Demi negara...yang tercinta....

Monday, August 31, 2020 Ana 0 Comments


Demi negara...yang tercinta....


Assalamualaikum & salam sejahtera....


Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Selamat menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-63 buat semua rakyat Malaysia.

Malaysia tanahair tercinta 😘😘😘

#MalaysiaPrihatin


Kemerdekaan yang kita nikmati hari ini hasil usaha pejuang kemerdekaan yang bertarung jiwa dan raga berdepan dengan musuh @ penjajah.

Kemerdekaan yang saya pasti kita semua idam-idamkan hari ini ialah merdeka daripada 'penjajahan' virus Covid-19, musuh yang tersembunyi. Seluruh rakyat Malaysia berganding bahu melawan musuh ini, menggambarkan keprihatinan setiap individu untuk saling membantu.

Berbeza sambutan kemerdekaan rakyat Malaysia kali ini tanpa sambutan besar-besaran seperti kebiasaannya. Apa pun cara sambutannya, pastinya kita sebagai anak Malaysia ada kenangan yang tersendiri dalam meraikannya. Merdeka dah 63 tahun, apa agaknya sumbangan kita buat Malaysia tercinta?


Demi negara...yang tercinta....

Berpuluh-puluh tahun yang lalu 😅, saya pernah menyertai persembahan padang untuk sambutan hari kemerdekaan di Dataran Merdeka. Saya pernah ceritakan di entry ini Malaysia, Sehati Sejiwa.... Tahun itu temanya 'Jatidiri Penggerak Wawasan'. Baju serba kuning (saya masih simpan hingga ke hari ini ☺) dan ketika formasi bendera Malaysia di padang, saya berdiri di bucu bulan sabit. Berlari ke sana ke sini. Tak henti-henti mulut mengira 'one, two, three, four bagi pastikan gerakan kami semua sama dan teratur. Memang ketika itu rasa bangga dan puas hati dapat menyumbang walaupun sekecil itu untuk hari kemerdekaan negara.




Demi negara...yang tercinta....

Masih ingat lagi rasa teruja kali pertama layak untuk membuang undi. Masa itu tahun....tahun berapa saya pun dah tak ingat 😅.  Terakhir mengundi pada tahun 2018, itu adalah kali yang ke-3 atau ke-4 saya mengundi. Teruja, nervous, berdebar-debar dan macam-macam perasaan ada masa itu. Sampai kadang-kadang tu rasa macam tak payah lah nak susah-susah diri pergi mengundi. Ramai je kan orang lain yang layak tapi tak pergi pun mengundi. Tapi, mana boleh macam tu. Bayangkan satu perbezaan undi pun dah boleh menentukan masa depan negara. Besarnya kuasa undi kita. Jadi bila dah selesai buang undi tu memang rasa puas hati sangat sebab dah jalankan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia. Puas hati dapat menyumbang kepada negara walaupun hanya dengan semudah menanda pangkah di atas kertas...


Demi negara...yang tercinta....

Satu sumbangan besar pada negara yang saya rasa kita semua boleh banggakan ialah ketika pandemik Covid-19 melanda negara.

"Apa sumbangan terbesar anda pada negara?"

"Saya duduk di rumah ketika PKP..."

Tak sangka kan. Hanya dengan duduk di rumah. Duduk saja di rumah dan kita semua telah pun membantu negara dalam putuskan rantaian Covid-19.
*Kalau anda antara individu yang langgar PKP maka anda agak rugi sebab tak dapat nak berbakti dengan semudah itu untuk negara...*


Mengisi dan meneruskan makna dan jiwa kemerdekaan ternyata sesukar atau lebih sukar daripada menuntut kemerdekaan. Berbangga menjadi anak Malaysia, maka berusaha jugalah kita untuk menyumbang apa yang mampu untuk negara tercinta....


#MalaysiaPrihatin
#kitajagakita



 

0 comments:

Langgar perintah kuarantin di rumah? Bayar RM1000 je....

Sunday, August 23, 2020 Ana 0 Comments


Langgar perintah kuarantin di rumah? Bayar RM1000 je....



Assalamualaikum & salam sejahtera....


Kebelakangan ni rasa rajin pula nak baca pasal Akta 342 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Tapi bila dah baca pun rasa macam tak jelas lagi. Nak baca Akta ni kena panduan orang yang lebih arif juga, takut bila dah baca tersilap tafsir pula.

Kenapa tiba-tiba rajin nak ambil tahu?

Tiba-tiba rajin nak baca Akta sebab nak tahu kenapa 'makcik gelang pink' di Meru Raya yang langgar perintah kuarantin di rumah dikenakan denda RM8,000 dan dipenjara sehari.

Tiba-tiba rajin nak baca Akta sebab nak tahu kenapa juruteknik kilang di Bayan Baru yang langgar perintah kuarantin di rumah tak kena denda yang sama dengan 'makcik gelang pink', tapi 'cuma' didenda RM2,500 'sahaja'.

Tiba-tiba rajin nak baca Akta sebab nak tahu kenapa penyelia di Sibu yang langgar perintah kuarantin di rumah tak kena denda yang sama dengan 'makcik gelang pink', tapi 'cuma' didenda RM5,000 'sahaja'.

Tiba-tiba rajin nak baca Akta sebab nak tahu kenapa pemilik kedai Nasi Kandar Salleh @ pencetus kluster Sivagangga yang langgar perintah kuarantin di rumah dikenakan denda RM12,000 dan penjara 5 bulan, berbeza dengan 'makcik gelang pink' dan si juruteknik kilang.

Makcik gelang pink
Credit : hmetro.com.my


Juruteknik langgar perintah kuarantin
Credit : bharian.com.my


Pencetus kluster sivagangga
Credit : hmetro.com.my



Dan sebab paling utama tiba-tiba rajin nak baca Akta ialah nak tahuuuuuuu sangat kenapa seorang yang berpangkat Menteri  yang langgar perintah kuarantin di rumah hanya dikenakan denda RM1,000. Denda yang paling ringan berbanding 'makcik gelang pink', juruteknik kilang, penyelia dan si pencetus kluster Sivagangga.

Apa bezanya kesalahan dan kenapa ada perbezaan denda antara keempat-empatnya?

Pelbagai jawapan diberikan oleh warga netizen. Jawapan yang pada pendapat saya agak bahaya ialah si Menteri itu dah buat tiga kali ujian swab Covid-19 dan kesemua ujian didapati negatif. Maka denda RM1,000 saja lah. 'Makcik gelang pink', juruteknik kilang dan pencetus kluster Sivagangga tu semuanya positif sebab tu kena hukuman lebih berat.

Betul ke ni?

Bayangkan satu hari nanti ada seorang rakyat Malaysia (kita namakan orang ni 'A' ok?)baru tiba di tanahair daripada sebuah negara yang tinggi kes Covid-19.

Buat ujian di KLIA dan didapati negatif. Dipakaikan gelang pink dan diarahkan kuarantin 14 hari di rumah.

Si 'A' kemudiannya rasa bosan duduk di rumah. Pergi shopping sana sini, jumpa dan lepak dengan kawan-kawan di restoran tanpa ada orang perasan si 'A' pakai gelang pink sebab disoroknya dalam baju berlengan panjang (saja nak buat cerita). Beberapa hari kemudian si 'A' masuk pejabat pula sebab ada tugas penting. Kebetulan di pejabat ada buat saringan Covid-19 untuk sesiapa yang berminat (ujian dibiayai oleh syarikat 'A' bekerja) maka 'A' pun minta buat swab test dan sekali lagi didapati negatif.

"Ha tengok, tak salah pun aku tak kuarantin kat rumah, aku bukannya positif Covid-19 pun!"
( kata 'A' dalam hati dengan penuh bangga sebab rasa diri 'bijak' sangat)

Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga. Satu hari yang malang ada orang ternampak gelang pink yang dipakai oleh 'A' dan dilaporkan kepada pihak berkuasa. 'A'  kemudiannya perlu buat ujian swab untuk kali ketiga. Dan untuk kesekian kalinya 'A' didapati negatif Covid-19.

Panjang cerita nya kan? Mungkin ada tak logik sikit tapi motifnya nak bagitau akan ada individu yang mengikut 'contoh teladan' si Menteri itu nanti.

Tapi yang paling penting ialah apa hukuman yang akan dikenakan ke atas 'A' sebab langgar kuarantin di rumah?

Kalau ikut logik mestilah hukumannya sama dengan si Menteri tadi kan? Boleh ke dikenakan hukuman yang lebih berat?

"Eh kenapa pula hukum lebih berat? Habis tu Menteri tu boleh kena denda RM1,000 je?"

Si Menteri dah beri contoh dan ikutan yang 'sangat baik' untuk rakyat jelata.

Contoh yang 'sangat-sangat baik'.

'Tahniah!'

Diharap sangat-sangat pihak yang berkenaan atau KKM boleh menjelaskan dengan lebih terperinci kenapa ada nya denda dan hukuman yang berbeza-beza. Semoga penjelasan dapat elak kekeliruan atau ketidakpuasan hati orang ramai mengenai hukuman langgar perintah kuarantin di rumah. Dan semoga tak timbul masalah di masa akan datang untuk jatuhkan hukuman kepada individu yang 'bakal' langgar perintah kuarantin di rumah.

Macam-macam hal.

Kalau rasa tak dapat nak membantu, cukuplah dengan tidak menyusahkan mereka yang ikhlas menjalankan tugas di barisan hadapan....


 

0 comments:

Hijrah itu pengorbanan....

Thursday, August 20, 2020 Ana 0 Comments


Hijrah itu pengorbanan....


Assalamualaikum & salam sejahtera....


Salam Maal Hijrah, Selamat Tahun Baru Hijrah 1442.


Salam Maal Hijrah 1442H


Sekejap saja rasanya tahun Hijrah 1441H berlalu. Sama lah dengan tahun 2020, pejam celik pejam celik dah sampai bulan Ogos. Macam-macam peristiwa dah berlaku sampai kadang-kadang rasa tak terkejar nak hadam satu persatu.

Tumpang gembira untuk Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang dipilih sebagai tokoh Maal Hijrah 1442H. Memang pemilihan yang sangat tepat! Rezeki Tan Sri atas segala penat lelah mengetuai barisan hadapan negara kita untuk perangi penularan Covid-19 yang masih belum berkesudahan. Tapi macam biasa, Tan Sri mesti akan acknowledge atau dedicate kan apa-apa pengiktirafan atau anugerah kepada team nya. Tak pernah ambil penghargaan / kredit untuk diri sendiri. Humble sungguh Tan Sri ni!

Sempena tahun baru Hijrah ini, jom kita sama-sama berhijrah:

Hijrah daripada selalu berpusu-pusu masuk ke kedai, kepada beratur dengan tertib dengan penjarakan sosial / fizikal.

Hijrah daripada tak berapa rajin nak basuh tangan sebelum makan, kepada kerap basuh tangan walaupun bukan sebab nak makan.

Hijrah daripada selalu keluar melepak / merayau, kepada keluar rumah hanya bila peelu sahaja.

Hijrah daripada bersalam dengan tak kira siapa, kepada hanya letakkan tangan di dada dan tunduk sebagai tanda hormat.

Hijrah daripada bersin atau batuk ikut-suka-hati-nak-bersin-batuk-tak-tutup-mulut-habis-tempias-kena-muka-orang-lain, kepada tutup mulut apabila nak batuk atau bersin.

Semenjak Hari Raya Aidilfitri lagi, hinggalah kepada Hari Raya Aidiladha dan Maal Hijrah, banyak yang Covid-19 beri pengajaran kepada kita semua. Berkorban sedikit kebebasan yang dinikmati selama ini, berjuang untuk melindungi kesejahteraan komuniti. Semuanya demi menghentikan penularan Covid-19.

Hijrah itu pengorbanan.

Hijrah itu perjuangan.

Jom hijrah untuk menjadi seorang insan yang lebih baik.

Selamat Menyambut Tahun Baru Hijrah 1442H..




0 comments:

Covid-19 dan sikap 'tak apa'...

Tuesday, August 11, 2020 Ana 0 Comments


Covid-19 dan sikap 'tak apa'...


Assalamualaikum & salam sejahtera...


Pagi tadi saya ke klinik kesihatan. Appointment abang saya jam 8 pagi, jam 7.30 pagi kami dah beratur di depan pintu masuk. Boleh tahan ramai juga orang yang dah sampai lebih awal. Sambil beratur, masing-masing keluarkan handphone untuk scan QR code MySejahtera yang diletakkan berdekatan petugas yang sedang ambil suhu.

Pakcik di barisan depan keluarkan handphone dan cuba scan. Tak berjaya. Lalu disuruh petugas untuk tulis saja secara manual.

"Tak apa pakcik. Pakcik masuk dalam tulis nama dan nombor telefon di buku. Suhu pakcik 36.5, ingat ni tulis di buku"

Seorang bapa yang bawa anak kecilnya keluarkan handphone daripada poket seluar dan cuba scan. Tak berjaya juga.

"Tak apa Encik. Encik masuk dalam tulis nama dan nombor telefon di buku. Suhu Encik 36.0, ingat ni tulis di buku"

Terdengar pakcik itu merungut kepada lelaki tadi. "QR Code yang kat depan tadi pun tak boleh scan. Yang ini pun tak boleh scan". Pakcik itu geleng-geleng kepala tak puas hati.

Sampai giliran saya pun sama juga. Tak berjaya scan naka perlu lah tulis nama dan nombor telefon di buku. Di belakang saya masih terdengar dialog yang sama...

"Makcik masuk dalam tulis nama dan nombor telefon di buku. Suhu makcik 36.3, ingat ni dan tulis di buku"

Nampaknya tak ada siapa pun yang berjaya scan QR Code itu. Kalau dah begitu, harap-harap petugas ambil tindakan periksa apa yang tak kena dengan QR Code tersebut.

Selesai daftar di kaunter dan ambil nombor giliran, saya terus duduk sementara tunggu nama dipanggil untuk ke kaunter saringan. Kerusi itu ada tiga tempat duduk. Tempat duduk di tengah-tengah telah ditandakan dengan 'X' maknanya tak boleh duduk bagi tujuan penjarakan sosial atau penjarakan fizikal. Saya duduk di hujung kiri dan seorang wanita duduk di hujung kanan. Anak wanita itu (saya nama kan sebagai Ali) yang saya agak berusia dalam lingkungan umur 4 atau 5 tahun pula duduk di kerusi hadapan.

Covid-19 Penjarakan fizikal


Tiba-tiba...

"Ali, meh sini duduk sebelah mak ni. Tempat Ali tu bagi orang lain duduk"

"Boleh ke mak? Tu ada tulis 'X' tu mak. Kenapa ada tulis 'X' mak"

"Ala tak apa, boleh duduk. Meh sini meh"

"Boleh ke mak?"

"Boleh boleh, tak apa, meh sini"

Maka Ali pun menurut perintah emaknya. Duduk di tempat duduk tengah yang bertanda 'X' , duduk di antara saya dan emaknya.

Tiba-tiba...

Mula kedengaran batuk-batuk daripada Ali. Keras bunyi batuknya. Batuk itu kemudiannya diselang seli pula dengan bunyi 'sedutan' keluar masuk hingus / selesema di hidung Ali.

Aduhai. Bergejala pula ke Ali ni?

Nak saya tegur tak boleh duduk di situ, kena ada penjarakan sosial, saya segan. Tambah pula bergejala macam itu maka saya mula lah sedikit paranoid. Maka nak tak nak saya pun bangun dan berdiri saja sedikit jauh dari kerusi tersebut sementara menunggu giliran ke kaunter saringan.

Di satu bahagian klinik itu pula ternampak ramai yang sedang menunggu giliran untuk masuk ke bilik untuk ambil darah bagi tujuan blood test.  Kebanyakan yang menunggu ialah pakcik dan makcik golongan warga emas.

"Ala duduk je lah sini sekejap, kejap lagi nurse panggil lah tu. Duduk sekejap je, tak apa"

Ya, duduk sekejap. Tapi duduk sekejap itu ialah di tempat duduk yang bertanda 'X'. Kerusi yang ada tiga tempat duduk itu telah pun ada 2 orang makcik yang duduk di hujung kiri dan kanannya. Makcik yang duduk di hujung kanan kerusi itu melambai-lambai panggil seorang lagi makcik (mungkin kenalannya) yang sedang berdiri untuk duduk di tempat duduk tengah-tengah bertanda 'X' itu. Bila dah duduk bersama mula lah rancak berborak. Mujur masih prihatin untuk kekal pakai pelitup muka.

🙁

Sikap 'tak apa' dan susah membiasakan diri dengan norma baharu untuk putuskan rantaian Covid-19 masih ada dalam komuniti. Mungkin disebabkan virus Covid-19 itu tidak dapat dilihat dengan mata kasar, maka kita masih ambil mudah. Saya percaya jika virus Covid-19 itu 'menjelma' seperti makhluk hodoh bertanduk, berduri, mata merah terjojol keluar dengan lelehan lendir yang penuh dengan virus yang bila-bila masa saja akan menyembur daripada mulutnya dan merayap-rayap di sekeliling kita baru masing-masing akan ambil serius.

Mungkin terus duduk diam saja di rumah tak keluar-keluar langsung!




0 comments:

Ammonium nitrat dan dugaan buat Beirut....

Thursday, August 06, 2020 Ana 0 Comments


Ammonium nitrat dan dugaan buat Beirut....


Assalamualaikum & salam sejahtera....


Beirut explosion
Credit : utusanmalaysia.com


Terdiam bila tengok berita ini buat pertama kali di Buletin Pagi, pagi semalam.

Letupan pertama yang mengejutkan diikuti dengan letupan kedua yang menakutkan. Ulang tengok banyak kali pun masih terasa gerun di hati bila tengok letupan kedua itu.

Ya Allah, tahun 2020 ini memang cukup menguji dan penuh kejutan!

Beirut, ibu kota Lubnan digegarkan dengan letupan dahsyat yang menjadi tajuk utama beritavdi seluruh dunia. Tersenarai sebagai antara bandar yang tertua di dunia, bandaraya terbesar dan merupakan pelabuhan utama di Lubnan itu telah diisytiharkan sebagai zon bencana dan diletakkan di bawah perintah darurat selama 2 minggu.

Berita lanjut yang diketahui ialah letupan itu berpunca daripada baja kimia untuk pertanian, ammonium nitrat seberat 2,750 tan yang disimpan dalam sebuah gudang di pelabuhan Beirut. Ammonium nitrat tersebut dikatakan telah disimpan di gudang tersebut sejak tahun 2014. Namun begitu, bagaimana bahan tersebut boleh meletup masih belum diketahui. Samada letupan itu disengajakan atau tidak masih lagi menjadi misteri. Ammonium nitrat dikatakan sukar untuk mencetuskan letupan tanpa kepanasan yang terlalu tinggi.

Ammonium nitrat, sebatian kimia dengan formula NH4NO3 sebelum ini telah menjadi punca kepada lima kejadian letupan dalam sejarah, boleh baca di sini : Lima tragedi besar akibat letupan ammonium nitrate. Namun begitu letupan di Beirut setakat ini melibatkan jumlah ammonium nitrat yang terbesar sekali sekaligus menghasilkan letupan yang lebih dahsyat.

Letupan di beirut
Credit : malaysiadateline.com


Lubnan yang masih bergelut dengan pandemik Covid-19 dan krisis ekonomi kini berdepan dengan masalah besar untuk menangani tragedi yang sehingga kini meragut lebih 100 nyawa dan ribuan lagi yang cedera. Tak sanggup nak tengok video bagaimana situasi hospital di Beirut ketika ini. Saya ada terbaca tweet yang menceritakan penduduk Beirut amat mengharapkab bantuan daripada segi pendermaan darah berbanding wang ringgit dan bantuan dalam bentuk yang lain.

Selain daripada tarikh 6 Ogos 1945 di mana meletusnya ledakan bom atom pertama di dunia iaitu di Hiroshima, kini dunia pasti tidak akan melupakan tarikh 5 Ogos 2020, tragedi letupan terbesar ammonium nitrat di Beirut......😯



 

0 comments:

Peritnya bila ada ulser di anak tekak!

Tuesday, August 04, 2020 Ana 0 Comments



Peritnya bila ada ulser di anak tekak!


Assalamualaikum & salam sejahtera....

Tekak perit.

Kepala panas.

Rasa tak sedap badan.

Saya pasang torch di handphone dan suluh dalam mulut. Banyak ulser yang 'menghuni' di anak tekak dan tonsil sejak malam tadi. Nak telan air liur pun fikir banyak kali. Sakit. Disebabkan ulser di tekak itu juga lah badan mula panas. Demam.

Ini kali ketiga saya dapat ulser di tekak. Dan setelah kali ketiga baru saya belajar daripada pengalaman 😅. Kali pertama saya perasan ulser mula memutih di tekak selepas saya makan roti putih yang telah expired / tamat tempoh 2 hari dari tarikh luput. Dah kenapa pula pergi makan roti yang dah expired? Sayang membazir 😛. Bila pergi klinik doktor pun terkejut tengok banyak ulser di tekak. "Teruk ni, macam mana boleh jadi macam ni? Apa yang awak makan?"

"Tak tau lah doktor" . Malu nak bagitau saya makan roti yang dah expired.

Kali kedua saya dapat ulser di tekak ialah bila makan tempoyak pucuk ubi yang dah 'berusia' 3 hari. Tak ada masalah pun dengan tempoyak tu sebenarnya. Elok saja rasa dan bau nya. Tapi entah lah. Mungkin tekak saya semenjak berusia ni semakin sensitif dengan apa yang ditelan. Senang dapat infection / jangkitan. Kali ini, saya usaha kan saja minum air sebanyak yang boleh dan Alhamdulillah ulser itu sembuh.

Ulser di tekak
Credit : www.animated-teeth.com

*saya letak gambar animated sebab kalau letak gambar sebenar macam 'seram' pula rupanya ulser di tekak ni *


Untuk ulser di tekak kali ketiga ini, saya syak puncanya ialah kuah lodeh @ lontong yang dah berusia 3 hari. Iya lah, banyak makanan sejak Hari Raya Aidiladha yang pertama lagi. Tak habis hinggalah raya ketiga. Nak buang, sayang. Maka saya habis kan juga. 'Hasilnya'? Dapat lah ulser yang memutih di anak tekak.

Masa kena ulser di tekak kali kedua dulu, doktor beri ubat spray Aloclair Plus, antibiotik dan paracetamol untuk demam. Maka bila ulser di tekak untuk kali ketiga ini saya pun cari ubat spray yang sama di farmasi dan makan Panadol. Tak ada lah makan antibiotik sebab tak pergi jumpa doktor di klinik. Di musim Covid-19 ni memang saya cuba sedaya upaya elakkan atau kurangkan pergi ke klinik atau hospital jika tak berapa perlu.

Spray untuk ulser di tekak


Alhamdulillah. 'Wa iza maridh tu fa huwa yashfin'. Setelah 3 kali telan Panadol dan 3 kali spray ubat di anak tekak, ulser dah semakin berkurang. Masih ada di tekak tapi peritnya dah kurang. Jika tidak sebelum ini memang kepala panas demam. Saya pula setiap kali demam, tangan dan kaki akan sejuk mencengkam. Sejuk sampai berkelubung selimut. Memang sengsara juga lah bila kepala dan badan panas tapi kaki dan tangan sejuk macam ais. Terasa sepoi-sepoi angin kipas pun tak tahan. Alhamdulillah, sekarang dah boleh tahan sejuk aircond lagi ☺

Begitulah ceritanya...

Kalau anda ada masalah ulser di tekak pastikan anda ke klinik dan periksa dengan doktor ya. Jangan ikut rawatan sendiri saya ini sebab mungkin tak bersesuaian dengan anda.




0 comments: