Pisang goreng, lontong dan nasi bajet....

Thursday, January 21, 2021 Ana 0 Comments

 


Pisang goreng, lontong dan nasi bajet....


Assalamualaikum & salam sejahtera...


Serba salah juga dengan PKP 2.0 ni. Bila buka sektor ekonomi, orang ramai akan keluar bekerja. Ramai peniaga, penjaja, pengusaha dapat kembali bernafas. Tapi itu lah, risiko penularan Covid-19 pula bertambah tinggi. Bila tutup sepenuhnya sektor ekonomi macam PKP 1.0 dulu, ada kebarangkalian penularan dapat dikawal. Tapi kesannya teruk pula pada golongan yang sama.

Pada hari pertama PKP 2.0 di Selangor pada 13 Jan, rasa macam tak ada PKP 😅. Ketika saya ke farmasi, jalan masih banyak dengan kenderaan. Tempat letak kereta masih penuh seperti biasa. Orang ramai masih meriah beratur beli makanan minuman di gerai-gerai penjaja yang berniaga macam biasa. Pada saya , kesan pertama PKP 2.0 ni ialah bila tak lagi dapat ke pasar tani setiap pagi Sabtu. Setiap malam Sabtu pula ada pasar malam di kawasan yang sama.

Setiap pagi Sabtu selalunya saya akan ke pasar tani di depan Aeon AU2 (masa PKP pasar tani tak dibenarkan, kan?). Selain beli murtabak atau keropok lekor, rajin juga saya cuci mata tengok anak-anak pokok yang dijual. Ada pokok bunga, pokok kari, serai, daun pandan, limau hinggalah ke anak pokok durian. Rajin juga saya singgah beli kurma Ajwa di salah sebuah gerai yang ada. Ada pelbagai kudapan di gerai ini dan diberi peluang untuk merasa dulu sebelum membeli. Penjual itu pun murah hati juga selalu berikan lebih. Kurma Ajwa yang dijual dengan harga RM60 untuk setengah kilo selalunya dilebihkannya dalam timbangan 👍.

Itu cerita pasar tani.

Selagi masih dibenarkan penjaja tepi jalan, food truck, peniaga gerai makan beroperasi, guna lah kesempatan ini untuk bantu golongan tersebut. Kita tak tahu kan, kemungkinan esok lusa tulat jika kes naik mendadak dan sektor ekonomi akhirnya terpaksa ditutup sepenuhnya, golongan ini juga lah yang akan terjejas teruk

"Ye kak. Nak lontong berapa?"
Belum sempat saya buka mulut terus saja pekerja gerai Kedai Makan Kak Nana itu bertanya nak lontong berapa. Mana dia tahu saya nak beli lontong? Di gerai itu ada jual nasi lemak, mee goreng, bihun goreng dan roti canai/telur/sardin dan lain-lain roti. Mungkin sebab setiap kali saya ke gerai itu lontong yang saya beli, maka seakan-akan dah ada 'cop' lontong di dahi saya 😅. Pada mulanya saya ingatkan sangkaan saya saja, tapi bila dah setiap kali sampai di gerai itu dan itu lah soalan yang terus ditanya pada saya maka sah lah memang saya dah di 'cop' penggemar lontong

Daripada satu sudut memang bagus lah sebab pekerja itu ingat saya dan ingat apa yang selalu saya beli. Memang --prihatin- peka orangnya. Tapi daripada satu sudut yang lain saya pula yang malu sebab dah dicop 'tak-ada-lain-akak-ni-kalau-datang-mesti-beli-lontong'!

Menu di Kedai Makan Kak Nana ni sedap-sedap belaka terutamanya mee goreng dengan paru dan ayam goreng!

Lontong Kedai Makan Kak Nana
Credit : Google

 Itu cerita lontong. 

Kalau petang-petang teringin nak makan pisang goreng, gerai jual pisang goreng yang mesti saya tuju ialah gerai pisang goreng yang betul-betul depan Petronas AU2 Keramat. Bannernya tertulis 'Pisang goreng cheese', 'Resepi Mama Nor' dan 'Rasa sekali pasti nak lagi'. Selalunya saya beli pisang goreng biasa saja, tak nak yang ber 'cheese' . Untuk pisang goreng biasa harganya RM1 untuk 3 keping. Jika ber cheese kalau tak silap RM5. Yang saya suka beli di gerai ini sebab selalu dapat lebih 😅. Jika saya beli pisang goreng biasa RM5 patutnya dapat 15 keping kan. Tapi selalunya saya akan dapat 18 atau 21 keping atau kadang-kadang lebih daripada itu! Memang pemurah si penjualnya. Dan bila diperhatikan selain pemurah, si penjual juga seorang yang pembersih. Sambil-sambil tunggu pisang siap digoreng, ada saja kerjanya mengelap bahagian meja gerainya. Memang pembersih dan kemas. 


Pisang goreng
Credit : Google


Bersebelahan gerai pisang goreng itu ialah gerai jual nasi bajet. Sebungkus nasi bajet dengan 2 ketul ayam beserta kuah kari dan sambal belacan ialah RM3.50. Memang bajet betul. Selain nasi, ada juga dijual kuih-muih dan air balang. Ada satu peristiwa agak kelakar saya perhatikan pada pekerja gerai nasi bajet ini. Satu hari ketika saya sedang tunggu pisang siap digoreng saya leka perhatikan pekerja gerai sebelah (gerai nasi bajet itu lah). Ada 3 orang ketika itu dan ketiga-tiganya tak pakai pelitup muka dengan betul. Kesemuanya di bawah dagu. Tak lama kemudian saya nampak ada lori/trak tentera laut masuk ke Petronas (yang berdepan dengan gerai) untuk isi minyak. Terus secara spontan kelam kabut ketiga-tiga pekerja itu memakai pelitup dengan betul! 😊. Tapi kan, tentera laut boleh tangkap orang yang tak pakai pelitup muka ke? 😅

Macam mana agaknya nasib penjaja-penjaja kecil ini jika terpaksa tutup kedai? Mampu kah mereka bertahan dengan simpanan yang ada (jka ada 😔) atau terpaksa kais pagi makan pagi atau cuba pula jalan rezeki yang lain? 

Kata DG Hisham, kesan PKP 2.0 ini dapat dilihat selepas 2 minggu pelaksanaannya. Jadi secara mudahnya PKP 2.0 sebenarnya dilaksanakan untuk sebulan dan bukanlah berakhir pada 26 Jan nanti. Bila sebut pasal kesan atau hasil PKP ni saya teringat pada PKPB yang dilaksanakan di seluruh Selangor sebelum ini. Bermula daripada 14 Oktober 2020 dan dilaksanakan untuk 2 minggu. Kemudian dilanjutkan lagi untuk 2 minggu. Kemudian dilanjutkan lagi hingga ke hujung tahun 2020. Dan sekali lagi dilanjutkan ke 14 Jan 2021 yang mana akhirnya menjadi PKP bermula 13 Jan 2021. Adakah perkara yang sama akan berlaku untuk PKP 2.0 ini? 🤔🤔🤔

Atau situasi akan jadi berbeza kerana vaksin telah diperolehi akhir Feb nanti?

Sama-sama kita tunggu dan lihat.....



0 comments: