'Hello brother....'

Tuesday, March 19, 2019 Ana 0 Comments


'Hello brother....'



Assalamualaikum & salam sejahtera...

Semenjak kecil lagi perkara pertama yang terlintas di fikiran saya jika ditanya mengenai negara New Zealand ialah susu tepung Fernleaf. Pada saya, imej susu Fernleaf dan lembu putih bertompok hitam sedang meragut rumput di padang luas itu sangat dekat kaitannya dengan negara itu. Tak tahu kenapa, mungkin disebabkan masa kecil-kecil dulu selalu sangat tertonton iklan Fernleaf di tv 😊

Apabila dah meningkat dewasa, imej New Zealand dalam fikiran saya dah 'upgrade' sikit. Kalau sebut pasal New Zealand,terus terbayangkan pemandangan yang indah, gunung Alps dan percutian mengunakan motorhome. Macam best rasanya mengembara bersama keluarga di negara yang tersenarai dalam 10 negara paling aman di dunia itu.

Tanggal 15 Mac 2019 telah mengubah 360 darjah imej dan bayangan indah New Zealand di mata saya.

Apa yang terlintas di fikiran tatkala disebut pasal New Zealand kini bukan lagi bayangan yang indah-indah.

Imej jemaah yang terlantar kaku di Masjid Al-Noor, Christchurch selamanya akan terbayang-bayang di fikiran. Jasad yang sudah tidak bernyawa ditembak lagi bertalu-talu oleh si penjenayah tanpa belas kasihan. Setiap detik yang ditunjukkan dalam rakaman si penjenayah seakan-akan menunjukkan tiada sekelumit pun rasa kemanusiaan di hatinya. Apa yang penting  ialah melunaskan dendam dan rasa benci yang tersemat di kalbunya.

'Hello brother...'

Jelas terdengar sapaan mesra daripada jemaah namun dibalasnya si penjenayah dengan 3 butir peluru. Pasti tiada langsung rasa syak mahupun curiga di hati jemaah yang menyapa itu walaupun si penjenayah itu datang lengkap bersenjata.  Jemaah yang dilihat sebagai pendatang yang dibenci itu telah lebih lama hidup dan berbakti di bumi New Zealand berbanding si penjenayah itu sendiri.

1.5 juta video rakaman tragedi telah disekat di Facebook dan 300 ribu lagi masih terlepas. Agak mengecewakan tiada langkah awal diambil oleh pihak yang berkenaan meskipun pun si penjenayah telah menunjukkan tanda-tanda kebencian dan rancangan jahatnya di media sosial beberapa hari sebelum kejadian.

Imam masjid Al-Noor Christchurch
Sumber : nzherald.co.nz


Tiada apa yang dapat mengubah apa yang telah berlaku. Penjenayah yang mengganggap tindakan kejamnya itu akan menakutkan umat Islam namun ternyata silap. Jemaah yang meninggal dunia mendapat anugerah tidak ternilai mati syahid di tempat yang mulia di hari yang mulia. Penduduk bukan Islam yang selama ini mungkin tidak tahu di mana letaknya masjid mula datang melawat dan memberi sokongan.

Dan apa yang paling penting, tragedi ini membuka mata dunia untuk melihat siapa yang sebenar-sebenarnya dikatakan pengganas......

😢

Al-Fatihah untuk para syuhada'....

0 comments: