Puasa sunat hari Arafah, rebut peluang diampunkan dosa....

Wednesday, July 29, 2020 Ana 0 Comments


Puasa sunat hari Arafah, rebut peluang diampunkan dosa....



Assalamualaikum & salam sejahtera....


Sebagai manusia biasa kita tak terlepas daripada buat dosa. Dosa yang kecil atau besar. Disa yang sengaja atau tak disengajakan. Dosa yang kita lakukan secara sembunyi mahupun secara terang-terangan. Dosa yang Tuhan lebih mengetahui daripada diri kita sendiri. Dosa yang setinggi gunung, seluas lautan dan sebanyak pasir di pantai 😓

Sempat atau tidak kita nak bertaubat atas segala dosa-dosa yang tak terhitung itu...?



"Daripada Abu Qatadah bahawasanya Nabi saw bersabda:

 صِيَامُ يَومِ عرفة أَحْتَسِبُ عَلَى الله أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ التي قَبْلَهُ والسنة التي بَعْدَهُ

Maksudnya:” Puasa pada hari Arafah,Aku berharap pada Allah agar dihapuskan dosa yang sebelum dan selepas tahun itu.”
- Riwayat Muslim (1162)


Jom kita sama-sama rebut peluang memohon pengampunan dosa dengan melaksanakan puasa sunat Arafah pada esok, 30 Julai 2020 bersamaan 9 Zulhijjah 1441 Hijrah.

Kalau tak esok, bila lagi?

Tahun depan belum tentu kita dapat bertemu lagi dengan hari Arafah, hari paling ramai umat dibebaskan daripada neraka.


"Daripada Sayidatina Aisyah, Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يُعْتِقَ اللَّهُ فِيهِ عَبْدًا مِنَ النَّارِ مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ وَإِنَّهُ لَيَدْنُو ثُمَّ يُبَاهِى بِهِمُ الْمَلاَئِكَةَ فَيَقُولُ مَا أَرَادَ هَؤُلاَءِ

Maksudnya :  Tiada hari yang Allah banyak membebaskan daripada neraka melebihi hari Arafah. Allah mendekati mereka lalu Allah membanggakan mereka kepada para malaikat. Allah berfiman, 'Apa yang diinginkan oleh mereka?'
- Riwayat Muslim (3354), Ibnu Majah (3014)

Puasa sunat hari Arafah


Rugi kan kalau tak rebut peluang ni?

Jom kita puasa sunat hari Arafah esok!




0 comments:

Covid-19 : Bersediakah kita hadapi gelombang ketiga?

Sunday, July 26, 2020 Ana 0 Comments



Covid-19 : Bersediakah kita hadapi gelombang ketiga?


2,897 individu gagal jalani saringan kedua akan didakwa - bharian.com.my

Tiga kluster iaitu Novgorod, Shirala dan Piktawa adalah berpunca daripada kes import dan berjangkit menjadi kes tempatan - Twitter KKMPutrajaya

Wanita pakai wristband Covid-19 makan di kafe, cetus kebimbangan netizen - Bernama.com


Apa agaknya persamaan sikap untuk individu dalam ketiga-tiga berita di atas?

Sikap pentingkan diri sendiri.

Sikap ambil mudah.

Sikap tak bertanggungjawab.

Sikap tak peduli.


Apa agaknya dalam fikiran individu terbabit apabila buat perkara-perkara di atas?


"Tak sempat buat ujian Covid-19 kedua sebab tak ada masa lah nak pergi buat ujian, I busy lah"

"Tak payah kot nak buat ujian Covid-19 kedua, saya tak ada apa-apa gejala pun, sihat je ni"

"Ala, saya sihat je tak ada demam batuk selesema bagai, salah ke nak makan kat kedai? Sekejap je pun!"

"Ya memang I gunting wristband tu tapi i tau lah nak jaga diri i. Tak payah risau, I akan pakai mask, buat social distancing. Kalau I pakai wristband nanti susah lah I nak ke mana-mana. Mesti ada banyak tukang report!"


Mungkin itu agaknya alasan-alasan yang diberikan oleh individu terbabit. Kesemuanya alasan pentingkan diri sendiri. Tak terfikir agaknya dengan sikap mereka itu akan susahkan banyak pihak.

Makcik yang gelang kuarantin tapi duduk makan di kedai makan, tak sedar kah dah susahkan pemilik kedai makan, pekerja kedai dan pelanggan yang lain apabila makcik disahkan positif Covid-19?

2897 individu (ramainya, bayangkan walau hanya 1 peratus daripada jumlah ini yang positif Covid-19, dah cukup ramai untuk menyebarkannya kepada orang lain) yang gagal hadir untuk ujian kedua Covid-19, tak sedarkah anda dah susahkan pihak berkuasa nak kena pergi ketuk pintu rumah anda dan jemput pergi buat ujian kedua?



Kes aktif dengan kebolehjangkitan dah melonjak sekelip mata. Daripada 77 kes pada 16 Julai kepada 167 pada 25 Julai. Nilai R0 dah meningkat. Daripada 0.3 ketika PKPB naik kini kepada 1.36. Peningkatan mendadak kes Covid-19 dijangkakan jika nilai R0 naik melebihi 1.6. Apa maknanya? Ini bermakna lebih ramai yang berkemungkinan terdedah dan dijangkiti virus Covid-19.



"Ala, kawasan saya masih zon hijau. Yang merah tu kat Kuching kan? Jauh sangat tu, tak ada kaitan pun dengan saya"

"Orang lain rilek je tak pakai mask, saya ikut je la"

"Boring lah duduk rumah, tak boleh ke nak lepak-lepak mamak sekejap?"


Masih ambil mudah? Masih rasa 'lemas' nak pakai pelitup muka? Masih rasa terkurung di rumah dan perlu untuk keluar rumah walaupun tiada urusan penting?

Bersediakah kita semua untuk menghadapi gelombang ketiga Covid-19 di Malaysia?

Semuanya bermula daripada diri kita sendiri. Kita jaga kita. Kita jaga keluarga kita. Kita jaga komuniti kita. Kita jaga negara kita.

Kalau bukan kita, siapa lagi?


 

0 comments:

Covid-19: Tolong jangan leka, kita masih belum menang!

Monday, July 20, 2020 Ana 0 Comments



Covid-19: Tolong jangan leka, kita masih belum menang!


Assalamualaikum & salam sejahtera...

Takut tengok ramai orang yang dah selesa.

Selesa macam Covid-19 dah tak ada. Selesa macam Covid-19 dah ada vaksinnya.

Pergi warung ramai dah tak pakai mask / pelitup muka. Lebih menakutkan bila yang tak pakai mask tu ialah golongan pakcik dan makcik. Dan tambah menakutkan bila pakcik dan makcik ini pandang saya yang pakai mask ni dengan pandangan pelik. Pelik tengok saya pakai mask pergi warung 🙁

Pergi restoran pun dah tak begitu bersungguh pemilik restoran nak check suhu pengunjung. Ada yang di check suhu nya, ada yang tidak. Pelanggan yang keluar masuk restoran ada yang tulis nama, ada yang tidak.

Pergi kedai runcit, ada pelanggan yang palai pelitup muka, ada yang tidak. Sampai hari ini saya tak boleh nak lupa ketika baru nak melangkah masuk ke sebuah kedai runcit pada suatu hari. Masa itu di kaunter ada seorang pelanggan tengah buat bayaran. Kaunter bayaran kan dekat dengan pintu masuk. Lagi 5 langkah saya nak masuk ke kedai, tiba-tiba....

"Achoooooommmmm!"

Aduhai. Pelanggan lelaki yang tengah buat bayaran itu bersin dengan sekuat-kuatnya. Sudah lah tak pakai pelitup muka, bersin pula dengan kuat tanpa menutup mulut. Mujur cashier tu pakai pelitup muka, kalau tak memang habis semua 'hasil semburan' bersin lelaki itu tadi singgah di mukanya.


Cara pakai mask
Credit : Twitter DGHisham


Itu belum lagi yang dilihat di tv. Dalam satu berita yang menunjukkan seorang yang berjawatan tinggi menziarahi keluarga yang baru kematian ketua keluarga. Ramai yang menziarahi dan hadiri majlis pengkebumian. Dan dalam ramai-ramai itu hanya seorang dua yang memakai pelitup muka. Yang tak menariknya bila individu berjawatan itu sebaik sahaja turun dari keretanya terus bersalaman, bertepuk bahu dan beramah mesra secara dekat dengan mereka yang hadir. Eh, dah boleh bersalaman dan bertepuk tampar  ke? 🤔

Memang betul telah lama angka kes baru harian di negara kita hanya satu atau dua angka. Tapi itu tak bermakna kita boleh lupakan semua SOP dan kembali kepada norma hidup yang lama. Selagi tiada vaksin ditemui untuk Covid-19, selagi itu lah kita perlu terus amalkan kawalan kendiri terutamanya penjarakkan sosial, kebersihan diri dan pemakaian pelitup muka. Agak menakutkan apabila satu demi satu kluster baru ditemui sejak kebelakangan ini.

Semalam saya ke Aeon Setiawangsa. Mujur masih ramai yang ada kesedaran untuk kawalan kendiri. Kebanyakannya masih memakai pelitup muka. Di pintu masuk ada yang check suhu dan semak info check-in. Sanitizer disediakan dan ada juga kelihatan pengunjung yang sedang beratur di kaunter bayaran pakai sanitizer yang dibawa sendiri.


Check-in MySejahtera


Perjuangan kita melawan Covid-19 masih belum selesai. Kita jangan terlalu selesa, kawan-kawan. Kita semua masih ingat betapa tak selesanya kita ketika awal PKP dahulu. Kita semua mesti tak nak melaluinya semula kan?  Masih ingat betapa 'syahdunya' kita semua bila tidak dapat pulang beraya disebabkan PKP ketika Hari Raya Aidilfitri yang lalu? Jangan sampai 'syahdu' itu kembali jika PKP dilaksanakan ketika Hari Raya Aidiladha dan larangan rentas negeri dikenakan semula nanti 😯. Bak kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah:

“Success breeds complacency and complacency breeds failure.” 
"Rakyat disarankan untuk terus amalkan kawalan kendiri. 
Jangan leka dan ambil mudah. 
Kita jaga kita, kita jaga keluarga kita. 
Kita jaga komuniti dan negara. 
Kalau bukan kita siapa lagi?"

#kitajagakita
#stopcovid19


0 comments:

Drama '7 Hari Mencintaiku 2' : Watak Sofi paling best!

Saturday, July 18, 2020 Ana 0 Comments



Drama '7 Hari Mencintaiku 2' : Watak Sofi paling best!


Assalamualaikum & salam sejahtera...


7 Hari Mencintaiku 2


"Sebagai seorang peguam, kau kena terima fakta dan fikir secara rasional"

Itu lah Sofi.

Watak paling saya suka dalam drama '7 Hari Mencintaiku 2'

Sejujurnya saya tak tonton drama ini setiap malam di TV3. Kadang-kadang saja ter tonton. Dan sebenarnya saya pun tak berapa ingat drama '7 Hari Mencintaiku' yang disiarkan lebih kurang sekitar penghujung 2016 yang lalu. Dah lebih 3 tahun berlalu. Jadi apabila tonton '7 Hari Mencintaiku 2' saya jadi agak blur sikit.

"Kenapa Mak Mia tu jahat sangat?"

"Kenapa Mak Mia dan ayah Sofi perangai camtu?"

"Macam mana Mak Mia dengan Syakila tu boleh geng?"

"Mia tu kan peguam tapi kenapa tak macam peguam pun. Semua benda pun senang percaya tanpa bukti?"

Macam ni la jadi nya bila tak follow dan tonton setiap kali siaran 😅

Tapi watak Sofi memang best daripada dulu hingga kini. Berbanding watak yang lain seperti Mak Leha yang sama 'naik' perangainya dengan Mia, Khuzairi yang terlampau lembut dengan Mia, Syakila yang 24 jam fikir rancangan jahat nak menghasut Mia mahupun Mak Mia (Yati) yang entah apa-apa perangainya nak merosakkan rumahtangga anak sendiri.

Sofi saja lah 'harapan' untuk membuka biji mata mata hati Mia untuk berfikir secara rasional (itu pun susah juga nak masuk kata-kata Sofi dalam kepala si Mia ni).

Tapi kan, drama '7 Hari Mencintaiku 2' ni memang stress menontonnya (bagi saya lah). Kebanyakan masa adalah adegan yang sindir menyindir, bergaduh dan hasut menghasut. Tapi adegan-adegan itu jugalah yang buat penonton geram dan terus melekat depan tv!

Baca juga:
Apa yang berlaku selepas 7 Hari Mencintaiku?
Dah boleh agak dah cincin itu tak ada dalam bekas!



Selain plot cerita yang 'menggeramkan' dan menaikkan darah penonton, runut bunyi atau lagu Datuk Seri Siti Nurhaliza turut menjadi bahan tarikan penonton. Lagu ala-ala lagu 'Wajah Kekasih' yang popular suatu ketika dulu.

Apakah kesudahan drama '7 Hari Mencintaiku 2' sama seperti '7 Hari Mencintaiku' yang berakhir dengan kebahagiaan buat Mia dan Khuzairi? Sama-sama lah kita 'tabahkan hati dan kawal emosi'  untuk terus menonton kesudahan drama 33 episod ini! 😊


Lagu : Aku Bidadari Syurgamu
Penyanyi : Dato' Sri Siti Nurhaliza
Komposer : Ippo Hafiz
Penulis lirik : Siti Rosmizah


Takdir kita telah bersatu
Kerna keangkuhan kupinggir kasihmu

Kini baruku sedari

Abadinya cinta

Hingga akhir nafasku
Walau kau kusayangi
Ku turut kata kau yang terluka

Maafku tak sempurna

Kiranya dikau tak bahagia
Chorus
Tuhan jiwa aku merawan
Perasaan saatku kehilangan

Oh! Biarlah aku

Pendam tangis di hati
Seandainya aku yang pergi dulu
Sampai mati kukan mencintai kamu

Kerna akulah bidadari syurgamu


 

0 comments:

Solat Jumaat, solat yang dirindui...

Friday, July 17, 2020 Ana 0 Comments




Solat Jumaat, solat yang dirindui...


Assalamualaikum & salam sejahtera....


Salam hari Jumaat, salam sayyidul ayyam. Jom kita perbanyakkan berselawat ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad saw...

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ



Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya

Cepat sungguh masa berlalu, terasa baru semalam hari Jumaat kini dah sampai semula ke hari Jumaat lagi.

Bagi kaum muslimin, di mana kah solat Jumaat anda hari ini?

Solat Jumaat, solat jemaah yang dirindui ketika PKP. Bagi muslimin yang taat, berpuluh-puluh tahun hidup telah sebati kaki akan melangkah ke masjid setiap kali tibanya hari Jumaat. Namun begitu tidak semua yang teruja ke masjid untuk bersolat Jumaat. Ada juga yang mengelat dan culas. Lepak di kedai kopi, lepak di kedai mamak.

Munculnya Covid-19 telah merencatkan seketika solat Jumaat yang ditunggu-tunggu pada setiap minggu itu. Bagi yang memang tak pernah tinggal solat Jumaat setiap minggu, perubahan ini memang meresahkan. Ramai yang mula mengeluh. Tak kurang juga ada yang menangis. Rindu nak ke masjid. Rindu nak berjemaah. Rindu nak bersilaturahim. Rindu nak bersalam sambil berselawat. Malah ada antara individu yang jarang-jarang ke masjid sebelum ini pun turut mengeluh rindu nak ke masjid.

Rindu.

Memang betul kata orang, kita selalu ambil mudah sesuatu perkara. Selalu take things for granted. Selalu tak hargai sesuatu perkara hinggalah perkara itu hilang dari mata.

Sudah lebih 12 minggu umat Islam tidak dapat menunaikan solat Jumaat semenjak PKP dilaksanakan Mac yang lalu. Di pertengahan Jun yang lalu, umat Islam mula kembali dibenarkan solat berjemaah di masjid tertakluk kepada SOP yang ditetapkan.

Alhamdulillah.


Solat Jumaat

Solat Jumaat

Solat Jumaat


Pengajaran terbesar daripada Covid-19 buat kita semua. Selagi hayat dikandung badan dan sebelum terjadi lagi musibah yang seumpama Covid-19 (minta dijauhkan), jom kita lazimi solat jemaah di masjid selagi mampu.

☺☺☺

0 comments:

Sekolah dibuka, Covid-19 dan norma baru...

Wednesday, July 15, 2020 Ana 0 Comments



Assalamualaikum & salam sejahtera....


"Apa perasaan adik bila mula sekolah hari ini?"

"Gembira dan sedih"

"Kenapa gembira dan kenapa sedih?"

"Gembira sebab dapat jumpa kawan-kawan. Sedih sebab tak dapat duduk rumah"


☺☺☺☺☺


Jujur adik ni jawab soalan yang ditanya wartawan dalam berita tv yang saya tonton tadi.

Ketika Covid-19 masih belum muncul, cuti sekolah sebulan pun dah terasa liat bila nak mula bersekolah semula. Ini kan pula bila dah 'dicutikan sekolah' selama hampir 4 bulan. Tambahan pula 'cuti sekolah tak sengaja' kali ini ditemani ibu bapa yang bekerja dari rumah dan sentiasa ada bersama anak-anak 24 jam. Lagi liat nak sekolah semula bila anak-anaj ini tengok ibubapa masih bekerja dari rumah dan anak pula dah kena kembali ke sekolah!

Begitulah.


SOP di sekolah
Credit : astroawani.com


Covid-19 banyak merubah norma biasa kehidupan kita. Pelajar yang dah biasa dengan pembelajaran konvensional mengadap guru di sekolah telah berubah 360 darjah apabila mula belajar secara online di rumah. Kini apabila kembali semula ke sekolah berhadapan pula dengan pelbagai aturan SOP yang perlu dibiasakan.

Masuk sekolah satu pintu, keluar sekolah dari pintu yang lain.

Tiada lagi bersalaman hormat dengan guru, hanya letak tangan di dada tanda hormat.

Suhu badan perlu diperiksa dan tangan perlu dicuci atau dipakai hand sanitizer sebelum masuk ke kelas.

Pelitup mula perlu sentiasa ada dan dipakai bila perlu.

Tiada lagi perhimpunan sebelum kelas bermula.

Tiada lagi berlari-lari riang ke kantin apabila tiba waktu rehat untuk beli makanan. Lebih mudah jika bawa saja bekal daripada rumah. Jika tidak, makanan yang telah siap dibungkus  dijual di kantin dan perlu dimakan di dalam kelas.

Tiada lagi kejar-mengejar di padang atau berebut bola waktu pendidikan jasmani.

Semuanya perlu teratur dan ikut peraturan baru.

Alah biasa tegal biasa.

Mungkin agak janggal dan kekok pada permulaannya tapi InsyaAllah akan terbiasa juga.

Semoga dipermudahkan segala urusan cikgu-cikgu sebagai frontliners di sekolah.

Semoga semua kegigihan para pelajar untuk berjuang menimba ilmu dikala Covid-19 masih berkeliaran juga dipermudahkan. Semoga anak-anak ini dilindungi daripada Covid-19 dan dijauhkan kita daripada kedengaran kes Covid-19 di sekolah-sekolah.

Aminnnn...

☺☺☺☺☺

0 comments:

Kenapa telinga kerap tersumbat?

Monday, July 13, 2020 Ana 0 Comments


Kenapa telinga kerap tersumbat?



Assalamualaikum & salam sejahtera...


Telinga sebenarnya tak boleh dikorek?

Betul ke? Habis tu macam mana nak bersihkan kotoran atau wax dalam telinga tu?

Wax tu akan keluar sendiri. Kita cuma perlu bersihkan kawasan luar atau kawasan cuping telinga itu saja. Itu info yang saya dapat daripada Audiologis, Puan Shasa Aziz semasa tonton Borak Kopitiam hari Jumaat yang lepas. Sebagai orang Islam, Tuhan dah atur cantik untuk kita bersihkan cuping telinga 5 kali setiap hari ketika berwuduk ☺

Telinga tersumbat
Credit : my.theasianparent.com



Tapi kan, macam mana kalau wax tu mengeras dalam telinga? Macam mana wax tu nak keluar sendiri? Bila dah jadi macam ni memang sengsara hidup. Orang bercakap dengan kita, kita tak berapa nak dengar. Kita bercakap dengan orang pun kita rasa macam pelik sebab tak dengar sangat suara sendiri. Memang rasa sangat sangat tak selesa.

Nak pergi jumpa doktor, segan dan malu (saya lah tu 😅). Jadi, cuba nak explore sendiri. Google sana sini. Beli ubat pelembut wax di farmasi. Titis dalam telinga dan tunggu wax lembut. Harapan menggunung wax akan keluar sendiri. Tunggu punya tunggu wax yang dinanti-nanti tak nampak batang hidung. Hati bertambah risau.

Akhirnya dah tak ada pilihan lain. Terpaksa juga jumpa doktor. Terpaksa buang rasa malu dan segan.

Jumpa doktor pun nak cari doktor perempuan.

Malu. Segan.

Doktor guna satu alat ini untuk tengok dalam telinga. Doktor kata ya memang wax dah keras dalam telinga. Kita cuba keluarkan dengan 'tembak' air ke dalam telinga.

Doktor minta nurse siapkan air suam. Isi air suam dalam alat 'penembak' dan proses 'menembak' keluar wax dari telinga pun bermula. Terasa penuh air dalam telinga. Tapi tak risau sebab air itu keluar semula bersama dengan wax yang telah mengeras itu. Doktor tunjukkan ketulan-ketulan wax yang keluar dari telinga dan terkumpul dalam bekas yang ditadah oleh nurse di bawah telinga.

Lega. Tiba-tiba semua benda dapat dengar dengan jelas. Ibarat kata jika jarum halus jatuh atas lantai pun boleh dengar dengan jelas.

😊😊😊😊😊

Saya tak henti-henti minta maaf dengan doktor dan nurse sebab menyusahkan je nak kena 'tembak' wax telinga saya yang keras tu. Doktor kata tak apa. Bukan saya seorang yang ada masalah wax telinga keras.

Mula-mula kita kena tahu kenapa wax tu boleh mengeras. Doktor kata antara sebabnya ialah badan kita yang panas. Kurang minum air. Maka wax telinga pun mengeras. Letak pelembut wax pun tak jalan.

Saya setuju sangat dengan kata doktor tu sebab saya memang sangaaaaaaat kurang minum air. Percaya atau tidak, dalam sehari kebiasaannya saya hanya minum 3 gelas air. Segelas waktu sarapan. Segelas waktu makan tengahari dan segelas lagi waktu malam.

Setakat ini sudah 2 kali saya buat proses keluarkan wax dari telinga. Selang dua tahun. Itu pun bila memang telinga rasa dah tak selesa sangat. Doktor pernah pesan kalau nak elakkan berlaku lagi rajin-rajinlah minum air supaya badan tak panas. Atau pun rajin kan letak pelembut wax dalam telinga sekali seminggu dan jangan tunggu sampai dah kurang dengar baru nak cari pelembut wax. Masa tu dah terlambat dan memang dah susah wax nak keluar sendiri.

Kalau anda pun ada masalah yang sama dengan saya, cuba check sama ada anda pun kurang minum air. Mencegah lebih baik daripada merawat. Minum air banyak lebih baik daripada wax telinga mengeras 😅


 

0 comments:

Berkorban kah kita tahun ini?

Sunday, July 12, 2020 Ana 0 Comments

Berkorban kah kita tahun ini?


Assalamualaikum & salam sejahtera...


Lama dah tak menulis. Semenjak PKP, idea menulis terikut sekali 'terkawal pergerakannya' lalu berlaku lah blog tersadai lebih 3 bulan 😣

Diam tak diam tinggal lebih kurang 18 hari lagi menjelang Hari Raya Aidiladha.

12 tahun yang lalu, Aidiladha saya sambut bersama emak dan jemaah haji yang lain di dalam khemah di Mina.

2006 mendaftar haji di Tabung Haji. Dijadualkan giliran akan mengerjakan haji tahun 2012. Buat surat rayuan cepatkan giliran haji.

2006 juga dapat surat 'standby' sebagai bakal jemaah haji. Terpaksa menolak disebabkan hal tidak dapat dielakkan.

2007 buat lagi surat rayuan. Tiada berita mengenai status giliran haji pada tahun itu.

2008. Alhamdulillah, dapat surat tawaran haji.

12 tahun telah berlalu namun kenangan mengerjakan haji masih terasa seperti semalam.

Kenangan terindah dalam hidup.


Ibadah korban 2020




Tahun ini, suasana menjelang Aidiladha jauh berbeza.

Tiada lagi jutaan jemaah mengerjakan tawaf.

Tiada lagi jutaan jemaah berlari-lari anak di laluan sa'ie.

Tiada lagi jutaan jemaah berhimpun di di Muzdalifah dan Mina.

Tiada lagi jutaan jemaah melontar di 3 jamrah.

Tiada lagi rasa teruja menghantar ibubapa, sanak saudara atau kenalan ke kompleks haji.

Tiada lagi rasa sebak tatkala lambaian terakhir di balai pelepasan.

Tiada lagi.

Bertabah lah hati bakal jemaah tahun ini. Ada rahmat di sebalik dugaan.

Semoga dipermudahkan urusan haji pada tahun hadapan, InsyaAllah. Aminnnn...


Tak dapat tunaikan haji, jom kita laksanakan ibadah yang tak kurang pentingnya iaitu ibadah korban.

Sama juga dengan ibadah haji, ibadah korban kali ini juga sedikit terkesan dengan penularan Covid19.  Perlaksanaan ibadah korban dibenarkan dengan syarat mengikut SOP yang telah ditetapkan dan adalah digalakkan dilaksanakan di pusat-pusat penyembelihan.

Disebabkan pandemik, masjid berdekatan rumah saya kali ini hanya menyediakan 10 ekor lembu untuk dikorbankan. Jauh bezanya dengan tahun-tahun yang lepas di mana pernah mencapai hingga 20 ekor lembu dikorbankan. Disebabkan jumlah lembu yang terhad maka ramai lah yang beralih kepada penyediaan perlaksanaan ibadah korban secara online.

Selain EzQurban,  penyedia perlaksanaan ibadah korban MyQurban turut menjadi pilihan bagi yang berhajat untuk berkorban pada tahun ini.  Sudah ramai yang laksanakan Ibadah Korban dan Akikah di Makkah bersama MyQurban. Tahun lepas sahaja lebih 5,000 ekor kambing disembelih di sana.

Ibadah Korban 2020


Daging akan diedar kepada penduduk Makkah terutama masyarakat Patani, Melayu dan golongan yang memerlukan. Harga kambing di Makkah ialah RM490 seekor sahaja. Tarikh tutup penyertaan ialah malam raya haji nanti. Sijil akan diberikan setelah selesai ibadah korban dilaksanakan.

Jika nak buat ibadah korban di Makkah, ini lah masanya. Boleh terus buat tempahan dengan MyQurban dengan klik di sini : Ibadah Korban bersama MyQurban

MyQurban juga menyediakan khidmat badal haji tetapi terhad kepada 500 orang sahaja untuk tahun ini. Jika berhajat perlu segera klik di sini : Badal Haji bersama MyQurban  kerana tarikh tutup adalah pada 17 Julai 2020 nanti.

Jom sama-sama kita laksanakan ibadah korban sebagai tanda kesyukuran atas segala rahmat dan limpah kurnia Tuhan sepanjang kita hidup di muka bumi ini. Syukur paling utama di atas kurniaan nikmat iman. Syukur diberikan kesihatan dan perlindungan daripada wabak yang mengancam nyawa.

Syukur atas segala-galanya......

"Oleh itu kerjakanlah solat kerana Tuhanmu dan sembelihlah korban (tanda kesyukuran)" - Al-Khautsar, ayat 2



0 comments: