Suami, isteri dan orang ketiga......

Wednesday, December 30, 2020 Ana 0 Comments

 

Suami, isteri dan 'orang ketiga'.......


Assalamualaikum & salam sejahtera...


"Akak nak bagitau ni. Akak dah berpisah dengan laki akak 6 bulan lepas...."

Allahuakbar. Terkejut beruk saya bila baca sebaris ayat whatsapp daripada seorang akak yang juga senior saya di tempat kerja dulu.

Sebenarnya saya dah lama terasa lain macam dengan akak ni. Daripada update nya di FB sejak kebelakangan ini hanya ada gambar akak itu dengan anak-anaknya. Kelibat suaminya tak kelihatan.  Nak tanya, macam menyibuk pula tanya pasal laki orang 😅. Jadi saya simpan saja jadi tanda tanya hingga lah tiba-tiba akak tu terbuka hati nak bagitau saya berita sedih ini.

"Bekas suami akak tu ada perempuan lain. Kawan satu ofis dia. Dah lama rupa-rupanya dia sorok daripada akak"

"Dia kata kat akak yang dia bukan jenis family type.  Dia tak suka nak urus pasal anak dan keluarga"

Geram pula saya rasa bila baca whatsapp akak tu. Memang macam tu ke perangai lelaki? Mudahnya lupa anak bini bila ada yang menggoda. Dah kahwin 18 tahun dan ada anak empat orang boleh pula tiba-tiba bagi alasan kata dia bukan family type dan tak suka uruskan keluarga?

💔💔💔

Yang paling menyakitkan hati ialah kata-kata si lelaki 'I need my life back'. Apakah selama 18 tahun hidup berumahtangga si lelaki rasa terpaksa dan kosong, tiada life? Takkan tiada makna langsung 4 orang anak-anaknya yang telah remaja itu pada dirinya? Apakah dengan tinggalkan anak dan isteri dan kahwin lain maka si lelaki itu akan dapat semula 'life' nya?

Alasan lelaki curang


Saya ingat lagi akak itu pernah bercerita bagaimana dia sama-sama susah menanggung perbelanjaan keluarga ketika suami berdepan masalah di tempat kerja. Saya ingat lagi cerita gembira akak tu macam mana dia dan suami mengecat rumah bersama-sama sebagai persediaan sambut raya. Saya ingat lagi gambar-gambar gembira mereka sekeluarga keluar tonton wayang dan berjogging sama-sama. Pada pandangan saya akak itu dan suami nya bahagia bersama. Selalu juga saya angkat tangan bila terserempak dengan suami akak itu yang datang menjemputnya bila habis waktu kerja. Naik motor besar bersama-sama. 

Sampai hati 'orang ketiga' itu merampas kebahagiaan rumahtangga orang lain. Apa sudah tak ada lelaki lain nak dijadikan suami hingga sanggup ambil suami orang? Saya tahu lah suami akak tu ada iras-iras pelakon Aaron Aziz, tapi sampainya hati buat begitu. Tapi jangan lupa wahai orang ketiga. Jika hari ini si lelaki sanggup tinggalkan anak dan isterinya untuk bersama dengan anda, tak mustahil suatu hari nanti anda pula akan ditinggalkan jika ada perempuan lain yang datang menggoda.

Emosional betul saya!

Tapi satu perkara yang saya yakin ialah akak itu akan terus kuat hadapi dugaan hidup sebagai seorang ibu tunggal. Tambahan pula dengan anak-anak yang semakin membesar yang pasti menjadi pendorong dan penguat semangatnya 💪💪💪

Benar jodoh itu rahsia Tuhan. Dan Tuhan juga yang memberikan akal untuk kita berfikir dan menimbangkan baik buruk suatu keputusan. Jangan disebabkan cinta, hati jadi buta hingga sanggup bina kebahagiaan sendiri di atas penderitaan orang lain....



0 comments:

Peniaga yang tak nak untung?

Monday, December 28, 2020 Ana 0 Comments

Peniaga yang tak nak untung? 


Assalamualaikum & salam sejahtera....


'No drive thru. Ini bukan McD'


Begiulah nota yang tertulis di depan gerai jual nasi kukus yang terletak berhadapan dengan Klinik Kesihatan Taman Keramat.

Apa yang pertama sekali terlintas di fikiran anda apabila baca nota macam ni?

Automatik dalam kepala saya terus buat anggapan macam ni:

"Ish, berlagaknya, kan ke dah rugi kalau ada customer yang nak cepat dan nak beli drive thru je tapi terus cancel bila dari jauh dah nampak nota macam tu"

"Dah banyak sangat untung kot sampai tak nak layan drive thru, dah tak kisah rugi seringgit dua"


Drive thru
Credit : Google


Tapi kan, bila fikir-fikir balik, mana ada peniaga yang berniaga untuk rugi. Sebagai peniaga, apa yang ada dalam kepala mestilah nak cari keuntungan sebanya yang boleh, betul? Seringgit dua pun kira untung juga kan.

Jadi, fikir secara positifnya, mungkin...

Mungkin pelanggan yang beli secara drive thru akan ambil masa nak buat pesanan. Jadi bila dah ramai yang drive thru saja boleh buatkan keadaan depan gerai sesak tambahan pula gerai itu betul-betul di jalan utama. Mungkin akan susahkan kenderaan lain yang lalu lalang. Atau lebih serius ada pula orang buat aduan dan peniaga akan dikenakan tindakan.

Mungkin juga peniaga tak cukup kakitangan nak layan pelanggan yang datang ke gerai dengan pelanggan yang beli secara drive thru.

Mungkin lah...

Fikir positif saja lah, tak ada peniaga yang tak nak untung kan....


Baru-baru ini iklan pizza terkini sebuah restoran pizza terkenal di tv berjaya buat saya teringin nak makan pizza. Dah lama betul rasanya tak makan pizza, akhir sekali makan pizza ialah masa raya puasa yang lepas (7 bulan yang lalu!). Sebelum call untuk penghantaran pizza ke rumah memang dah teruja senaraikan pizza yang diidam-idamkan 😅

"Cik nak dengar promosi dulu atau terus buat pesanan?"

"Saya nak buat pesanan. Saya nak pizza yang kat tv tu pizza XYZ tu"

"Oh maaf Cik, cawangan pizza kami iaitu cawangan YYY yang berdekatan dengan rumah Cik tak ada sediakan pizza XYZ"

"Oh ye ke" (sedikit hampa di hati)

""Kalau macam tu saya nak yang double box large, pizza ABC dan pizza DEF, dua-dua nak stuffed crust"

"Oh maaf cik, di cawangan tu pizza stuffed crust tak ada stok Cik"

"Oh ye ke" (hampa buat kali ke-2, mungkin sebab saya jarang juga call untuk pizza delivery maka ini pertama kali saya dengar pizza tak ada stok)

"Kalau cawangan lain ada tak? Kat Aeon dekat kawasan ni ada cawangan kan?"

"Maaf Cik. Kalau kawasan Cik memang cawangan YYY saja yang boleh buat delivery. Cawangan di Aeon tu untuk makan di sana saja tak ada delivery"

😕

Jadi memang tak ada pilihan langsung akhirnya. Sampai hari ni tak ada mood nak call pizza delivery lagi 😅

Dalam hal ni nak fikir positif macam mana pun tak tau lah. Mungkin restoran tersebut memang hadkan stok pizza untuk sehari untuk jaga kualiti pizzanya? Tak apa tak dapat terima pesanan pelanggan dan rugi seringgit dua asalkan kualii terjaga? Positifnya!

Tiada peniaga yang tak nak untung. Sedikit untung di sana sedikit rugi di sini. Untung jangka pendek atau untung jangka masa panjang. Pilihan di tangan si peniaga sendiri....



0 comments:

Tips rajin bersedekah, jom kita amalkan!

Friday, December 25, 2020 Ana 0 Comments


Tips rajin bersedekah, jom kita amalkan!



Assalamualaikum & salam sejahtera...

Salam hari Jumaat, salam sayyidul ayyam. Jom kita perbanyakkan berselawat ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad saw...

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya


Hari ni hari Jumaat, hari penuh keberkatan dan hari mustajabnya doa. Juga hari yang disunatkan untuk kita banyakkan amalan-amalan yang baik. Antara amalan yang digalakkan ialah memperbanyakkan bersedekah.

Mudah nak bersedekah zaman segalanya di hujung jari ini. Jika dulu nak bersedekah perlu ke masjid atau tempat-tempat tertentu, kini mudah saja boleh bersedekah melalui atas talian. Klik dan pilih saja nak bersedekah kepada siapa. Tak ada alasan lagi nak kata susah nak bersedekah.


Sedekah Jumaat



Kalau ikutkan pengalaman saya sendiri memang agak 'liat' 😅 nak bersedekah jika tak dibiasakan. Jadi kena mula kan sikit-sikit. Kalau dalam bulan ini sedekah RM2 saja sebulan, bulan depan kita cuba pula sedekah RM setiap minggu. Apabila dah terbiasa kita cuba pula bersedekah RM2 setiap hari. Alah bisa tegal biasa. Lama-lama apabila dah terbiasa bersedekah setiap hari, kita akan terasa janggal/kekok/pelik/ada benda tak kena apabila satu hari tu kita terlupa nak bersedekah. Jom kita sama-sama jadikan bersedekah sebagai satu 'habit' baru atau pun salah satu azam kita untuk tahun baru 2021 yang bakal tiba.


Kalau tak silap saya pernah tonton rancangan 'Tazkirah Malam Jumaat' yang ada Ustaz Amin sebagai salah seorang panelnya. Topik perbincangan saya dah lupa 😅 tapi saya ingat sangat-sangat apa yang Ustaz Amin cakap dalam rancangan tersebut. Lebih kurang beginilah katanya:

"Apabila kita bersedekah, itu lah sebenarnya yang jadi milik kita. Apa yang kita sedekah tu tak akan hilang, ia akan kembali pada kita semula. Sedekah itu lah yang akan jadi bekalan kita di hari akhirat nanti. Contoh mudah macam ni.  Kita ada sepuluh buah beg. Kita keluar dari rumah nak pergi ke kereta untuk simpan beg-beg tersebut. Kita tak akan dapat bawa semua sepuluh beg itu sendiri. Jadi kita kena minta tolong orang lain bawa kan beg-beg itu untuk kita. Bila sampai ke kereta kita akan dapat semula 10 beg itu. Sama lah macam harta kita. Kita tak dapat nak bawa semua harta kita ke akhirat. Jadi kita minta tolong orang lain bawakan harta kita itu (melalui sedekah) dan di akhirat nanti kita akan dapat semula harta/sedekah itu sebagai bekalan kita di alam sana."

Lebih kurang macam tu lah yang saya faham kata-kata Ustaz Amin. Mudah dah jelas contoh yang Ustaz Amin beri.
Mula daripada situ lah makin bersemangat rasa nak bersedekah 🤗

Jadi jom kita mula rajin 'cari orang untuk tolong bawa harta kita ke akhirat' atau dalam bahasa mudahnya jom kita mula rajin bersedekah! 😊




0 comments:

Covid-19 : Penat, letih, lupa dan lalai bukan satu pilihan...

Saturday, December 19, 2020 Ana 0 Comments

 

Covid-19 : Penat, letih, lupa dan lalai bukan satu pilihan...


Assalamualaikum & salam sejahtera....


Maaf lama blog ni terbiar bersawang 😅


Apa rancangan anda hujung minggu kali ini? Memandangkan rentas negeri dah dibenarkan sejak 7 Disember yang lalu, hujung minggu sekarang ini ramai yang dah merancang ke sana sini. Ada yang balik kampung dan ada yang cuti-cuti Malaysia. Tak kurang juga yang sekadar jalan-jalan cari makan atau cuci mata di pisat beli-belah.

Eh, rasa macam dah balik kepada kehidupan harian kita sebelum munculnya Covid-19 kan?

Menteri kata kita semua bertanggungjawab untuk jaga dan lindungi diri kita sendiri daripada dijangkiti Covid-19. Betul lah tu. Tapi lumrah sebagai manusia yang mudah lupa, kita kadang-kadang akan terlalai dalam mengamalkan norma baharu dalam kehidupan.

Jaga jarak sosial. Masih juga kita nampak orang ramai bersesak-sesak di pasaraya, kedai makan dan tak lupa juga kedai emas!

Periksa suhu sebelum masuk ke premis yang dikunjungi. Masih ada juga yang terlupa nak scan suhu (lebih-lebih lagi apabila tak ada yang menjaga di pintu masuk. Saya pun kadangkala terlupa juga 😅). Tak kurang kurang juga yang hulur tangan untuk discan pada termometer!)

Sebut pasal scan suhu guna tangan, teringat saya pada satu insiden di kedai Kak Nana, sebuah kedai makan di simpang masuk berdekatan Masjid Al Ansar baru-baru ini. 

"Kau kena hormat aku, aku ni customer!"

Terkejut saya yang sedang beratur nak bayar harga lontong yang dah di tapau. Hampir semua pelanggan di kedai itu menoleh pada lelaki yang 'naik angin' itu.

"Aku kata nak check tangan, tangan lah. Yang kau nak suruh check suhu kat dahi juga kenapa!"

Terdiam pekerja yang dah siap sedia nak 'menembak' suhu di dahi lelaki tersebut. Kasihan. Dia hanya jalankan tanggungjawab. Dan yang pastinya tanggungjawab yang diamanahkan oleh majikannya ialah check suhu di dahi, bukan di tangan.

Di kebanyakan tempat pun mungkin dah agak 'letih' dengan perlaksanaan SOP. Baru-baru ini, pada 16 Disember yang lalu, saya ke sebuah hospital kerajaan. Sampai saja di lobi utama saya tercari-cari sesuatu. Selalunya sebelum ini ada petugas di pintu masuk yang akan check suhu dan lekatkan sticker di baju.

Kali ini lain. 

Yang ada hanyalah seorang petugas yang tugasnya melekatkan sticker pada setiap individu yang melalui pintu masuk.

Apa fungsinya sekadar lekatkan sticker di baju?

Dan pada sticker itu pula tertulis tarikh '16 Oct' sedangkan tarikh yang sebenar ialah 16 Disember.

🤔🤔🤔


Covid19- Kita dan SOP


Jika dulu jumlah kes baru positif Covid-19 catat 2 atau 3 angka pun dah mengejutkan kita semua. Tapi kini sudah berhari-hari kes mencatatkan 4 angka. Bimbang juga jika kita semua sudah bagai tiada 'rasa' apa-apa dengan peningkatan kes. 

😓😓😓

Kita sebenarnya tiada pilihan lain. Kita sendiri beetanggungjawab untuk jaga diri sendiri.

Kita jaga kita.



0 comments:

Tinggal 8 hari saja lagi, jom banci!

Tuesday, September 22, 2020 Ana 0 Comments



Tinggal 8 hari saja lagi, jom banci!


Assalamualaikum & salam sejahtera...


🎵🎵
Banci, aspirasi negara
Penggerak sosioekonomi
Banci, tanggungjawab bersama
Data anda masa depan kita 🎵🎵


Anda dah isi soal selidik banci atas talian, e-Census?

Banci 2020 kali ini diadakan melalui 2 kaedah, iaitu secara atas talian dan secara bersemuka.  Banci atas talian diadakan bermula 7/7/2020 hingga 30/9/2020 manakala banci secara bersemuka diadakan bermula daripada 7/10/2020 hingga 24/10/2020.

Di musim PKP ni saya percaya tak ramai antara kita yang 'sudi' nak terima tetamu. Apa tah lagi tetamu yang datang untuk buat soal selidik. Jadi kalau anda tak mahu disoal selidik di rumah, rebutlah peluang untuk isi borang e-Census sebelum tarikh tamatnya 30/9/2020.

Saya mula ada 'kesedaran' nak buat e-Census pada 17/9/2020 yang lalu. Sedikit lewat tapi belum terlambat kan 😅. Disebabkan saya tak dapat poskad yang ada code untuk isi e-Census, maka saya perlu isi maklumat pra-pendaftaran e-Census di link ini. Selesai isi maklumat yang diperlukan maka saya pun dapatlah emel 'Pengesahan emel pra-pendaftaran e-Census'. Ada satu link dalam emel tersebut yang perlu saya klik dan seterusnya dapatlah skrin seperti di bawah. Menurut apa yang diberitahu, saya akan dapat satu lagi emel dalam masa terdekat yang ada invitation code dan dengan code tersebut baru lah saya boleh isi e-Census.



Ok, saya pun tunggulah emel dengan invitation code tersebut.

Emel yang ditunggu tak kunjung tiba 🤔

Lalu saya pun call hotline Banci 1800 88 7720 keesokan harinya.

'Hello, saya nak tanya macam mana kalau saya tak dapat lagi emel dengan invitation code?"

"Bila ya Cik daftar dan sah kan emel?"

"Semalam 17/9, saya sahkan malam tadi"

"Oh, Cik kena tunggu 3 hari baru boleh dapat emel dengan code tu"

"3 hari? Kat mana ada bagitau kena tunggu 3 hari?"

"Kan bila Cik dah sah kan emel, ada satu pop up tulis 'Kami akan emelkan invitation code (id e-Census) dalam masa 3 hari...."

Dalam hati saya tertanya-tanya juga, eh ada pop up ke? Atau phone saya yang block? Yang saya nampak tulis di situ ialah 'dalam masa terdekat' bukan dalam masa 3 hari.

"Jadi sekarang ni Cik kena tunggu je. Kalau saya nak check sekarang pun tak boleh memang kena tunggu 3 hari. Kalau esok Sabtu Cik masih belum dapat emel tu Cik boleh call kami semula"

"Oh, ok. Saya bercakap dengan siapa ni?"

"Saya *****"

"Ok, terima kasih"


Hari Sabtu, 19/9. Saya masih belum dapat emel dengan invitation code tu. Maka saya pun call semula talian hotline Banci.


"Hello, saya nak tanya macam mana kalau saya tak dapat lagi emel dengan invitation code?"

"Tak dapat lagi ya. Cik pernah call tak sebelum ni?"

"Pernah"

"Ada nombor report tak Cik?"

"Nombor report? Tak ada"

"Sebelum ni Cik cakap dengan siapa? Ada tak dia minta maklumat untuk buat report?"

"Tak ada"

Lepas itu baru lah diminta semua info seperti nama, call dari mana dan alamat emel untu dibuat report.

"Ini no report Cik. Kalau ikutkan kena tunggu 3 hari untuk dapat emel dengan code tu"

"Saya kena tunggu lagi?"

"Ya Cik, kalau tak dapat juga 21/9 nanti, Cik boleh call kami semula"

Saya pun menurut arahan dan 21/9 pun tiba namun emel code itu tak juga kunjung tiba.

Maka, saya pun call semula talian banci dan didendangkan lagi dengan lagu banci 😅 sementara tunggu panggilan dijawab.

🎵🎵
Banci, aspirasi negara
Penggerak sosioekonomi
Banci, tanggungjawab bersama
Data anda masa depan kita 🎵🎵


Akhirnya kedengaran suara di hujung terowong sana.

"Hello, saya nak tanya saya masih belum dapat emel dengan invitation code tu. Nombor report saya xxxxxx"

"Sebentar ya Cik, saya semak dulu. Kalau saya check sini report Cik ni masih pending"

"Ada masalah ke nak dapatkan code tu?"

"Bukan masalah Cik. Code tu bukannya kita generate, kita kena cari untuk setiap individu"(lebih kurang beginilah yang saya dengar penjelasan beliau)

"Oh ye ke"

"Ya Cik. Ada pemanggil yang request sejak 1 September pun belum dapat lagi code mereka"

"Eh, kalau macam tu macam mana kalau ada orang baru nak request code pada 30 September nanti?"

"24hb tarikh last untuk request code ni Cik. Yang 30hb tu last untuk isi e-Census"

"Oh, ada dimaklumkan ke kat mana-mana yang 24hb tu last date untuk request code?"

"Ada Cik. Kalau tak silap saya ada dimaklumkan di website banci"

"Ok"

"Ok Cik, saya dah maklumkan pada pihak teknikal kami. Kemungkinan Cik akan dapat code tu malam ini atau esok"

"Ok. Kalau tak dapat juga saya akan call balik"

"Ok, Cik"

"Saya cakap dengan siapa ni?"

"Saya ****"

"Ok, terima kasih"


Malam itu saya dapat panggilan daripada pihak banci. Saya rasa daripada pegawai yang sama menjawab panggilan saya petang tadi.

"Cik, kami dah dapatkan code banci untuk Cik. Cik boleh catat code ni...."

Akhirnya.

'Gigih' tak saya berusaha nak  dapatkan code banci supaya dapat elak banci secara bersemuka? 😅😅😅

Gigih 👍 juga pegawai daripada hotline banci tu call saya malam-malam untuk bagitahu code banci. Terima kasih!






Kalau anda pun ada masalah untuk dapat invitation code bagi isi e-Census, segeralah call hotline banci sampai lah anda akhirnya dapat code tersebut. Mungkin disebabkan tarikh tamat isi e-Census dah semakin hampir, maka semakin ramai yang call hotline dan talian semakin sibuk. Maka 'sedikit' kesabaran amat diperlukan di sini 😅

Tinggal 8 hari saja lagi untuk mengisi e-Census.

Tunaikan tanggungjawab anda. Data anda masa depan kita. #BanciMalaysia.


🎵🎵
Banci, aspirasi negara
Penggerak sosioekonomi
Banci, tanggungjawab bersama
Data anda masa depan kita 🎵🎵


0 comments:

Malaysia..Malaysia...Negara yang jaya....

Wednesday, September 16, 2020 Ana 0 Comments


Malaysia..Malaysia...Negara yang jaya....



Assalamualaikum & salam sejahtera....


Selamat Hari Malaysia yang ke-57 😊

16 September 1963 - tahun ini sambutan Hari Malaysia yang ke - 57
31 Ogos 1957 - tahun ini sambutan Hari Kemerdekaan yang ke - 63

😊

Berpuluh-puluh tahun yang lalu, iaitu ketika dalam darjah satu 😅 saya pernah menangis waktu perhimpunan di sekolah. Sebabnya? Sebab saya tak tahu nak nyanyi lagu 'Malaysia Sejahtera'. Takut kena marah sebab tak tahu nyanyi. Padahal tak ada siapa pun nak perhati siapa yang menyanyi dan siapa yang tidak 😆. Mungkin juga menangis bukan sebab takit kena marah tapi lebih kepada malu sebab tak tahu lirik lagu tersebut.


Malaysia..Malaysia
Negara yang jaya
Malaysia...Malaysia
Bebas dan merdeka

Seluruh rakyat bersatu, berpadu
Menentang angkara murka
Kami ingin berdamai
Di antarabangsa

Dengan sorak sorai gembira
Di seluruh negara
Malaysia sudah berjaya
Rakyat makmur dan sentosa


Selamat Hari Malaysia


Dalam usia 57 tahun, telah banyak yang dilalui oleh Malaysia sebagai sebuah negara. Namakan apa saja. Daripada sudut politik dengan pergeseran yang tidak dapat dilupakan antaranya yang berlaku pada tahun 1969 dan 1998. Daripada sudut getir mengharungi kemelesetan ekonomi serantau pada tahun 1997. Daripada sudut tragedi yang menggegarkan negara (dan dunia) seperti runtuhnya Highland Towers pada 1993 dan dua tragedi menyayat hati dengan kehilangan MH370 pada Mac 2004 dan hancurnya MH17 pada Julai 2004. Tak lupa juga memori manis ketika Malaysia berbangga menjadi tuan rumah Sukan Komanwel pada tahun 1998.

Kesemuanya dihadapi dengan tabah bersama-sama. Malaysia dan anak watannya.

2020, Malaysia (dan seluruh dunia) diuji lagi. Kali ini bukan calang-calang ujiannya. Berhadapan dengan musuh yang tidak nampak di mata, Covid-19. Malaysia, InsyaAllah mampu mengharungi ujian ini, sekali lagi dengan kesepaduan seluruh anak Malaysia.

Malaysia, oh tanahairku
Tanah tempat tumpah darahku
Negeri elok amat ku cinta
Yang kupuja sepanjang masa.....

Selamat Hari Lahir yang ke-57, Malaysia...😘





 

0 comments:

Udang gemuk dalam kotak...

Tuesday, September 15, 2020 Ana 0 Comments


Udang gemuk dalam kotak...


Assalamualaikum & salam sejahtera....

Siapa suka makan udang?

Ada orang kata tak elok makan udang selalu, nanti kolesterol tinggi. Tak elok makan makanan laut selalu, nanti gout. Sebenarnya, makan apa-apa pun kalau berlebihan memang tak elok dan bawa mudarat pada kesihatan kan.

Baru-baru ini adik saya belikan udang. Memang setiap minggu jadi rutin adik tolong belikan keperluan harian di rumah. Puas juga saya cari udang dalam bahagian sejuk beku tak jumpa pula. Rupa-rupanya udang 'special' yang dibeli adik saya, patut lah tak jumpa.

Udang dalam kotak. Macam dapat hadiah.

Udang XL

Udang XL


Mungkin dah ramai yang tahu pasal Encik Udang KL. Saya yang baru tahu. Encik Udang KL membekalkan udang segar dari kolam, menggunakan blast freezer -40°C dan disimpan dalam cold room pada suhu -20°C. Saiz udangnya pun boleh tahan besar-besar dan gemuk-gemuk juga. Memang sedap bila tambah dalam kue tiau goreng. Makan nasi pun bertambah bila berlaukkan udang masak lemak cili api dengan kacang panjang. Siap dihisap kulit udang yang manis bila dimasak lauk sambal udang. Baru-baru ini nak masak sambal tumis udang pun berkira-kira juga sebab saiz udang yang besar. Selalunya kan masak sambal tumis udang tak ada lah dengan udang segemuk itu. Akhirnya saya potong dua udang tersebut baru lah dibuat sambal tumis udang.

Kue tiau goreng udang.

Gulai udang masa lemak cili api dengan kacang panjang.

Udang masak sambal cili.

Sambal tumis udang.

Maaf lah, semua masakan yang saya masak di atas dengan udang segar daripada Encik Udang KL tak sempat nak saya ambil gambarnya 😅

Yang ada dan sempat saya snap gambar ialah gambar udang yang baru bawa keluar dari freezer dan dah dibersihkan. Tak pernah pula sebelum ni excited saya ambil gambar udang 😅 sebelum dimasak.

Udang XL

Udang XL


Kalau anda ada plan nak masak udang, boleh lah cuba pesan daripada Encik Udang KL. Boleh lawati Facebook Encik Udang Kuala Lumpur atau Instagram encik_udangkl. Encik Udang KL membekalkan udang saiz XL seberat 700g dengan harga RM38 sekotak dan udang yang telah dikopek kulitnya (Peel Tail On) dengan harga RM30 untuk 600g sekotak. InsyaAllah, anda akan puas hati dengan 'udang dalam kotak' yang akan anda terima nanti ☺.



Udang XL


Mungkin ada perancangan di masa akan datang ada pula Encik Sotong KL 😅, Encik Ketam KL dan sebagainya? 🤔





0 comments:

Gangguan bekalan air, sampai bila harus begini?

Saturday, September 05, 2020 Ana 0 Comments



Gangguan bekalan air, sampai bila harus begini?


Assalamualaikum &  salam sejahtera....

Hidup tak keruan bila terputus bekalan air.

Gangguan bekalan air kali ini memang sangat menguji kesabaran. Secara mengejut dan terputusnya bekalan secara terus, bukan air berkurang sedikit demi sedikit. Ya, memang air tangki masih ada. Tapi itu lah, air sudah makin mengecil keluar dari paip dan bila-bila masa saja boleh habis. Air bekalan direct memang tak ada. Air di sinki dapur, air shower, air untuk flush tak ada. Kering kontang sungguh. Setitik pun air tak menitis bila buka pili air.


Gangguan bekalan air

4 Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1,2 dan 3 dan Loji Rantau Panjang dihentitugas disebabkan pencemaran bau yang dikesan di Sungai Selangor pada 3 September. Bekalan air di tujuh wilayah di Kuala Lumpur dan Selangor melibatkan wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat terjejas dengan pencemaran tersebut.

Maka bermulalah penderitaan rakyat jelata di 1,292 kawasan, menanggung  kepayahan laksanakan keperluan harian tanpa bekalan air, keperluan asas yang paling penting.

Kalau terputus bekalan elektrik, jika panas masih boleh lagi berkipas dengan tangan. Kalau terputus bekalan air, macam mana?

Apabila tak ada air, semua benda buat tak kena. Nak makan pun tak berapa nak makan. Takut nanti perut dah berisi nak kena 'membuang' pula. Nak kena guna banyak air. Nak minum banyak pun tak berani. Nanti nak buang air kecil pun guna air juga. Nak mandi, lagi lah fikir 5, 10 kali. Nak memasak memang lagi lah tak ada harapan.

Yang geram tu ialah bila nak basuh tangan pun berkira-kira nak guna air. Kita kan kena kerap basuh tangan semenjak Covid-19 ni? Setiap kali balik ke rumah lepas beli barang di pasaraya kan kita kena mandi? Basuh pakaian dengan sabun? Macam mana nak buat semua tu tanpa air?

Aduhai. Semua benda buat tak kena. Makan tak kenyang, tidur tak lena dan mandi sudah semestinya tak basah.

Rimas.

Aplikasi Air Selangor di handphone memang banyak kali di refresh. Refresh banyak kali sebab macam tak boleh nak terima kenyataan yang tak ada update terkini dengan berita gembira. Berita gembira yang katakan loji dah beroperasi semula.

Tak boleh jadi ni. Nampaknya kena lah pergi ambil air di Pusat Khidmat Setempat yang terdekat. Baru saja bercadang nak keluarkan tong air dari stor, dapat satu video di whatsapp. Orang ramai beratur panjang dengan tong air masing-masing. Tengok lokasinya? Ok, boleh simpan balik tong air dalam stor 🙁. Tak mampu saya nak beratur panjang tunggu giliran isi air dalam tong. Bimbang juga jika dalam pada beratur tunggu giliran, penjarakan sosial entah ke mana, pelitup muka entah ke mana.

Gangguan bekalan air
Credit : bharian.com.my


Terputus bekalan air sangat menyusahkan urusan harian. Bayangkan keluarga dengan anak yang ramai. Bayangkan warga emas yang tinggal berseorangan. Bayangkan mereka yang kurang sihat dan tinggal di rumah pangsa tanpa kemudahan lif. Bagaimana agaknya keadaan mereka tanpa bekalan air? Saya sendiri tinggal bertiga di rumah dengan emak yang tak boleh berjalan dan abang yang masih ada kesan akibat stroke. Makanya saya seorang yang uruskan hal mencukupkan keperluan air di rumah. Pening.

Jiran sebelah kanan dah pulang ke kampung di Teluk Intan. Jiran depan rumah dah 'lari' ke Bangi, rumah saudara mara. Semua tak sanggup nak duduk di rumah yang kering kontang tanpa air.

Baca juga:

Mana lebih stress, tiada air atau tiada elektrik?
Syabas untuk Syabas!
4 juta pengguna 'bertuah' bakal alami gangguan bekalan air...

Kilang selenggara jentera berat yang jadi punca pencemaran air hingga loji air terpaksa ditutup memang patut dikenakan hukuman yang berat. Kilang bukan hanya perlu disita, tapi ditutup terus dan disenaraihitam terus daripada beroperasi. Ini adalah kali kedua kilang tersebut membuat kesalahan yang sama setelah didenda RM60,000 untuk kesalahan yang pertama. Adakah kita akan membiarkan berlakunya kesalahan untuk kali ke-3,ke-4, ke-10 dan seterusnya baru tindakan lebih tegas akan diambil?  Dan sementara itu rakyat marhaen untuk kesekian kalinya terus menanggung derita mengadap masalah terputus bekalan air yang tak berkesudahan? Macam mana pula dengan kos tambahan yang terpaksa ditanggung bila perlu membeli makanan sebab tiada air untuk memasak dan perlu beli air mineral sebab tiaa air untuk minum dan sebagainya? Macam mana pula dengan kerugian yang ditanggung para peniaga yang tutup kedai gara-gara tiada air?

Menaikkan denda hukuman kepada RM1 juta masih dirasakan tak setimpal dengan kesusahan yang perlu ditanggung oleh 1.2 juta akaun rakyat di Selangor. Denda itu masih dianggap ringan dan  tak mustahil akan berlaku lagi 'tragedi putus bekalan air' akibat pencemaran oleh pihak tak bertanggungjawab.

Dan yang terus sengsara ialah kami, rakyat jelata.

😞😞😞😞😞😞😞


 

0 comments:

Demi negara...yang tercinta....

Monday, August 31, 2020 Ana 0 Comments


Demi negara...yang tercinta....


Assalamualaikum & salam sejahtera....


Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Selamat menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-63 buat semua rakyat Malaysia.

Malaysia tanahair tercinta 😘😘😘

#MalaysiaPrihatin


Kemerdekaan yang kita nikmati hari ini hasil usaha pejuang kemerdekaan yang bertarung jiwa dan raga berdepan dengan musuh @ penjajah.

Kemerdekaan yang saya pasti kita semua idam-idamkan hari ini ialah merdeka daripada 'penjajahan' virus Covid-19, musuh yang tersembunyi. Seluruh rakyat Malaysia berganding bahu melawan musuh ini, menggambarkan keprihatinan setiap individu untuk saling membantu.

Berbeza sambutan kemerdekaan rakyat Malaysia kali ini tanpa sambutan besar-besaran seperti kebiasaannya. Apa pun cara sambutannya, pastinya kita sebagai anak Malaysia ada kenangan yang tersendiri dalam meraikannya. Merdeka dah 63 tahun, apa agaknya sumbangan kita buat Malaysia tercinta?


Demi negara...yang tercinta....

Berpuluh-puluh tahun yang lalu 😅, saya pernah menyertai persembahan padang untuk sambutan hari kemerdekaan di Dataran Merdeka. Saya pernah ceritakan di entry ini Malaysia, Sehati Sejiwa.... Tahun itu temanya 'Jatidiri Penggerak Wawasan'. Baju serba kuning (saya masih simpan hingga ke hari ini ☺) dan ketika formasi bendera Malaysia di padang, saya berdiri di bucu bulan sabit. Berlari ke sana ke sini. Tak henti-henti mulut mengira 'one, two, three, four bagi pastikan gerakan kami semua sama dan teratur. Memang ketika itu rasa bangga dan puas hati dapat menyumbang walaupun sekecil itu untuk hari kemerdekaan negara.




Demi negara...yang tercinta....

Masih ingat lagi rasa teruja kali pertama layak untuk membuang undi. Masa itu tahun....tahun berapa saya pun dah tak ingat 😅.  Terakhir mengundi pada tahun 2018, itu adalah kali yang ke-3 atau ke-4 saya mengundi. Teruja, nervous, berdebar-debar dan macam-macam perasaan ada masa itu. Sampai kadang-kadang tu rasa macam tak payah lah nak susah-susah diri pergi mengundi. Ramai je kan orang lain yang layak tapi tak pergi pun mengundi. Tapi, mana boleh macam tu. Bayangkan satu perbezaan undi pun dah boleh menentukan masa depan negara. Besarnya kuasa undi kita. Jadi bila dah selesai buang undi tu memang rasa puas hati sangat sebab dah jalankan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia. Puas hati dapat menyumbang kepada negara walaupun hanya dengan semudah menanda pangkah di atas kertas...


Demi negara...yang tercinta....

Satu sumbangan besar pada negara yang saya rasa kita semua boleh banggakan ialah ketika pandemik Covid-19 melanda negara.

"Apa sumbangan terbesar anda pada negara?"

"Saya duduk di rumah ketika PKP..."

Tak sangka kan. Hanya dengan duduk di rumah. Duduk saja di rumah dan kita semua telah pun membantu negara dalam putuskan rantaian Covid-19.
*Kalau anda antara individu yang langgar PKP maka anda agak rugi sebab tak dapat nak berbakti dengan semudah itu untuk negara...*


Mengisi dan meneruskan makna dan jiwa kemerdekaan ternyata sesukar atau lebih sukar daripada menuntut kemerdekaan. Berbangga menjadi anak Malaysia, maka berusaha jugalah kita untuk menyumbang apa yang mampu untuk negara tercinta....


#MalaysiaPrihatin
#kitajagakita



 

0 comments:

Langgar perintah kuarantin di rumah? Bayar RM1000 je....

Sunday, August 23, 2020 Ana 0 Comments


Langgar perintah kuarantin di rumah? Bayar RM1000 je....



Assalamualaikum & salam sejahtera....


Kebelakangan ni rasa rajin pula nak baca pasal Akta 342 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Tapi bila dah baca pun rasa macam tak jelas lagi. Nak baca Akta ni kena panduan orang yang lebih arif juga, takut bila dah baca tersilap tafsir pula.

Kenapa tiba-tiba rajin nak ambil tahu?

Tiba-tiba rajin nak baca Akta sebab nak tahu kenapa 'makcik gelang pink' di Meru Raya yang langgar perintah kuarantin di rumah dikenakan denda RM8,000 dan dipenjara sehari.

Tiba-tiba rajin nak baca Akta sebab nak tahu kenapa juruteknik kilang di Bayan Baru yang langgar perintah kuarantin di rumah tak kena denda yang sama dengan 'makcik gelang pink', tapi 'cuma' didenda RM2,500 'sahaja'.

Tiba-tiba rajin nak baca Akta sebab nak tahu kenapa penyelia di Sibu yang langgar perintah kuarantin di rumah tak kena denda yang sama dengan 'makcik gelang pink', tapi 'cuma' didenda RM5,000 'sahaja'.

Tiba-tiba rajin nak baca Akta sebab nak tahu kenapa pemilik kedai Nasi Kandar Salleh @ pencetus kluster Sivagangga yang langgar perintah kuarantin di rumah dikenakan denda RM12,000 dan penjara 5 bulan, berbeza dengan 'makcik gelang pink' dan si juruteknik kilang.

Makcik gelang pink
Credit : hmetro.com.my


Juruteknik langgar perintah kuarantin
Credit : bharian.com.my


Pencetus kluster sivagangga
Credit : hmetro.com.my



Dan sebab paling utama tiba-tiba rajin nak baca Akta ialah nak tahuuuuuuu sangat kenapa seorang yang berpangkat Menteri  yang langgar perintah kuarantin di rumah hanya dikenakan denda RM1,000. Denda yang paling ringan berbanding 'makcik gelang pink', juruteknik kilang, penyelia dan si pencetus kluster Sivagangga.

Apa bezanya kesalahan dan kenapa ada perbezaan denda antara keempat-empatnya?

Pelbagai jawapan diberikan oleh warga netizen. Jawapan yang pada pendapat saya agak bahaya ialah si Menteri itu dah buat tiga kali ujian swab Covid-19 dan kesemua ujian didapati negatif. Maka denda RM1,000 saja lah. 'Makcik gelang pink', juruteknik kilang dan pencetus kluster Sivagangga tu semuanya positif sebab tu kena hukuman lebih berat.

Betul ke ni?

Bayangkan satu hari nanti ada seorang rakyat Malaysia (kita namakan orang ni 'A' ok?)baru tiba di tanahair daripada sebuah negara yang tinggi kes Covid-19.

Buat ujian di KLIA dan didapati negatif. Dipakaikan gelang pink dan diarahkan kuarantin 14 hari di rumah.

Si 'A' kemudiannya rasa bosan duduk di rumah. Pergi shopping sana sini, jumpa dan lepak dengan kawan-kawan di restoran tanpa ada orang perasan si 'A' pakai gelang pink sebab disoroknya dalam baju berlengan panjang (saja nak buat cerita). Beberapa hari kemudian si 'A' masuk pejabat pula sebab ada tugas penting. Kebetulan di pejabat ada buat saringan Covid-19 untuk sesiapa yang berminat (ujian dibiayai oleh syarikat 'A' bekerja) maka 'A' pun minta buat swab test dan sekali lagi didapati negatif.

"Ha tengok, tak salah pun aku tak kuarantin kat rumah, aku bukannya positif Covid-19 pun!"
( kata 'A' dalam hati dengan penuh bangga sebab rasa diri 'bijak' sangat)

Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga. Satu hari yang malang ada orang ternampak gelang pink yang dipakai oleh 'A' dan dilaporkan kepada pihak berkuasa. 'A'  kemudiannya perlu buat ujian swab untuk kali ketiga. Dan untuk kesekian kalinya 'A' didapati negatif Covid-19.

Panjang cerita nya kan? Mungkin ada tak logik sikit tapi motifnya nak bagitau akan ada individu yang mengikut 'contoh teladan' si Menteri itu nanti.

Tapi yang paling penting ialah apa hukuman yang akan dikenakan ke atas 'A' sebab langgar kuarantin di rumah?

Kalau ikut logik mestilah hukumannya sama dengan si Menteri tadi kan? Boleh ke dikenakan hukuman yang lebih berat?

"Eh kenapa pula hukum lebih berat? Habis tu Menteri tu boleh kena denda RM1,000 je?"

Si Menteri dah beri contoh dan ikutan yang 'sangat baik' untuk rakyat jelata.

Contoh yang 'sangat-sangat baik'.

'Tahniah!'

Diharap sangat-sangat pihak yang berkenaan atau KKM boleh menjelaskan dengan lebih terperinci kenapa ada nya denda dan hukuman yang berbeza-beza. Semoga penjelasan dapat elak kekeliruan atau ketidakpuasan hati orang ramai mengenai hukuman langgar perintah kuarantin di rumah. Dan semoga tak timbul masalah di masa akan datang untuk jatuhkan hukuman kepada individu yang 'bakal' langgar perintah kuarantin di rumah.

Macam-macam hal.

Kalau rasa tak dapat nak membantu, cukuplah dengan tidak menyusahkan mereka yang ikhlas menjalankan tugas di barisan hadapan....


 

0 comments:

Hijrah itu pengorbanan....

Thursday, August 20, 2020 Ana 0 Comments


Hijrah itu pengorbanan....


Assalamualaikum & salam sejahtera....


Salam Maal Hijrah, Selamat Tahun Baru Hijrah 1442.


Salam Maal Hijrah 1442H


Sekejap saja rasanya tahun Hijrah 1441H berlalu. Sama lah dengan tahun 2020, pejam celik pejam celik dah sampai bulan Ogos. Macam-macam peristiwa dah berlaku sampai kadang-kadang rasa tak terkejar nak hadam satu persatu.

Tumpang gembira untuk Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang dipilih sebagai tokoh Maal Hijrah 1442H. Memang pemilihan yang sangat tepat! Rezeki Tan Sri atas segala penat lelah mengetuai barisan hadapan negara kita untuk perangi penularan Covid-19 yang masih belum berkesudahan. Tapi macam biasa, Tan Sri mesti akan acknowledge atau dedicate kan apa-apa pengiktirafan atau anugerah kepada team nya. Tak pernah ambil penghargaan / kredit untuk diri sendiri. Humble sungguh Tan Sri ni!

Sempena tahun baru Hijrah ini, jom kita sama-sama berhijrah:

Hijrah daripada selalu berpusu-pusu masuk ke kedai, kepada beratur dengan tertib dengan penjarakan sosial / fizikal.

Hijrah daripada tak berapa rajin nak basuh tangan sebelum makan, kepada kerap basuh tangan walaupun bukan sebab nak makan.

Hijrah daripada selalu keluar melepak / merayau, kepada keluar rumah hanya bila peelu sahaja.

Hijrah daripada bersalam dengan tak kira siapa, kepada hanya letakkan tangan di dada dan tunduk sebagai tanda hormat.

Hijrah daripada bersin atau batuk ikut-suka-hati-nak-bersin-batuk-tak-tutup-mulut-habis-tempias-kena-muka-orang-lain, kepada tutup mulut apabila nak batuk atau bersin.

Semenjak Hari Raya Aidilfitri lagi, hinggalah kepada Hari Raya Aidiladha dan Maal Hijrah, banyak yang Covid-19 beri pengajaran kepada kita semua. Berkorban sedikit kebebasan yang dinikmati selama ini, berjuang untuk melindungi kesejahteraan komuniti. Semuanya demi menghentikan penularan Covid-19.

Hijrah itu pengorbanan.

Hijrah itu perjuangan.

Jom hijrah untuk menjadi seorang insan yang lebih baik.

Selamat Menyambut Tahun Baru Hijrah 1442H..




0 comments:

Covid-19 dan sikap 'tak apa'...

Tuesday, August 11, 2020 Ana 0 Comments


Covid-19 dan sikap 'tak apa'...


Assalamualaikum & salam sejahtera...


Pagi tadi saya ke klinik kesihatan. Appointment abang saya jam 8 pagi, jam 7.30 pagi kami dah beratur di depan pintu masuk. Boleh tahan ramai juga orang yang dah sampai lebih awal. Sambil beratur, masing-masing keluarkan handphone untuk scan QR code MySejahtera yang diletakkan berdekatan petugas yang sedang ambil suhu.

Pakcik di barisan depan keluarkan handphone dan cuba scan. Tak berjaya. Lalu disuruh petugas untuk tulis saja secara manual.

"Tak apa pakcik. Pakcik masuk dalam tulis nama dan nombor telefon di buku. Suhu pakcik 36.5, ingat ni tulis di buku"

Seorang bapa yang bawa anak kecilnya keluarkan handphone daripada poket seluar dan cuba scan. Tak berjaya juga.

"Tak apa Encik. Encik masuk dalam tulis nama dan nombor telefon di buku. Suhu Encik 36.0, ingat ni tulis di buku"

Terdengar pakcik itu merungut kepada lelaki tadi. "QR Code yang kat depan tadi pun tak boleh scan. Yang ini pun tak boleh scan". Pakcik itu geleng-geleng kepala tak puas hati.

Sampai giliran saya pun sama juga. Tak berjaya scan naka perlu lah tulis nama dan nombor telefon di buku. Di belakang saya masih terdengar dialog yang sama...

"Makcik masuk dalam tulis nama dan nombor telefon di buku. Suhu makcik 36.3, ingat ni dan tulis di buku"

Nampaknya tak ada siapa pun yang berjaya scan QR Code itu. Kalau dah begitu, harap-harap petugas ambil tindakan periksa apa yang tak kena dengan QR Code tersebut.

Selesai daftar di kaunter dan ambil nombor giliran, saya terus duduk sementara tunggu nama dipanggil untuk ke kaunter saringan. Kerusi itu ada tiga tempat duduk. Tempat duduk di tengah-tengah telah ditandakan dengan 'X' maknanya tak boleh duduk bagi tujuan penjarakan sosial atau penjarakan fizikal. Saya duduk di hujung kiri dan seorang wanita duduk di hujung kanan. Anak wanita itu (saya nama kan sebagai Ali) yang saya agak berusia dalam lingkungan umur 4 atau 5 tahun pula duduk di kerusi hadapan.

Covid-19 Penjarakan fizikal


Tiba-tiba...

"Ali, meh sini duduk sebelah mak ni. Tempat Ali tu bagi orang lain duduk"

"Boleh ke mak? Tu ada tulis 'X' tu mak. Kenapa ada tulis 'X' mak"

"Ala tak apa, boleh duduk. Meh sini meh"

"Boleh ke mak?"

"Boleh boleh, tak apa, meh sini"

Maka Ali pun menurut perintah emaknya. Duduk di tempat duduk tengah yang bertanda 'X' , duduk di antara saya dan emaknya.

Tiba-tiba...

Mula kedengaran batuk-batuk daripada Ali. Keras bunyi batuknya. Batuk itu kemudiannya diselang seli pula dengan bunyi 'sedutan' keluar masuk hingus / selesema di hidung Ali.

Aduhai. Bergejala pula ke Ali ni?

Nak saya tegur tak boleh duduk di situ, kena ada penjarakan sosial, saya segan. Tambah pula bergejala macam itu maka saya mula lah sedikit paranoid. Maka nak tak nak saya pun bangun dan berdiri saja sedikit jauh dari kerusi tersebut sementara menunggu giliran ke kaunter saringan.

Di satu bahagian klinik itu pula ternampak ramai yang sedang menunggu giliran untuk masuk ke bilik untuk ambil darah bagi tujuan blood test.  Kebanyakan yang menunggu ialah pakcik dan makcik golongan warga emas.

"Ala duduk je lah sini sekejap, kejap lagi nurse panggil lah tu. Duduk sekejap je, tak apa"

Ya, duduk sekejap. Tapi duduk sekejap itu ialah di tempat duduk yang bertanda 'X'. Kerusi yang ada tiga tempat duduk itu telah pun ada 2 orang makcik yang duduk di hujung kiri dan kanannya. Makcik yang duduk di hujung kanan kerusi itu melambai-lambai panggil seorang lagi makcik (mungkin kenalannya) yang sedang berdiri untuk duduk di tempat duduk tengah-tengah bertanda 'X' itu. Bila dah duduk bersama mula lah rancak berborak. Mujur masih prihatin untuk kekal pakai pelitup muka.

🙁

Sikap 'tak apa' dan susah membiasakan diri dengan norma baharu untuk putuskan rantaian Covid-19 masih ada dalam komuniti. Mungkin disebabkan virus Covid-19 itu tidak dapat dilihat dengan mata kasar, maka kita masih ambil mudah. Saya percaya jika virus Covid-19 itu 'menjelma' seperti makhluk hodoh bertanduk, berduri, mata merah terjojol keluar dengan lelehan lendir yang penuh dengan virus yang bila-bila masa saja akan menyembur daripada mulutnya dan merayap-rayap di sekeliling kita baru masing-masing akan ambil serius.

Mungkin terus duduk diam saja di rumah tak keluar-keluar langsung!




0 comments:

Ammonium nitrat dan dugaan buat Beirut....

Thursday, August 06, 2020 Ana 0 Comments


Ammonium nitrat dan dugaan buat Beirut....


Assalamualaikum & salam sejahtera....


Beirut explosion
Credit : utusanmalaysia.com


Terdiam bila tengok berita ini buat pertama kali di Buletin Pagi, pagi semalam.

Letupan pertama yang mengejutkan diikuti dengan letupan kedua yang menakutkan. Ulang tengok banyak kali pun masih terasa gerun di hati bila tengok letupan kedua itu.

Ya Allah, tahun 2020 ini memang cukup menguji dan penuh kejutan!

Beirut, ibu kota Lubnan digegarkan dengan letupan dahsyat yang menjadi tajuk utama beritavdi seluruh dunia. Tersenarai sebagai antara bandar yang tertua di dunia, bandaraya terbesar dan merupakan pelabuhan utama di Lubnan itu telah diisytiharkan sebagai zon bencana dan diletakkan di bawah perintah darurat selama 2 minggu.

Berita lanjut yang diketahui ialah letupan itu berpunca daripada baja kimia untuk pertanian, ammonium nitrat seberat 2,750 tan yang disimpan dalam sebuah gudang di pelabuhan Beirut. Ammonium nitrat tersebut dikatakan telah disimpan di gudang tersebut sejak tahun 2014. Namun begitu, bagaimana bahan tersebut boleh meletup masih belum diketahui. Samada letupan itu disengajakan atau tidak masih lagi menjadi misteri. Ammonium nitrat dikatakan sukar untuk mencetuskan letupan tanpa kepanasan yang terlalu tinggi.

Ammonium nitrat, sebatian kimia dengan formula NH4NO3 sebelum ini telah menjadi punca kepada lima kejadian letupan dalam sejarah, boleh baca di sini : Lima tragedi besar akibat letupan ammonium nitrate. Namun begitu letupan di Beirut setakat ini melibatkan jumlah ammonium nitrat yang terbesar sekali sekaligus menghasilkan letupan yang lebih dahsyat.

Letupan di beirut
Credit : malaysiadateline.com


Lubnan yang masih bergelut dengan pandemik Covid-19 dan krisis ekonomi kini berdepan dengan masalah besar untuk menangani tragedi yang sehingga kini meragut lebih 100 nyawa dan ribuan lagi yang cedera. Tak sanggup nak tengok video bagaimana situasi hospital di Beirut ketika ini. Saya ada terbaca tweet yang menceritakan penduduk Beirut amat mengharapkab bantuan daripada segi pendermaan darah berbanding wang ringgit dan bantuan dalam bentuk yang lain.

Selain daripada tarikh 6 Ogos 1945 di mana meletusnya ledakan bom atom pertama di dunia iaitu di Hiroshima, kini dunia pasti tidak akan melupakan tarikh 5 Ogos 2020, tragedi letupan terbesar ammonium nitrat di Beirut......😯



 

0 comments:

Peritnya bila ada ulser di anak tekak!

Tuesday, August 04, 2020 Ana 0 Comments



Peritnya bila ada ulser di anak tekak!


Assalamualaikum & salam sejahtera....

Tekak perit.

Kepala panas.

Rasa tak sedap badan.

Saya pasang torch di handphone dan suluh dalam mulut. Banyak ulser yang 'menghuni' di anak tekak dan tonsil sejak malam tadi. Nak telan air liur pun fikir banyak kali. Sakit. Disebabkan ulser di tekak itu juga lah badan mula panas. Demam.

Ini kali ketiga saya dapat ulser di tekak. Dan setelah kali ketiga baru saya belajar daripada pengalaman 😅. Kali pertama saya perasan ulser mula memutih di tekak selepas saya makan roti putih yang telah expired / tamat tempoh 2 hari dari tarikh luput. Dah kenapa pula pergi makan roti yang dah expired? Sayang membazir 😛. Bila pergi klinik doktor pun terkejut tengok banyak ulser di tekak. "Teruk ni, macam mana boleh jadi macam ni? Apa yang awak makan?"

"Tak tau lah doktor" . Malu nak bagitau saya makan roti yang dah expired.

Kali kedua saya dapat ulser di tekak ialah bila makan tempoyak pucuk ubi yang dah 'berusia' 3 hari. Tak ada masalah pun dengan tempoyak tu sebenarnya. Elok saja rasa dan bau nya. Tapi entah lah. Mungkin tekak saya semenjak berusia ni semakin sensitif dengan apa yang ditelan. Senang dapat infection / jangkitan. Kali ini, saya usaha kan saja minum air sebanyak yang boleh dan Alhamdulillah ulser itu sembuh.

Ulser di tekak
Credit : www.animated-teeth.com

*saya letak gambar animated sebab kalau letak gambar sebenar macam 'seram' pula rupanya ulser di tekak ni *


Untuk ulser di tekak kali ketiga ini, saya syak puncanya ialah kuah lodeh @ lontong yang dah berusia 3 hari. Iya lah, banyak makanan sejak Hari Raya Aidiladha yang pertama lagi. Tak habis hinggalah raya ketiga. Nak buang, sayang. Maka saya habis kan juga. 'Hasilnya'? Dapat lah ulser yang memutih di anak tekak.

Masa kena ulser di tekak kali kedua dulu, doktor beri ubat spray Aloclair Plus, antibiotik dan paracetamol untuk demam. Maka bila ulser di tekak untuk kali ketiga ini saya pun cari ubat spray yang sama di farmasi dan makan Panadol. Tak ada lah makan antibiotik sebab tak pergi jumpa doktor di klinik. Di musim Covid-19 ni memang saya cuba sedaya upaya elakkan atau kurangkan pergi ke klinik atau hospital jika tak berapa perlu.

Spray untuk ulser di tekak


Alhamdulillah. 'Wa iza maridh tu fa huwa yashfin'. Setelah 3 kali telan Panadol dan 3 kali spray ubat di anak tekak, ulser dah semakin berkurang. Masih ada di tekak tapi peritnya dah kurang. Jika tidak sebelum ini memang kepala panas demam. Saya pula setiap kali demam, tangan dan kaki akan sejuk mencengkam. Sejuk sampai berkelubung selimut. Memang sengsara juga lah bila kepala dan badan panas tapi kaki dan tangan sejuk macam ais. Terasa sepoi-sepoi angin kipas pun tak tahan. Alhamdulillah, sekarang dah boleh tahan sejuk aircond lagi ☺

Begitulah ceritanya...

Kalau anda ada masalah ulser di tekak pastikan anda ke klinik dan periksa dengan doktor ya. Jangan ikut rawatan sendiri saya ini sebab mungkin tak bersesuaian dengan anda.




0 comments: