Berharap kepada manusia....

Sunday, January 10, 2021 Ana 0 Comments

 

Berharap kepada manusia....


Assalamualaikum & salam sejahtera....


Berharap kepada manusia
Credit : Twitter MustaqimJiwa


"Assalamualaikum!"

Wa'alaikumsalam. Eh, orang tu datang lagi!

Lelaki yang pada pandangan saya bukan orang tempatan itu pernah datang ke rumah saya sebelum ini. Disebabkan tak kenal, maka saya tak buka pintu pagar dan hanya bercakap dengannya di luar saja.

Pertama kali datang dulu setelah berikan salam, tanpa berkata apa-apa terus saja diunjukkannya pada saya senaskhah surah Yasin. Faham lah saya lelaki itu mahu saya membeli jualannya. Tapi disebabkan di rumah pun dah ada banyak naskhah surah Yasin maka saya hanya memberikan derma ikhlas RM5 saja kepada beliau.

Sebagai manusia biasa, pastinya respons yang saya harapkan daripada lelaki itu ialah ucapan terima kasih. Atau setidak-tidaknya angkat tangan atau sedikit senyum atau riak wajah yang gembira. Tapi lain pula yang berlaku

Lelaki itu sebaik saja ambil duit dari tangan saya, dipandangnya duit tersebut dan terus mencebikkan bibirnya. Kemudian terus dia berlalu pergi.

🤔🤔🤔

"Berharap kepada manusia itu adalah seni menyakiti diri sendiri"

Memang makan dalam kata-kata penulis Mustaqim Jiwa ini. Saya belum ada kesempatan lagi untuk memiliki naskhah 'Teruntuk Langit Yang Bercanda' dan 'Ketika Hati Berfatwa' tulisan beliau namun setia folllow beliau di Twitter. Tulisan beliau banyak yang kena di jiwa dan pemilihan kata-kata juga cukup indah.

Jadi apa yang saya belajar daripada kata-kata beliau ini? Memang ada betulnya.

Berharap agar orang lain sentiasa sama-sama ingat untuk jaga penjarakan sosial maka kita akan kecewa kerana ramai juga yang masih ambil mudah hal Covid-19 ini.

Berharap agar pihak yang berwajib serius dalam usaha menurunkan kes positif Covid-19 maka kita akan kecewa kerana ketika kes masih tinggi ketika itu juga lah rentas negeri dibenarkan dan cuti-cuti-malaysia digalakkan.

Berharap 'Yang Berhormat' semua lebih ambil berat tentang rakyat daripada berebut kuasa maka kita akan kecewa kerana titah Agong supaya kurangkan berpolitik pun seakan-akan tak dihiraukan.

Itu baru perihal berharap perkara yang umum. Macam mana pula jika soal hati? Berharap pada  orang yang tak sudi? Berharap pada orang yang tak pernah ada masa untuk kita? Berharap ada yang akan membantu kita pada masa susah?  Berharap itu dan berharap ini?

Tak salah letak harapan pada manusia tapi berpada-pada lah kita. Letak harapan terlalu tinggi jika tak tercapai maka kita juga yang akan kecewa sendiri. Apa-apa pun yang pasti, letaklah harapan kita kepada-Nya, yakni pencipta manusia yang kita harapkan itu 😊

Berbalik kepada si lelaki yang mencebik itu tadi, hari ini dia datang lagi dengan 'modus operandi' yang sama. Bagi salam kemudian tunjukkan buku Yasin. Maka saya pun dah siap sedia angkat tangan dan tunjukkan isyarat goyang-goyang tangan tanda tak nak beli. Sekali lagi lelaki itu mencebik dan terus berlalu pergi.

Dua kali saya 'dicebikkan' oleh lelaki itu. Lain kali jika dari jauh saya nampak beliau maka saya akan terus lari masuk dalan rumah supaya tak 'dicebikkan' lagi 😅😅😅



0 comments: