Solat terawih, saya dan tirai...

Monday, June 06, 2016 Ana 0 Comments




Assalamualaikum & salam sejahtera....

Ok tak puasa di hari pertama Ramadhan ini?
Macam soalan untuk budak-budak atau orang pertama kali puasa pula kan. Macam anak saudara saya yang berumur 7 tahun. Di hari pertama ini, puasa tahan setakat pukul 2:30 petang. Yang adiknya umur 5 tahun, pukul 9 pagi dah berbuka makan nasi!

Ibadah terawih masuk malam ke-2 malam ini. Saya masih belum berkesempatan ke masjid, hanya tunaikan solat terawih di rumah. Jadi ada kerugian ganjaran berjemaah di situ. Kata sesetengah orang, kalau buat solat terawih sendirian di rumah, tak ada motivasi. Ya ke? Alhamdulillah, saya masih termotivasi untuk solat terawih, walaupun dibuat di rumah!

Cerita mengenai solat terawih, ada satu kenangan yang tak mungkin akan saya lupakan sampai bila-bila. Masa itu saya merupakan pelajar matrikulasi di Kampus UKM, Bangi. Pada setiap malam jika tiada halangan, ahli jawatankuasa Biro Agama (saya lupa dah nama biro nya) pelajar Matrikulasi akan anjurkan solat terawih di surau Dewan Anuwar Mahmud yang berdekatan dengan hostel (dulu dipanggil Kamsis) kami, Kamsis Ungku Omar. Ramai juga pelajar yang sertai dan tak kurang juga yang memilih untuk solat terawih di Masjid UKM.

Apa kenangan yang tak boleh dilupakan itu? Nak cerita melalui penulisan mungkin susah sikit nak digambarkan. Lebih jelas kalau tengok gambar yang saya jumpa di FB ini.

Sumber : FB ohmedianetwork
Tirai surau (yang memisahkan bahagian solat lelaki dan perempuan), yang ditiup angin kipas menutup kepala saya!

Saya agak 'bernasib baik' sebab tirai tersebut tersangkut atas kepala saya dan menutup sebahagian dari wajah saya. Memang gelap gelita lah pandangan saya masa itu. Dan kira-kiranya saya ini dah termasuk ke bahagian solat lelaki. Kenapa saya kata saya 'bernasib baik'?  Sebab di depan saya ada 2 orang pelajar lelaki matrikulasi yang sedang duduk-duduk saja, tak tahu lah kenapa mereka tak join sekali solat terawih tu. Bila saya tiba-tiba 'muncul' di tepi mereka dengan tirai di kepala, saya siap sempat dengar lagi salah seorangnya berkata, "Huish, terkejut aku!" (ha, itu lah, siapa suruh duduk saja tak solat!). Mujur kain tirai cover muka saya, kalau tidak memang tak pergi kuliah lah saya jawabnya. Malu! Habis solat terawih malam itu memang saya puas kena gelak dengan kawan-kawan.

Baca juga:
Selamat Menyambut Ramadhan atau Selamat Hari Raya?


Lepas peristiwa itu saya memang fobia sikit nak solat di saf pertama. Bila fikirkan kerugian tak rebut fadhilat saf pertama, saya cuba juga lah untuk atasi fobia itu. Memang cuak bila tirai di surau @ masjid 'melambai-lambai' ditiup kipas angin. Rasa-rasa macam akan berulang lagi peristiwa tirai di atas kepala!


0 comments: