Elak hidup dalam ketakutan : Kenali ciri-ciri seorang stalker

Monday, July 17, 2023 Ana 0 Comments

ELAK HIDUP DALAM KETAKUTAN : KENALI CIRI-CIRI SEORANG STALKER


Assalamualaikum & salam sejahtera....


Seram.

Seram bila baca tweet pasal seorang wanita yang kena stalk/hendap tu. Itu baru baca. Tak dapat bayangkan macam mana beliau boleh hadap masalah tu sampai 8 tahun. Dan tak dapat bayangkan juga kenapa sampai 8 tahun beliau kena tanggung masalah itu sehingga buat saya tertanya-tanya perlu serius macam mana kes stalking ni baru akan ada tindakan yang pantas daripada pihak berkuasa. Nak kata tak ada bukti, jelas panjang berjela segala bukti ada di tangan si mangsa. Nak kata tak boleh ambil tindakan sebab Seksyen 507A (**Seksyen 507A menyatakan aktiviti menghendap secara online atau fizikal dan juga aktiviti penjejakan/tracking adalah satu kesalahan. Ini termasuk tracking menggunakan alat seperti kamera tersembunyi atau GPS) baru saja diluluskan pada April 2023 maka sebelum tu tak ada tindakan yang boleh dibuat, biar betul. Sangat tak adil pada si mangsa yang trauma dan hilang kebebasan dalam hidup manakala si pelaku stalker lepas bebas dengan perbuatan gilanya. 😡

(**Pindaan RUU Kanun Keseksaan (Pindaan) 2023 bertujuan memasukkan seksyen baharu 507A ke dalam Akta 574 untuk mengadakan peruntukan bagi kesalahan menghendap, termasuk perbuatan yang dianggap sebagai kesalahan dan mengadakan peruntukan hukuman iaitu penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.**)

Selepas kes tersebut viral, maka ramai yang turut muncul menceritakan pengalaman masing-masing. Ada yang kata isterinya di stalk sehingga tahap ada sentuhan fizikal yang mencederakan. Ada yang cerita di stalk dan dah buat laporan polis tapi tak ada tindakan lanjut yang dibuat. Kes stalker ini tak mengira jantina lelaki atau perempuan. Saya pernah terbaca seorang lelaki yang turut jadi mangsa stalker si perempuan yang sangat taksub dengan lelaki tersebut. Taksub hingga tahu di mana lelaki itu bekerja tinggal. Datang ke tempat kerja hendak berjumpa. Taksub hingga merasakan beliau lah jodoh lelaki itu hingga semua mesej WhatsApp si stalker seperti beranga-angan akan kahwin dengan si mangsa tak lama lagi. Lelaki itu terpaksa men viral kan si stalker untuk elakkan sebarang masalah kerana beliau akan berkahwin dengan tunangnya tidak lama lagi.

Stalker atau penguntit dalam Bahasa Melayu ialah individu yang terlibat dalam satu corak tingkah laku yang tak diingini dan obsesif dengan tujuan untuk menganggu atau menimbulkan ketakutan kepada orang lain. Stalker boleh jadi orang asing, kenalan bekas pasangan atau pun ahli keluarga kepada si mangsa. Motif stalker adalah pelbagai termasuk lah balas dendam, mendapatkan kuasa dan kawalan atau persepsi yang salah mengenai cinta atau perhubungan.

Apa ciri-ciri stalker yang perlu kita semua tahu supaya tak jadi mangsa dan hidup dalam ketakutan? Antara ciri-ciri stalker menurut Dr Google ialah:


1. Obsesi

- Stalker akan menjadi obses dengan si mangsa dan akan mengambil tahu semua perkara berkaitan dengan mangsa seperti kehidupan peribadi, rutin harian dan aktiviti mangsa. Stalker 'tenggelam' dalam dunianya sendiri dan kehidupan mangsa nya menjadi fokus utama dalam pemikiran si stalker. Apa saja akan dilakukan untuk dapat maklumat mangsa termasuk melalui penipuan dan penyamaran. Dalam kes lelaki yang di stalk oleh perempuan yang saya ceritakan di atas, perempuan tersebut menyamar sebagai seseorang dari syarikat penerbitan. Beliau menghubungi mangsa (lelaki itu kalau tak silap saya ialah seorang penulis) melalui whatsapp dan menyatakan ada orang nak sponsor gajet untuk tujuan penulisan lelaki tersebut. Maka dia perlukan alamat rumah atau pejabat lelaki itu. Disebabkan lelaki itu memang pernah dapat sponsor sebelum ini maka tanpa ragu-ragu terus diberinya alamat pejabat. Bermula daripada situ lah stalker perempuan itu kerap mengganggu lelaki tersebut di pejabat.


2. Usaha untuk dekati mangsa secara berterusan.

- Stalker akan terus menerus berusaha untuk mengejar mangsa menggunakan pelbagai cara untuk mengawasi pergerakan mangsa dengan tujuan untuk mendekati mangsa. Mangsa mungkin akan dihujani dengan panggil telefon, mesej teks, emel atau stalker hadir sendiri secara fizikal dekat dengan mangsa di tempat tinggal, pejabat atau mana-mana tempat si mangsa sedang melakukan aktiviti.



3. Pencerobohan privasi

- Stalker akan menceroboh privasi mangsa dengan mengumpul maklumat peribadi mangsa melalui atas talian, media social atau dengan mengekori mangsa secara langsung. 


4. Cuba mendapatkan perhatian mangsa.

- Stalker akan cuba mendapatkan perhatian mangsa dengan cara menghantar mesej, hadiah, surat yang tak diingini dan akan cuba untuk melibatkan diri dalam aktiviti sosial mangsa.


5. Permainan emosi

- Stalker bijak memanipulasi emosi mangsa untuk membolehkan mereka mempunyai kawalan ke atas mangsa. Contohnya menimbulkan rasa bersalah atau guilt tripping terhadap mangsa. Stalker akan menggunakan kisah-kisah silam mangsa (yang mungkin diperolehinya daripada pencerobohan privasi mangsa) untuk menimbulkan keraguan atau kekesalan dalam diri mangsa dan sekaligus membolehkan stalker mendapat ruang untuk memperalatkan kelemahan mangsa.


6. Susah terima penolakan (rejection)

- Seorang stalker mungkin juga individu yang sukar menerima pengakhiran sesuatu hubungan. Sukar untuk melupakan membuatkan stalker menganggap penolakan atau penjarakan (distancing) mangsa dari dirinya adalah satu bentuk serangan peribadi. Maka stalking adalah satu cara baginya untuk membalas dendam.

Kalau anda rasa anda dihendap, segera lah buat laporan kepada pihak berkuasa untuk elakkan masalah yang lebih serius. Kalau anda tahu ada ahli keluarga, saudara mara atau kenalan anda yang mungkin ada ciri-ciri seorang penghendap, dapatkan bantuan segera daripada mereka yang pakar. 

Menghendap adalah satu kesalahan yang serius. Penghendap mahu pun mangsa hendap, kedua-dua nya perlu dibantu. Kita semua pasti tak mahu satu hari nanti tersiar berita kes hendap yang serius sehingga melibatkan kehilangan nyawa. 

Nauzubillahi min zalik..


0 comments: