Peniaga yang ramah atau peniaga yang berkira?
PENIAGA YANG RAMAH ATAU PENIAGA YANG BERKIRA?
Assalamualaikum & salam sejahtera...
" Makan pun nak berkira ke! Hoi, makan pun nak berkira ke!!"
Terkejut saya dengar suara menjerit kuat macam tu. Terus saja mata mencari tuan punya suara yang menjerit. Nampak tak berapa jauh daripada Friends Pharmacy Setiawangsa yang saya tuju, ada di depan CIMB seorang pakcik menjual putu mayam tak habis lagi menjerit marah kan seseorang. Daripada apa yang saya nampak, pakcik itu sedang menjerit pada seorang wanita yang sedang pandu kereta perlahan meninggalkan pakcik itu. Dan Ada seorang lelaki sedang masuk ke dalam kereta itu sambil mengangkat tangan ke arah pakcik yang marah-marah itu.
Tak pasti apa yang buat kan pakcik itu menjerit marah.
Mungkin wanita itu minta diskaun putu mayam yang dibelinya?
Mungkin ke wanita itu cakap kat pakcik itu putu mayam nya mahal?
Tak pasti. Tak pasti jangan kongsi 😅
Susah juga kan jadi penjual. Dalam nak jaga hati pembeli, mungkin ada kalanya hati sendiri terpaksa dikorbankan. Dan mungkin ada masanya 'meletup' macam pakcik jual putu mayam itu.
Saya ada terbaca banyak kisah mengenai pengalaman pembeli dan penjual makanan yang pelbagai cerita nya. Yang pasti, ada beberapa ciri penjual yang disukai oleh kebanyakan pembeli dan buatkan pembeli datang membeli lagi dan lagi dan lagi.
1. Kenal dan mesra dengan pembeli
- Bina hubungan dengan pembeli terutamanya pembeli atau pelanggan tetap. Sebagai penjual kalau kita tahu dan ingat nama pelanggan lebih mudah untuk berinteraksi. Tahu dan ingat apa yang selalu pelanggan beli juga boleh buat pelanggan itu rasa dihargai selain mudah untuk kita cadangkan produk-produk kita yang lain.
"Lama tak nampak kak. Macam biasa ke kak, lontong sambal asing? Nak tambah bergedil kan kak?
Ha, itu dialog penjual kedai makan dekat Kedai Makan Kak Nana dekat rumah saya. Walaupun kadang-kadang itu ada juga 2,3 bulan saya tak ke kedainya, dia masih ingat dengan saya dan apa yang selalu saya beli. Yang paling saya kagum ialah masa zaman covid, hampir setahun juga lah tak pergi kedai beliau tapi masih juga beliau ingat kenal saya walaupun pakai mask. Bagus!
2. Guna bahan yang berkualiti untuk produk anda
- Setiap kali Hari Raya saya pasti akan beli jem tart daripada penjual kuih yang sama, walaupun harganya setiap tahun naik daripada tahun yang sebelumnya. Tahun 2021 harga sebalang jem tart ialah kalau tak silap RM43. Tahun yang 2022 naik kepada RM45. Tahun ini naik lagi jadi RM48.; Mengeluh juga lah sebab naik sampai RM3: terus. Tapi saya tetap jadi pelanggan Setia sebab apa?
"Saya buat jem tart ni tak guna marjerin kak. Guna butter yang mahal tu. Jem nya pun ni ha laki saya ni yang parut nanas dan masak jem sendiri. Satu hari sampai 20 biji nanas kak!"
Memang bukan cakap kosong. Jem tart tu sedap sungguh. Masuk mulut rasa macam terus cair di mulut. Jem nya pun secukup rasa manisnya. Disebabkan kesedapannya, jem tart tu memang sentiasa ada permintaan daripada pelanggan, bukan hanya pada Hari Raya, tapi hari biasa pun orang suka makan!
3. Tak berkira dengan pelanggan
- "Sotong ni sepotong RM5 ya. Maklumlah Sotong sekarang kan mahal. Adik nak berapa? Paling sikit akak jual RM10. Kalau kurang dari RM10 akak tak jual. Sotong mahal sekarang ni. Lebih dari RM10 akak boleh bungkuskan. Kalau RM tak dapat lah dik"
Itu dialog masa saya mencari sambal tumis sotong di bazar Ramadan yang lepas. Berulang kali disebut oleh makcik tu sotong mahal, sotong mahal. Disebabkan teringin, saya beli juga lah sampai 5 keping tapi lepas tu menyesal sebab pedas benar sambalnya. Sebelum itu dah puas juga saya jalan dari hujung ke hujung bazar tapi memang itu lah satu-satunya gerai yang ada jual sambal tumis sotong. Itu yang akhirnya beli juga dalam terpaksa rela. Saya terfikir juga macam mana kalau ada orang lain yang teringin sambal tumis sotong itu tapi hanya ada RM5 dalam tangan? Sampai hati ke makcik tu tak nak jual sambal tumis sotong RM5?
Anda ada pengalaman yang best atau tak best dengan mana-mana penjual? Kongsikan pengalaman anda di sini!
0 comments: