MH370 Dijumpai - Harapan yang tak pernah padam, doa yang tak pernah putus...

Sunday, March 08, 2015 Ana 0 Comments

Assalamualaikum & salam sejahtera...

Hari ini 7 Mac 2015.

Esok. 8 Mac 2015.

Genap setahun.

Genap setahun MH370 hilang tanpa berita pada 8 Mac 2014. Oh, sungguh cepat masa berlalu.


Fikiran kembali mengimbas masa setahun yang lalu. Masih saya ingat waktu itu saya baru sahaja membuka tv. TV3. Terus terlihat seseorang membuat pengumuman. Macam kenal. Kalau tak silap ini CEO MAS, Ahmad Jauhari. Ada beberapa orang pegawai berdiri di belakangnya. Terlihat ada caption Berita Terkini. Saya masih belum dapat menangkap apa yang sedang diumumkan. Kemudian saya terbaca satu ayat yang menyentap perasaan. Lebih kurang begini ayatnya:


'Pesawat Malaysia Airlines MH370 yang dalam penerbangan ke Beijing hilang dari radar'

Hilang? Macam mana boleh hilang? Dalam.hati terasa debar yang tak dapat digambarkan.

Ah, mungkin ada kesilapan teknikal. Tak mungkin MH370 hilang begitu saja. Jika hilang dari radar sekali pun, mungkin pesawat itu mengalami masalah teknikal menyebabkan ia tidak dapat dikesan , tapi telah selamat mendarat di tempat lain. Tunggu saja sekejap lagi, pasti ada berita pesawat MH370 telah ditemui selamat mendarat.

Berita gembira itu tidak pernah kunjung tiba.

Sejak hari pertama MH370 hilang, saya tidak pernah ketinggalan mengikuti segala yang berkaitan dengan usaha pencariannya. Ternanti-nanti sidang media setiap hari. Saluran Astro Awani 24 jam terpasang di rumah saya. Ternanti-nanti agenda Awani, Awani 7.45. Ternanti-nanti Che Kem, Ashwad Ismail dan Rizal Zulkapli menyampaikan berita terkini dan mengulas kehilangan MH370. Saya mula tahu akan segala macam istilah penerbangan dan komunikasi(ping, immarsat, transponder) kenal individu-individu penting dunia penerbangan (terutama bekas kapten MAS Ahmad Huzlan), dan tahu segala macam teori yang ada kalanya tidak masuk akal langsung. Hari demi hari, harapan semakin menggunung dan doa semakin kerap dipanjatkan kepada yang Maha Kuasa. Sungguh, air mata tidak dapat ditahan-tahan setiap kali meletakkan diri saya di tempat waris penumpang MH370 yang hilang itu.

Setelah 30 hari berlalu, harapan semakin pudar. Kotak hitam tidak lagi mengeluarkan isyarat ping. Pencarian diteruskan, namun semakin sukar.

'Good night Malaysian 370'


Sukar untuk membayangkan apa yang berlaku selepas pilot mengucapkan kata-kata itu.

Apa agaknya yang berlaku? Masalah teknikal? Isyarat kecemasan tidak dapat dihantar ke menara kawalan? Pesawat hilang kawalan?

Bagaimana keadaan dalam pesawat ketika itu? Penumpang cemas? Anak-anak kecil menangis?

Segalanya kekal misteri sehinggalah MH370, insyaAllah ditemui satu hari nanti.

Satu hari nanti...


MH370, genap setahun kehilangannya


'MH370, please come back'

😦

0 comments: