Ammonium nitrat dan dugaan buat Beirut....

Thursday, August 06, 2020 Ana 0 Comments


Ammonium nitrat dan dugaan buat Beirut....


Assalamualaikum & salam sejahtera....


Beirut explosion
Credit : utusanmalaysia.com


Terdiam bila tengok berita ini buat pertama kali di Buletin Pagi, pagi semalam.

Letupan pertama yang mengejutkan diikuti dengan letupan kedua yang menakutkan. Ulang tengok banyak kali pun masih terasa gerun di hati bila tengok letupan kedua itu.

Ya Allah, tahun 2020 ini memang cukup menguji dan penuh kejutan!

Beirut, ibu kota Lubnan digegarkan dengan letupan dahsyat yang menjadi tajuk utama beritavdi seluruh dunia. Tersenarai sebagai antara bandar yang tertua di dunia, bandaraya terbesar dan merupakan pelabuhan utama di Lubnan itu telah diisytiharkan sebagai zon bencana dan diletakkan di bawah perintah darurat selama 2 minggu.

Berita lanjut yang diketahui ialah letupan itu berpunca daripada baja kimia untuk pertanian, ammonium nitrat seberat 2,750 tan yang disimpan dalam sebuah gudang di pelabuhan Beirut. Ammonium nitrat tersebut dikatakan telah disimpan di gudang tersebut sejak tahun 2014. Namun begitu, bagaimana bahan tersebut boleh meletup masih belum diketahui. Samada letupan itu disengajakan atau tidak masih lagi menjadi misteri. Ammonium nitrat dikatakan sukar untuk mencetuskan letupan tanpa kepanasan yang terlalu tinggi.

Ammonium nitrat, sebatian kimia dengan formula NH4NO3 sebelum ini telah menjadi punca kepada lima kejadian letupan dalam sejarah, boleh baca di sini : Lima tragedi besar akibat letupan ammonium nitrate. Namun begitu letupan di Beirut setakat ini melibatkan jumlah ammonium nitrat yang terbesar sekali sekaligus menghasilkan letupan yang lebih dahsyat.

Letupan di beirut
Credit : malaysiadateline.com


Lubnan yang masih bergelut dengan pandemik Covid-19 dan krisis ekonomi kini berdepan dengan masalah besar untuk menangani tragedi yang sehingga kini meragut lebih 100 nyawa dan ribuan lagi yang cedera. Tak sanggup nak tengok video bagaimana situasi hospital di Beirut ketika ini. Saya ada terbaca tweet yang menceritakan penduduk Beirut amat mengharapkab bantuan daripada segi pendermaan darah berbanding wang ringgit dan bantuan dalam bentuk yang lain.

Selain daripada tarikh 6 Ogos 1945 di mana meletusnya ledakan bom atom pertama di dunia iaitu di Hiroshima, kini dunia pasti tidak akan melupakan tarikh 5 Ogos 2020, tragedi letupan terbesar ammonium nitrat di Beirut......😯



 

0 comments: