Ada apa dengan rupa, gaya dan penampilan?


Ada apa dengan rupa, gaya dan penampilan?



Assalamualaikum & salam sejahtera...


Oh, ada banyak benda penting yang berkait dengan rupa, gaya dan penampilan. Dengan rupa yang cantik dan penampilan yang menarik, ia adalah bonus untuk mudah dapat lebih perhatian daripada orang lain.  Dengan penampilan yang meyakinkan dan bergaya, lebih mudah untuk kata-kata seseorang itu dipercayai (betul ke?) dan jadi bonus jika individu itu ialah seorang jurujual.

penampilan menarik tambah keyakinan

Tapi, jangan sampai tertipu dengan penampilan. Apa yang ada di permukaan tak semestinya menggambarkan perkara yang sama di dasarnya. Itu lah yang berlaku dalam kisah yang dilaporkan di akhbar dan media sosial mengenai seorang lelaki di Thailand yang berpakaian lusuh dan penampilan tidak terurus ingin membeli motorsikal mewah Harley-Davidson baru-baru ini. Terperanjat besar jurujual apabila lelaki itu mengeluarkan wang tunai untuk bayar harga motorsikal tersebut!

Saya suka dengan cara lelaki itu sebenarnya. Maksud saya bukanlah suka berpakaian lusuh dan penampilan tak terurus tapi saya suka dengan 'kejutan' yang dibuat oleh lelaki itu. Secara tak langsung 'mengajar' kita untuk tidak mengadili seseorang berdasarkan luarannya sahaja.

Saya pernah juga berhadapan dengan situasi yang lebih kurang sama dalam 3 tahun yang lepas, semasa membeli belah persiapan dan baju raya. Teringin nak beli sepasang baju kurung yang pada saya sangat-sangat menarik corak dan warnanya sampai lama juga lah saya perhatikan dari jauh baju kurung yang diperagakan oleh patung di luar kedai tersebut. Bermula dengan pandang-pandang dan jeling-jeling dari jauh sehinggalah akhirnya saya berdiri di depan kedai, menghadap patung tersebut, terpesona dengan baju kurung yang berwarna ungu lembut dan bertanahkan warna putih itu. Mungkin agak lama juga saya 'menghayati' keindahan baju kurung itu sehinggakan ditegur oleh si jurujual.

"Akak masuk dalam lah kak, Kat dalam ni ada yang murah. Baju yang akak pegang tu harga dia lapan ratus"

😊

Belum sempat pun saya nak bertanya harga, si jurujual itu terlebih dahulu 'menganggarkan' yang saya tidak mampu memiliki baju impian yang saya pegang-pegang itu. Siap minta saya masuk ke dalam kedai untuk lihat baju lain yang lebih murah harganya. Mungkin 'penampilan' saya ketika itu tidak mencapai tahap seseorang yang mampu untuk beli baju kurung berharga lapan ratus agaknya?

Ketika itu saya masih makan gaji dan untuk hasrat untuk membeli baju idaman itu masih mampu untuk saya tunaikan dengan wang yang ada. Jika diikutkan hati dan perasaan yang mungkin terasa dengan kata-kata jurujual itu, (dan mungkin juga nak tunjukkan sedikit ego! 😎) mungkin terus saja saya ambil baju itu dan bayar.

Mujurlah saya masih mampu berfikir dengan waras. Baju kurung itu memang cantik dan dah lama saya perhatikan. Dan saya bukanlah seorang yang senang nak berkenan dengan sesuatu. Kebiasaannya jika keluar untuk membeli baju raya, saya akan pergi ke beberapa pusat membeli belah atau pun pusing Jalan Tunku Abdul Rahman beberapa kali dan pernah juga saya pulang dengan tangan kosong kerana tiada baju yang saya berkenan (adakah ini dinamakan cerewet? 😛). Tapi untuk membeli sepasang baju kurung dengan harga sebegitu mahal dan saya pula hanya akan memakainya sekali sekala buatkan saya rasa tidak berbaloi untuk membelinya. Lagipun dengan harga sebegitu saya boleh beli lebih daripada sepasang baju untuk 3 atau 4 tahun raya yang berikutnya!


don't judge a book by its cover

Penampilan yang sederhana juga selalunya 'menyelamatkan' saya daripada didekati dan dihulur flyers oleh jurujual yang membuka booth di pusat membeli belah seperti jurujual rumah, produk kecantikan dan alatan rumah. "Buat rugi je hulur flyers kat minah, nampak macam tak mampu je!". Hehehe mungkin itu agaknya dialog dalam hati jurujual-jurujual tersebut bila saya lalu di depan mereka!

Orang putih kata don't judge a book by its cover. Semuanya terpulang pada situasi, penilai dan si empunya diri yang dinilai. Yang mudahnya, cuba untuk bersangka baik dan layan semua orang sebagaimana kita mahu dilayan....

😊

Pendakap gigi yang 'halal' atau yang 'haram'?



Pendakap gigi yang 'halal' atau yang 'haram'?


Assalamualaikum & salam sejahtera....

Salam hari Jumaat, salam sayyidul ayyam. Jom kita perbanyakkan berselawat ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad saw..

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ



Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya


Terbaca laporan mengenai pengamal pergigian haram yang berani tawarkan perkhidmatan pergigian kosmetik seperti pasang pendakap gigi walaupun tak bertauliah. Macam mana lah agaknya perasaan individu ini. Tawarkan khidmat walaupun tak bertauliah dah terbukti salah, tambah lagi dengan tak fikir apa kesannya pada pelanggan yang gunakan khidmat mereka itu.

Tak dinafikan ada segelintir orang yang pasang pendakap gigi sebab nak bergaya. Saya pun tak pasti bahagian mana di gigi itu yang nampak bergaya  bila pakai pendakap gigi ini. Disebabkan nak bergaya itu lah kini telah ada pula pendakap gigi palsu. Macam-macam!



Ketika saya memakai pendakap gigi @braces suatu ketika dahulu (sudah tersangat lama), ia bukanlah satu proses yang mudah. Daripada mencabut gigi, mencetak acuan (moulding), memakai braces dan pemeriksaan gigi setiap bulan semuanya satu proses yang panjang. Untuk proses mencabut gigi itu 4 batang gigi saya yang sihat walafiat perlu dicabut untuk beri ruang pada gigi yang kurang tersusun. Dua gigi dicabut untuk satu temujanji dan dua lagi pada temujanji yang berikutnya. Dua gigi atas dan dua gigi bawah. Bergoyang jugalah kepala dibuatnya. Bukan mudah ya proses mencabut gigi yang sikit pun tak bergoyang itu.  Tak dapat nak bayangkan proses ini dilakukan oleh doktor gigi yang tak bertauliah.

Pemeriksaan setiap bulan untuk periksa keadaan gigi dan ketatkan metal braces itu juga bukan suatu proses yang seronok. Setiap kali lepas pemeriksaan itu memang rasa tak selesa nak makan. Belum ditambah lagi dengan cara nak menjaga kebersihan gigi yang dah dikelilingi dengan besi itu. Dua tahun memakai braces adalah satu pengalaman yang penuh suka duka 😁😁

"Eh, you tak puasa ke? I nampak ada sayur dekat gigi you!"

Begitulah komen seorang rakan seuniversiti non muslim yang menegur saya ketika kami sedang menunggu masuk ke dewan kuliah pada bulan puasa. Teguran yang lebih kepada 'pengumuman' disebabkan suara beliau yang agak kuat itu. Puas juga lah menahan malu bila orang di sekeliling memandang-mandang.

'Sayur' hijau yang dilihatnya itu bukanlah sayur sebenarnya. Ia adalah getah braces yang berwarna hijau.

Bagaimana ada orang yang boleh terlibat dengan doktor gigi haram ini? Mungkin juga disebabkan harga perkhidmatan yang ditawarkan agak murah. Kos pemakaian pendakap gigi saya dahulu jika tidak silap dalam lingkungan RM1500 - RM2500 di klinik swasta. Kini harga pendakap gigi jauh lebih mahal daripada itu. Niat asal nak guna khidmat klinik kerajaan terbantut selepas diberitahu ada senarai menunggu yang panjang.

Berbaloi ke guna khidmat pengamal pergigian haram hanya sebab nak dapatkan harga yang lebih murah?


"Kesan buruk atau komplikasi yang boleh berlaku adalah seperti kesakitan, infeksi, ulser mulut, gigi longgar, pergerakan gigi yang luar biasa, karies gigi, kehilangan gigi dan gusi yang bengkak serta bernanah," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

"Lebih membimbangkan, kata Dr Noor Hisham, risiko dijangkiti virus HIV dan Hepatitis adalah tinggi kerana pembasmian kuman ke atas peralatan tidak dilakukan dengan sempurna." (Sumber : astroawani.com)


Kalau ikutkan penerangan di atas memang sangat-sangat tak berbaloi!

Jadi kalau anda ada rancangan nak pakai pendakap gigi pastikan anda dapatkan khidmat doktor gigi yang betul. Periksa juga anggaran harga perkhidmatan membuat pendakap gigi (google pun boleh) yang terkini dan bandingkan dengan klinik yang anda pilih itu.  Jika harganya tidak logik iaitu sangat murah berbanding harga semasa, maka pilihan terletak di tangan anda. Nak harga yang murah dan risiko hadapi kesan buruk di tangan pengamal pergigian tak bertauliah atau pilih jalan selamat (dan duit lebih sedikit) dengan memilih doktor yang betul?

Pilihan di tangan anda. Braces yang 'halal' atau yang 'haram'?

Buat pengamal pergigian yang menjalankan perkhidmatan secara haram, ketahuilah anda mungkin akan menyebabkan kesengsaraan kepada individu yang lain disebabkan 'perkhidmatan lebih murah' yang anda tawarkan itu...


Sebiji cili yang 'gugur'....



Sebiji cili yang 'gugur'....


Assalamualaikum & salam sejahtera...

Eh, pokok cili saya dah berbuah?

Dah lama juga saya tanam pokok cili itu, kira-kira 3 bulan yang lepas. Disebabkan kurang penjagaan dari segi letakkan baja dan hanya menggembur tanah serta menyiram air saja maka pokok cili saya itu tidaklah begitu sihat rupanya. Batangnya kurus dan daun juga ada yang berlubang-lubang. Tambahan pula kadang-kadang nampak pula tetamu tak diundang iaitu siput b*bi dengan selambanya 'memanjat' pokok cili saya itu.


Macam tak percaya pula apabila nampak sebiji cili atas tanah dalam pasu pokok cili saya pagi tadi. Rasa tak percaya sebab pokok cili itu hampir hari-hari tanahnya saya gemburkan. Tak kan saya tak perasan pula sudah ada buahnya (sampai saya ada terfikir mungkin ada orang yang nak bergurau dan letakkan sebiji cili dalam pasu itu tapi bila fikir semula takkan lah ada orang yang nak main-main begitu). Tiba-tiba saja nampak ada sebiji cili yang dah 'gugur' di atas tanah.

Ini yang buat semangat nak jaga pokok cili baik-baik ni!



Selain pokok cili, saya ada juga tanam pokok kunyit, daun pandan, daun kari dan daun kesum. Pokok cili ditanam sebab hampir setiap minggu saya akan beli cili merah di pasaraya. Ada di sesetengah tempat 400g cili merah dijual dengan harga RM5, ada di sesetengah tempat cili merah dijual dengan harga RM8 untuk 500g dan ada pula di sesetengah pasaraya saya dapat beli cili merah dengan harga RM8 untuk 600g. Kunyit dan kari ditanam sebab tiap-tiap minggu mesti masak gulai atau kari kegemaran anak-anak saudara. Dah tak larat nak beli daun kari dan kunyit yang harganya tak pernah kurang seringgit di pasaraya. Nak gunanya sikit saja. Pokok daun kesum pula masih baru ditanam lepas rasa sedap makan sardin masak asam pedas yang saya cuba masak baru-baru ini (ok, masuk bakul angkat sendiri 😛) jadi ada kemungkinan akan selalu guna daun kesum selepas ini. Hajat di hati nak tambah sepasu dua lagi tanaman dengan pokok limau purut dan serai.

Minat nak bercucuk tanam semuanya datang lepas halaman rumah selamat di simen gara-gara kucing yang tak dijemput jadikan laman rumah sebagai tandas awam. Tanah yang tinggal sekangkang kera itu lah yang saya cucuk dan tanam. Semuanya dalam pasu kecuali pokok daun kari. Sayur-sayuran tak ada pula saya tanam sebab memang di rumah saya ini kurang yang berminat makan sayur (ok, ini tak bagus, jangan ikut ya).

Apabila pokok cili dah ada cili sebiji, baru lah terfikir nak cari cara-cara penjagaan pokok cili yang betul. Alang-alang menyeluk pekasam menanam biarlah sampai dapat hasilnya kan. Hasil mengoogle, banyak juga tips dan petua yang saya jumpa untuk menyuburkan pokok cili. Daripada penggunaan baja urea, baja buatan sendiri hinggalah kepada petua gunakan air basuhan beras atau perut ikan untuk menyiram pokok cili. Hasil mengoogle juga menemukan saya dengan fakta-fakta menarik mereka yang berjaya dengan penanaman pokok cili ini hingga mampu meraih pendapatan yang lumayan. Menarik untuk dijadikan sumber inspirasi walaupun untuk orang seperti saya yang hanya ada 2 pasu pokok cili 😊

Memang tak rugi berbakti kepada tanah. Selain dapat makan hasil tanaman yang segar, dapat juga jimatkan duit poket!




Raya, raya dan 'raya'!


Raya, raya dan 'raya'!



Assalamualaikum & salam sejahtera....

Rasa-rasanya tahun ini kita akan menyambut 3 kali raya. Raya yang pertama ialah Hari Raya Aidilfitri, InsyaAllah pada 25 Jun nanti. Raya yang kedua ialah Hari Raya Aidiladha pada 1 September nanti. Dan raya yang ketiga ialah pilihanRaya yang tarikhnya masih misteri!

Saya pernah tulis dalam entry 'Hari yang ditunggu-tunggu...' yang lalu mengenai beberapa perubahan / penambahbaikan di kawasan sekitar perumahan saya yang membuatkan saya terfikir kemungkinan pilihanraya ke-14 (PRU14) akan diadakan pada tahun ini. Jika dalam entry yang lalu saya menceritakan mengenai tiada lagi jalan yang berlubang di jalan menuju ke kawasan rumah kedai, kini ada 'upgrade' atau penambahbaikan yang lebih dekat di hati di rumah saya. Bermula esok hingga 10 Mei nanti, akan ada kerja-kerja penurapan jalan di setiap lorong di kawasan perumahan saya ini!

Baca juga:
Hari yang ditunggu-tunggu...

pilihanraya makin hampir?


Bila kali terakhir jalan di setiap lorong kawasan perumahan saya ini diturap? Seingat saya sudah lama juga. Kali terakhir (saya tak ingat tahunnya) ialah ketika persediaan untuk menyambut kedatangan kerabat diraja yang turut serta dalam sambutan hari raya peringkat negeri yang diadakan di kawasan padang luas berhampiran. Bukan setakat jalan diturap malah secara tiba-tiba 'muncul' pokok-pokok bunga yang berwarna warni di kiri kanan jalan dan semua papan tanda yang sebelum ini telah senget dilanggar atau sudah tidak jelas tulisannya telah dibaiki semula. Dewan serbaguna yang selama ini tiada sebarang papan tanda tiba-tiba tersergam papan tanda yang besar memaparkan nama dewan tersebut. Padang bola yang selama ini dipanggil 'padang bola dekat sebelah dewan serbaguna' tiba-tiba mendapat nama nya sendiri, lengkap dengan papan tanda nya sekali 😊

Kali ini apabila mendapat notis pemberitahuan mengenai kerja-kerja penurapan jalan, secara automatik terlintas di fikiran ialah pilihanraya semakin hampir. Tambah menguatkan lagi 'sangka-sangkaan' itu ialah apabila memandu melintasi pusat khidmat masyarakat ADUN yang terletak tidak jauh dari rumah saya. Ada saja aktivitinya setiap hari malah setiap minggu bagaikan ada saja operasinya jika dilihatkan deretan kenderaan yang diparkir di luar pusat tersebut. Berbeza sungguh dengan keadaan sebelum ini yang agak kurang sibuknya.

Persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri sudah ada yang rancak menyediakannya meskipun Ramadhan yang bakal bertamu dahulu. Persiapan untuk Hari Raya Aidiladha @ Korban sudah ada yang mula mencongak-congak berapa ekor lembu yang akan dikorbankan untuk tahun ini.

Apa pula persiapan kita untuk pilhanRaya yang bakal tiba?

😎




Aidan, hero yang tak boleh move on...



Aidan, hero yang tak boleh move on...


Assalamualaikum & salam sejahtera....

Aidan dan Nadia.

Ada orang kahwin sebab cinta. Ada yang kahwin sebab harta dan tak kurang juga yang kahwin sebab terpikat dengan paras rupa. Tapi rupa-rupanya ada juga yang kahwin sebab nak terus 'bersama' dengan jantung bekas tunang yang telah meninggal dunia.

Menarik juga drama 'Shh..I Love You' ini. Lari daripada jalan cerita biasa drama-drama adaptasi novel yang lain yang kebanyakannya bertemakan kahwin paksa atau benci tapi akhirnya cinta itu. Tapi drama 'Shh.. I Love You' ini tak dapat juga nak elak daripada plot si hero atau heroin yang jadi rebutan antara watak-watak sampingan yang lain. Drama ini juga turut memaparkan hubungan kekeluargaan yang rapat seperti kemesraan yang ditonjolkan antara adik beradik dalam keluarga Nadia.

drama shh...i love you

Aidan lakonan Gambit Saifullah tampil sebagai seorang hero yang agak 'lembik' pada pandangan saya. Maaf peminat Gambit. Bukanlah berniat mengutuk cuma mungkin itu lah ekspresi yang memang ingin diterjemahkan oleh pelakon @ pengarah (Nizam Zakaria) bagi watak tersebut. Watak Aidan nampak sangat tak boleh move on dan selalu mengelamun terkenang kisah silam dan bagaikan berada dalam dunia yang terasing. Terasing di mana hanya ada Aidan dan bekas tunangnya saja dalam dunia tersebut. Macam mana nak move on kalau selalu tengok ulang tayang rakaman video yang ada gambar bekas tunangnya itu 😛 Tapi yang pasti banyak juga saya baca komen netizen yang sukakan karakter 'sweet' Gambit sebagai Aidan ini.

aidan dalam drama shh...i love you

Elvina Mohamad sebagai Nadia nampak sesuai dengan watak tersebut yang periang dan peramah di sebalik penyakit yang ditanggungnya. Ini pertama kali saya melihat lakonan Elvina dan gandingan beliau bersama Gambit juga nampak menjadi. Adakah Elvina akan menjadi suri hati mr pilot yang seterusnya dan gandingan Gambit-Elvina ini akan menjadi pasangan se 'fenomena' Fattah-Neelofa?

Agak kejam juga Aidan berkahwin dengan Nadia (lakonan Elvina Mohamad) semata-mata kerana Nadia mempunyai jantung bekas tunangnya. Mampu kah perkahwinan Aidan-Nadia berkekalan atau Nadia akan kembali kepada Naifal (lakonan Hafreez Adam) yang 'king control' dan Aidan akan berpaling kepada Sumaira (lakonan Bella Nazari), adik kepada bekas tunangnya itu? Apa akan berlaku bila Nadia mendapat tahu Aidan berkahwin dengannya tapi cinta Aidan hanya untuk si pemilik asal jantung Nadia?

Dapatkan novel karya Farisya Natasha jika tak sabar menunggu kesudahan drama 'Shh..I Love You' ini. Saya tak jumpa pula novel 'Shh..I Love You' ini dalam bacaan online kerana kebanyakannya hanya sehingga bab 14 atau 15 sahaja. Baca buku dengan tonton adaptasi drama lain feeling nya kan!


Taktik menjual, iklan dan sandwich yang mahal...



Taktik menjual, iklan dan sandwich yang mahal...


Assalamualaikum & salam sejahtera...

"Akak..akak ingat saya lagi tak?"

Tengahari tadi selepas selesai sesi fisioterapi emak saya di Pusat Perubatan Naluri Wangsa Maju, saya singgah di Maybank cawangan berhampiran. Turun saja dari kereta yang saya letak agak jauh dari bank itu dan ketika melangkah ke arah bank, nampak dari jauh ada seorang pemuda sedang melambai-lambai ke arah saya.

Semakin hampir dengan bank tersebut, memang sah pemuda itu sedang melambai tangannya ke arah saya. Siapa pula ni? Saya rasa pemuda itu salah orang sebab saya memang confirm tak kenal pun beliau. Berkerut-kerut dahi saya melihat wajah pemuda yang berdiri di depan saya itu.

"Akak, akak ingat saya lagi tak?"

"Tak ingat!"

Laju saja saya menjawab sebab memang tak kenal pun.

"Ala, tak kan tak ingat kak? Tak apa, akak masuk bank dulu nanti saya ingatkan akak"

Saya pun terus saja masuk ke bank untuk berurusan. Di luar bank tersebut memang kebiasannya ada orang yang menunggu. Sama ada wakil dari rumah anak yatim yang memohon derma atau pun individu yang berbekalkan meja dan beberapa bunting untuk menjual produk-produk tertentu.

Sementara beratur menunggu giliran di mesin deposit wang, sempat juga saya intai-intai pemuda itu dari cermin kaca bank tersebut. Beliau kelihatannya sedang menjual satu produk lelaki yang saya tak pernah dengar jenamanya sebelum ini. Ada beberapa orang yang berminat dan membelek-belek produk yang dipamerkan itu. Memang sah lah gelagatnya tadi itu (yang berpura-pura kenal saya) ialah hanya taktiknya untuk menjual barang jualannya. Pertama kali saya jumpa penjual dengan taktik begini! (Dan pelik juga kenapa nak promosikan produk penjagaan peribadi untuk lelaki kepada saya).


Mungkin teknik menjual dan taktik 'ramah mesra' nya itu berkesan selama ini untuk menarik pelanggan. Tapi perlu berhati-hati juga kerana taktik yang 'kreatif' dan lain daripada yang lain itu mungkin juga tak disenangi oleh sesetengah orang. Jika ada orang yang luangkan masa untuk 'cuba mengingat si pemuda' itu dan akhirnya tersedar hanya lakonan si pemuda untuk menjual produknya, bukan ke hanya membuang masa dan boleh mengundang kemarahan?

Persaingan dalam dunia perniagaan menjadikan aktiviti menjual dan mengiklan pada zaman ini tidak sama seperti zaman dahulu lagi. Mungkin itu lah yang cuba dilakukan oleh pemuda itu iaitu keluar daripada kebiasaan dalam cara menjual. Begitu juga dengan bahasa pengiklanan. Jika dulu ayat pengiklanan adalah serius dan skema bunyinya, kini cara dan bahasa pengiklanan juga telah berubah mengikut peredaran zaman. Mengikut bahasa dan gaya anak muda masa kini (terpulang juga kepada produk yang diiklankan). Bahasa iklan juga lebih trendy, catchy dan kekal dalam ingatan bakal pelanggan. "Anda rasa saya ada masa untuk sakit kepala?" Pasti kebanyakan orang tahu kan iklan apa tu? Tak kurang juga iklan yang sedikit 'rojak' dengan menggabungkan bahasa Melayu dan Inggeris dalam ayat iklannya mungkin untuk buat orang lebih mudah ingat akan produk tersebut.




Selain bahasa iklan yang sesuai, pengiklanan oleh duta di kalangan selebriti juga tak kurang berkesannya. Cuma yang tak best nya ialah ada juga produk-produk diiklankan oleh duta itu seperti tak kena dengan bidangnya. Tapi pada pendapat saya, untuk seorang ahli sukan menjadi duta kepada perisian antivirus atau produk berkaitan dengan pembinaan/kelengkapan rumah agak kurang berkaitan. Apa tah lagi watak animasi kanak-kanak yang dikenali dengan imej tidak berambut dijadikan pula duta untuk produk syampu bagi kanak-kanak 😯

Ayat yang gah dalam pengiklanan saja tak cukup tanpa servis perkhidmatan yang baik. Hari ini saya 'dikecewakan' apabila membeli makanan di salah sebuah kedai makanan yang popular dengan sandwich nya. Ada sedikit 'kejutan' apabila saya memesan sandwich yang biasa saya pesan sebelum ini..

"Akak nak roti yang mana kak?"

"Croissant"

"Kalau croissant kena tambah seringgit kak"

"Eh, tambah seringgit? Baru ke ni? Sebelum ni tak kena tambah seringgit pun?"

"Ya kak, sebelum ni tak ada"

"Kenapa kena tambah seringgit?"

""Tak tau kak"





Rasa tak puas hati apabila kena tambah RM1 itu bertambah-tambah lagi dengan jawapan "tak tau" yang selamba saja keluar dari mulut pekerja itu. Boleh ya jawab "tak tau" bila ditanya kenapa naik harga sampai RM1? Jawapan yang terlebih jujur daripada pekerja tersebut. Melihat pada papan menu di kaunter (yang selama ini saya tak perlu lihat sebab dah biasa buat pesanan sandwich yang sama) saya perasan ada dipaparkan mengenai tambahan RM1 itu. Memang itu lah nampaknya kali terakhir saya akan ke kedai sandwich itu.

Good product + Good marketing + Good service = Good business

😊


Mudah ke nak kerja di Singapura?



Mudah ke nak kerja di Singapura?



Assalamualaikum & salam sejahtera...

Malam semalam ketika ada di luar rumah menyelesaikan satu urusan, saya menerima satu panggilan yang kurang jelas butir bicara pemanggilnya. Ditambah pula dengan bunyi bising kenderaan dan orang ramai di tempat saya berada ketika itu.

Yang jelas pada pendengaran saya hanya dua perkataan.

Jobstreet.

Singapore.

Disebabkan tak dapat dengar dengan jelas, maka saya minta si pemanggil menelefon semula dalam 10 minit kemudian. 'Bijaknya' saya ialah saya tak perasan pula bateri handphone hampir habis ketika itu. Dalam sibuk menyelesaikan urusan, saya pun tak perasan bateri dah 'kong' dan tak ingat langsung yang saya sepatutnya menunggu panggilan dari pemanggil itu tadi.

Pagi tadi baru saya teringat semula. Baru lah terfikir siapa agaknya yang menelefon malam tadi?

Kaitannya antara Jobstreet dan Singapore? Ada banyak kemungkinan ni. Mungkin kah pihak Jobstreet dari Singapura yang telefon? Atau syarikat dari Singapura yang telefon setelah lihat maklumat saya di Jobstreet?

Selepas terfikir-fikir itu baru saya teringat sesuatu. Saya dah bertahun-tahun tak kemaskini info dan resume di Jobstreet. Maklumat id dan kata laluan untuk login ke laman Jobstreet pun saya dah tak ingat. Jadi macam agak mustahil panggilan telefon itu adalah mengenai tawaran kerja atau yang berkaitan dengannya.

Sumber : singaporeair.com
Tak pernah terfikir pun saya nak bekerja di Singapura walaupun ada juga beberapa orang kenalan yang telah berjaya dengan karier masing-masing di sana. Seorang kenalan yang juga sama tempat bekerja dahulu pun menjadikan Singapura 'sasarannya' sebagai tempat untuk mencari kerja sebaik sahaja kembali ke Malaysia setelah mencuba 'buat-perkara-yang-tak-pernah-saya-terfikir-akan-dilakukannya' di New Zealand iaitu bekerja sebagai pemetik buah. Bila ditanya kenapa memilih untuk bekerja di Singapura? Jawapan yang diberinya ialah (saya cari balik jawapan beliau dari whatsapp perbualan saya dengannya):

"Malaysia sini semua harga barang naik, gaji saja tak naik..."
"Saya ingin beli rumah..tapi kalau kerja kat Malaysia tak tahu bila mampu beli..."
"Nak kerja kat Singapura bukan kerana sana bagus, hanya kerana currency bagus, tu sahaja..."

Namun impian nya untuk bekerja di Singapura belum tercapai dan kini beliau telah pun berkhidmat di sebuah bank di bahagian IT yang terletak di Bangi.

Nak gaji yang lebih tinggi? Nak bekerja secara sah dan kurang risiko? Nak bekerja di 'luar negara' tapi menetap di Malaysia? Mungkin Singapura pilihan yang tepat untuk anda. Dapatkan e-book 'Panduan Mencari Kerja & Bekerja di Singapura' untuk mulakan langkah mencari rezeki di kota Singa hari ini!

Mudah ke nak kerja di Singapura?

Dalam pada mudah tak mudah itu, hingga kini telah hampir 400,000 orang rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura melalui agensi mencari pekerjaan mahu pun mencari kerja sendiri.

Banyak juga yang nak dipertimbangkan sebelum melangkah kaki menyeberangi Tambak Johor ke Singapura. Mudah ke nak cari kerja di Singapura? Apa dokumen yang diperlukan oleh majikan di sana? Permit kerja di Singapura pula bagaimana? Apabila dah dapat kerja di Singapura nanti, berbaloikah menetap di sana dan guna pengangkutan sendiri untuk ke tempat kerja? Bagaimana pula dengan perbelanjaan seharian dan kos hidup di Singapura?

Kalau anda ada perancangan nak bekerja di Singapura (atau kalau saya dapat lagi panggilan telefon yang 'tak kesampaian' itu dan ia adalah mengenai tawaran kerja di Singapura dan saya tiba-tiba terbuka hati nak merantau cari rezeki) dan nak tahu persediaan yang diperlukan untuk bekerja di sana, e-book 'Panduan Mencari Kerja & Bekerja di Singapura' ini mungkin boleh membantu anda. E-book ini bukan saja menjawab soalan-soalan di atas malah turut menyediakan panduan strategi mencari kerja di Singapura dan menjawab persoalan mudah seperti 'Bolehkah saya bekerja di Singapura jika tak mahir berbahasa Inggeris?' dan 'Bolehkah saya bekerja di Singapura jika saya tidak ada apa-apa sijil?'. Saya baru tahu yang ada juga warganegara Malaysia yang tidak dibenarkan bekerja di Singapura seperti yang telah ditetapkan dalam peraturan oleh Ministry of Manpower, Singapura.




Pembelian e-book 'Panduan Mencari Kerja & Bekerja di Singapura' ini ada jaminan pulangan wang 100%. Maknanya jika anda dah beli e-book ini dan rasa info nya tak membantu pun untuk anda cari dan dapat kerja di Singapura, wang anda akan dipulangkan semula. Mungkin juga saya patut rekomen e-book ini kepada kawan saya itu manalah tahu kalau-kalau beliau masih menyimpan hasrat nak bekerja di Singapura!

Tak rugi jika ingin mencuba.

Selepas membaca e-book ini mungkin anda rasa lebih yakin dan mudah untuk cari kerja di Singapura dan peluang anda untuk mencari rezeki di kota Singa menjadi lebih cerah dengan segala maklumat dan persediaan awal.

Selamat mencuba!