Covid-19 dan sikap 'tak apa'...
Covid-19 dan sikap 'tak apa'...
Assalamualaikum & salam sejahtera...
Pagi tadi saya ke klinik kesihatan. Appointment abang saya jam 8 pagi, jam 7.30 pagi kami dah beratur di depan pintu masuk. Boleh tahan ramai juga orang yang dah sampai lebih awal. Sambil beratur, masing-masing keluarkan handphone untuk scan QR code MySejahtera yang diletakkan berdekatan petugas yang sedang ambil suhu.
Pakcik di barisan depan keluarkan handphone dan cuba scan. Tak berjaya. Lalu disuruh petugas untuk tulis saja secara manual.
"Tak apa pakcik. Pakcik masuk dalam tulis nama dan nombor telefon di buku. Suhu pakcik 36.5, ingat ni tulis di buku"
Seorang bapa yang bawa anak kecilnya keluarkan handphone daripada poket seluar dan cuba scan. Tak berjaya juga.
"Tak apa Encik. Encik masuk dalam tulis nama dan nombor telefon di buku. Suhu Encik 36.0, ingat ni tulis di buku"
Terdengar pakcik itu merungut kepada lelaki tadi. "QR Code yang kat depan tadi pun tak boleh scan. Yang ini pun tak boleh scan". Pakcik itu geleng-geleng kepala tak puas hati.
Sampai giliran saya pun sama juga. Tak berjaya scan naka perlu lah tulis nama dan nombor telefon di buku. Di belakang saya masih terdengar dialog yang sama...
"Makcik masuk dalam tulis nama dan nombor telefon di buku. Suhu makcik 36.3, ingat ni dan tulis di buku"
Nampaknya tak ada siapa pun yang berjaya scan QR Code itu. Kalau dah begitu, harap-harap petugas ambil tindakan periksa apa yang tak kena dengan QR Code tersebut.
Selesai daftar di kaunter dan ambil nombor giliran, saya terus duduk sementara tunggu nama dipanggil untuk ke kaunter saringan. Kerusi itu ada tiga tempat duduk. Tempat duduk di tengah-tengah telah ditandakan dengan 'X' maknanya tak boleh duduk bagi tujuan penjarakan sosial atau penjarakan fizikal. Saya duduk di hujung kiri dan seorang wanita duduk di hujung kanan. Anak wanita itu (saya nama kan sebagai Ali) yang saya agak berusia dalam lingkungan umur 4 atau 5 tahun pula duduk di kerusi hadapan.
Tiba-tiba...
"Ali, meh sini duduk sebelah mak ni. Tempat Ali tu bagi orang lain duduk"
"Boleh ke mak? Tu ada tulis 'X' tu mak. Kenapa ada tulis 'X' mak"
"Ala tak apa, boleh duduk. Meh sini meh"
"Boleh ke mak?"
"Boleh boleh, tak apa, meh sini"
Maka Ali pun menurut perintah emaknya. Duduk di tempat duduk tengah yang bertanda 'X' , duduk di antara saya dan emaknya.
Tiba-tiba...
Mula kedengaran batuk-batuk daripada Ali. Keras bunyi batuknya. Batuk itu kemudiannya diselang seli pula dengan bunyi 'sedutan' keluar masuk hingus / selesema di hidung Ali.
Aduhai. Bergejala pula ke Ali ni?
Nak saya tegur tak boleh duduk di situ, kena ada penjarakan sosial, saya segan. Tambah pula bergejala macam itu maka saya mula lah sedikit paranoid. Maka nak tak nak saya pun bangun dan berdiri saja sedikit jauh dari kerusi tersebut sementara menunggu giliran ke kaunter saringan.
Di satu bahagian klinik itu pula ternampak ramai yang sedang menunggu giliran untuk masuk ke bilik untuk ambil darah bagi tujuan blood test. Kebanyakan yang menunggu ialah pakcik dan makcik golongan warga emas.
"Ala duduk je lah sini sekejap, kejap lagi nurse panggil lah tu. Duduk sekejap je, tak apa"
Ya, duduk sekejap. Tapi duduk sekejap itu ialah di tempat duduk yang bertanda 'X'. Kerusi yang ada tiga tempat duduk itu telah pun ada 2 orang makcik yang duduk di hujung kiri dan kanannya. Makcik yang duduk di hujung kanan kerusi itu melambai-lambai panggil seorang lagi makcik (mungkin kenalannya) yang sedang berdiri untuk duduk di tempat duduk tengah-tengah bertanda 'X' itu. Bila dah duduk bersama mula lah rancak berborak. Mujur masih prihatin untuk kekal pakai pelitup muka.
🙁
Sikap 'tak apa' dan susah membiasakan diri dengan norma baharu untuk putuskan rantaian Covid-19 masih ada dalam komuniti. Mungkin disebabkan virus Covid-19 itu tidak dapat dilihat dengan mata kasar, maka kita masih ambil mudah. Saya percaya jika virus Covid-19 itu 'menjelma' seperti makhluk hodoh bertanduk, berduri, mata merah terjojol keluar dengan lelehan lendir yang penuh dengan virus yang bila-bila masa saja akan menyembur daripada mulutnya dan merayap-rayap di sekeliling kita baru masing-masing akan ambil serius.
Mungkin terus duduk diam saja di rumah tak keluar-keluar langsung!
0 comments: