Waktu berbuka dan pencuri terhebat di bulan Ramadhan...
Assalamualaikum & salam sejahtera...
Di bulan puasa ini, siapa yang tak nak rebut cari jalan dapat pahala, memang rugi besar.
Buat amalan sunat, pahalanya sama dengan pahala kerjakan amalan fardhu.
Buat amalan fardhu, pahalanya jadi berlipat kali ganda.
Bulan mustajab doa terutama semasa sahur dan berbuka puasa.
Dah ada tawaran sebegini hebat pun masih belum tergoda? Kalau kita belum tergoda, jom kita sama-sama periksa dan koreksi diri. Mana lah tahu kalau-kalau kita ini perasan pahala dah banyak jadi tak perlu nak kejar sangat pahala berlipat ganda di bulan Ramadhan ini. Dan yang paling bahaya kalau kita rasa kita dah ada semuanya dan tak perlu nak memohon lagi pada yang Maha Esa.
Tahun ini saya cuba buat sedikit perubahan kecil sewaktu berbuka. Kalau tahun-tahun yang lepas, sementara tunggu waktu berbuka, kami sekeluarga akan berlonggok depan tv menonton drama Melayu pukul 7. Sambil berbuka puasa pun mata masih melekap di tv. Bila dah tonton hari-hari memang susah nak tinggalkan. Jadi 'hasilnya' , solat Maghrib pukul 8 malam (lepas habis drama) dan lepas itu kelam kabut bersiap nak ke masjid untuk solat terawih.
Baca juga:
Bazar Ramadhan dan cerita kuih buah melaka...
Kebetulan, saya ada menonton sebuah rancangan masakan pada hari Ahad lepas. Dialog antara hos rancangan dengan artis jemputan (saya nama kan sebagai A) lebih kurang macam ini:
Hos : "Pada pandangan A, apa kelebihannya drama lakonan A ditayangkan di bulan puasa?"
Pelakon A: "Oh, saya rasa ada kelebihannya kak. Sebab masa bulan puasa ini satu keluarga akan buka puasa sambil tengok drama lakonan saya di tv"
Hos : "Bagus ya. Dia orang tengok kau berlakon, lepas tu dia orang tak solat Maghrib, kau yang berdosa!"
Krik..krik..krik...
Jadi tahun ini, mula jam 7 malam saya terus tukar ke saluran Al-Hijrah. Di Al-Hijrah ada siaran langsung dari Masjidil Haram. Memang puas lah tengok suasana di Msjidil Haram yang dah mulai dipenuhi dengan jemaah haji, Pada masa yang sama akan ada bacaan ayat suci Al-Quran dari qari yang terpilih. Antara tonton drama dengan dengar bacaan Al-Quran sementara tunggu waktu berbuka puasa, yang mana lebih baik agaknya? Saya sangat suka dengar bacaan oleh Sheikh Mahir Al Muaiqly, bacaannya menusuk kalbu (walaupun saya tak faham makna bacaan).
Lintas langsung dari Masjidil Haram di TV AlHijrah |
Rindu hendak ke Mekah lagi,,, |
Ramadhan di Tanah Suci |
Semasa di Mekah dulu sempat juga saya beberapa kali berkesempatan solat berimamkan Sheikh Mahir. Masa itu kalau boleh memang tak nak solat itu habis, sebab tak puas dengar suara Sheikh! Saya pernah juga ke kedai yang jual cd bacaan ayat-ayat Al-Quran semasa di Mekah. Err, memang cabaran juga lah sebab masalah bahasa. Mula-mula penjual di kedai cd itu layan juga lah saya nak dengar satu persatu cd yang ada di kedai nya. Lama-lama penjual itu pun bosan sebab lama benar dengar cd tapi tak beli-beli pun! Akhirnya saya minta tolong saja pada Ustaz yang jadi mutawwif untuk belikan cd tersebut. Kan senang cerita!
Saya ada terbaca di satu posting FB (maaf, lupa pula siapa yang post), antara 'pencuri' terhebat di bulan Ramadhan ini ialah tv. Betul kan? Pencuri terhebat sepanjang masa sebenarnya. TV lah yang menjadi pencuri masa, wang dan tenaga sehingga tanpa sedar Ramadhan kita berlalu tanpa sebarang makna. Disebabkan tv, kita bertangguh solat. Disebabkan tv, kita rugi sebab terlupa zikir. Disebabkan tv, kita malas nak berjemaah di masjid. Selain daripada tv, 'pencuri-pencuri' hebat yang lain termasuklah gajet dan media sosial.
Ramadhan hanya datang sebulan dalam setahun. Terlepas peluang beribadah pada Ramadhan kali ini, belum tentu kita akan berpeluang lagi bertemu Ramadhan di tahun hadapan.
Jadi kawan-kawan (pesanan untuk diri sendiri juga), berhati-hati lah.
Jangan biar kan masa anda dicuri oleh tv ya!
0 comments: