Baju raya, Jalan TAR dan bling-bling...

Sunday, June 19, 2016 Ana 0 Comments




Assalamualaikum & salam sejahtera....

Ramadhan sudah menghampiri 14 hari dan bakal berlalu meninggalkan kita tidak lama lagi. Aura dan semangat menyambut hari raya semakin dirasai terutama bila berkunjung ke pusat-pusat membeli belah. Saya sempat ke Wangsa Walk Mall dan Aeon Setiawangsa pagi tadi untuk 'cuci mata' dan beli jika ada yang berkenan di hati.

Saya sangat susah hendak mencari baju raya yang betul-betul menepati citarasa. Kriteria yang saya cari mudah saja. Saya cuma inginkan sesuatu yang sopan dan ringkas. Tak perlu hiasan manik, labuci dan bling-bling yang keterlaluan. Di zaman serba canggih ini, sudah tidak banyak rupanya baju yang ringkas begitu. Kebanyakan baju sangat 'meriah' dan sarat dengan  hiasan. Jadi memang tidak hairan jika saya ke pusat membeli belah tapi akhirnya pulang dengan tangan kosong tanpa membeli satu barang pun! Seperti di Wangsa Walk Mall tadi, di kedai pertama yang saya singgah, ada sepasang baju kurung yang berkenan di hati. Warna biru gelap dan sedikit hiasan manik ringkas di bahagian leher dan tangan baju. Bila dibelek-belek, tak jadi pula beli sebab kainnya agak tebal dari biasa. Memang setiap kali 'misi pencarian baju raya' akan mengambil masa yang panjang sebab akan ada saja yang tak kena, Kain tebal lah. Warna terang sangat lah. Hiasan di baju itu terlalu 'meriah' lah. Corak di baju agak besar nanti saya akan nampak gemuk lah. Haish!

Dan jika akhirnya saya berjaya jumpa baju yang betul-betul menepati citarasa dan telah mula hendak rasa gembira sangat sebab pencarian dah berakhir, saya selalunya akan dapat jawapan yang macam ini daripada penjual:

"Maaf kak, saiz yang akak nak ni dah habis!"

:(

Jika susah sangat mencari baju kurung siap yang sesuai, mengapa saya tidak tempah saja baju kurung?

Semenjak nenek saudara saya meninggal dunia , agak sukar untuk saya benar-benar selesa dengan baju kurung siap yang dibeli. Selama ini, semua baju kurung saya dan emak saya dijahit oleh arwah nenek saudara dan sememangnya jahitan beliau selesa dan sedap dipakai. Selepas beliau meninggal, pernah juga saya cuba menghantar tempahan baju kurung pada tukang jahit yang lain namun hasilnya kurang memuaskan. Semenjak itu, saya dan emak mula membiasakan diri dengan baju kurung siap sahaja.

Tidak seperti tahun-tahun yang lepas, pada tahun ini saya tidak lagi berkunjung ke Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR) dan sekadar membeli belah di pusat membeli belah yang berhampiran sahaja.  Di Jalan TAR memang banyak pilihan baju, kain, tudung, kuih raya dan pelbagai kelengkapan raya dengan harga yang murah dan berpatutan. Kalau hendak dapatkan barang dengan diskaun hingga 70% , maka rajin-rajinkan lah datang bersesak-sesak ke Jalan TAR pada malam raya nanti (yang bersesak-sesak ini sepupu saya selalu buat!). Kalau hendak ke Jalan TAR memang memerlukan persediaan yang 'rapi' . Awal pagi lagi, seawal jam 8:30 pagi sudah perlu bertolak ke Jalan TAR jika mahu mendapat tempat letak kereta yang berdekatan. Tempat letak kereta yang menjadi rebutan di Jalan TAR ialah di Semua House atau pun di Campbell Complex. Awal-awal pagi begini kadang-kadang peniaga pun belum buka kedai lagi. Kebanyakan peniaga yang berniaga di tapak yang disediakan akan tidur di tapak itu juga pada setiap malam.


keadaan di jalan tar sebelum menjadi sesak dengan orang ramai
Sumber : Google
Awal pagi macam ini di Jalan TAR masih berpeluang dapat
tempat letak kereta yang berhampiran 


Sumber : Google
Suasana di Jalan TAR menjelang tengahari dan petang


Menjelang tengahari suasana di Jalan TAR akan mulai sesak dan memerlukan tahap kesabaran yang tinggi pada waktu ini. Maklumlah, dalam keadaaan orang ramai begitu ada juga ibubapa yang membawa anak-anak kecil dalam stroller, ada pula yang berhenti sembang di tengah-tengah kesesakan orang ramai dan macam-macam ragam lagi. Disebabkan saya memang susah nak jumpa baju yang berkenan di hati, jadi selalunya saya redahkan juga lah lautan manusia di Jalan TAR itu. Berbaloi meredahnya jika akhirnya dapat baju yang dicari.

Ada juga yang kurang selesa hendak bersesak-sesak di tapak bazar raya di Jalan TAR, maka kedai-kedai berhawa dingin (yang dah tak rasa sangat pun hawa dinginnya kerana orang terlalu ramai) yang menjadi pilihan di sekitar Jalan TAR seperti Globe, Muaz Textile, Kamdar, Harisons, Nagoya, Gulatis (dan ada satu kedai jual baju kurung batik (saya lupa nama kedainya) yang cantik-cantik tapi mahal harganya) serta banyak lagi kedai-kedai kain dan tudung yang boleh buat orang rambang mata,

Tahun ini saya cukup dengan sepasang baju kurung sahaja, Berjaya juga saya temui yang berkenan dan ada saiznya di Aeon Setiawangsa tadi. Warna yang lembut, sedikit manik, tiada bling-bling dan yang penting ada saiz yang saya mahukan!

Baju kurung yang lama masih boleh dipakai jika berjaya turunkan berat badan....


***Betul ke baju raya Che Ta  tahun ini 30 pasang? **



0 comments: