MySikap, MyJPJ dan lesen memandu yang tamat tempoh...

Wednesday, August 09, 2023 Ana 0 Comments


MYSIKAP, MYJPJ DAN LESEN MEMANDU YANG TAMAT TEMPOH...



Assalamualaikum & salam sejahtera...

Khamis lepas masa saya tengah scroll - scroll Twitter sekali terbaca satu tweet pasal renew lesen memandu. Orang yang tweet tu kata sekarang dah mudah nak perbaharui lesen memandu, boleh buat secara online saja. Dan katanya sekarang dah tak perlu ada lesen memandu fizikal, cukup secara digital dalam aplikasi MyJPJ. Si penge 'tweet' kata dia siap renew lesen sampai 10 tahun terus! Wah, terkagum saya sekejap sebab saya paling lama pun renew lesen untuk 2 tahun saja. Sekali tiba-tiba saya panik sekejap. 

"Lesen saya hidup lagi ke??"

Kelam kabut cari lesen dalan beg dan apa yang di panik kan memang jadi kenyataan. Lesen memandu saya dah tamat tempoh! Dah 20 hari tamat tempoh 😮

Sebelum ini saya perbaharui lesen melalui MyeG atau pun di pejabat pos. Dah tamat tempoh sampai 20 hari ni boleh lagi ke renew di pejabat pos? Nak renew di MyeG nanti kena tunggu pula lesen di pos kan ke rumah. Sementara nak tunggu tu takkan nak memandu tanpa lesen. Fikir punya fikir akhirnya saya pun decide untuk renew secara online.

Mula-mula pergi ke laman web MySikap di link ini. Kat laman ini akan diminta kita masukkan Id Pengguna, kata laluan dan kod sekuriti. Puas juga saya fikir mana nak cari Id Pengguna tu. Rupa - rupanya Id Pengguna MySikap sama dengan id MyJPJ. 

MySikap



Dah login boleh terus ke tab bahagian Lesen Memandu. Kat situ ada semua maklumat pasal pemilik lesen memandu dan maklumat lesen memandu. Di bahagian lesen memandu itu akan dipaparkan gambar lesen memandu kita yang fizikal tu. Masa ni gambar lesen memandu saya dipaparkan penuh tapi bahagian muka saya keluar gambar muka separuh saja. Nampak muka sampai bahagian hidung saja 😅. Mula-mula saya ingatkan ada masalah internet slow sebab tu gambar keluar separuh. Tapi bila dah di refresh banyak kali pun sama juga masih keluar gambar muka separuh. Saya fikir mungkin itu masalah sistem di JPJ maka saya teruskan saja untuk renew lesen secara online. Apabila dah lengkap pembayaran untuk renew lesen dan dah dapat resit, saya pun cuba lah tengok di bahagian lesen samada maklumat tarikh sah lesen tu dah di update. 

Betul, maklumat tarikh sah lesen dah di update, tapi...........

Gambar muka saya masih keluar separuh saja!

Aduhai..

Saya check pula di MyJPJ. Sama. Keluar gambar muka separuh juga.

Lesen Memandu


Keesokan harinya saya berkira -kira samada nak pergi pejabat JPJ atau tidak untuk tanyakan pasal gambar muka separuh tu. Malas nak pergi sebenarnya 😅. Jadi saya telefon dulu MyGCC di talian 03-8000 8000 untuk maklumat lanjut.

"Hello, saya nak tanyalah kalau saya dah renew lesen memandu online kat MySikap kan, tapi keluar gambar muka separuh je, takpe ke? "

"Eh, tak mungkin Puan. Tak mungkin keluar separuh. Puan check tak di apps MyJPJ. Keluar gambar muka separuh juga ke?

"Sama"

"Eh tak mungkin Puan. Gambar tu dia ambil daripada rekod lesen lama Puan. Lesen memandu Puan yang lama yang fizikal tu gambar muka separuh ke?"

**Kelakar pula saya dengar soalan macam tu**

"Tak lah. Tapi takpe ke gambar separuh kat lesen digital ni?'

" Tak boleh Puan. Puan kena pergi check di pejabat JPJ. Kalau gambar separuh nanti kalau road block polis check tak boleh nak kenalpasti pemilik lesen ni Puan"

" Kalau saya pergi JPJ yang dekat UTC boleh ke?"

"Boleh Puan"

"Ok, terima kasih "

Maka petang itu juga saya ke JPJ di UTC Keramat. Lepas parking kereta, berpusing-pusing juga saya mencari JPJ, rupa-rupanya di bangunan sebelah, tak sama dengan blok tempat letak kereta. Sampai saja di JPJ, kena scan QR code untuk dapatkan nombor giliran.

JPJeQ


Boleh tahan ramai juga orang menunggu giliran pada petang hari Jumaat' tu. Tapi servisnya pantas dan tak terasa sangat lama menunggu.

"Encik, saya nak tanya kenapa gambar saya kat lesen digital ni keluar separuh je?"

Tak sampai 5 saat saya tanya soalan tu, terus settle masalah gambar keluar separuh. Pegawai tu panggil seorang lagi pegawai. Pegawai yang kedua tu letak jari kat mesin pengimbas cap jari (mungkin beliau saja yang ada akses tertentu dalam sistem), kemudian pegawai pertama tadi minta saya refresh semula MyJPJ.  Alhamdulillah, settle masalah keluar gambar muka separuh. Alang-alang dah ada di situ maka saya pun minta juga lah nak lesen memandu fizikal. Untuk itu saya kena print resit pembayaran online yang saya buat di MySikap (boleh print di kedai gambar yang ada di luar pejabat JPJ tu). Beri semula pada pegawai dan tunggu sekejap dalam 5 minit, dah siap! Baru lah senang hati ☺️

Kalau boleh, saya cadangkan sistem JPJ ada kebolehan untuk periksa lesen digital yang ada dalam sistem dan update mana-mana lesen yang ada masalah keluar gambar separuh macam saya. Jadi tak perlu lah pemilik lesen yang susah hati macam saya nak kena pergi ke pejabat JPJ untuk settle kan masalah macam ni. Sebab memang tujuan renew lesen secara online ialah supaya tak payah nak kena pergi JPJ kan. Bila dah jadi macam ni, online pun kena buat, pejabat JPJ pun kena pergi 🤨

Satu lagi yang jadi persoalan, kenapa kalau nak renew lesen memandu secara online kena renew di MySikap kemudian baru boleh tengok lesen digital yang dah renew tu di MyJPJ?. Lebih mudah jika sediakan saja kemudahan renew lesen memandu secara online tu di MyJPJ kan?

Lesen memandu anda macam mana? Masih sah atau dah tamat tempoh? Renew saja secara online!

0 comments:

PRU DUN Ke-15 : Undi lah dengan bijak!

Tuesday, August 01, 2023 Ana 0 Comments

PRU DUN KE-15 : UNDILAH DENGAN BIJAK!


Assalamualaikum & salam sejahtera...

"Mari lah mari..

Pergi mengundi..

Jangan lupa kewajipan, pada negara..."

Perang poster pilihanraya
Perang poster ketika PRU15 yang lalu


Musim pilihanraya datang lagi. Kali ini, rakyat di enam buah negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu akan turun mengundi pada Pilihanraya Umum Dewan Undangan Negeri ke 15 dan Pilihanraya Kecil di Kuala Terengganu.

Myspr semak
Semak kawasan mengundi anda di MySPR Semak 


Saya juga adalah bekas calon pilihanraya. Calon pilihanraya kerusi Parlimen? Bukan. Calon pilihanraya kerusi dewan undangan negeri? Bukan. 

Saya bekas calon pilihanraya pemilihan pengawas sekolah menengah je 😅.

Jadi calon pilihanraya pemilihan pengawas sekolah menengah pun saya dah nervous sebab saya bukanlah orangnya yang suka berada di hadapan. Saya suka bekerja di belakang tabir saja. Maka bila satu hari tu saya antara salah seorang yang dipanggil ke pejabat guru besar dan diberitahu akan jadi calon pengawas, mula lah saya susah hati. 

Cikgu-cikgu pula buat 'kejutan' keesokan harinya ketika waktu perhimpunan di dewan sekolah 

" Semua calon pengawas, sila naik ke pentas sekarang.  Sila perkenalkan diri anda pada semua pelajar untuk mudahkan pelajar mengundi anda sebagai pengawas nanti"

Aduhai. Memang tak ready betul waktu itu. Ada calon pengawas yang lain siap berkempen 'Undilah saya!' dan ada 'janji-janji' atau manifesto yang akan ditunaikan kalau mereka terpilih sebagai pengawas. Saya? Apa yang terkeluar dari mulut saya hanyalah nama dan dari kelas mana. Siap dengan blushing mula merah sebab saya memang sejenis tak berani nak bercakap depan orang ramai.☺️

Kempen pilihanraya pemilihan pengawas meriah juga dengan ada banner calon ditampal di kawasan sekitar sekolah. Semua itu adalah usaha setiap calon pengawas itu sendiri. Bagi calon yang aktif dalam aktiviti di sekolah maka kempennya lebih mudah sebab dah popular dan dikenali di kalangan pelajar. Dipendekkan cerita, semua pelajar selesai mengundi dear dewan sekolah dan bila keputusan pemilihan pengawas keluar, saya bukanlah salah seorang di antaranya.

"Eh, awak tak terpilih jadi pengawas?"

"Tak cikgu. Saya tak cukup popular cikgu" 😊 

 Itu jawapan saya bila ada 2,3  cikgu yang confident ingatkan saya salah seorang yang 'menang' dalam pilihanraya pemilihan pengawas sekolah. Saya lega sebenarnya tak terpilih sebab ramai lagi yang lebih layak dan ada 'tokoh' untuk jadi pengawas.

Tapi kan, memang betul pun popular itu penting dalam pilihanraya.

Popular dan dikenali ramai memang jadi bonus untuk seseorang calon pilihanraya. Tambahan bonus kalau calon itu popular dan bijak dan ada ketokohan dan ciri-ciri seorang pemimpin. Maka tak susah sangat rakyat di kawasan itu untuk buat pilihan ketika mengundi. 

Tapi itu kalau rakyat lihat pada kepimpinan seseorang. Kalau rakyat mengundi hanya berdasarkan parti semata-mata, susah juga. Hebat macam mana sekali pun calon lawan, kalau dah memang taat setia jiwa dan raga pada parti, maka sekalipun calon parti sendiri banyak kekurangan, tetap juga akan dipangkah calon tersebut di kertas undi nanti. Apa saja atau siapa saja yang jadi calon, asalkan daripada parti yang 'dianuti' , dia lah yang akan diundi. Maka agak menyedihkan jika hanya disebabkan semangat kepartian yang kuat, masa depan kawasan yang jadi taruhan. 

Yang dirisaukan juga adalah jika calon yang dipilih hanyalah calon tangkap muat atau bidan terjun. Tiada pengalaman hatta sebulan atau dua bulan pun di lapangan politik mahu pun turun padang untuk aktiviti dalam komuniti. Maka timbullah janji-janji atau manifesto yang pelik atau tak kena dengan keperluan rakyat di kawasan yang ditandingi. Sebut pasal manifesto teringat pula kata-kata seorang calon pilihanraya yang juga seorang pemain bola sepak yang bertanding PRN kali ini apabila ditanyakan tentang manifesto beliau.

"Ya, saya memang ada manifesto sendiri. Tapi manifesto itu akan terjadi apabila kemenangan berpihak kepada saya"

"Ok, antaranya apa dia, mungkin boleh share sikit?"

"Kena undi dulu baru boleh bagitahu"

"Oh, surprise??"

" Ha, surprise. Memang benda ini akan berlaku satu kejutan "

(🤔 Semasa pemilihan pengawas sekolah pun kami tahu yang manifesto itu ialah janji-janji yang dicanangkan semasa berkempen, sebelum mengundi. Tujuan nya kan nak menarik pengundi . Bukan bagitahu manifesto lepas mengundi ya, dan bukan juga satu surprise 😅)

Sedikit terkejut juga sebenarnya bila dapat tahu beliau bertanding di pilihanraya ini. Saya salah seorang yang suka cara beliau bermain bola sepak yang pada pandangan saya sangat tenang dan berbakat, hebat dalam menjaringkan gol dari luar kotak penalti dan gol hasil sepakan percuma. Yang paling saya ingat terutamanya jaringan kemenangan sepakan penalti beliau di Sukan Sea ke-26 pada tahun 2011. Memang satu kejutan dan sungguh tak sangka kemunculan beliau sebagai calon dalam PRN ini.  Betullah kata pepatah, air yang tenang jangan disangka tiada buaya. Semoga rakyat di kawasan Gurun membuat pilihan yang bijak di PRN nanti.

Apa-apa pun, sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, mari kita sama-sama turun mengundi pada 12 Ogos 2023 (dan 8 Ogos untuk undi awal) nanti. Kita sebagai 'majikan' , maka pilihlah 'pekerja' yang mampu bekerja untuk kita!

Undi anda penentu masa depan negara...

0 comments: