Showing posts with label gangguan bekalan air. Show all posts

Gangguan bekalan air, sampai bila harus begini?



Gangguan bekalan air, sampai bila harus begini?


Assalamualaikum &  salam sejahtera....

Hidup tak keruan bila terputus bekalan air.

Gangguan bekalan air kali ini memang sangat menguji kesabaran. Secara mengejut dan terputusnya bekalan secara terus, bukan air berkurang sedikit demi sedikit. Ya, memang air tangki masih ada. Tapi itu lah, air sudah makin mengecil keluar dari paip dan bila-bila masa saja boleh habis. Air bekalan direct memang tak ada. Air di sinki dapur, air shower, air untuk flush tak ada. Kering kontang sungguh. Setitik pun air tak menitis bila buka pili air.


Gangguan bekalan air

4 Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1,2 dan 3 dan Loji Rantau Panjang dihentitugas disebabkan pencemaran bau yang dikesan di Sungai Selangor pada 3 September. Bekalan air di tujuh wilayah di Kuala Lumpur dan Selangor melibatkan wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat terjejas dengan pencemaran tersebut.

Maka bermulalah penderitaan rakyat jelata di 1,292 kawasan, menanggung  kepayahan laksanakan keperluan harian tanpa bekalan air, keperluan asas yang paling penting.

Kalau terputus bekalan elektrik, jika panas masih boleh lagi berkipas dengan tangan. Kalau terputus bekalan air, macam mana?

Apabila tak ada air, semua benda buat tak kena. Nak makan pun tak berapa nak makan. Takut nanti perut dah berisi nak kena 'membuang' pula. Nak kena guna banyak air. Nak minum banyak pun tak berani. Nanti nak buang air kecil pun guna air juga. Nak mandi, lagi lah fikir 5, 10 kali. Nak memasak memang lagi lah tak ada harapan.

Yang geram tu ialah bila nak basuh tangan pun berkira-kira nak guna air. Kita kan kena kerap basuh tangan semenjak Covid-19 ni? Setiap kali balik ke rumah lepas beli barang di pasaraya kan kita kena mandi? Basuh pakaian dengan sabun? Macam mana nak buat semua tu tanpa air?

Aduhai. Semua benda buat tak kena. Makan tak kenyang, tidur tak lena dan mandi sudah semestinya tak basah.

Rimas.

Aplikasi Air Selangor di handphone memang banyak kali di refresh. Refresh banyak kali sebab macam tak boleh nak terima kenyataan yang tak ada update terkini dengan berita gembira. Berita gembira yang katakan loji dah beroperasi semula.

Tak boleh jadi ni. Nampaknya kena lah pergi ambil air di Pusat Khidmat Setempat yang terdekat. Baru saja bercadang nak keluarkan tong air dari stor, dapat satu video di whatsapp. Orang ramai beratur panjang dengan tong air masing-masing. Tengok lokasinya? Ok, boleh simpan balik tong air dalam stor 🙁. Tak mampu saya nak beratur panjang tunggu giliran isi air dalam tong. Bimbang juga jika dalam pada beratur tunggu giliran, penjarakan sosial entah ke mana, pelitup muka entah ke mana.

Gangguan bekalan air
Credit : bharian.com.my


Terputus bekalan air sangat menyusahkan urusan harian. Bayangkan keluarga dengan anak yang ramai. Bayangkan warga emas yang tinggal berseorangan. Bayangkan mereka yang kurang sihat dan tinggal di rumah pangsa tanpa kemudahan lif. Bagaimana agaknya keadaan mereka tanpa bekalan air? Saya sendiri tinggal bertiga di rumah dengan emak yang tak boleh berjalan dan abang yang masih ada kesan akibat stroke. Makanya saya seorang yang uruskan hal mencukupkan keperluan air di rumah. Pening.

Jiran sebelah kanan dah pulang ke kampung di Teluk Intan. Jiran depan rumah dah 'lari' ke Bangi, rumah saudara mara. Semua tak sanggup nak duduk di rumah yang kering kontang tanpa air.

Baca juga:

Mana lebih stress, tiada air atau tiada elektrik?
Syabas untuk Syabas!
4 juta pengguna 'bertuah' bakal alami gangguan bekalan air...

Kilang selenggara jentera berat yang jadi punca pencemaran air hingga loji air terpaksa ditutup memang patut dikenakan hukuman yang berat. Kilang bukan hanya perlu disita, tapi ditutup terus dan disenaraihitam terus daripada beroperasi. Ini adalah kali kedua kilang tersebut membuat kesalahan yang sama setelah didenda RM60,000 untuk kesalahan yang pertama. Adakah kita akan membiarkan berlakunya kesalahan untuk kali ke-3,ke-4, ke-10 dan seterusnya baru tindakan lebih tegas akan diambil?  Dan sementara itu rakyat marhaen untuk kesekian kalinya terus menanggung derita mengadap masalah terputus bekalan air yang tak berkesudahan? Macam mana pula dengan kos tambahan yang terpaksa ditanggung bila perlu membeli makanan sebab tiada air untuk memasak dan perlu beli air mineral sebab tiaa air untuk minum dan sebagainya? Macam mana pula dengan kerugian yang ditanggung para peniaga yang tutup kedai gara-gara tiada air?

Menaikkan denda hukuman kepada RM1 juta masih dirasakan tak setimpal dengan kesusahan yang perlu ditanggung oleh 1.2 juta akaun rakyat di Selangor. Denda itu masih dianggap ringan dan  tak mustahil akan berlaku lagi 'tragedi putus bekalan air' akibat pencemaran oleh pihak tak bertanggungjawab.

Dan yang terus sengsara ialah kami, rakyat jelata.

😞😞😞😞😞😞😞


 

4 juta pengguna 'bertuah' bakal alami gangguan bekalan air....



4 juta pengguna 'bertuah' bakal alami gangguan bekalan air....


Assalamualaikum & salam sejahtera.....

Loji rawatan air henti tugas untuk kerja penyenggaraan bekalan elektrik oleh TNB. Yang diselenggara ialah pencawang elektrik tapi yang terjejas ialah bekalan air. Hmmm...ada kaitan rupa-rupanya air dan elektrik ini.

KUALA LUMPUR 15 Dis. - Sebanyak 3,892,641 pengguna di Lembah Klang bakal mengalami gangguan bekalan air pada Isnin depan, melibatkan 707,759 akaun di 814 kawasan iaitu daerah Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Langat, Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Kuala Lumpur. (sumber :  Utusan Online)

Gangguan bekalan air 19 Disember 2016


Ya, saya di antara pengguna yang 'bertuah' itu. 'Tak sabar' rasanya nak lalui sekali lagi 'keseronokan'  memunggah kembali tong air yang besar itu dari stor, gigih menyimpan bekalan air dalam tong dan berjimat cermat gunakan air hingga tahap 'kedekut'.

Baca juga:
Syabas untuk Syabas!
Mana lebih stress : Tiada air atau tiada elektrik?

Tak sabar nak lalui 'keseronokan'  bila ada anak saudara yang sakit perut dan perlu guna air yang banyak, 'keseronokan' merayau ke rumah saudara mara untuk tumpang mandi dan lepas itu bertungkus lumus pula isi tong air untuk dibawa balik sebagai bekalan untuk kegunaan di rumah. Belum lagi dicampur rasa 'seronok' dan teruja masa tunggu bekalan air sampai ke rumah pada hari yang dijadualkan ada air. Dan selalunya jika dijanjikan air akan dibekalkan pada jam 4 petang, kena juga tunggu dalam 1 atau 2 jam untuk dapat bekalan air yang dibekalkan secara berperingkat-peringkat.

Maka bermula daripada masa dapat bekalan air itu, aktiviti mengisi semula segala tong air yang ada akan bermula. Sehinggalah jam 9 pagi esoknya bila bekalan air dihentikan semula. Kali ini lebih 'seronok' dan 'mencabar' sebab dalam jadual kali ini, ada 2 hari berturut-turut (21/12 dan 22/12) air tidak akan dibekalkan. Memang sangat 'menyeronokkan' dan tak sabar rasanya nak tunggu hari kejadian!





Kepada semua pengguna 'bertuah' macam saya, sama-sama lah kita bertabah menghadapi minggu depan yang mencabar ini. 

Pastikan aktiviti utama hujung minggu ini ialah dapatkan segala tong dan bekas yang boleh diisi air dan bersiap sedia simpan bekalan air sebanyak mungkin!


Paip pecah, paip lama dan paip tak keluar air...


Paip pecah, paip lama dan paip tak keluar air...


Assalamualaikum & salam sejahtera....

Salam hari Jumaat, salam sayyidul ayyam. Jom kita perbanyakkan berselawat ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad saw...

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ


Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya.


Pagi ini bila buka pili air teringat pula pada gangguan bekalan air selama 10 jam semalam,

Saspen juga bila buka pili air pagi semalam dan air yang keluar dari pili makin lama makin sikit dan akhirnya 'hilang dari pandangan'. Dalam hati itu memang terus teringat kawasan-kawasan di Hulu Langat, Sepang, Semenyih dan lain-lain kawasan yang terganggu berjalan air sebab paip pecah dan sungai tercemar. Adakah kini dah merebak pula bekalan air terganggu di kawasan rumah saya?

Ok, mula-mula check dulu bil air dah bayar ke belum. Ok, bil air dah bayar, tak ada masalah. Lepas itu check FB PUSPEL Syabas, kalau-kalau ada notis bertahun-tahun ada gangguan air.  Tak ada notis pun. Masuk pula web site Syabas, pun sama tak ada sebarang notis gangguan air. Akhir sekali hantar SMS ke PUSPEL di 39222 dan call di talian 1-800-88-5252.

gangguan bekalan air

Mengikut staf PUSPEL yang jawab panggilan saya itu, dah banyak aduan yang diterima dari penduduk kawasan rumah saya pasal gangguan bekalan air ini sejak jam 7 pagi lagi. Dan sehingga waktu saya call itu iaitu hampir jam 9 pagi, pihak Syabas masih lagi menyiasat punca gangguan dan akan diupdate di FB dan website bila dah tahu puncanya nanti.

Baca juga:
Mana lebih stress: Tiada air atau tiada elektrik?

Lama juga tunggu update. Bila air tak ada ni banyak kerja yang tertangguh. Nak basuh baju, mesin pembasuh pun dental saja tak berpuas sebab tak ada air. Nak memasak pun susah bila air tak ada. Akhirnya jam 10.30 pagi dapat sms update dari Syabas. Punca gangguan ialah paip pecah di tapak projek Puncak Niaga. Jangkaan waktu gangguan akan pulih ialah jam 6 petang nanti.

sms dari Syabas mengenai gangguan bekalan air


Kalau dilihat pada FB PUSPEL Syabas, untuk hari ini saja ada lebih daripada 10 hebahan mengenai gangguan bekalan air tak berjadual yang disebabkan samada oleh paip pecah atau masalah di rumah pam. Dan kebanyakan masalah ini ambil masa yang lama untuk diselesaikan. Daripada en Google, banyak juga info mengenai masalah paip pecah di sana sini ini. Antara puncanya ialah kebanyakan paip yang pecah adalah paip lama yang dibuat daripada simen asbestos yang mudah pecah dan berkarat serta berusia lebih daripada 40 tahun. Usaha Syabas nak gantikan paip-paip ini pula ada kekangan dari segi kewangan. Maka akhirnya terpaksa lah paip yang pecah hanya dibaiki dan bila pecah lagi akan dibaiki lagi....

Dan yang pastinya pengguna air lah yang menjadi mangsa terpaksa berhadapan dengan risiko paip-paip lama ini akan pecah tak kira masa dan menanggung kesan terputus bekalan air....

:(


Mana lebih stress: Tiada air atau tiada elektrik?




Mana lebih stress: Tiada air atau tiada elektrik?


Assalamualaikum & salam sejahtera.....

Memang stress bila bekalan air terganggu. Tiada air untuk satu atau dua hari mungkin boleh sabar lagi. Kalau sampai tangki di rumah dah kering dan pili tak keluar air sampai seminggu, rasanya tak ramai yang boleh sabar lagi!

Bila baca mengenai penduduk kawasan Hulu Langat yang dilanda masalah gangguan bekalan air akibat pencemaran bau di loji rawatan sumber air mentah baru-baru ini, saya memang faham sangat bagaimana perasaan mereka yang terlibat.

Kalau diminta pilih antara bekalan elektrik dan bekalan air, bagi saya bekalan air lebih kritikal dan sangat-sangat diperlukan. Kalau tiada bekalan elektrik dan kepanasan, masih boleh pasang aircond dalam kereta atau duduk lepak di kedai mamak. Kalau tiada bekalan air? Tuhan saja yang tahu stress nya nak fikirkan cara nak cari bekalan air di sana sini.

bila berlaku gangguan bekalan air


Krisis bekalan air yang agak teruk pernah berlaku sekitar tahun 1998 yang melibatkan 600,000 penduduk di Lembah Klang. Punca nya pada waktu itu ialah berkaitan dengan faktor cuaca yang kering dan panas mengakibatkan kemerosotan paras air di empangan.

Ketika itu pelbagai cara saya dan keluarga cari bekalan air. Tidak cukup jika hanya mengharapkan bekalan air yang dibawa oleh lori tangki. Sekali sekala bawa tong-tong air ke rumah saudara dan isi penuh air di sana, Sekali sekala mandi di pejabat emak dan bawa balik air sebagai bekalan di rumah. Pernah juga saya ambil air daripada pili air tepi jalan di Wangsa Maju. Entah milik siapa lah pili air itu tapi bila melihat ramai yang beratur untuk penuhkan tong air masing-masing, saya pun turut tumpang sekaki.

Baca juga:
Gangguan bekalan air, sampai bila harus begini....
Syabas untuk Syabas!
4 juta pengguna 'bertuah' bakal alami gangguan bekalan air...

Keadaan rumah memang agak tidak terurus di masa-masa berlaku gangguan bekalan air ini. Selain dalam bilik air yang penuh tong air, kawasan luar bilik air pun berderet-deret tong air untuk digunakan. Makan hanya gunakan pinggan kertas atau pinggan yang dialas dengan plastik. Susah hati bila 'sakit perut'. Terbayang-bayang di mata, cukup ke bekalan air yang disimpan? Macam mana pula dengan air bersih untuk minum dan masak? Di waktu tiada air memang selalunya suri rumah akan kurangkan aktiviti memasak. Tapi tidak mampu pula hendak beli makanan di luar setiap hari.

bekalan air bersih ketika berlaku gangguan bekalan air


Macam-macam masalah dan rasa tak selesa bila ada masalah bekalan air. Kalau isi rumah itu ramai memang susah nak catu dan berjimat gunakan air. Tambah pula kalau rumah yang ada anak-anak kecil. Tambah lagi kalau rumah yang terputus bekalan air itu ialah rumah pangsa di tingkat 5 yang tiada kemudahan lif. Tambah kan lagi penghuni rumah itu ialah mereka yang keluar bekerja dan hanya balik lewat malam. Bila masanya nak cari bekalan air? Jika ada lori tangki yang hantar bekalan air sekali pun, tentunya lori itu datang semasa penghuni itu bekerja di pejabat. Macam mana pula jika penghuni rumah ialah warga emas? Warga kelainan upaya? Kan jadi masalah besar dan membebankan mereka sekiranya bekalan air terganggu. Dan lebih kronik bila masa bekalan air terganggu itu lah masanya penghuni rumah dah siap rancangan untuk adakan kenduri kahwin!


'Trauma' setelah berhadapan dengan krisis air beberapa kali sebelum ini, maka tong-tong air di rumah saya sentiasa terisi dengan air bagi bersiap sedia jika bekalan air terganggu secara tiba-tiba. Bukan sekali dua berlaku buka paip air dan air tiada. Bila hubungi Puspel, katanya tiada masalah gangguan di kawasan perumahan saya. Tiada sebarang aduan pun diterima daripada penduduk lain katanya, Tapi tengoklah, selang beberapa minit (atau jam) selepas itu akan ada notis di FB Puspel mengatakan ada gangguan bekalan air di kawasan perumahan saya sebab ada paip itu dan paip ini pecah di sana sini!