Tinggal 8 hari saja lagi, jom banci!
Assalamualaikum & salam sejahtera...
🎵🎵
Banci, aspirasi negara
Penggerak sosioekonomi
Banci, tanggungjawab bersama
Data anda masa depan kita 🎵🎵
Anda dah isi soal selidik banci atas talian, e-Census?
Banci 2020 kali ini diadakan melalui 2 kaedah, iaitu secara atas talian dan secara bersemuka. Banci atas talian diadakan bermula 7/7/2020 hingga 30/9/2020 manakala banci secara bersemuka diadakan bermula daripada 7/10/2020 hingga 24/10/2020.
Di musim PKP ni saya percaya tak ramai antara kita yang 'sudi' nak terima tetamu. Apa tah lagi tetamu yang datang untuk buat soal selidik. Jadi kalau anda tak mahu disoal selidik di rumah, rebutlah peluang untuk isi borang e-Census sebelum tarikh tamatnya 30/9/2020.
Saya mula ada 'kesedaran' nak buat e-Census pada 17/9/2020 yang lalu. Sedikit lewat tapi belum terlambat kan 😅. Disebabkan saya tak dapat poskad yang ada code untuk isi e-Census, maka saya perlu isi maklumat pra-pendaftaran e-Census di link ini. Selesai isi maklumat yang diperlukan maka saya pun dapatlah emel 'Pengesahan emel pra-pendaftaran e-Census'. Ada satu link dalam emel tersebut yang perlu saya klik dan seterusnya dapatlah skrin seperti di bawah. Menurut apa yang diberitahu, saya akan dapat satu lagi emel dalam masa terdekat yang ada invitation code dan dengan code tersebut baru lah saya boleh isi e-Census.
Ok, saya pun tunggulah emel dengan invitation code tersebut.
Emel yang ditunggu tak kunjung tiba 🤔
Lalu saya pun call hotline Banci 1800 88 7720 keesokan harinya.
'Hello, saya nak tanya macam mana kalau saya tak dapat lagi emel dengan invitation code?"
"Bila ya Cik daftar dan sah kan emel?"
"Semalam 17/9, saya sahkan malam tadi"
"Oh, Cik kena tunggu 3 hari baru boleh dapat emel dengan code tu"
"3 hari? Kat mana ada bagitau kena tunggu 3 hari?"
"Kan bila Cik dah sah kan emel, ada satu pop up tulis 'Kami akan emelkan invitation code (id e-Census) dalam masa 3 hari...."
Dalam hati saya tertanya-tanya juga, eh ada pop up ke? Atau phone saya yang block? Yang saya nampak tulis di situ ialah 'dalam masa terdekat' bukan dalam masa 3 hari.
"Jadi sekarang ni Cik kena tunggu je. Kalau saya nak check sekarang pun tak boleh memang kena tunggu 3 hari. Kalau esok Sabtu Cik masih belum dapat emel tu Cik boleh call kami semula"
"Oh, ok. Saya bercakap dengan siapa ni?"
"Saya *****"
"Ok, terima kasih"
Hari Sabtu, 19/9. Saya masih belum dapat emel dengan invitation code tu. Maka saya pun call semula talian hotline Banci.
"Hello, saya nak tanya macam mana kalau saya tak dapat lagi emel dengan invitation code?"
"Tak dapat lagi ya. Cik pernah call tak sebelum ni?"
"Pernah"
"Ada nombor report tak Cik?"
"Nombor report? Tak ada"
"Sebelum ni Cik cakap dengan siapa? Ada tak dia minta maklumat untuk buat report?"
"Tak ada"
Lepas itu baru lah diminta semua info seperti nama, call dari mana dan alamat emel untu dibuat report.
"Ini no report Cik. Kalau ikutkan kena tunggu 3 hari untuk dapat emel dengan code tu"
"Saya kena tunggu lagi?"
"Ya Cik, kalau tak dapat juga 21/9 nanti, Cik boleh call kami semula"
Saya pun menurut arahan dan 21/9 pun tiba namun emel code itu tak juga kunjung tiba.
Maka, saya pun call semula talian banci dan didendangkan lagi dengan lagu banci 😅 sementara tunggu panggilan dijawab.
🎵🎵
Banci, aspirasi negara
Penggerak sosioekonomi
Banci, tanggungjawab bersama
Data anda masa depan kita 🎵🎵
Akhirnya kedengaran suara di hujung terowong sana.
"Hello, saya nak tanya saya masih belum dapat emel dengan invitation code tu. Nombor report saya xxxxxx"
"Sebentar ya Cik, saya semak dulu. Kalau saya check sini report Cik ni masih pending"
"Ada masalah ke nak dapatkan code tu?"
"Bukan masalah Cik. Code tu bukannya kita generate, kita kena cari untuk setiap individu"(lebih kurang beginilah yang saya dengar penjelasan beliau)
"Oh ye ke"
"Ya Cik. Ada pemanggil yang request sejak 1 September pun belum dapat lagi code mereka"
"Eh, kalau macam tu macam mana kalau ada orang baru nak request code pada 30 September nanti?"
"24hb tarikh last untuk request code ni Cik. Yang 30hb tu last untuk isi e-Census"
"Oh, ada dimaklumkan ke kat mana-mana yang 24hb tu last date untuk request code?"
"Ada Cik. Kalau tak silap saya ada dimaklumkan di website banci"
"Ok"
"Ok Cik, saya dah maklumkan pada pihak teknikal kami. Kemungkinan Cik akan dapat code tu malam ini atau esok"
"Ok. Kalau tak dapat juga saya akan call balik"
"Ok, Cik"
"Saya cakap dengan siapa ni?"
"Saya ****"
"Ok, terima kasih"
Malam itu saya dapat panggilan daripada pihak banci. Saya rasa daripada pegawai yang sama menjawab panggilan saya petang tadi.
"Cik, kami dah dapatkan code banci untuk Cik. Cik boleh catat code ni...."
Akhirnya.
'Gigih' tak saya berusaha nak dapatkan code banci supaya dapat elak banci secara bersemuka? 😅😅😅
Gigih 👍 juga pegawai daripada hotline banci tu call saya malam-malam untuk bagitahu code banci. Terima kasih!
Kalau anda pun ada masalah untuk dapat invitation code bagi isi e-Census, segeralah call hotline banci sampai lah anda akhirnya dapat code tersebut. Mungkin disebabkan tarikh tamat isi e-Census dah semakin hampir, maka semakin ramai yang call hotline dan talian semakin sibuk. Maka 'sedikit' kesabaran amat diperlukan di sini 😅
Tinggal 8 hari saja lagi untuk mengisi e-Census.
Tunaikan tanggungjawab anda. Data anda masa depan kita. #BanciMalaysia.
🎵🎵
Banci, aspirasi negara
Penggerak sosioekonomi
Banci, tanggungjawab bersama
Data anda masa depan kita 🎵🎵

Malaysia..Malaysia...Negara yang jaya....
Assalamualaikum & salam sejahtera....
Selamat Hari Malaysia yang ke-57 😊
16 September 1963 - tahun ini sambutan Hari Malaysia yang ke - 57
31 Ogos 1957 - tahun ini sambutan Hari Kemerdekaan yang ke - 63
😊
Berpuluh-puluh tahun yang lalu, iaitu ketika dalam darjah satu 😅 saya pernah menangis waktu perhimpunan di sekolah. Sebabnya? Sebab saya tak tahu nak nyanyi lagu 'Malaysia Sejahtera'. Takut kena marah sebab tak tahu nyanyi. Padahal tak ada siapa pun nak perhati siapa yang menyanyi dan siapa yang tidak 😆. Mungkin juga menangis bukan sebab takit kena marah tapi lebih kepada malu sebab tak tahu lirik lagu tersebut.
Malaysia..Malaysia
Negara yang jaya
Malaysia...Malaysia
Bebas dan merdeka
Seluruh rakyat bersatu, berpadu
Menentang angkara murka
Kami ingin berdamai
Di antarabangsa
Dengan sorak sorai gembira
Di seluruh negara
Malaysia sudah berjaya
Rakyat makmur dan sentosa
Dalam usia 57 tahun, telah banyak yang dilalui oleh Malaysia sebagai sebuah negara. Namakan apa saja. Daripada sudut politik dengan pergeseran yang tidak dapat dilupakan antaranya yang berlaku pada tahun 1969 dan 1998. Daripada sudut getir mengharungi kemelesetan ekonomi serantau pada tahun 1997. Daripada sudut tragedi yang menggegarkan negara (dan dunia) seperti runtuhnya Highland Towers pada 1993 dan dua tragedi menyayat hati dengan kehilangan MH370 pada Mac 2004 dan hancurnya MH17 pada Julai 2004. Tak lupa juga memori manis ketika Malaysia berbangga menjadi tuan rumah Sukan Komanwel pada tahun 1998.
Kesemuanya dihadapi dengan tabah bersama-sama. Malaysia dan anak watannya.
2020, Malaysia (dan seluruh dunia) diuji lagi. Kali ini bukan calang-calang ujiannya. Berhadapan dengan musuh yang tidak nampak di mata, Covid-19. Malaysia, InsyaAllah mampu mengharungi ujian ini, sekali lagi dengan kesepaduan seluruh anak Malaysia.
Malaysia, oh tanahairku
Tanah tempat tumpah darahku
Negeri elok amat ku cinta
Yang kupuja sepanjang masa.....
Selamat Hari Lahir yang ke-57, Malaysia...😘

Udang gemuk dalam kotak...
Assalamualaikum & salam sejahtera....
Siapa suka makan udang?
Ada orang kata tak elok makan udang selalu, nanti kolesterol tinggi. Tak elok makan makanan laut selalu, nanti gout. Sebenarnya, makan apa-apa pun kalau berlebihan memang tak elok dan bawa mudarat pada kesihatan kan.
Baru-baru ini adik saya belikan udang. Memang setiap minggu jadi rutin adik tolong belikan keperluan harian di rumah. Puas juga saya cari udang dalam bahagian sejuk beku tak jumpa pula. Rupa-rupanya udang 'special' yang dibeli adik saya, patut lah tak jumpa.
Udang dalam kotak. Macam dapat hadiah.
Mungkin dah ramai yang tahu pasal Encik Udang KL. Saya yang baru tahu. Encik Udang KL membekalkan udang segar dari kolam, menggunakan blast freezer -40°C dan disimpan dalam cold room pada suhu -20°C. Saiz udangnya pun boleh tahan besar-besar dan gemuk-gemuk juga. Memang sedap bila tambah dalam kue tiau goreng. Makan nasi pun bertambah bila berlaukkan udang masak lemak cili api dengan kacang panjang. Siap dihisap kulit udang yang manis bila dimasak lauk sambal udang. Baru-baru ini nak masak sambal tumis udang pun berkira-kira juga sebab saiz udang yang besar. Selalunya kan masak sambal tumis udang tak ada lah dengan udang segemuk itu. Akhirnya saya potong dua udang tersebut baru lah dibuat sambal tumis udang.
Kue tiau goreng udang.
Gulai udang masa lemak cili api dengan kacang panjang.
Udang masak sambal cili.
Sambal tumis udang.
Maaf lah, semua masakan yang saya masak di atas dengan udang segar daripada Encik Udang KL tak sempat nak saya ambil gambarnya 😅
Yang ada dan sempat saya snap gambar ialah gambar udang yang baru bawa keluar dari freezer dan dah dibersihkan. Tak pernah pula sebelum ni excited saya ambil gambar udang 😅 sebelum dimasak.
Kalau anda ada plan nak masak udang, boleh lah cuba pesan daripada Encik Udang KL. Boleh lawati Facebook Encik Udang Kuala Lumpur atau Instagram encik_udangkl. Encik Udang KL membekalkan udang saiz XL seberat 700g dengan harga RM38 sekotak dan udang yang telah dikopek kulitnya (Peel Tail On) dengan harga RM30 untuk 600g sekotak. InsyaAllah, anda akan puas hati dengan 'udang dalam kotak' yang akan anda terima nanti ☺.
Mungkin ada perancangan di masa akan datang ada pula Encik Sotong KL 😅, Encik Ketam KL dan sebagainya? 🤔
Gangguan bekalan air, sampai bila harus begini?
Assalamualaikum & salam sejahtera....
Hidup tak keruan bila terputus bekalan air.
Gangguan bekalan air kali ini memang sangat menguji kesabaran. Secara mengejut dan terputusnya bekalan secara terus, bukan air berkurang sedikit demi sedikit. Ya, memang air tangki masih ada. Tapi itu lah, air sudah makin mengecil keluar dari paip dan bila-bila masa saja boleh habis. Air bekalan direct memang tak ada. Air di sinki dapur, air shower, air untuk flush tak ada. Kering kontang sungguh. Setitik pun air tak menitis bila buka pili air.
4 Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1,2 dan 3 dan Loji Rantau Panjang dihentitugas disebabkan pencemaran bau yang dikesan di Sungai Selangor pada 3 September. Bekalan air di tujuh wilayah di Kuala Lumpur dan Selangor melibatkan wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat terjejas dengan pencemaran tersebut.
Maka bermulalah penderitaan rakyat jelata di 1,292 kawasan, menanggung kepayahan laksanakan keperluan harian tanpa bekalan air, keperluan asas yang paling penting.
Kalau terputus bekalan elektrik, jika panas masih boleh lagi berkipas dengan tangan. Kalau terputus bekalan air, macam mana?
Apabila tak ada air, semua benda buat tak kena. Nak makan pun tak berapa nak makan. Takut nanti perut dah berisi nak kena 'membuang' pula. Nak kena guna banyak air. Nak minum banyak pun tak berani. Nanti nak buang air kecil pun guna air juga. Nak mandi, lagi lah fikir 5, 10 kali. Nak memasak memang lagi lah tak ada harapan.
Yang geram tu ialah bila nak basuh tangan pun berkira-kira nak guna air. Kita kan kena kerap basuh tangan semenjak Covid-19 ni? Setiap kali balik ke rumah lepas beli barang di pasaraya kan kita kena mandi? Basuh pakaian dengan sabun? Macam mana nak buat semua tu tanpa air?
Aduhai. Semua benda buat tak kena. Makan tak kenyang, tidur tak lena dan mandi sudah semestinya tak basah.
Rimas.
Aplikasi Air Selangor di handphone memang banyak kali di refresh. Refresh banyak kali sebab macam tak boleh nak terima kenyataan yang tak ada update terkini dengan berita gembira. Berita gembira yang katakan loji dah beroperasi semula.
Tak boleh jadi ni. Nampaknya kena lah pergi ambil air di Pusat Khidmat Setempat yang terdekat. Baru saja bercadang nak keluarkan tong air dari stor, dapat satu video di whatsapp. Orang ramai beratur panjang dengan tong air masing-masing. Tengok lokasinya? Ok, boleh simpan balik tong air dalam stor 🙁. Tak mampu saya nak beratur panjang tunggu giliran isi air dalam tong. Bimbang juga jika dalam pada beratur tunggu giliran, penjarakan sosial entah ke mana, pelitup muka entah ke mana.
 |
| Credit : bharian.com.my |
Terputus bekalan air sangat menyusahkan urusan harian. Bayangkan keluarga dengan anak yang ramai. Bayangkan warga emas yang tinggal berseorangan. Bayangkan mereka yang kurang sihat dan tinggal di rumah pangsa tanpa kemudahan lif. Bagaimana agaknya keadaan mereka tanpa bekalan air? Saya sendiri tinggal bertiga di rumah dengan emak yang tak boleh berjalan dan abang yang masih ada kesan akibat stroke. Makanya saya seorang yang uruskan hal mencukupkan keperluan air di rumah. Pening.
Jiran sebelah kanan dah pulang ke kampung di Teluk Intan. Jiran depan rumah dah 'lari' ke Bangi, rumah saudara mara. Semua tak sanggup nak duduk di rumah yang kering kontang tanpa air.
Baca juga:
Mana lebih stress, tiada air atau tiada elektrik?
Syabas untuk Syabas!
4 juta pengguna 'bertuah' bakal alami gangguan bekalan air...
Kilang selenggara jentera berat yang jadi punca pencemaran air hingga loji air terpaksa ditutup memang patut dikenakan hukuman yang berat. Kilang bukan hanya perlu disita, tapi ditutup terus dan disenaraihitam terus daripada beroperasi. Ini adalah kali kedua kilang tersebut membuat kesalahan yang sama setelah didenda RM60,000 untuk kesalahan yang pertama. Adakah kita akan membiarkan berlakunya kesalahan untuk kali ke-3,ke-4, ke-10 dan seterusnya baru tindakan lebih tegas akan diambil? Dan sementara itu rakyat marhaen untuk kesekian kalinya terus menanggung derita mengadap masalah terputus bekalan air yang tak berkesudahan? Macam mana pula dengan kos tambahan yang terpaksa ditanggung bila perlu membeli makanan sebab tiada air untuk memasak dan perlu beli air mineral sebab tiaa air untuk minum dan sebagainya? Macam mana pula dengan kerugian yang ditanggung para peniaga yang tutup kedai gara-gara tiada air?
Menaikkan denda hukuman kepada RM1 juta masih dirasakan tak setimpal dengan kesusahan yang perlu ditanggung oleh 1.2 juta akaun rakyat di Selangor. Denda itu masih dianggap ringan dan tak mustahil akan berlaku lagi 'tragedi putus bekalan air' akibat pencemaran oleh pihak tak bertanggungjawab.
Dan yang terus sengsara ialah kami, rakyat jelata.
😞😞😞😞😞😞😞

Demi negara...yang tercinta....
Assalamualaikum & salam sejahtera....
Merdeka! Merdeka! Merdeka!
Selamat menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-63 buat semua rakyat Malaysia.
Malaysia tanahair tercinta 😘😘😘
Kemerdekaan yang kita nikmati hari ini hasil usaha pejuang kemerdekaan yang bertarung jiwa dan raga berdepan dengan musuh @ penjajah.
Kemerdekaan yang saya pasti kita semua idam-idamkan hari ini ialah merdeka daripada 'penjajahan' virus Covid-19, musuh yang tersembunyi. Seluruh rakyat Malaysia berganding bahu melawan musuh ini, menggambarkan keprihatinan setiap individu untuk saling membantu.
Berbeza sambutan kemerdekaan rakyat Malaysia kali ini tanpa sambutan besar-besaran seperti kebiasaannya. Apa pun cara sambutannya, pastinya kita sebagai anak Malaysia ada kenangan yang tersendiri dalam meraikannya. Merdeka dah 63 tahun, apa agaknya sumbangan kita buat Malaysia tercinta?
Demi negara...yang tercinta....
Berpuluh-puluh tahun yang lalu 😅, saya pernah menyertai persembahan padang untuk sambutan hari kemerdekaan di Dataran Merdeka. Saya pernah ceritakan di entry ini Malaysia, Sehati Sejiwa.... Tahun itu temanya 'Jatidiri Penggerak Wawasan'. Baju serba kuning (saya masih simpan hingga ke hari ini ☺) dan ketika formasi bendera Malaysia di padang, saya berdiri di bucu bulan sabit. Berlari ke sana ke sini. Tak henti-henti mulut mengira 'one, two, three, four bagi pastikan gerakan kami semua sama dan teratur. Memang ketika itu rasa bangga dan puas hati dapat menyumbang walaupun sekecil itu untuk hari kemerdekaan negara.
Demi negara...yang tercinta....
Masih ingat lagi rasa teruja kali pertama layak untuk membuang undi. Masa itu tahun....tahun berapa saya pun dah tak ingat 😅. Terakhir mengundi pada tahun 2018, itu adalah kali yang ke-3 atau ke-4 saya mengundi. Teruja, nervous, berdebar-debar dan macam-macam perasaan ada masa itu. Sampai kadang-kadang tu rasa macam tak payah lah nak susah-susah diri pergi mengundi. Ramai je kan orang lain yang layak tapi tak pergi pun mengundi. Tapi, mana boleh macam tu. Bayangkan satu perbezaan undi pun dah boleh menentukan masa depan negara. Besarnya kuasa undi kita. Jadi bila dah selesai buang undi tu memang rasa puas hati sangat sebab dah jalankan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia. Puas hati dapat menyumbang kepada negara walaupun hanya dengan semudah menanda pangkah di atas kertas...
Demi negara...yang tercinta....
Satu sumbangan besar pada negara yang saya rasa kita semua boleh banggakan ialah ketika pandemik Covid-19 melanda negara.
"Apa sumbangan terbesar anda pada negara?"
"Saya duduk di rumah ketika PKP..."
Tak sangka kan. Hanya dengan duduk di rumah. Duduk saja di rumah dan kita semua telah pun membantu negara dalam putuskan rantaian Covid-19.
*Kalau anda antara individu yang langgar PKP maka anda agak rugi sebab tak dapat nak berbakti dengan semudah itu untuk negara...*
Mengisi dan meneruskan makna dan jiwa kemerdekaan ternyata sesukar atau lebih sukar daripada menuntut kemerdekaan. Berbangga menjadi anak Malaysia, maka berusaha jugalah kita untuk menyumbang apa yang mampu untuk negara tercinta....
#MalaysiaPrihatin
#kitajagakita

Langgar perintah kuarantin di rumah? Bayar RM1000 je....
Assalamualaikum & salam sejahtera....
Kebelakangan ni rasa rajin pula nak baca pasal Akta 342 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Tapi bila dah baca pun rasa macam tak jelas lagi. Nak baca Akta ni kena panduan orang yang lebih arif juga, takut bila dah baca tersilap tafsir pula.
Kenapa tiba-tiba rajin nak ambil tahu?
Tiba-tiba rajin nak baca Akta sebab nak tahu kenapa 'makcik gelang pink' di Meru Raya yang langgar perintah kuarantin di rumah dikenakan denda RM8,000 dan dipenjara sehari.
Tiba-tiba rajin nak baca Akta sebab nak tahu kenapa juruteknik kilang di Bayan Baru yang langgar perintah kuarantin di rumah tak kena denda yang sama dengan 'makcik gelang pink', tapi 'cuma' didenda RM2,500 'sahaja'.
Tiba-tiba rajin nak baca Akta sebab nak tahu kenapa penyelia di Sibu yang langgar perintah kuarantin di rumah tak kena denda yang sama dengan 'makcik gelang pink', tapi 'cuma' didenda RM5,000 'sahaja'.
Tiba-tiba rajin nak baca Akta sebab nak tahu kenapa pemilik kedai Nasi Kandar Salleh @ pencetus kluster Sivagangga yang langgar perintah kuarantin di rumah dikenakan denda RM12,000 dan penjara 5 bulan, berbeza dengan 'makcik gelang pink' dan si juruteknik kilang.
Dan sebab paling utama tiba-tiba rajin nak baca Akta ialah nak tahuuuuuuu sangat kenapa seorang yang berpangkat Menteri yang langgar perintah kuarantin di rumah hanya dikenakan denda RM1,000. Denda yang paling ringan berbanding 'makcik gelang pink', juruteknik kilang, penyelia dan si pencetus kluster Sivagangga.
Apa bezanya kesalahan dan kenapa ada perbezaan denda antara keempat-empatnya?
Pelbagai jawapan diberikan oleh warga netizen. Jawapan yang pada pendapat saya agak bahaya ialah si Menteri itu dah buat tiga kali ujian swab Covid-19 dan kesemua ujian didapati negatif. Maka denda RM1,000 saja lah. 'Makcik gelang pink', juruteknik kilang dan pencetus kluster Sivagangga tu semuanya positif sebab tu kena hukuman lebih berat.
Betul ke ni?
Bayangkan satu hari nanti ada seorang rakyat Malaysia (kita namakan orang ni 'A' ok?)baru tiba di tanahair daripada sebuah negara yang tinggi kes Covid-19.
Buat ujian di KLIA dan didapati negatif. Dipakaikan gelang pink dan diarahkan kuarantin 14 hari di rumah.
Si 'A' kemudiannya rasa bosan duduk di rumah. Pergi shopping sana sini, jumpa dan lepak dengan kawan-kawan di restoran tanpa ada orang perasan si 'A' pakai gelang pink sebab disoroknya dalam baju berlengan panjang (saja nak buat cerita). Beberapa hari kemudian si 'A' masuk pejabat pula sebab ada tugas penting. Kebetulan di pejabat ada buat saringan Covid-19 untuk sesiapa yang berminat (ujian dibiayai oleh syarikat 'A' bekerja) maka 'A' pun minta buat swab test dan sekali lagi didapati negatif.
"Ha tengok, tak salah pun aku tak kuarantin kat rumah, aku bukannya positif Covid-19 pun!"
( kata 'A' dalam hati dengan penuh bangga sebab rasa diri 'bijak' sangat)
Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga. Satu hari yang malang ada orang ternampak gelang pink yang dipakai oleh 'A' dan dilaporkan kepada pihak berkuasa. 'A' kemudiannya perlu buat ujian swab untuk kali ketiga. Dan untuk kesekian kalinya 'A' didapati negatif Covid-19.
Panjang cerita nya kan? Mungkin ada tak logik sikit tapi motifnya nak bagitau akan ada individu yang mengikut 'contoh teladan' si Menteri itu nanti.
Tapi yang paling penting ialah apa hukuman yang akan dikenakan ke atas 'A' sebab langgar kuarantin di rumah?
Kalau ikut logik mestilah hukumannya sama dengan si Menteri tadi kan? Boleh ke dikenakan hukuman yang lebih berat?
"Eh kenapa pula hukum lebih berat? Habis tu Menteri tu boleh kena denda RM1,000 je?"
Si Menteri dah beri contoh dan ikutan yang 'sangat baik' untuk rakyat jelata.
Contoh yang 'sangat-sangat baik'.
'Tahniah!'
Diharap sangat-sangat pihak yang berkenaan atau KKM boleh menjelaskan dengan lebih terperinci kenapa ada nya denda dan hukuman yang berbeza-beza. Semoga penjelasan dapat elak kekeliruan atau ketidakpuasan hati orang ramai mengenai hukuman langgar perintah kuarantin di rumah. Dan semoga tak timbul masalah di masa akan datang untuk jatuhkan hukuman kepada individu yang 'bakal' langgar perintah kuarantin di rumah.
Macam-macam hal.
Kalau rasa tak dapat nak membantu, cukuplah dengan tidak menyusahkan mereka yang ikhlas menjalankan tugas di barisan hadapan....

Hijrah itu pengorbanan....
Assalamualaikum & salam sejahtera....
Salam Maal Hijrah, Selamat Tahun Baru Hijrah 1442.
Sekejap saja rasanya tahun Hijrah 1441H berlalu. Sama lah dengan tahun 2020, pejam celik pejam celik dah sampai bulan Ogos. Macam-macam peristiwa dah berlaku sampai kadang-kadang rasa tak terkejar nak hadam satu persatu.
Tumpang gembira untuk Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang dipilih sebagai tokoh Maal Hijrah 1442H. Memang pemilihan yang sangat tepat! Rezeki Tan Sri atas segala penat lelah mengetuai barisan hadapan negara kita untuk perangi penularan Covid-19 yang masih belum berkesudahan. Tapi macam biasa, Tan Sri mesti akan acknowledge atau dedicate kan apa-apa pengiktirafan atau anugerah kepada team nya. Tak pernah ambil penghargaan / kredit untuk diri sendiri. Humble sungguh Tan Sri ni!
Sempena tahun baru Hijrah ini, jom kita sama-sama berhijrah:
Hijrah daripada selalu berpusu-pusu masuk ke kedai, kepada beratur dengan tertib dengan penjarakan sosial / fizikal.
Hijrah daripada tak berapa rajin nak basuh tangan sebelum makan, kepada kerap basuh tangan walaupun bukan sebab nak makan.
Hijrah daripada selalu keluar melepak / merayau, kepada keluar rumah hanya bila peelu sahaja.
Hijrah daripada bersalam dengan tak kira siapa, kepada hanya letakkan tangan di dada dan tunduk sebagai tanda hormat.
Hijrah daripada bersin atau batuk ikut-suka-hati-nak-bersin-batuk-tak-tutup-mulut-habis-tempias-kena-muka-orang-lain, kepada tutup mulut apabila nak batuk atau bersin.
Semenjak Hari Raya Aidilfitri lagi, hinggalah kepada Hari Raya Aidiladha dan Maal Hijrah, banyak yang Covid-19 beri pengajaran kepada kita semua. Berkorban sedikit kebebasan yang dinikmati selama ini, berjuang untuk melindungi kesejahteraan komuniti. Semuanya demi menghentikan penularan Covid-19.
Hijrah itu pengorbanan.
Hijrah itu perjuangan.
Jom hijrah untuk menjadi seorang insan yang lebih baik.
Selamat Menyambut Tahun Baru Hijrah 1442H..