Satu kebaikan untuk satu hari...

Friday, January 22, 2021 Ana 0 Comments

SATU KEBAIKAN UNTUK SATU HARI...


Assalamualaikum & salam sejahtera...

Salam hari Jumaat, salam sayyidul ayyam. Jom kita perbanyakkan berselawat ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad saw...

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya


Sejak 2, 3 malam ni saya selalu gunakan Kool Fever bila nak tidur malam. Panas sebab dah lama tak hujan. Di musim Covid-19 ni 'seram' juga bila badan mula rasa panas. Mula lah terfikir macam-macam. Mula lah sekejap-sekejap periksa suhu di dahi 😂. Kool Fever memang  sentiasa sedia ada di rumah untuk kegunaan bila perlu.

Malam tadi bila terpandangkan Kool Fever tu terus teringat pada berita seorang wanita yang ambil barangan dan ubat di pasaraya tapi tak mampu nak bayar. Kes dilaporkan di balai polis Petaling Jaya.  Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Assistant Komisioner ACP Nik Ezanee Mohd Faisal, antara barang yang di ambil oleh wanita itu ialah Kool Fever untuk anaknya yang sakit. Kasihan. Baru saya tahu nak bersyukur sebab saya masih ada rezeki nak sentiasa ready ada Kool Fever di rumah sedangkan wanita itu terpaksa mencuri untuk anaknya yang demam.





Pagi semalam, ACP Nik Ezanee telah bermurah hati berkunjung ke rumah wanita berkenaan untuk menghulurkan bantuan bersama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Kes curi tersebut juga tidak diambil tindakan lanjut dan telah ditutup.

"Kalau kita lapar kita boleh tahan, tapi kalau anak-anak kita yang lapar, itu perkara yang tak boleh kita terima" - ACP Nik Ezanee (sumber : Astro Awani)

“Susah-susah sangat datanglah ke balai polis" - ACP Nik Ezanee (sumber : Astro Awani)


Allahuakbar. Prihatin sungguh dan contoh yang baik daripada seorang yang berpangkat ketua polis. Beliau memberikan sedikit sisi yang berbeza seorang anggota polis di sebalik berita-berita ketegasan polis di kala PKP ini.


ACP Nik Ezanee
Sumber : Astro Awani


Sikap prihatin ACP Nik Ezanee memang telah diketahui ramai sebelum ini, sesuai dengan moto beliau , 'One Good Deed A Day'. Tapi yang paling saya ingat tentang beliau ialah bila beliau sendiri menghantar seorang pelajar ke sekolah pada Julai 2020 yang lepas. Pelajar tersebut ialah anak seorang anggota polis yang meninggal dunia pada hari raya kedua tahun lalu. Imej beliau menghantar pelajar tersebut sangat kuat melekat dalam fikiran saya dan selepas itu setiap kali nampak beliau dalam berita di tv, secara automatik saya terus teringat kebaikan beliau. Semoga sikap beliau itu menjadi contoh ikutan untuk anak-anak buahnya dan kekal mesra masyarakat dalam menjalankan tugas.

Bila cerita mengenai kebaikan dan kemurahan hati, saya teringat kepada seorang doktor pakar di hospital swasta yang selalu saya buat pemeriksaan dengannya. Lama juga saya ber 'follow up' check up dengan beliau, sudah masuk 12 tahun. Setiap kali appointment beliau akan bertanyakan khabar emak saya tang slipped disc dan abang saya yang stroke. Walaupun jumpa hanya 6 bulan sekali, beliau masih ingat cerita-cerita saya. Dan yang paling saya tersentuh dengan doktor tersebut ialah beliau kerap juga tak kena kan bayaran untuk pemeriksaan yang dilakukan.  

"Ok kita jumpa 6 bulan lagi. Awak ambil je kad ni dan boleh terus balik, tak payah ke kaunter bayaran"

"Tak payah bayar ke doktor?"

"Tak payah. Nanti lama pula awak nak tunggu lagi giliran nak bayar. Emak awak tunggu kat rumah"

😢

Setiap kali dapat pemeriksaan percuma daripada doktor itu, setiap kali itu juga lah saya panjangkan kebaikan beliau dengan belanja ahli keluarga saya makan. InsyaAllah berlipat kali ganda hendaknya pahala kebaikan doktor tersebut 😊.


Selain kisah ACP Nik Ezanee sebagai seorang anggota beruniform yang prihatin, antara yang saya ingat juga ialah berita sumbangan anggota tentera yang disiarkan di tv ketika banjir melanda beberapa negeri di Malaysia baru-baru ini. Sebelum ini yang pernah saya dengar ialah anggota tentera terlibat dalam misi bantuan menyelamat mangsa banjir atau jalan runtuh akibat banjir. Tapi bila disiarkan berita anggota tentera turut bantu memasak dan sediakan makanan untuk mangsa banjir, memang saya tabik betul dengan sumbangan mereka 👍👍👍. Bukan setakat berjuang sebagai barisan hadapan, kebajikan rakyat pun jadi keutamaan wira-wira negara ini.

One good deed a day. Satu kebaikan untuk satu hari.

Apa kebaikan yang kita dah buat untuk hari ini?


🤔🤔🤔


0 comments: