Tayar pancit, camber, alternator dan timing belt...

TAYAR PANCIT, CAMBER, ALTERNATOR DAN TIMING BELT...  

Assalamualaikum & salam sejahtera....

Ada beza tak tayar pancit dengan tayar kurang angin?

Mestilah ada beza. Tayar pancit memang tayar tu dah leper terus sebab dah tak ada angin langsung tapi kalau tayar kurang angin, tayar tu leper sikit dan masih ada angin.

Kalau tayar macam dalam gambar ni nampak macam tayar pancit atau tayar kurang angin?

Tayar pancit


Tayar kurang angin kan?

Tapi saya tak tau lah kenapa, bila nampak tayar ni terus dalam kepala ingat tayar dah pancit. Mula-mula bawa kereta tu bila buka tingkap dengar bunyi lain macam kat tayar belakang. Terus berhenti kan kereta tepi jalan. Pergi tengok tayar belakang belah kiri, macam dalam gambar tu lah rupanya. 

Terus panik sebab dah set dalam kepala 'Alamak, tayar pancit!'

Nak tukar tayar sendiri memang tak pandai. Jadi pandu lah pelan-pelan pergi kedai tayar yang terdekat. Dalam hati tu risau juga takut rim tayar boleh rosak. Saya pernah sekali tu tayar pancit di tol dekat LRT Damai, saya teruskan juga drive hingga ke kedai tayar di Setiawangsa. Memang kemek lah jawabnya rim tayar. Dah satu hal pula kena beli rim baru.

Berbalik pada cerita tayar yang disangkakan pancit tadi. Sampai kat kedai tayar baru 'tersedar' . "Eh, tayar ni macam bukan pancit je!"

"Ini tayar kurang angin, bukan pancit"

Begitulah kata pekerja kedai tayar tu. Dibelek-beleknya tayar tu terjumpa paku katanya (nampak macam skru). 

"Ini tayar aaa, sudah lama. You tengok ini macam tinggi rendah nanti you bawa laju banyak bahaya ooo"

Saya pun belek tarikh pada tayar. 

'0513'

Dah sepuluh tahun. Kalau tayar dah sepuluh tahun memang kena ganti baru ke? Begitulah orang perempuan (bukan semua ya), serba serbi tak tahu pasal kereta. Yang tahu hanya start enjin dan jalan 😅

"Ok lah, kasi tukar tayar baru"

Lepas kira harga tayar termasuk alignment dan balancing, maka 'terbang melayang' lah RM560.

Belum habis lagi cerita kat situ. Tengah termenung memikirkan nasib nak 'berpisah' dengan RM560, orang kedai tu panggil lagi. 

"You tengok aa ini mesin". Masa tu dia tengah nak mula buat alignment.

Dalam hati saya berkata-kata eh bagus orang ni rajin nak explain apa yang dia buat kat kereta saya tu.

"Ini aa you nampak ini 'camber' ada banyak lari. Ini you mesti banyak langgar lubang. Kalau tak kasi betul nanti you drive itu tayar cepat rosak"

Dah camber pula kena betulkan. Tambah lagi RM90. Tayar depan dan belakang kiri setiap satunya RM30. Habis lah RM650 😭

Alignment Dan balancing

Camber kereta lari


Lama juga tunggu kereta nak siap. Sempat lah saya Google pasal camber. Info yang ni saya dapat dari lama mekanika.com.my:

Camber – Camber adalah sudut tayar jika kita tengok tayar dari arah depan kereta. Ia boleh bernilai negatif atau positif. Camber negatif terjadi apabila bahagian bawah tayar terkangkang sedikit berbanding dengan bahagian atas. Camber positif pula terjadi apabila bahagian atas terkangkang sedikit berbanding dengan bahagian tayar bawah (Sumber: mekanika.com.my)

Banyak yang saya jahil pasal kereta ni. Disebabkan kurang ilmu pasal kereta, dah selalu juga saya 'trauma' kereta rosak tengah jalan. Alternator rosak lah, timing belt kereta putuslah, tangki air pecah lah, alternator belt rosak lah dan macam-macam lagi. Dua kali tengah drive tiba-tiba stereng keras Dan kereta berhenti. Dan dua-dua kali tu terjadi kat tempat yang sama, iaitu depan Hotel Shangri La, seberang Hotel Concorde. Sampai polis trafik dan abang rider Grab tolong tolakkan kereta ke tepi jalan 😅

Begitulah cerita saya dan kereta...dan melayangnya RM650 minggu lalu 😭


Makan ubat tapi bertambah sakit?

MAKAN UBAT TAPI BERTAMBAH SAKIT?

 

Assalamualaikum & salam sejahtera...

"Salam semua, untuk makluman, mak saya sekarang ada di HKL, dah 5 hari di wad. Doktor kata ada masalah hati.."

Terkejut juga kami yang jiran-jiran ni bila baca WhatsApp group lorong taman kami. Tak sangka pula ada masalah hati sebab sebelum ni setahu kami makcik tu baru saja sembuh daripada pembedahan buang ketulan di pa**daranya.

"Doktor kata ubat yang mak saya makan lepas pembedahan tu ada effect pada hati mak.."

Allahuakbar.

Ubat yang asalnya di makan untuk mengubati sebaliknya jadi penyebab kepada penyakit lain pula.

Kesan sampingan ubat


Tak semua orang sesuai dengan semua ubat. Ubat yang sesuai untuk si A tak semestinya berkesan untuk si B.

Macam doktor ortopedik yang rawat mak saya lah. Bila mak saya mengadu sakit di kaki, doktor kata dia akan bagi ubat tahan sakit, Celebrex. Saya kata selamat ke seusia mak saya makan ubat tahan sakit, dengan selamba doktor jawab..

"Eh selamaaaat..saya makan ok je"

🙄

Hasil makan ubat tahan sakit yang 'selamaaaat' tu, mak saya jadi lemah badan, blur2 dan kadang-kadang jadi tak sedar dengan keadaan sekeliling. Bila buat ujian darah, kandungan creatinine dalam buah pinggang tinggi daripada result ujian darah sebelumnya. Terus saja saya hentikan mak saya daripada makan ubat tahan sakit tu.

Sama juga dengan ubat--ubatan yang lain. Bertahun-tahun mak saya mengeluh rasa ngilu di kakinya. Dua kali buat pembedahan tulang belakang kerana disangkakan ngilu tu ada kaitan dengan spinal stenosis - tulang belakang yang sempit. Tapi lepas pembedahan masih lagi ada rasa ngilu. Ditambah lagi dengan lemah badan dan otot kaki. Akhirnya setelah dapat banyak info daripada 'Dr Google ' , kami dapati ubat diabetes boleh sebabkan kurang penyerapan vitamin B12. Apa jadi kalau kurang vitamin B12? Dr Google kata jika kurang vitamin B12 maka akan terjadilah lemah otot, rasa tingling atau ngilu di kaki! Jadi lepas dapatkan nasihat doktor kami pun hentikan sekejap makan ubat kencing manis. Hasilnya? Rasa ngilu dah berkurang dan badan tidak lagi lemah-lemah. Kalau dulu mak duduk sekejap je dah nak baring, tapi kini dah boleh duduk lama..😊😊😊

Sama juga dengan ubat kolesterol. Tahukah anda ubat kolesterol (ubat dalam keluarga statin contohnya macam simvastatin atau atorvastatin) boleh sebabkan muscle cramps? Puncanya ubat kolesterol akan mengurangkan penghasilan coenzim Q10 dalam badan.

"Q10 ini macam power bank dalam badan you. Kalau kurang macam mana mau charge itu sel dalam badan. Kalau kurang power itu otot boleh mati la"

Bukan saya yang kata ya. Tapi ahli farmasi yang sudi dengar saya mengadu pasal kaki mak saya yang selalu cramp.

Begitulah.

Kenali ubat anda


Saya terfikir juga bila pesakit diberi ubat, siapa sepatutnya yang terangkan kepada pesakit mengenai kesan sampingan ubat tersebut. Siapa yang patut terangkan apa dijangka kita mungkin akan alami bila makan ubat. Atau cara nak atasi kesan sampingan ubat. Atau interaksi antara ubat (kalau makan banyak ubat) yang kita kena elakkan.

Siapa?

Doktor?

Ahli farmasi?

Atau cari info sendiri dengan tanya Dr Google?

Jadi kalau anda atau emak ayah anda ada rasa tak kena atau sakit sana sini lepas mula makan sesuatu ubat yang baru, cuba periksa balik ubat--ubatan yang diambil. Kesan sampingan ubat Itu mungkin segera atau mungkin juga baru terasa kesannya selepas beberapa hari, minggu atau bulan berikutnya.

Apa-apa pun yang penting selain dapatkan nasihat doktor (mungkin doktor akan tukar ubat lain atau dos dikurangkan dan sebagainya), kita kena lah lebih peka dengan keadaan kesihatan kita sendiri. Tak semua ubat sesuai dengan semua orang ya!


Andai Itu Takdirnya - Sampai bila nak bertahan?

ANDAI ITU TAKDIRNYA - SAMPAI BILA NAK BERTAHAN?


Assalamualaikum & salam sejahtera...

Andai Itu Takdirnya. 

Slot Megadrama di saluran Astro Ria. Perlukan jantung dan hati yang kuat untuk tonton drama ni. Kalau tidak, boleh sakit jantung, sakit hati, naik darah tinggi, geram, menyampah, meluat dan yang sewaktu dengannya 😡

Andai Itu Takdirnya


Kadang-kadang tu rasa macam tak logik pun ada juga dengan drama 'Andai Itu Takdirnya' ini. Macam mana lah perempuan macam Aleya tu boleh tahan dengan perangai baran, tak matang, suka naik tangan, kuat cemburu tak bertempat, tak pernah fikir panjang si Aizril tu? Wujud ke perempuan macam ni? Wujud ke?? Haish, geram betul!

Andai Itu Takdirnya


Tapi kan, bila fikir balik, memang wujud pun perempuan macam tu. Kawan saya sendiri. Kahwin dengan lelaki cinta hati nya. Sebelum kahwin pun dah nampak ciri-ciri kuat cemburu. 

Kawan saya keluar lambat sikit dari ofis, mulalah suaminya call bertalu-talu.

Kawan saya lambat jawab call, mula lah tanya soalan bertubi-tubi. Kenapa lambat jawab call? Tengah buat apa? Dengan siapa sekarang ni?

Menambah teruk kan keadaan ialah si suami tu kaki judi. Kerja tak menentu tapi berjudi tak pernah berhenti. Kawan saya lah yang menjadi mangsa 'diperah' duitnya. Sampai tak cukup duit nak beli keperluan anak-anak. Anak bukan seorang ya, tapi lima orang. 

Kami kawan-kawan se ofis pun 'terlibat' jadi tempat meminjam duit kawan saya ni. Pinjam kat kawan ni RM100, pinjam kat kawan tu RM200, lama-lama bila dikumpul dah beribu ringgit juga dipinjam daripada kawan se ofis.

Yang paling menyakitkan hati ialah si suami kawan ni turut senang naik tangan. Ringan je tangan dia nak menumbuk kawan saya dan menampar anak-anak 😡

Dengan semua perangai si suami ni, apa yang kawan saya ni buat? Report polis? Mengadu kat mak ayah? Pindah rumah?

Tak.

Dia tetap setia di samping 'suami tercinta'...

Sungguh saya tak faham. Susah nak diterima akal macam mana kawan saya ni boleh bertahan. 

Mungkinkah satu spesis dengan Aleya dalam 'Andai Itu Takdirnya'?

Sampai bila nak bertahan?

Sampai mati?

🙄

3 isyarat kecil tanda air kurang dalam badan!

3 ISYARAT KECIL TANDA AIR KURANG DALAM BADAN!


Assalamualaikum & salam sejahtera....

Saya kembali melawat blog yang bersawang setelah lebih 2 tahun ditinggalkan 😅 Susah juga nak start menulis semula. Tambah pula dengan cuaca panas kebelakangan ini, jadi agak sedikit kekeringan idea (alasan!)

Cuaca memang panas tapi Alhamdulillah, kelmarin dan semalam hujan turun lebat mencurah-curah. Dapat juga meredakan suhu walaupun tidur malam tetap juga berpeluh-peluh. 

Cakap pasal cuaca panas, kita semua dah maklum pasal risiko kelesuan haba dan strok haba. Punca-punca, simptom dan tanda-tanda strok haba pun kita dah tahu. Antaranya suhu badan tinggi sehingga lebih 40°C, tidak berpeluh dan hilang fokus atau kekeliruan. Tapi selain tanda-tanda ni, ada juga tanda-tanda kecil lain yang tunjukkan badan kita kurang air. 

Apa tanda-tandanya?

1. Ulser mula tumbuh bagai cendawan lepas hujan. Ulser di mulut, ulser di lidah, ulser di bibir, ulser di gusi sememangnya sangat menyakitkan. Nak makan sakit, nak minum sakit malah nak bercakap pun sakit. Terutamanya kalau ulser di lidah, memang tergeliat-geliat lidah nak bercakap sebab nak elak ulser di lidah tu berlaga dengan gigi. Selain elakkan stress, kena juga lah elakkan badan kekurangan air kalau tak nak tanggung sakit kena ulser di mulut ni.



Tanda air kurang dalam badan


2.  Tahi telinga terlebih dan mengeras. Yang ini berdasarkan pengalaman sendiri 😅. Telinga tersumbat sampai kena jumpa doktor untuk buat ear syringing. Bila tanya doktor kenapa kerap telinga saya tersumbat, doktor terus je cakap, 'Awak mesti kurang minum air kan?'  Kurang minum air tambah pula dengan cuaca panas, maka terjadilah 'hasil' yang tak diingini dalam telinga.

3. Cepat marah? Gelisah tanpa sebab? Mungkinkah puncanya hanya sebab anda kurang air? Tak dinafikan ada banyak punca cepat marah dan gelisah tak bersebab. Tapi kalau anda semenjak cuaca panas ni tiba-tiba saja berubah jadi pemarah, cuba check sama ada anda tak minum air yang cukup. Kurang air dalam badan atau dehidrasi boleh meningkatkan hormon kortisol. Salah satu fungsi hormon kortisol ialah mengawal cara badan respond terhadap stress. 

Dehidrasi ⬆️ Hormon kortisol ⬆️ Stress ⬆️ Cepat marah ⬆️⬆️⬆️

Biarpun tanda-tanda ni nampak tak begitu serius, tapi perhatikan lah tanda-tanda kecil ini dan banyakkan minum air untuk elakkan mudarat pada kesihatan anda. 

Jaga diri ya!



Satu kebaikan untuk satu hari...

SATU KEBAIKAN UNTUK SATU HARI...


Assalamualaikum & salam sejahtera...

Salam hari Jumaat, salam sayyidul ayyam. Jom kita perbanyakkan berselawat ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad saw...

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya


Sejak 2, 3 malam ni saya selalu gunakan Kool Fever bila nak tidur malam. Panas sebab dah lama tak hujan. Di musim Covid-19 ni 'seram' juga bila badan mula rasa panas. Mula lah terfikir macam-macam. Mula lah sekejap-sekejap periksa suhu di dahi 😂. Kool Fever memang  sentiasa sedia ada di rumah untuk kegunaan bila perlu.

Malam tadi bila terpandangkan Kool Fever tu terus teringat pada berita seorang wanita yang ambil barangan dan ubat di pasaraya tapi tak mampu nak bayar. Kes dilaporkan di balai polis Petaling Jaya.  Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Assistant Komisioner ACP Nik Ezanee Mohd Faisal, antara barang yang di ambil oleh wanita itu ialah Kool Fever untuk anaknya yang sakit. Kasihan. Baru saya tahu nak bersyukur sebab saya masih ada rezeki nak sentiasa ready ada Kool Fever di rumah sedangkan wanita itu terpaksa mencuri untuk anaknya yang demam.





Pagi semalam, ACP Nik Ezanee telah bermurah hati berkunjung ke rumah wanita berkenaan untuk menghulurkan bantuan bersama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Kes curi tersebut juga tidak diambil tindakan lanjut dan telah ditutup.

"Kalau kita lapar kita boleh tahan, tapi kalau anak-anak kita yang lapar, itu perkara yang tak boleh kita terima" - ACP Nik Ezanee (sumber : Astro Awani)

“Susah-susah sangat datanglah ke balai polis" - ACP Nik Ezanee (sumber : Astro Awani)


Allahuakbar. Prihatin sungguh dan contoh yang baik daripada seorang yang berpangkat ketua polis. Beliau memberikan sedikit sisi yang berbeza seorang anggota polis di sebalik berita-berita ketegasan polis di kala PKP ini.


ACP Nik Ezanee
Sumber : Astro Awani


Sikap prihatin ACP Nik Ezanee memang telah diketahui ramai sebelum ini, sesuai dengan moto beliau , 'One Good Deed A Day'. Tapi yang paling saya ingat tentang beliau ialah bila beliau sendiri menghantar seorang pelajar ke sekolah pada Julai 2020 yang lepas. Pelajar tersebut ialah anak seorang anggota polis yang meninggal dunia pada hari raya kedua tahun lalu. Imej beliau menghantar pelajar tersebut sangat kuat melekat dalam fikiran saya dan selepas itu setiap kali nampak beliau dalam berita di tv, secara automatik saya terus teringat kebaikan beliau. Semoga sikap beliau itu menjadi contoh ikutan untuk anak-anak buahnya dan kekal mesra masyarakat dalam menjalankan tugas.

Bila cerita mengenai kebaikan dan kemurahan hati, saya teringat kepada seorang doktor pakar di hospital swasta yang selalu saya buat pemeriksaan dengannya. Lama juga saya ber 'follow up' check up dengan beliau, sudah masuk 12 tahun. Setiap kali appointment beliau akan bertanyakan khabar emak saya tang slipped disc dan abang saya yang stroke. Walaupun jumpa hanya 6 bulan sekali, beliau masih ingat cerita-cerita saya. Dan yang paling saya tersentuh dengan doktor tersebut ialah beliau kerap juga tak kena kan bayaran untuk pemeriksaan yang dilakukan.  

"Ok kita jumpa 6 bulan lagi. Awak ambil je kad ni dan boleh terus balik, tak payah ke kaunter bayaran"

"Tak payah bayar ke doktor?"

"Tak payah. Nanti lama pula awak nak tunggu lagi giliran nak bayar. Emak awak tunggu kat rumah"

😢

Setiap kali dapat pemeriksaan percuma daripada doktor itu, setiap kali itu juga lah saya panjangkan kebaikan beliau dengan belanja ahli keluarga saya makan. InsyaAllah berlipat kali ganda hendaknya pahala kebaikan doktor tersebut 😊.


Selain kisah ACP Nik Ezanee sebagai seorang anggota beruniform yang prihatin, antara yang saya ingat juga ialah berita sumbangan anggota tentera yang disiarkan di tv ketika banjir melanda beberapa negeri di Malaysia baru-baru ini. Sebelum ini yang pernah saya dengar ialah anggota tentera terlibat dalam misi bantuan menyelamat mangsa banjir atau jalan runtuh akibat banjir. Tapi bila disiarkan berita anggota tentera turut bantu memasak dan sediakan makanan untuk mangsa banjir, memang saya tabik betul dengan sumbangan mereka 👍👍👍. Bukan setakat berjuang sebagai barisan hadapan, kebajikan rakyat pun jadi keutamaan wira-wira negara ini.

One good deed a day. Satu kebaikan untuk satu hari.

Apa kebaikan yang kita dah buat untuk hari ini?


🤔🤔🤔


Pisang goreng, lontong dan nasi bajet....

 


Pisang goreng, lontong dan nasi bajet....


Assalamualaikum & salam sejahtera...


Serba salah juga dengan PKP 2.0 ni. Bila buka sektor ekonomi, orang ramai akan keluar bekerja. Ramai peniaga, penjaja, pengusaha dapat kembali bernafas. Tapi itu lah, risiko penularan Covid-19 pula bertambah tinggi. Bila tutup sepenuhnya sektor ekonomi macam PKP 1.0 dulu, ada kebarangkalian penularan dapat dikawal. Tapi kesannya teruk pula pada golongan yang sama.

Pada hari pertama PKP 2.0 di Selangor pada 13 Jan, rasa macam tak ada PKP 😅. Ketika saya ke farmasi, jalan masih banyak dengan kenderaan. Tempat letak kereta masih penuh seperti biasa. Orang ramai masih meriah beratur beli makanan minuman di gerai-gerai penjaja yang berniaga macam biasa. Pada saya , kesan pertama PKP 2.0 ni ialah bila tak lagi dapat ke pasar tani setiap pagi Sabtu. Setiap malam Sabtu pula ada pasar malam di kawasan yang sama.

Setiap pagi Sabtu selalunya saya akan ke pasar tani di depan Aeon AU2 (masa PKP pasar tani tak dibenarkan, kan?). Selain beli murtabak atau keropok lekor, rajin juga saya cuci mata tengok anak-anak pokok yang dijual. Ada pokok bunga, pokok kari, serai, daun pandan, limau hinggalah ke anak pokok durian. Rajin juga saya singgah beli kurma Ajwa di salah sebuah gerai yang ada. Ada pelbagai kudapan di gerai ini dan diberi peluang untuk merasa dulu sebelum membeli. Penjual itu pun murah hati juga selalu berikan lebih. Kurma Ajwa yang dijual dengan harga RM60 untuk setengah kilo selalunya dilebihkannya dalam timbangan 👍.

Itu cerita pasar tani.

Selagi masih dibenarkan penjaja tepi jalan, food truck, peniaga gerai makan beroperasi, guna lah kesempatan ini untuk bantu golongan tersebut. Kita tak tahu kan, kemungkinan esok lusa tulat jika kes naik mendadak dan sektor ekonomi akhirnya terpaksa ditutup sepenuhnya, golongan ini juga lah yang akan terjejas teruk

"Ye kak. Nak lontong berapa?"
Belum sempat saya buka mulut terus saja pekerja gerai Kedai Makan Kak Nana itu bertanya nak lontong berapa. Mana dia tahu saya nak beli lontong? Di gerai itu ada jual nasi lemak, mee goreng, bihun goreng dan roti canai/telur/sardin dan lain-lain roti. Mungkin sebab setiap kali saya ke gerai itu lontong yang saya beli, maka seakan-akan dah ada 'cop' lontong di dahi saya 😅. Pada mulanya saya ingatkan sangkaan saya saja, tapi bila dah setiap kali sampai di gerai itu dan itu lah soalan yang terus ditanya pada saya maka sah lah memang saya dah di 'cop' penggemar lontong

Daripada satu sudut memang bagus lah sebab pekerja itu ingat saya dan ingat apa yang selalu saya beli. Memang --prihatin- peka orangnya. Tapi daripada satu sudut yang lain saya pula yang malu sebab dah dicop 'tak-ada-lain-akak-ni-kalau-datang-mesti-beli-lontong'!

Menu di Kedai Makan Kak Nana ni sedap-sedap belaka terutamanya mee goreng dengan paru dan ayam goreng!

Lontong Kedai Makan Kak Nana
Credit : Google

 Itu cerita lontong. 

Kalau petang-petang teringin nak makan pisang goreng, gerai jual pisang goreng yang mesti saya tuju ialah gerai pisang goreng yang betul-betul depan Petronas AU2 Keramat. Bannernya tertulis 'Pisang goreng cheese', 'Resepi Mama Nor' dan 'Rasa sekali pasti nak lagi'. Selalunya saya beli pisang goreng biasa saja, tak nak yang ber 'cheese' . Untuk pisang goreng biasa harganya RM1 untuk 3 keping. Jika ber cheese kalau tak silap RM5. Yang saya suka beli di gerai ini sebab selalu dapat lebih 😅. Jika saya beli pisang goreng biasa RM5 patutnya dapat 15 keping kan. Tapi selalunya saya akan dapat 18 atau 21 keping atau kadang-kadang lebih daripada itu! Memang pemurah si penjualnya. Dan bila diperhatikan selain pemurah, si penjual juga seorang yang pembersih. Sambil-sambil tunggu pisang siap digoreng, ada saja kerjanya mengelap bahagian meja gerainya. Memang pembersih dan kemas. 


Pisang goreng
Credit : Google


Bersebelahan gerai pisang goreng itu ialah gerai jual nasi bajet. Sebungkus nasi bajet dengan 2 ketul ayam beserta kuah kari dan sambal belacan ialah RM3.50. Memang bajet betul. Selain nasi, ada juga dijual kuih-muih dan air balang. Ada satu peristiwa agak kelakar saya perhatikan pada pekerja gerai nasi bajet ini. Satu hari ketika saya sedang tunggu pisang siap digoreng saya leka perhatikan pekerja gerai sebelah (gerai nasi bajet itu lah). Ada 3 orang ketika itu dan ketiga-tiganya tak pakai pelitup muka dengan betul. Kesemuanya di bawah dagu. Tak lama kemudian saya nampak ada lori/trak tentera laut masuk ke Petronas (yang berdepan dengan gerai) untuk isi minyak. Terus secara spontan kelam kabut ketiga-tiga pekerja itu memakai pelitup dengan betul! 😊. Tapi kan, tentera laut boleh tangkap orang yang tak pakai pelitup muka ke? 😅

Macam mana agaknya nasib penjaja-penjaja kecil ini jika terpaksa tutup kedai? Mampu kah mereka bertahan dengan simpanan yang ada (jka ada 😔) atau terpaksa kais pagi makan pagi atau cuba pula jalan rezeki yang lain? 

Kata DG Hisham, kesan PKP 2.0 ini dapat dilihat selepas 2 minggu pelaksanaannya. Jadi secara mudahnya PKP 2.0 sebenarnya dilaksanakan untuk sebulan dan bukanlah berakhir pada 26 Jan nanti. Bila sebut pasal kesan atau hasil PKP ni saya teringat pada PKPB yang dilaksanakan di seluruh Selangor sebelum ini. Bermula daripada 14 Oktober 2020 dan dilaksanakan untuk 2 minggu. Kemudian dilanjutkan lagi untuk 2 minggu. Kemudian dilanjutkan lagi hingga ke hujung tahun 2020. Dan sekali lagi dilanjutkan ke 14 Jan 2021 yang mana akhirnya menjadi PKP bermula 13 Jan 2021. Adakah perkara yang sama akan berlaku untuk PKP 2.0 ini? 🤔🤔🤔

Atau situasi akan jadi berbeza kerana vaksin telah diperolehi akhir Feb nanti?

Sama-sama kita tunggu dan lihat.....



Covid-19 : Vaksin harapan kita?

 

Covid-19 : Vaksin harapan kita?


Assalamualaikum & salam sejahtera...


Setiap hari menanti jam 6 petang adalah saat yang 'mendebarkan'. 

Berapa kes baru positif Covid-19 hari ni?

Berapa kematian?

Ada kluster baru lagi?

Ada ke kluster baru dekat dengan kawasan rumah kita?

Setiap hari.

Rutin setiap hari sejak setahun yang lalu 😔😔😔

Jika sehingga 6.30 petang pun masih belum ada statistik terkini kes, hati mula tertanya-tanya, "Tinggi sangat ke kes hari ni? 3000 kes? 4000 kes?" 😓😓😓

Akhirnya, semalam berita yang menakutkan itu tiba juga. 

16 Jan 2021 : 4,029 kes positif Covid-19 di Malaysia.

Covid-19 di Malaysia
Sumber : Kenyataan Akhbar KPK


Adakah vaksin yang bakal diperolehi akhir bulan Feb nanti mampu mengubah situasi pandemik Covid-19 di Malaysia?

Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden, 78 tahun telah terima suntikan pertama vaksin Covid-19, Pfizer pada 21 Dis 2020. Suntikan kedua pun dah selamat diterima pada 11 Januari 2021.

Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, 68 tahun menjadi pemimpin Asean yang pertama terima suntikan Covid-19. Beliau telah terima suntikan pertama vaksin Covid-19, Pfizer pada 8 Jan 2021.

Presiden Indonesia, Joko Widodo, 59 tahun juga dah terima suntikan pertama vaksin Covid-19, Sinovac pada 13 Jan 2021. Suntikan vaksin disiarkan secara langsung untuk meyakinkan rakyat keselamatan vaksin tersebut.

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, 66 tahun pun dah terima suntikan vaksin Covid-19, Sinovac pada 14 Jan 2021. Pada hari yang sama juga, mufti terkenal dari Zimbabwe, Mufti Ismail Menk atau Mufti Menk, 45 tahun juga dah selamat terima vaksin Covid-19, Sinopharm di UAE.

Rakyat Malaysia, bila lagi?

Menurut Menteri Kesihatan, pendaftaran untuk suntikan vaksin Covid-19 akan mula dibuka tidak lama lagi. Suntikan vaksin akan dibuat untuk 3 fasa. Fasa 1 melibatkan petugas barisan hadapan. Fasa 2 melibatkan warga emas berusia 60 ke atas dan golongan yang berpenyakit kronik manakala Fasa 3 bagi rakyat yang berusia 18 tahun ke atas.

Selamat ke vaksin Covid-19 ini?

Apa kandungan vaksin ni? Halal ke? Tak ada kesan sampingan ke nanti?

Macam-macam reaksi yang saya baca di media sosial.

"Bahaya suntik vaksin ni. Kita tak tau apa sebenarnya ada dalam vaksin tu"

"Eleh, ayam goreng famous dengan secret ingredient tu kau tak tau pun apa ingredient dia, elok je kau makan"

"Vaksin ni ada bahan tak halal, bahan daripada haiwan. Haram suntik vaksin ni!"

"Restoran makanan segera yang ada jual arak tu selamba je kau masuk, tang vaksin ni banyak soal pula"

🤔🤔🤔

Macam-macam.

Pencegahan penyakit melalui vaksin bukan lah pertama kali di Malaysia. Sebelum ini pun telah ada program pemvaksinan bagi penyakit lain seperti Tibi, Campak, Batuk Kokol, Hepatitis B dan juga imunisasi Rubella (kalau tak silap saya kena injection Rubella masa darjah 5 atau 6).

Yang pasti, mesyuarat khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia bagi kali ke-10 dah pun putuskan pengambilan vaksin Covid-19 hukumnya adalah harus. Hasil daripada pemvaksinan ini akan mewujudkan masyarakat yang mempunyai daya tahan terhadap penyakit Covid-19 ini. Imuniti kelompok diharap dapat dicapai dengan ada nya pemvaksinan ini.

Imuniti kelompok atau herd immunity dalam kata mudahnya ialah masyarakat yang dilindungi daripada jangkitan penyakit yang menular dalam komuniti. Imuniti kelompok boleh dicapai apabila 70%-90% daripada komuniti mempunyai imuniti atau daya tahan terhadap penyebab jangkitan penyakit itu (sumber : KKM). Nak lebih mudah faham boleh tengok gambarajah di bawah (sumber : Twitter @HausofHilton)




Vaksin Covid-19

                                                   Sumber : Twitter @HausofHilton)




Walau bagaimana pun, vaksin adalah untuk mencegah dan bukan merawat. Dan vaksin juga bukan lah pasport untuk kita bebas ke sana dan ke sini. Kita tak tahu bagaimana virus Covid-19 bermutasi. Adakah vaksin yang dikeluarkan mampu mencegah jangkitan Covid-19 bagi mutasi dengan varian baru yang ditemui di UK baru-baru ini? Macam mana jika mutasi baru virus ini lebih 'ganas' menjangkiti dan tersebar? Dan mungkin juga virus yang telah bermutasi lebih 'kebal' dan tak mampu dicegah dengan vaksin yang telah dihasilkan?

Adakah vaksin harapan kita untuk menurunkan kes positif yang sudah sekian lama kekal 4 angka? Kes dengan 4 angka bermula daripada 24 Okt 2020 dan semenjak itu kes tak pernah kurang daripada 600 kes ke atas. Daripada 10 Dis 2020 hingga ke hari ini, kes kekal dengan 4 angka. Dan PKP hanya bermula bila? 13 Jan 2021 🤔🤔🤔

Ada nya vaksin atau tidak, penjarakan sosial masih perlu dijaga. Pelitup muka masih perlu dipakai dengan betul. Tangan masih perlu kerap dibasuh. Tempat sempit masih perlu dielak. Perhimpunan beramai-ramai masih lagi satu larangan.

Sampai bila? Tuhan saja yang tahu sampai bila.

Sehingga saat kita menang melawan Covid-19 itu tiba, sama-sama lah kita terus berjuang. Segalanya bermula daripada diri kita sendiri. InsyaAllah, akan muncul juga pelangi selepas hujan 🌈. InsyaAllah, akan muncul juga nanti sinar di hujung terowong...

Kita jaga kita 💪💪💪