuasa' pemasaran melalui tv.

"Eh, ni gerai roti john kat simpang tiga tu lah. Wah, glamer betul dapat masuk rancangan 'Jalan-jalan Cari Makan' !"

Tak sangka betul gerai roti john yang terletak 5 minit dari rumah saya itu disiarkan dalam rancangan yang digemari ramai di tv3 itu. Pasti ada yang istimewa sehingga dapat masuk rancangan tersebut. Sejujurnya saya sendiri tak pernah singgah lagi di gerai tersebut. Apabila dah disiarkan di tv ada hati pula nak tumpang bangga sebab gerai iu dekat dengan rumah 😃😃😃

Hebatnya pemasaran melalui tv terbukti apabila saya lihat sendiri barisan panjang orang ramai beratur menunggu giliran di gerai tersebut. Ketika itu lebih kurang jam 7.45 malam. Semasa saya sekali lagi lalu di gerai tersebut sekitar jam 9 lebih malam, orang masih lagi ramai beratur menunggu giliran. Tak menang tangan nampaknya pekerja menyiapkan pesanan-pesanan roti john!

Daripada sekecil-kecil perkara seperti info di resit, layanan one to one bagi setiap pelanggan hinggalah kepada promosi di kaca tv, pastinya setiap teknik memikat dan menarik pelanggan adalah hasil perah otak si pengusaha. Kadangkala tak perlu perah otak dengan teknik yang berlebihan pun, cukup dengan perkara asas saja seperti harga berpatutan dan servis yang mesra pastinya pelanggan tak akan serik untuk berkunjung lagi!




0 comments: