Kerana mulut.....

Tuesday, April 16, 2019 Ana 0 Comments


Kerana mulut....


Assalamualaikum & salam sejahtera....

Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa...


Sepanjang tahun lepas dan tahun 2017 memang saya sibuk ke hulu ke hilir mencari rawatan demi rawatan untuk emak saya yang mengalami slipped disc. Disebabkan takut hendak menjalani pembedahan maka kami mencuba dan berikhtiar dengan pelbagai cara dan rawatan. Sepanjang itu juga lah ramai orang yang kami temui dan dalam ramai-ramai orang itu pastinya ada 2, 3 orang yang tak mungkin kami akan lupakan hingga ke akhir hayat. Tak dapat nak lupa sebab kata-kata daripada orang-orang tersebut yang sangat 'deep' dan 'mencengkam perasaan' 😅.



Orang 1
"Orang macam makcik ni patutnya dah tak payah susah-susah nak datang buat fisio kat sini dah. Patutnya makcik duduk rumah je mengaji atau pergi jalan-jalan rumah kawan atau join group marhaban"

Terhenti emak saya yang sedang susah payah berlatih mengangkat bola kecil menggunaka  hujung kaki seperti yang diarahkan fisioterapis tadi. Mak pandang saya dan saya pandang emak. Kemudian saya pandang si fisioterapis itu. Rasa macam nak 'telan' je fisioterapis tu. Cakap tak fikir dulu. Mak saya bangun seawal pukul 4 pagi untuk bersiap tukar pampers dan mandi. Selesai solat Subuh bergegas dengan susah payah saya mengangkat emak masuk ke dalam kereta. Pandu ke hospital tempat fisioterapi itu secepat mungkin bimbang tak dapat parkir. Tunggu lagi sejam sebelum fisio bermula. Dan akhirnya 'kata-kata manis' itu yang emak saya dapat atas segala susah payahnya. Tak memberi semangat dan motivasi langsung kepada pesakit.

😢😢😢




Orang 2
Masih lagi seorang fisioterapis. Jika Orang 1 ialah fisioterapis lelaki, Orang 2 ialah seorang fisioterapis wanita.

Sudah menjadi kelaziman setiap kali hadiri sesi fisioterapi di hospital, saya akan bawa bersama tongkat atau walking frame emak saya walaupun emak saya berkerusi roda. Mana lah tau kalau-kalau si fisioterapis ada nak tunjuk ajar kepada emak saya cara-cara tertentu menggunakan walking frame tersebut.

"Makcik duduk kat wheelchair je ni, abis tu walking frame ni makcik nak buat perhiasan ke?"

Sekali lagi kecil hati emak saya.

😢😢😢



Orang 3
Pagi-pagi lagi saya dan emak dah bertolak ke Hospital L****** yang terletak di Jalan I*** itu untuk bertemu dengan seorang doktor pakar. Macam-macam info yang saya perolehi dari pakcik Google juga info daripada rakan saya sendiri yang telah dirawat oleh doktor tersebut untuk masalah tulang belakang. Rawatan tanpa pembedahan. Hanya melalui suntikan. Itu yang dicari-cari oleh emak saya. Besar harapan kami agar emak dapat dirawat dengan cara rawatan doktor pakar tersebut. Malah kami siap bawa baju persalinan mana lah tahu jika perlu tinggal di wad setelah rawatan tersebut selesai.

Hendak ke hospital itu sendiri ialah satu cabaran. Tiada ruang khusus untuk tempat letak kereta. Hendak ke pintu masuk agak curam laluan untuk wheelchair. Hendak ke bilik air pula adalah satu yang sangat tidak selesa. Tiada bilik air untuk orang yang menggunakan wheelchair. Pelik kan. Berkali-kali juga saya tanya kepada staf di situ mengenai bilik air untuk OKU untuk kepastian, tapi memang betul-betul tiada. Bilik air yang ada hanya muat-muat untuk masuk wheelchair. Apabila saya pun turut masuk kerana perlu menukarkan pampers emak saya, Tuhan saja yang tahu hampir tiada ruang untuk bergerak dalam bilik air tersebut.

Setelah 'bertarung' dalam bilik air hampir sejam, kami pun ke ruang menunggu. Doktor pakar tersebut akan tiba dalam masa lagi sejam. Kami duduk berhampiran dengan kaunter pendaftaran maka sempatlah bersembang dengan jururawat yang bertugas. Jururawat tersebut beria-ia meyakinkan kami sakit emak saya ini mampu dirawat dengan kaedah suntikan doktor pakar tersebut. Bertambah berbunga-bunga lah hati saya dan emak mendengarnya.

Akhirnya doktor pun tiba dan kami pun dipanggil masuk ke bilik rawatan.

"Cuba angkat kaki kanan"

Emak saya bersusah payah cuba angkat kaki kanannya.  Memang sedikit susah emak nak gerakkan kaki jika telah lama duduk saja tanpa pergerakan.  Perlu bantuan saya untu menggerak-gerakkan dulu kaki emak sebelum emak boleh gerakkan sendiri.

Setelah emak saya hanya dapat gerakkan sedikit saja kaki kanan dan kirinya, doktor pakar itu pun mengatakan sesuatu yang saya takkan lupa sampai bila-bila.

"Saya tak boleh buat rawatan suntikan. Awak ni dah lumpuh"

Ayat itu seakan-akan ayat pemusnah semangat emak dan saya 😢. Apa maksud doktor itu kata mak saya dah lumpuh? Mak saya masih boleh gerakkan kaki cuma lemah. Mak saya masih boleh berdiri dan melangkah beberapa tapak cuma lemah disebabkan saraf yang terhimpit dengan tulang itu.

Panjang lebar juga lah saya cuba meminta doktor itu memeriksa dulu keadaan kaki emak saya tapi dibalas dengan ayat yang lebih menyakitkan hati.

"Saya tak payah periksa, saya tengok pun dah tau ni dah lumpuh"

Emak dan saya pulang dengan harapan tinggi menggunung yang berkecai. Emak menangis dalam kereta tapi saya berpura-pura kuat walaupun air mata sudah bergenang.


😢😢😢😢😢😢😢😢


Lidah memang lembut tapi kata-kata dari lidah yang 'kurang kawalan' itu lebih tajam daripada mata pedang...

0 comments: