Hoki Piala Sultan Azlan Shah 2019 : Tahniah Malaysia di tempat ke-3


Hoki Piala Sultan Azlan Shah 2019 : Tahniah Malaysia di tempat ke-3



Assalamualaikum & salam sejahtera...

Tahniah pasukan hoki negara kerana berjaya dapat tempat ke-3 dalam perlawanan Hoki Sultan Azlan Shah (HSAS) 2019 setelah berjaya menewaskan Canada dalam aksi penentuan tempat ke-3 dengan jaringan 4-2 petang tadi. Kejayaan ini memperbaiki pencapaian tempat ke-4 dalam edisi yang lepas. Walaupun Canada yang mula berjaya dapat mata pertama, pasukan hoki negara terus mempamerkan semangat juang yang tinggi dan aksi garang mengasak kubu lawan tanpa henti. Gol-gol skuad negara dijaringkan oleh Aiman Rozemi, Azrai Abu Kamal, Tengku Tajuddin dan Faizal Saari.

Malaysia lawan Canada


Saya hanya mula ikuti perlawanan yang libatkan pasukan negara ketika menentang pasukan Jepun. Saya tak sempat tengok Malaysia kalahkan Poland 5-1. Apabila sebut pasal hoki dan Jepun,perkara pertama yang saya akan teringat ialah 'tragedi' kekalahan kepada Jepun ketika sukan Asia yang lalu. Perlawanan yang boleh buat sakit jantung apabila dah sangat hampir nak menang tapi Jepun dengan gigihnya mengejar sehinggalah pasukan hoki negara dihampakan melalui penentuan pukulan penalti. Memang tak boleh lupa sampai bila-bila. Jadi bila pasukan hoki negara berhadapan dengan Jepun dalam HSAS dan berjaya tewaskan Jepun dengan 3-2 memang lega rasanya. Itu pun setelah penat berdebar-debar nak tunggu hingga wisel penamat dibunyikan.

Malaysia lawan Canada


Tewas 4-2 kepada pasukan hoki India dan tewas lagi 2-1 dengan Korea setelah menang ke atas Poland dan Jepun dalam HSAS memang sedikit mengecewakan. Peluang untuk jaringkan gol banyak tercipta tapi apa kan daya penyudah yang diharapkan kadang kala tidak menjadi. Begitu juga dengan peluang melalui pukulan sudut penalti sentuhan pemain senior Razie Rahim (favourite player saya ☺) dan Faizal Saari yang juga kurang menyengat. Apa- apa pun tahniah kepada pasukan Speedy Tigers yang tak mudah menyerah kalah. Perlawanan menentang Canada tadi dipenuhi aksi-aksi menarik seperti set-piece cantik untuk jaringan gol pertama (Razie Rahim -> Faizal Saari -> Aiman) 'dive' /layangan badan Tengku Tajuddin untuk gol ke-3 dan juga sedikit cemas apabila bermain dengan 9 orang pemain saja selepas Fitri Saari dilayangkan kad kuning dan seorang lagi pemain (lupa yang mana satu) menerima kad hijau sebelum itu.

Malaysia lawan canada


Korea Selatan dinobatkan sebagai juara HSAS setelah menang 4-2 ke atas India melalui shootout. Gol penalti yang dijaringkan oleh kapten Korea, Lee Namyong itu memang 'win' betul lah!

Juara - Korea Selatan

Naib Juara - India

Tempat ke-3 - Malaysia

Fair Play Award - Jepun

Best Player - Surender Kumar (India)

Top Scorer (7 gol) - Jang Jonghyun (Korea) / Mandeep Singh (India) ...kalau tak silap Faizal Saari 6 gol dalam tournament ni

Best Goalkeeper - Kim Jaehyeon (Korea)

Man of the match (final) - Jang Jonghyun (Korea)


Rezeki terpijak, rezeki ayam goreng...



Rezeki terpijak, rezeki ayam goreng...


Assalamualaikum & salam sejahtera....

Salam sayyidul ayyam...

Rezeki terpijak. Apa itu rezeki terpijak?

Pada saya rezeki terpijak itu ialah rezeki yang tak disangka-sangka. Rezeki yang kita tak jangka tiba-tiba ada di depan mata.

Tapi kan, macam mana pula kalau rezeki yang dijangka itu kita dapat mungkin disebabkan oleh kecuaian pihak tertentu? Masih dikira rezeki terpijak atau tidak?

Macam ni ceritanya...

2 minggu yang lepas saya ke restoran makanan segera ayam goreng. Menu biasa saya dan anak-anak saudara ialah snack plate. Cukuplah seorang makan 2 ketul ayam goreng itupun kadang-kadang tak habis. Selain ayam goreng, biasanya saya akan minta tukar coleslaw dengan whipped potato dan air pepsi pula ditukar dengan ice lemon tea.

"Saya nak take away 5 set snack plate. Semua spicy. Semua tak nak coleslaw, ganti dengan whipped potato. Air nak 1 pepsi, 4 ice lemon tea. Semua tak nak ais"

Itu dialog pesanan saya setiap kali ke restoran tersebut. Dan setiap kali itu juga saya akan dapat set yang betul kecuali ada satu dua kali coleslaw itu terlupa ditukarkan dengan whipped potato. Memang jadi kebiasaan sebelum tinggalkan restoran itu saya akan periksa dulu pesanan yang diterima betul atau tidak.

Tapi 2 minggu yang lepas, lain pula yang berlaku. Setelah buat pesanan seperti biasa di kaunter, saya pun dapat apa yang dipesan tanpa perlu tunggu lama sebab orang pun tak ramai. Tanpa fikir panjang atau periksa betul atau tidak set yang saya terima, terus saja saya balik ke rumah bersama 5 set snack plate tersebut.

Apabila sampai saja di rumah...

"Eh, kenapa kotak ni besar?"

Saya tak hiraukan sangat apabila anak saudara saya bertanyakan soal kotak yang besar. Saya tak perasan pun sebenarnya saiz kotak set yang saya terima di restoran tadi.

"Adik tak nak ayam besar, nanti tak abis. Adik nak yang kecik je. Eh, kenapa ayam ada 3 ketul?"

Hah, 3 ketul?

Biar betul. Saya periksa kelima-lima kotak dan memang kesemuanya ada 3 ketul ayam. Setahu saya 3 ketul ayam adalah untuk set dinner plate kan?

Banyak kali juga saya belek resit belian. Memang harga yang saya bayar adalah untuk set snack plate. Snack plate sekarang dah ada 3 ketul ayam ke?

Saya cari-cari dan bandingkan dengan resit pembelian yang dulu. Set menu yang sama dan harga yang sama cuma ada sedikit kelainan pada info di resit. Bezanya juga kali ini dengan harga untuk snack plate saya dapat 3 ketul ayam.

Harga yang sama tapi dapat extra ayam pula


Adakah memang ini harga baru untuk dinner plate? Tapi kan saya buat pesanan untuk snack plate? 🤔

Adakah ini kesilapan staf bertugas semasa sediakan pesanan?

Atau ini rezeki terpijak?

🤔🤔🤔

Ikat perut atau berjimat?


Ikat perut atau berjimat?



Assalamualaikum & salam sejahtera....

Food Bank untuk siswa. Apabila baca pasal Food Bank dan pelajar terpaksa ikat perut dan makan cuma sekali sehari, teringat kembali zaman belajar di UKM dulu.

Food bank untuk siswa
Sumber : Harian Metro


Zaman itu dah berlalu bertahun-tahun juga lah lamanya. Zaman itu mungkin sedikit beruntung dan bertuah kerana tidak pula muncul berita pelajar ikat perut makan sekali sehari kerana kesempitan wang. Atau mungkin juga ada tapi tidak ramai seperti sekarang?

Jalan kaki 6 km pergi dan balik dari bilik asrama ke fakulti ialah perkara biasa bagi saya dan rakan-rakan masa belajar di UKM dulu. Ketika itu asrama terletak di hujung sana dan Fakulti Kejuruteraan pula di hujung 'dunia' yang satu lagi. Masa itu kami pelajar Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat masih belum ada bangunan sendiri dan terpaksa berkongsi bangunan dengan pelajar kejuruteraan. Berjalan kaki jauh menapak setiap hari dah jadi perkara biasa. Menunggu bas dalam kampus pula tak tentu jadualnya. Pernah juga satu hari ada juga pelajar yang kami tak kenali kasihan melihat saya dan rakan berjalan di tengah panas lalu mengajak naik tumpang keretanya 😅. Masalah juga apabila ada kelas di waktu malam, memang terkejar-kejar bas jawabnya. Hikmah apabila tak ada pengangkutan sendiri ini ialah selain jimat duit minyak dapat juga badan yang slim sebab hari-hari berjalan kaki!

Soal makan ketika zaman belajar dulu tak jadi masalah besar buat kami. Dapat lah juga makan lengkap 3 kali sehari. Sarapan pagi yang ringkas saja seperti roti. Pada waktu itu untuk berjimat, roti yang dah expired bagi saya masih boleh dimakan lagi 2-3 hari selepas tarikh luputnya 😅. Air pula cukup dengan air 3 in 1 kopi, milo atau teh. Waktu tengahari memadai dengan lauk sejenis dua dan makan malam pula sama ada nasi atau goreng-goreng seperti mi, kuetiau dan sewaktu dengannya. Jika rajin dan berkesempatan (dan yang penting ada duit!) , meronda pula ke pasar malam berdekatan pada hujung minggu. Ketika tinggal menyewa di luar kampus pula, kami berkongsi beli lauk saja dan nasi siap dimasak di rumah sewa. Jimat duit makan. Pernah juga kami kongsi-kongsi duit untuk buat rumah terbuka raya di rumah sewa kami. Siap masak kuah kacang, sayur lodeh, mi dan bihun goreng lagi.

'Mewah' juga lah rasanya makan pada zaman itu. Kadang kala walaupun dah sarapan di bilik asrama dan masih terasa lapar, singgah lah di kedai makan roti canai 2 keping. Sesekali apabila tekak teringin nak makan yang 'mahal' sikit, kedai kek di Pusanika jadi tempat persinggahan dan kek coklat jadi sasaran.

Zaman belajar dulu jarang perlu minta duit dengan mak sebab duit biasiswa/pinjaman sudah memadai untuk tampung keperluan.

Apa yang bezanya dengan zaman sekarang?

Tak banyak beza pun. Mungkin yang paling banyak ketara berbeza ialah kos sara hidup yang semakin meningkat. Keperluan siswa yang semakin meningkat. Keperluan untuk belajar dan keperluan peribadi. Zaman saya belajar dulu ketika menjadi pelajar tahun tiga baru merasa ada handphone sendiri. Sebelum ada handphone sendiri memang setiap malam akan setia beratur panjang di telefon awam siap syiling atau kad panggilan dalam poket untuk telefon mak di rumah. Setiap malam tanpa gagal hehehe. Jadi apabila perlu guna telefon awam secara automatik akan jadi berhemah dengan duit yang nak dibelanja. Setiap kali nak berbelanja akan pastikan ada duit untuk telefon mak nanti. Err sekarang ada lagi ke orang guna telefon awam?

Pagi semalam ada tertonton sikit di Malaysia Hari Ini bersama Abang Abu dari Mekanik Wang mengenai cara-cara pelajar/mahasiswa boleh jimatkan wang perbelanjaan. Antara caranya mudah saja iaitu senaraikan wang yang perlu dibelanjakan setiap minggu. Daripada situ kita akan dapat jejak ke mana wang dibelanjakan dan yang paling penting ialah apa yang boleh kita kurangkan atau jimatkan daripada perbelanjaan tersebut.

Cara yang mudah untuk bijak berbelanja tapi tak ramai yang buat (termasuk saya!).

Berbalik kepada Food Bank untuk siswa, ia adalah satu langkah yang baik bagi membantu golongan pelajar daripada keluarga B40 dan miskin tegar. Perut berkeroncong lapar memang susah nak fokus belajar. Diharapkan program ini dapat diuruskan dengan cara yang betul dan berguna untuk kumpulan sasar.

Cuaca panas, hujan dan air kelapa....


Cuaca panas, hujan dan air kelapa....



Assalamualaikum & salam sejahtera...

Hujan lebat petang tadi. Alhamdulillah, hujan yang dinanti-nantikan muncul juga.

Hujan dan musim.panas


Melihatkan hujan yang turun mencurah-curah, teringat pula kepada daerah Hulu Perak yang telah 56 hari merindukan hujan dan Setiu,Terengganu yang telah 31 hari mengalami nasib yang sama. 

Macam mana pula dengan empangan Air Itam di Pulau Pinang yang hanya mampu menampung bekalan air untuk 48 hari saja lagi?  

Gelombang haba




Peralihan monsun kali ini agak mencabar. Teriknya cahaya matahari sehingga sepet-sepet mata menahan silau. Demam dan batuk menjadi masalah kesihatan yang 'mengungguli carta' di klinik ketika ini. Penangan gelombang haba yang dijangka terus 'menghantui' kita sehingga Mei nanti.

Panasnya haba hinggakan besi pintu gril agak ketat hendak dibuka pada waktu matahari tegak di kepala. Begitu sekali panasnya hinggakan besi mengembang dek haba. Mulanya saya sangkakan pintu besi berkarat tetapi tidak. Mudah saja nak dibuka pintu pada waktu pagi tatkala matahari masih belum meninggi.

Di sebalik keluhan panas di sana sini, terselit juga senyuman dan kegembiraaan bagi sesetengah orang ketika cuaca panas begini.

"Air kelapa 4 bungkus, bang. Ikat tepi"

Cepat betul stok buah kelapa di gerai itu habis. Baru semalam saja saya lihat satu lori penuh muatan kelapa dihantar ke gerai itu. Hari ini satu lagi lori kelapa menghantar muatannya. Memang nikmat betul minum air kelapa ketika cuaca panas membahang begini.

Memang nikmat. Macam mana agaknya jika cuaca begini berterusan sehingga bulan puasa yang tinggal 40 hari saja lagi?

Bersama-sama lah kita tabah menghadapinya 💪

Usaha mencari Muhammad Haziq berakhir sudah...


Usaha mencari Muhammad Haziq berakhir sudah...


Assalamualaikum & salam sejahtera....

Baru petang semalam saya bersembang dengan emak mengenai mangsa serangan di 2 buah masjid di Christchurch baru-baru ini.

"Ke mana agaknya ye mak, Haziq yang hilang masa masjid kat New Zealand kena serang tu? Sampai sekarang tak jumpa lagi"

"Ada tu. Tak lama lagi jumpa la tu. Mungkin dia takut sangat, tengah menyorok kat mana-mana. Nanti jumpa la tu"

"Harap macam tu la mak. Mangsa yang meninggal dah mula kebumikan hari ni. Harapnya senarai semua mangsa yang meninggal dah dapat kenalpasti"

Jauh di sudut hati ada terselit rasa "janganlah nama Haziq di antara yang tertulis di senarai itu"

Jauh di sudut hati terselit harapan tinggi agar Haziq segera ditemui. Segera ditemui supaya rasa ketidaktentuan dan keresahan di hati semua orang yang tertunggu-tunggu akan terjawab akhirnya.

Namun takdir Tuhan mengatasi segala-galanya.

Inna lillahi wainna ilaihi ro'jiun...

Allahhummaghfirlahu warhamhu wa'afihi wa'fuanhu..

Al-Fatihah buat adik Muhammad Haziq Mohd Tarmizi, 17 tahun, mangsa serangan bersenjata di Masjid Al Noor, Christchurch New Zealand pada 15 Mac yang lalu. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang beriman.

Takziah buat ahli keluarga Allahyarham. 😢

Muhammad haziq mohd tarmizi
Sumber : AstroAwani.com



Semoga disegerakan kesembuhan juga buat ayah Allahyarham iaitu Mohd Tarmizi Shuib dan  2 lagi warga Malaysia, Muhammad Nazril Hisham Omar dan Rahimi Ahmad.


“Janganlah kamu mengira bahwa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati; bahkan mereka itu hidup disisi Tuhannya dengan mendapat rezki. Mereka dalam keadaan gembira disebabkan karunia Allah yang diberikan-Nya kepada mereka, dan mereka bergirang hati terhadap orang-orang yang masih tinggal di belakang yang belum menyusul mereka , bahwa tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.” (Qs. Ali Imran: 169-171)




'Hello brother....'


'Hello brother....'



Assalamualaikum & salam sejahtera...

Semenjak kecil lagi perkara pertama yang terlintas di fikiran saya jika ditanya mengenai negara New Zealand ialah susu tepung Fernleaf. Pada saya, imej susu Fernleaf dan lembu putih bertompok hitam sedang meragut rumput di padang luas itu sangat dekat kaitannya dengan negara itu. Tak tahu kenapa, mungkin disebabkan masa kecil-kecil dulu selalu sangat tertonton iklan Fernleaf di tv 😊

Apabila dah meningkat dewasa, imej New Zealand dalam fikiran saya dah 'upgrade' sikit. Kalau sebut pasal New Zealand,terus terbayangkan pemandangan yang indah, gunung Alps dan percutian mengunakan motorhome. Macam best rasanya mengembara bersama keluarga di negara yang tersenarai dalam 10 negara paling aman di dunia itu.

Tanggal 15 Mac 2019 telah mengubah 360 darjah imej dan bayangan indah New Zealand di mata saya.

Apa yang terlintas di fikiran tatkala disebut pasal New Zealand kini bukan lagi bayangan yang indah-indah.

Imej jemaah yang terlantar kaku di Masjid Al-Noor, Christchurch selamanya akan terbayang-bayang di fikiran. Jasad yang sudah tidak bernyawa ditembak lagi bertalu-talu oleh si penjenayah tanpa belas kasihan. Setiap detik yang ditunjukkan dalam rakaman si penjenayah seakan-akan menunjukkan tiada sekelumit pun rasa kemanusiaan di hatinya. Apa yang penting  ialah melunaskan dendam dan rasa benci yang tersemat di kalbunya.

'Hello brother...'

Jelas terdengar sapaan mesra daripada jemaah namun dibalasnya si penjenayah dengan 3 butir peluru. Pasti tiada langsung rasa syak mahupun curiga di hati jemaah yang menyapa itu walaupun si penjenayah itu datang lengkap bersenjata.  Jemaah yang dilihat sebagai pendatang yang dibenci itu telah lebih lama hidup dan berbakti di bumi New Zealand berbanding si penjenayah itu sendiri.

1.5 juta video rakaman tragedi telah disekat di Facebook dan 300 ribu lagi masih terlepas. Agak mengecewakan tiada langkah awal diambil oleh pihak yang berkenaan meskipun pun si penjenayah telah menunjukkan tanda-tanda kebencian dan rancangan jahatnya di media sosial beberapa hari sebelum kejadian.

Imam masjid Al-Noor Christchurch
Sumber : nzherald.co.nz


Tiada apa yang dapat mengubah apa yang telah berlaku. Penjenayah yang mengganggap tindakan kejamnya itu akan menakutkan umat Islam namun ternyata silap. Jemaah yang meninggal dunia mendapat anugerah tidak ternilai mati syahid di tempat yang mulia di hari yang mulia. Penduduk bukan Islam yang selama ini mungkin tidak tahu di mana letaknya masjid mula datang melawat dan memberi sokongan.

Dan apa yang paling penting, tragedi ini membuka mata dunia untuk melihat siapa yang sebenar-sebenarnya dikatakan pengganas......

😢

Al-Fatihah untuk para syuhada'....

Sisa toksik Sungai Kim Kim : Apa yang tak perlu kita buat?


Sisa toksik Sungai Kim Kim : Apa yang tak perlu kita buat?



Assalamualaikum & salam sejahtera...

Rakaman keadaan mangsa pembuangan sisa toksik atau pencemaran bahan kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang ,Johor membuatkan saya meremang bulu roma melihat pelajar lelaki yang terbaring itu terketar-ketar tangannya. Tak dapat nak bayangkan macam mana perasaan ahli keluarga pelajar tersebut.... 😢

Kejadian @ tragedi di Sungai Kim Kim itu memang sangat mengejutkan seluruh negara. Berita pencemaran bukan berita yang asing kita dengar. Kerap sudah dilaporkan mengenai sungai tercemar dengan sampah sarap dan sisa buangan kilang. Bukan sekali dua kita baca mengenai udara tercemar dengan asap kilang dan kenderaan. Pihak yang didapati bersalah didakwa dan dibicarakan. Sabit kesalahan akan dikenakan hukuman. Dan semua perkara ini akan berulang kembali seperti tiada kesan hukuman yang dikenakan dan tiada iktibar daripada apa yang berlaku.

Sungai Kim kim
Sumber : Astro Awani


Pencemaran yang berlaku kali ini sememangnya menakutkan. Gas metana yang tersebar dari sumbernya ditiup angin adalah gas yang tidak berwarna, tidak berbau dan mudah terbakar. Kesan akibat terhidu gas ini pada kepekatan tertentu adalah sukar bernafas, muntah, loya dan pening kepala. Ramai yang terkejut,marah dan sedih dengan apa yang berlaku. Ramai yang mula menuding jari mencari kambing hitam. Ramai yang mahukan pesalah dikenakan hukuman yang seberat-beratnya. Ramai yang itu dan ini.

Kita semua geram dan 'berkobar-kobar' ingin melihat pesalah ditangkap segera. Kita juga sedar betapa perlunya penguatkuasaan dan pemantauan yang lebih ketat dalam menangani masalah pencemaran yang seserius ini. Dalam pada masa yang sama, jom kita sama-sama mengingatkan diri tentang apa yang tak perlu kita buat sementara menanti penjenayah dibawa ke muka pengadila.

Kita tak perlu....

Sebarkan info berkaitan mangsa dan keadaaan terkini yang belum tentu kesahihannya. Ramai yang mungkin berniat baik nak berkongsi info terkini tapi malangnya info yang disebarkan tak sahih dan cetuskan kebimbangan pula.

Kita tak perlu....

Menambahkan kekalutan dan masalah pada masalah yang sedia ada. Ini adalah masalah pencemaran sisa toksik oleh pihak tak bertanggungjawab.  Fokus utama ialah menyelesaikan masalah pencemaran dan  menyelamatkan mangsa. Tak perlu libatkan isu kaum atau agama. Yang bersalah ialah individu. Bukan agama yang dianutinya atau asal usul bangsanya.

Kita tak perlu....

Ambil kesempatan menangguk di air keruh. Jadi 'wakil' tak bertauliah untuk kutip sumbangan bagi pihak mangsa. Mangsa dan ahli keluarga dah cukup dengan masalah yang ada. Tak perlu dijadikan pula alat untuk kepentingan peribadi individu tertentu.

Kita tak perlu....

Cuba jadi 'wira' dengan niat baik hendak membantu mangsa. Tak salah hendak membantu tapi biarlah kena pada tempatnya. Sukarelawan pastinya dialu-alukan asalkan mengikut arahan pihak yang lebih arif dan tidak pula menjadi beban kepada mereka yang bertungkus lumus dalam usaha menyelamat.



“Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)”. (Ar-Ruum:41)


Semoga keadaan kembali stabil dan selamat di Sungai Kim Kim....😔😔😔