Saya nak berhenti kerja...saya dah penat...

Thursday, February 26, 2015 Ana 3 Comments

assalamualaikum & salam sejahtera...

Berhenti kerja makan gaji bulan depan? Ya. Saya nekad berhenti kerja bulan depan.

Saya sekarang bekerja di sebuah bank di ibu kota. IT Department. Jawatan? Ada banyak nama untuk jawatan saya. Manager. Assistant Vice President. Specialist. Senior Executive. Itu semua tidak penting bagi saya. Ia hanyalah nama jawatan. 13 tahun saya bekerja di bank yang sama. Masuk hari ini, secara tepatnya, 13 tahun 22 hari. Bagi saya itu sudah cukup lama. Bagi sesetengah orang, itu baru setahun jagung.

13 tahun, dengan pendapatan terkini belum mencapai 5 angka. Sepadan kah gaji dengan kerja? Mungkin saya tidak cukup cemerlang untuk mendapat kenaikan gaji yang lebih tinggi?? Saya redha. Ada orang yang lebih baik. Yang lebih layak mendapat kenaikan gaji yang tinggi setiap tahun.

Saya dah penat. Saya nak berhenti kerja.

Penat dengan tugas adalah perkara biasa. Masih boleh diterima. Itu adat. Tetapi saya lebih penat dengan keadaan tempat kerja. Semakin hari semakin menyesakkan. Sesak pemikiran. Sesak dengan pelbagai karenah birokrasi. Sesak dengan pelbagai peraturan baru yang diwujudkan dengan alasan untuk menambah baik sistem sedia ada. Adakah sistem menjadi lebih baik? Lebih kurang masalah berbanding dulu?

Tidak.

Semakin ramai yang tidak berpuas hati. Semakin ramai yang berhenti dan berhijrah ke tempat lain. Adakah kami tidak boleh menerima pembaharuan? Adakah kami begitu rigid?

Saya dah penat. Saya nak berhenti kerja.

Penat dengan tugas yang semakin tidak masuk akal. Tugas yang memerlukan saya sentiasa alert..sentiasa on call. Sentiasa ada bersedia untuk menjawab panggilan pada bila-bila masa diperlukan. Saya bukan doktor. Doktor yang bergaji besar pun tidak bertugas seperti saya. Adakah saya MENYESAL ambil course Sains Komputer dan bekerja di bidang IT?
Tidak. Saya tidak menyesal.

Tapi saya dah penat. Saya nak berhenti kerja.
berhenti kerja, i quit, saya dah penat


Saya tidak larat lagi menanggung beban kerja seorang diri. Saya tiada team kah? Macam mana pula seorang berjawatan managet tidak ada orang bawahan? Ya. Saya ada team member. Saya ada orang bawahan. Tapi mereka tidak berminat dengan kerja. Setakat membuat ikut arahan. Jika tidak disuruh, kerja tidak akan dibuat. Jika ada masalah, mereka tidak dapat selesaikan. Masih perlu merujuk saya. Call centre masih terus menelefon saya walaupun yang bertugas minggu itu adalah orang lain. Kenapa? Kerana orang itu tidak menjawab panggilan. Orang itu balik kampung. Tiada coverage di kampungnya.


Saya dah penat. Saya nak berhenti kerja.


Saya tidak mampu lagi membuat keputusan sendiri. Sebarang masalah dengan sistem, saya yang perlu fikirkan sendiri penyelesaiannya. Tiada yang benar-benar ada pengetahuan yang sama seperti saya yang mampu saya bawa berbincang bersama. Saya harus fikirkan semuanya sendiri.


Saya dah penat. Saya nak berhenti kerja.


Saya penat melatih team member yang baru. Curahkan segala ilmu tetapi kemudian mereka berhenti kerja. Curahkan segala ilmu tetapi saya saja yang beria-ia. Mereka hanya menunggu disuap. Tidak ada inisiatif bertanya. Hanya berminat selesaikan tugas di pejabat kemudian balik. Sebarang masalah dengan sistem tetapi jika berlaku luar waktu pejabat, mereka serahkan kepada saya. Saya ada untuk selesaikan. Itu yang tertanam di kepala mereka. Generasi kini (bukan semua) ambil mudah semua perkara. Tiada inisiatif. Tiada minat untuk mendalami tugas mereka. Kenapa? Kerana saya ada. Mereka tahu saya ada sebagai tempat bergantung. Inilah SIKAP generasi kini (bukan semua ya)!


Saya dah penat. Sangat penat. Saya nak berhenti kerja.


Ya Allah, tetapkan hati ini supaya nekad dengan keputusan untuk berhenti. Tiada lagi langkah ke belakang. Rezeki ada di mana-mana. Berusahalah untuk mencari. Wang ringgit bukan keutamaan saya di saat ini. Apa yang lebih utama adalah ketenangan hati.

Saya berdoa dan berharap saya mampu menulis surat berhenti kerja itu bulan depan. Doakan saya.


Saya dah penat.



3 comments: