Satu kebaikan untuk satu hari...

Friday, January 22, 2021 Ana 0 Comments

SATU KEBAIKAN UNTUK SATU HARI...


Assalamualaikum & salam sejahtera...

Salam hari Jumaat, salam sayyidul ayyam. Jom kita perbanyakkan berselawat ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad saw...

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya


Sejak 2, 3 malam ni saya selalu gunakan Kool Fever bila nak tidur malam. Panas sebab dah lama tak hujan. Di musim Covid-19 ni 'seram' juga bila badan mula rasa panas. Mula lah terfikir macam-macam. Mula lah sekejap-sekejap periksa suhu di dahi 😂. Kool Fever memang  sentiasa sedia ada di rumah untuk kegunaan bila perlu.

Malam tadi bila terpandangkan Kool Fever tu terus teringat pada berita seorang wanita yang ambil barangan dan ubat di pasaraya tapi tak mampu nak bayar. Kes dilaporkan di balai polis Petaling Jaya.  Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Assistant Komisioner ACP Nik Ezanee Mohd Faisal, antara barang yang di ambil oleh wanita itu ialah Kool Fever untuk anaknya yang sakit. Kasihan. Baru saya tahu nak bersyukur sebab saya masih ada rezeki nak sentiasa ready ada Kool Fever di rumah sedangkan wanita itu terpaksa mencuri untuk anaknya yang demam.





Pagi semalam, ACP Nik Ezanee telah bermurah hati berkunjung ke rumah wanita berkenaan untuk menghulurkan bantuan bersama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Kes curi tersebut juga tidak diambil tindakan lanjut dan telah ditutup.

"Kalau kita lapar kita boleh tahan, tapi kalau anak-anak kita yang lapar, itu perkara yang tak boleh kita terima" - ACP Nik Ezanee (sumber : Astro Awani)

“Susah-susah sangat datanglah ke balai polis" - ACP Nik Ezanee (sumber : Astro Awani)


Allahuakbar. Prihatin sungguh dan contoh yang baik daripada seorang yang berpangkat ketua polis. Beliau memberikan sedikit sisi yang berbeza seorang anggota polis di sebalik berita-berita ketegasan polis di kala PKP ini.


ACP Nik Ezanee
Sumber : Astro Awani


Sikap prihatin ACP Nik Ezanee memang telah diketahui ramai sebelum ini, sesuai dengan moto beliau , 'One Good Deed A Day'. Tapi yang paling saya ingat tentang beliau ialah bila beliau sendiri menghantar seorang pelajar ke sekolah pada Julai 2020 yang lepas. Pelajar tersebut ialah anak seorang anggota polis yang meninggal dunia pada hari raya kedua tahun lalu. Imej beliau menghantar pelajar tersebut sangat kuat melekat dalam fikiran saya dan selepas itu setiap kali nampak beliau dalam berita di tv, secara automatik saya terus teringat kebaikan beliau. Semoga sikap beliau itu menjadi contoh ikutan untuk anak-anak buahnya dan kekal mesra masyarakat dalam menjalankan tugas.

Bila cerita mengenai kebaikan dan kemurahan hati, saya teringat kepada seorang doktor pakar di hospital swasta yang selalu saya buat pemeriksaan dengannya. Lama juga saya ber 'follow up' check up dengan beliau, sudah masuk 12 tahun. Setiap kali appointment beliau akan bertanyakan khabar emak saya tang slipped disc dan abang saya yang stroke. Walaupun jumpa hanya 6 bulan sekali, beliau masih ingat cerita-cerita saya. Dan yang paling saya tersentuh dengan doktor tersebut ialah beliau kerap juga tak kena kan bayaran untuk pemeriksaan yang dilakukan.  

"Ok kita jumpa 6 bulan lagi. Awak ambil je kad ni dan boleh terus balik, tak payah ke kaunter bayaran"

"Tak payah bayar ke doktor?"

"Tak payah. Nanti lama pula awak nak tunggu lagi giliran nak bayar. Emak awak tunggu kat rumah"

😢

Setiap kali dapat pemeriksaan percuma daripada doktor itu, setiap kali itu juga lah saya panjangkan kebaikan beliau dengan belanja ahli keluarga saya makan. InsyaAllah berlipat kali ganda hendaknya pahala kebaikan doktor tersebut 😊.


Selain kisah ACP Nik Ezanee sebagai seorang anggota beruniform yang prihatin, antara yang saya ingat juga ialah berita sumbangan anggota tentera yang disiarkan di tv ketika banjir melanda beberapa negeri di Malaysia baru-baru ini. Sebelum ini yang pernah saya dengar ialah anggota tentera terlibat dalam misi bantuan menyelamat mangsa banjir atau jalan runtuh akibat banjir. Tapi bila disiarkan berita anggota tentera turut bantu memasak dan sediakan makanan untuk mangsa banjir, memang saya tabik betul dengan sumbangan mereka 👍👍👍. Bukan setakat berjuang sebagai barisan hadapan, kebajikan rakyat pun jadi keutamaan wira-wira negara ini.

One good deed a day. Satu kebaikan untuk satu hari.

Apa kebaikan yang kita dah buat untuk hari ini?


🤔🤔🤔


0 comments:

Pisang goreng, lontong dan nasi bajet....

Thursday, January 21, 2021 Ana 0 Comments

 


Pisang goreng, lontong dan nasi bajet....


Assalamualaikum & salam sejahtera...


Serba salah juga dengan PKP 2.0 ni. Bila buka sektor ekonomi, orang ramai akan keluar bekerja. Ramai peniaga, penjaja, pengusaha dapat kembali bernafas. Tapi itu lah, risiko penularan Covid-19 pula bertambah tinggi. Bila tutup sepenuhnya sektor ekonomi macam PKP 1.0 dulu, ada kebarangkalian penularan dapat dikawal. Tapi kesannya teruk pula pada golongan yang sama.

Pada hari pertama PKP 2.0 di Selangor pada 13 Jan, rasa macam tak ada PKP 😅. Ketika saya ke farmasi, jalan masih banyak dengan kenderaan. Tempat letak kereta masih penuh seperti biasa. Orang ramai masih meriah beratur beli makanan minuman di gerai-gerai penjaja yang berniaga macam biasa. Pada saya , kesan pertama PKP 2.0 ni ialah bila tak lagi dapat ke pasar tani setiap pagi Sabtu. Setiap malam Sabtu pula ada pasar malam di kawasan yang sama.

Setiap pagi Sabtu selalunya saya akan ke pasar tani di depan Aeon AU2 (masa PKP pasar tani tak dibenarkan, kan?). Selain beli murtabak atau keropok lekor, rajin juga saya cuci mata tengok anak-anak pokok yang dijual. Ada pokok bunga, pokok kari, serai, daun pandan, limau hinggalah ke anak pokok durian. Rajin juga saya singgah beli kurma Ajwa di salah sebuah gerai yang ada. Ada pelbagai kudapan di gerai ini dan diberi peluang untuk merasa dulu sebelum membeli. Penjual itu pun murah hati juga selalu berikan lebih. Kurma Ajwa yang dijual dengan harga RM60 untuk setengah kilo selalunya dilebihkannya dalam timbangan 👍.

Itu cerita pasar tani.

Selagi masih dibenarkan penjaja tepi jalan, food truck, peniaga gerai makan beroperasi, guna lah kesempatan ini untuk bantu golongan tersebut. Kita tak tahu kan, kemungkinan esok lusa tulat jika kes naik mendadak dan sektor ekonomi akhirnya terpaksa ditutup sepenuhnya, golongan ini juga lah yang akan terjejas teruk

"Ye kak. Nak lontong berapa?"
Belum sempat saya buka mulut terus saja pekerja gerai Kedai Makan Kak Nana itu bertanya nak lontong berapa. Mana dia tahu saya nak beli lontong? Di gerai itu ada jual nasi lemak, mee goreng, bihun goreng dan roti canai/telur/sardin dan lain-lain roti. Mungkin sebab setiap kali saya ke gerai itu lontong yang saya beli, maka seakan-akan dah ada 'cop' lontong di dahi saya 😅. Pada mulanya saya ingatkan sangkaan saya saja, tapi bila dah setiap kali sampai di gerai itu dan itu lah soalan yang terus ditanya pada saya maka sah lah memang saya dah di 'cop' penggemar lontong

Daripada satu sudut memang bagus lah sebab pekerja itu ingat saya dan ingat apa yang selalu saya beli. Memang --prihatin- peka orangnya. Tapi daripada satu sudut yang lain saya pula yang malu sebab dah dicop 'tak-ada-lain-akak-ni-kalau-datang-mesti-beli-lontong'!

Menu di Kedai Makan Kak Nana ni sedap-sedap belaka terutamanya mee goreng dengan paru dan ayam goreng!

Lontong Kedai Makan Kak Nana
Credit : Google

 Itu cerita lontong. 

Kalau petang-petang teringin nak makan pisang goreng, gerai jual pisang goreng yang mesti saya tuju ialah gerai pisang goreng yang betul-betul depan Petronas AU2 Keramat. Bannernya tertulis 'Pisang goreng cheese', 'Resepi Mama Nor' dan 'Rasa sekali pasti nak lagi'. Selalunya saya beli pisang goreng biasa saja, tak nak yang ber 'cheese' . Untuk pisang goreng biasa harganya RM1 untuk 3 keping. Jika ber cheese kalau tak silap RM5. Yang saya suka beli di gerai ini sebab selalu dapat lebih 😅. Jika saya beli pisang goreng biasa RM5 patutnya dapat 15 keping kan. Tapi selalunya saya akan dapat 18 atau 21 keping atau kadang-kadang lebih daripada itu! Memang pemurah si penjualnya. Dan bila diperhatikan selain pemurah, si penjual juga seorang yang pembersih. Sambil-sambil tunggu pisang siap digoreng, ada saja kerjanya mengelap bahagian meja gerainya. Memang pembersih dan kemas. 


Pisang goreng
Credit : Google


Bersebelahan gerai pisang goreng itu ialah gerai jual nasi bajet. Sebungkus nasi bajet dengan 2 ketul ayam beserta kuah kari dan sambal belacan ialah RM3.50. Memang bajet betul. Selain nasi, ada juga dijual kuih-muih dan air balang. Ada satu peristiwa agak kelakar saya perhatikan pada pekerja gerai nasi bajet ini. Satu hari ketika saya sedang tunggu pisang siap digoreng saya leka perhatikan pekerja gerai sebelah (gerai nasi bajet itu lah). Ada 3 orang ketika itu dan ketiga-tiganya tak pakai pelitup muka dengan betul. Kesemuanya di bawah dagu. Tak lama kemudian saya nampak ada lori/trak tentera laut masuk ke Petronas (yang berdepan dengan gerai) untuk isi minyak. Terus secara spontan kelam kabut ketiga-tiga pekerja itu memakai pelitup dengan betul! 😊. Tapi kan, tentera laut boleh tangkap orang yang tak pakai pelitup muka ke? 😅

Macam mana agaknya nasib penjaja-penjaja kecil ini jika terpaksa tutup kedai? Mampu kah mereka bertahan dengan simpanan yang ada (jka ada 😔) atau terpaksa kais pagi makan pagi atau cuba pula jalan rezeki yang lain? 

Kata DG Hisham, kesan PKP 2.0 ini dapat dilihat selepas 2 minggu pelaksanaannya. Jadi secara mudahnya PKP 2.0 sebenarnya dilaksanakan untuk sebulan dan bukanlah berakhir pada 26 Jan nanti. Bila sebut pasal kesan atau hasil PKP ni saya teringat pada PKPB yang dilaksanakan di seluruh Selangor sebelum ini. Bermula daripada 14 Oktober 2020 dan dilaksanakan untuk 2 minggu. Kemudian dilanjutkan lagi untuk 2 minggu. Kemudian dilanjutkan lagi hingga ke hujung tahun 2020. Dan sekali lagi dilanjutkan ke 14 Jan 2021 yang mana akhirnya menjadi PKP bermula 13 Jan 2021. Adakah perkara yang sama akan berlaku untuk PKP 2.0 ini? 🤔🤔🤔

Atau situasi akan jadi berbeza kerana vaksin telah diperolehi akhir Feb nanti?

Sama-sama kita tunggu dan lihat.....



0 comments:

Covid-19 : Vaksin harapan kita?

Sunday, January 17, 2021 Ana 0 Comments

 

Covid-19 : Vaksin harapan kita?


Assalamualaikum & salam sejahtera...


Setiap hari menanti jam 6 petang adalah saat yang 'mendebarkan'. 

Berapa kes baru positif Covid-19 hari ni?

Berapa kematian?

Ada kluster baru lagi?

Ada ke kluster baru dekat dengan kawasan rumah kita?

Setiap hari.

Rutin setiap hari sejak setahun yang lalu 😔😔😔

Jika sehingga 6.30 petang pun masih belum ada statistik terkini kes, hati mula tertanya-tanya, "Tinggi sangat ke kes hari ni? 3000 kes? 4000 kes?" 😓😓😓

Akhirnya, semalam berita yang menakutkan itu tiba juga. 

16 Jan 2021 : 4,029 kes positif Covid-19 di Malaysia.

Covid-19 di Malaysia
Sumber : Kenyataan Akhbar KPK


Adakah vaksin yang bakal diperolehi akhir bulan Feb nanti mampu mengubah situasi pandemik Covid-19 di Malaysia?

Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden, 78 tahun telah terima suntikan pertama vaksin Covid-19, Pfizer pada 21 Dis 2020. Suntikan kedua pun dah selamat diterima pada 11 Januari 2021.

Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, 68 tahun menjadi pemimpin Asean yang pertama terima suntikan Covid-19. Beliau telah terima suntikan pertama vaksin Covid-19, Pfizer pada 8 Jan 2021.

Presiden Indonesia, Joko Widodo, 59 tahun juga dah terima suntikan pertama vaksin Covid-19, Sinovac pada 13 Jan 2021. Suntikan vaksin disiarkan secara langsung untuk meyakinkan rakyat keselamatan vaksin tersebut.

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, 66 tahun pun dah terima suntikan vaksin Covid-19, Sinovac pada 14 Jan 2021. Pada hari yang sama juga, mufti terkenal dari Zimbabwe, Mufti Ismail Menk atau Mufti Menk, 45 tahun juga dah selamat terima vaksin Covid-19, Sinopharm di UAE.

Rakyat Malaysia, bila lagi?

Menurut Menteri Kesihatan, pendaftaran untuk suntikan vaksin Covid-19 akan mula dibuka tidak lama lagi. Suntikan vaksin akan dibuat untuk 3 fasa. Fasa 1 melibatkan petugas barisan hadapan. Fasa 2 melibatkan warga emas berusia 60 ke atas dan golongan yang berpenyakit kronik manakala Fasa 3 bagi rakyat yang berusia 18 tahun ke atas.

Selamat ke vaksin Covid-19 ini?

Apa kandungan vaksin ni? Halal ke? Tak ada kesan sampingan ke nanti?

Macam-macam reaksi yang saya baca di media sosial.

"Bahaya suntik vaksin ni. Kita tak tau apa sebenarnya ada dalam vaksin tu"

"Eleh, ayam goreng famous dengan secret ingredient tu kau tak tau pun apa ingredient dia, elok je kau makan"

"Vaksin ni ada bahan tak halal, bahan daripada haiwan. Haram suntik vaksin ni!"

"Restoran makanan segera yang ada jual arak tu selamba je kau masuk, tang vaksin ni banyak soal pula"

🤔🤔🤔

Macam-macam.

Pencegahan penyakit melalui vaksin bukan lah pertama kali di Malaysia. Sebelum ini pun telah ada program pemvaksinan bagi penyakit lain seperti Tibi, Campak, Batuk Kokol, Hepatitis B dan juga imunisasi Rubella (kalau tak silap saya kena injection Rubella masa darjah 5 atau 6).

Yang pasti, mesyuarat khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia bagi kali ke-10 dah pun putuskan pengambilan vaksin Covid-19 hukumnya adalah harus. Hasil daripada pemvaksinan ini akan mewujudkan masyarakat yang mempunyai daya tahan terhadap penyakit Covid-19 ini. Imuniti kelompok diharap dapat dicapai dengan ada nya pemvaksinan ini.

Imuniti kelompok atau herd immunity dalam kata mudahnya ialah masyarakat yang dilindungi daripada jangkitan penyakit yang menular dalam komuniti. Imuniti kelompok boleh dicapai apabila 70%-90% daripada komuniti mempunyai imuniti atau daya tahan terhadap penyebab jangkitan penyakit itu (sumber : KKM). Nak lebih mudah faham boleh tengok gambarajah di bawah (sumber : Twitter @HausofHilton)




Vaksin Covid-19

                                                   Sumber : Twitter @HausofHilton)




Walau bagaimana pun, vaksin adalah untuk mencegah dan bukan merawat. Dan vaksin juga bukan lah pasport untuk kita bebas ke sana dan ke sini. Kita tak tahu bagaimana virus Covid-19 bermutasi. Adakah vaksin yang dikeluarkan mampu mencegah jangkitan Covid-19 bagi mutasi dengan varian baru yang ditemui di UK baru-baru ini? Macam mana jika mutasi baru virus ini lebih 'ganas' menjangkiti dan tersebar? Dan mungkin juga virus yang telah bermutasi lebih 'kebal' dan tak mampu dicegah dengan vaksin yang telah dihasilkan?

Adakah vaksin harapan kita untuk menurunkan kes positif yang sudah sekian lama kekal 4 angka? Kes dengan 4 angka bermula daripada 24 Okt 2020 dan semenjak itu kes tak pernah kurang daripada 600 kes ke atas. Daripada 10 Dis 2020 hingga ke hari ini, kes kekal dengan 4 angka. Dan PKP hanya bermula bila? 13 Jan 2021 🤔🤔🤔

Ada nya vaksin atau tidak, penjarakan sosial masih perlu dijaga. Pelitup muka masih perlu dipakai dengan betul. Tangan masih perlu kerap dibasuh. Tempat sempit masih perlu dielak. Perhimpunan beramai-ramai masih lagi satu larangan.

Sampai bila? Tuhan saja yang tahu sampai bila.

Sehingga saat kita menang melawan Covid-19 itu tiba, sama-sama lah kita terus berjuang. Segalanya bermula daripada diri kita sendiri. InsyaAllah, akan muncul juga pelangi selepas hujan 🌈. InsyaAllah, akan muncul juga nanti sinar di hujung terowong...

Kita jaga kita 💪💪💪



0 comments:

Berharap kepada manusia....

Sunday, January 10, 2021 Ana 0 Comments

 

Berharap kepada manusia....


Assalamualaikum & salam sejahtera....


Berharap kepada manusia
Credit : Twitter MustaqimJiwa


"Assalamualaikum!"

Wa'alaikumsalam. Eh, orang tu datang lagi!

Lelaki yang pada pandangan saya bukan orang tempatan itu pernah datang ke rumah saya sebelum ini. Disebabkan tak kenal, maka saya tak buka pintu pagar dan hanya bercakap dengannya di luar saja.

Pertama kali datang dulu setelah berikan salam, tanpa berkata apa-apa terus saja diunjukkannya pada saya senaskhah surah Yasin. Faham lah saya lelaki itu mahu saya membeli jualannya. Tapi disebabkan di rumah pun dah ada banyak naskhah surah Yasin maka saya hanya memberikan derma ikhlas RM5 saja kepada beliau.

Sebagai manusia biasa, pastinya respons yang saya harapkan daripada lelaki itu ialah ucapan terima kasih. Atau setidak-tidaknya angkat tangan atau sedikit senyum atau riak wajah yang gembira. Tapi lain pula yang berlaku

Lelaki itu sebaik saja ambil duit dari tangan saya, dipandangnya duit tersebut dan terus mencebikkan bibirnya. Kemudian terus dia berlalu pergi.

🤔🤔🤔

"Berharap kepada manusia itu adalah seni menyakiti diri sendiri"

Memang makan dalam kata-kata penulis Mustaqim Jiwa ini. Saya belum ada kesempatan lagi untuk memiliki naskhah 'Teruntuk Langit Yang Bercanda' dan 'Ketika Hati Berfatwa' tulisan beliau namun setia folllow beliau di Twitter. Tulisan beliau banyak yang kena di jiwa dan pemilihan kata-kata juga cukup indah.

Jadi apa yang saya belajar daripada kata-kata beliau ini? Memang ada betulnya.

Berharap agar orang lain sentiasa sama-sama ingat untuk jaga penjarakan sosial maka kita akan kecewa kerana ramai juga yang masih ambil mudah hal Covid-19 ini.

Berharap agar pihak yang berwajib serius dalam usaha menurunkan kes positif Covid-19 maka kita akan kecewa kerana ketika kes masih tinggi ketika itu juga lah rentas negeri dibenarkan dan cuti-cuti-malaysia digalakkan.

Berharap 'Yang Berhormat' semua lebih ambil berat tentang rakyat daripada berebut kuasa maka kita akan kecewa kerana titah Agong supaya kurangkan berpolitik pun seakan-akan tak dihiraukan.

Itu baru perihal berharap perkara yang umum. Macam mana pula jika soal hati? Berharap pada  orang yang tak sudi? Berharap pada orang yang tak pernah ada masa untuk kita? Berharap ada yang akan membantu kita pada masa susah?  Berharap itu dan berharap ini?

Tak salah letak harapan pada manusia tapi berpada-pada lah kita. Letak harapan terlalu tinggi jika tak tercapai maka kita juga yang akan kecewa sendiri. Apa-apa pun yang pasti, letaklah harapan kita kepada-Nya, yakni pencipta manusia yang kita harapkan itu 😊

Berbalik kepada si lelaki yang mencebik itu tadi, hari ini dia datang lagi dengan 'modus operandi' yang sama. Bagi salam kemudian tunjukkan buku Yasin. Maka saya pun dah siap sedia angkat tangan dan tunjukkan isyarat goyang-goyang tangan tanda tak nak beli. Sekali lagi lelaki itu mencebik dan terus berlalu pergi.

Dua kali saya 'dicebikkan' oleh lelaki itu. Lain kali jika dari jauh saya nampak beliau maka saya akan terus lari masuk dalan rumah supaya tak 'dicebikkan' lagi 😅😅😅



0 comments:

Serabutnya Malaysiaku di awal tahun 2021...

Thursday, January 07, 2021 Ana 0 Comments

Serabutnya Malaysiaku di awal tahun 2021...


Dah masuk seminggu selepas hari pertama tahun baru berlalu, dunia semakin berserabut.

Sebenarnya tak payah tengok hal dunia, tengok hal dalam negaraku Malaysia tercinta pun dah cukup serabut.

Banjir semakin memburuk terutamanya di Pahang, Johor dan Kelantan. Lebuhraya ditenggelami air dan ditutup untuk laluan. Kedai dan rumah tenggelam dan hanya nampak atap saja. Pusat pemindahan sementara turut digenangi air. Beribu-ribu mabgsa banjir ditempatkan di PPS dan semakin meningkat daripada sehari ke sehari. Korban mangsa banjir turut meningkat. Adik Mohammad Hakimin Rahim yang pengsan akibat terlalu penat bantu mangsa banjir,  terkorban setelah lemas akibat jatuh daripada perahu. Al-Fatihah untuk Allahyarham...😢


Banjir di LPT


Banjir di LPT

Banjir memburuk



Rakyat marhaen hilang nyawa disebabkan jalan berlubang. Dan adakah jalan itu dibaiki sepantas respons terhadap menteri yang turut sama jatuh lubang ketika berbasikal? Adakah mereka juga menerima permohonan maaf daripada pihak JKR?

Kes positif Covid-19 yang kekal dengan rekod kes 4 angka sejak lebih 2 minggu yang lalu. Ini sangat menakutkan. Jika 18 Mac tahun lepas ketika kes sekitar 100+, seluruh negara sudah dikenakan PKP. Kini kes dah capai 3027 rakyat dibenarkan bebas ke sana sini. Saya memang masih tak faham rasionalnya rentas negeri dibenarkan sejak 7 Disember yang lalu bagi negeri yang dikenakan PKPB. Untuk galakkan cuti-cuti-malaysia dan tingkatkan ekonomi? 'Mahal' sungguh harga tukar ganti untuk tingkatkan ekonomi. Hasilnya, kapasiti kemudahan kesihatan awam kita sudah menghampiri melebihi tahap maksimum. Masih ada lagi kah keinginan untuk cuti-cuti-malaysia itu? Tidak kasihan kah dengan petugas kesihatan?

Kes Covid19 meningkat
Credit : KKM



Ahli politik yang seakan-akan 'hilang akal' dan kemaruk kuasa terus buta mata hati dan tidak nampak kesusahan rakyat. Rakyat hilang pekerjaan. Rakyat hilang tempat tinggal. Belum reda kesan Covid-19, kini ditambah lagi dengan akibat banjir yang melanda. Kemunculan virus Covid-19 nampaknya memberi kesan ekstra kepada ahli politik. Mereka mungkin tak dijangkiti Covid-19 tetapi mereka semakin bernafsu untuk berebut kuasa, menjatuhkan satu sama lain asalkan 'aku berkuasa!'

Buat PRU15 sekarang? Gila!

😔😔😔

Apa nak jadi ni dan apa lagi yang akan terjadi?

Syukur kita masih ada YDP Agong yang berjiwa rakyat dan turun padang untuk turut sama membantu mangsa banjir. Syukur masih ada insan mulia seperti Ustaz Ebit Lew dan individu mahupun persatuan / NGO yang pantas dan ikhlas bantu mangsa banjir. 

Syukur petugas kesihatan masih bertahan dalam menjalankan tugas dan tidak berputus asa melihatkan peningkatan kes. Namun sampai bila mereka mampu bertahan? Mereka juga manusia biasa yang punya hati dan perasaan, punya kekuatan dan kelemahan 😢

Adakah saya yang tak peka dan prihatin hingga kurang nampak kelibat mereka yang digelar 'Yang Berhormat' turun padang untuk 2 isu utama negara sekarang ini iaitu kes Covid-19 dan isu banjir?

Anak saudara saya ada bercerita. Katanya kawan sekelasnya bertanya, "Dr Noorhisham ni Perdana Menteri kita ke? Asyik nampak dia je kat tv?"

🤔🤔🤔

Semoga Tuhan selamatkan kita semua. 

Semoga Tuhan selamatkan Malaysia.

😷😷😷



0 comments:

Kerja bertangguh takkan menjadi.....

Monday, January 04, 2021 Ana 0 Comments

Kerja bertangguh takkan menjadi.....


Sejak kebelakangan ini saya ada terperasan akan satu tabiat buruk yang rasanya dah lama bertapak dalam diri saya 😅. Apabila tersedar tu entah macam mana terus fikiran tee flashback ke zaman sekolah rendah satu ketika dulu.

Kalau tak silap saya waktu itu hujung tahun dekat-dekat nak cuti sekolah. Memang waktu itu dah tak belajar sangat pun dan pelajar masing-masing buat aktiviti sendiri. Saya ketika itu dalam darjah 4 nak masuk darjah 5 atau darjah 5 nak masuk darjah 6, lebih kurang begitulah. Ketika hari terakhir persekolahan, cikgu kelas saya ada hadiahkan penanda buku @ bookmark kepada setiap pelajar. Bookmark itu dibuatnya sendiri dengan setiap bookmark ada pesanan / nasihat khas untuk setiap pelajar. Setiap bookmark dimulakan dengan kata-kata 'Dear (nama pelajar)' diikuti dengan pesanan dan diakhiri dengan "Love (nama cikgu)'.

Sungguh saya memang tak ingat langsung nama cikgu yang beri (sori Cikgu 🙇....) tapi ada sebaris kata-kata pesanan pada bookmark itu yang memang saya ingat sampai sekarang.

'Dear....

'Do not procrastinate.....'

Ada lagi ayat lain yang saya dah lupa tapi ayat di atas memang tak mungkin saya akan lupakan.
Masa tu budak sekolah rendah lagi dan vocabulary pun tak berapa luas 😅 maka saya pun cari la maksud perkataan 'procrastinate' tu dalam kamus 😅

Procrastinate = bertangguh, melengahkan kerja.

Eh, kenapa Cikgu tulis macam tu? Saya ni suka bertangguh kerja ke? Masa tu puas saya fikir dan setahu saya tak pernah lagi saya tak buat dan hantar homework. Tak pernah lagi tugasan/projek yang Cikgu beri tak dapat saya siapkan. Kenapa Cikgu pesan macam tu kat saya? Kenapa?

Masa tu sebagai budak sekolah rendah yang belum matang 😅, memang rasa kecil hati juga dan rasa malu nak tunjuk bookmark saya kat kawan-kawan lain....

Berpuluh-puluh tahun berlalu dan akhirnya pada tahun baru ini baru saya sedar pesanan Cikgu itu ada betulnya. Tak sangka Cikgu boleh baca perwatakan saya sebagai pelajarnya. Atau adakah Cikgu datang daripada masa depan 🤔?

Sikap suka bertangguh
Credit : Google



Contoh saya suka bertangguh kerja?

Broadband Digi untuk tablet yang saya dah bertahun-tahun tak guna tapi masih bayar bil setiap bulan sebab bertangguh nak tamatkan servis.

Emel kepada telerakyat Bank Rakyat minta borang untuk kemaskini maklumat akaun Bank Rakyat emak saya pada hari Khamis, tapi bila dah daapat borang, sampai ke hari Selasa masih belum respons kepada Bank Rakyat 😅

Cuci kereta dan kumpulkan dalam plastik segala resit kertas yang jumpa dalam kereta dengan niat nak check satu persatu guna lagi atau tak resit-resit tu, lepas 2 minggu cuci kereta sampai ke hari ni resit masih 'terperam'' dalam plastik.

Belum lagi cerita bertangguh nak update blog ...
Dan senarai kerja-kerja tertangguh makin bertambah daripada hari ke sehari.... 😓

Jadi untuk tahun 2021 ini antara azam tahun baru ialah saya akan cuba sedaya untuk selesaikan segala kerja yang tertangguh, InsyaAllah. 

Apa kerja yang boleh buat sekarang, saya buat sekarang. Contohnya, dah angkat kain di jemuran, terus lipat kalau pada masa tu tak ada benda lain nak buat.

Kalau tengah tengok tv, saya tak akan tercongok tengok tv semata-mata. Sambil tengok tv, sambil update blog atau cari idea untuk blog atau mesti buat sesuatu. Tak ada lah buang masa kan dan kerja update blog pun tak bertangguh.

Bila rasa malas atau nak bertangguh tu mula datang balik, saya akan cuba fikir apa akan jadi kalau saya bertangguh (sebelum ni pun fikir juga tapi entahlah tak cukup kuat nak bertindak 😅). Contohnya kalau saya tak bawa keluar sampah sekarang, bila dah malam baru kelam kabut nak buang sampah. Nanti dah lewat mula la buat alasan dah lewat malam takut nak keluar rumah. Akibatnya sampah tak terbuang atau dah terlambat nak buang sebab dah terlepas lori angkut sampah.

Atau lebih parah lagi macam dalam kes saya bertangguh nak terminate broadband yang saya dah tak gunakan, memang sejenis bertangguh yang sangat merugikan sebab libatkan wang ringgit. Rugi, rugi.

Kerja bertangguh takkan menjadi, kerja beransur takkan bertahan. 

Procrastination is the silent dream killer.

Procrastinate is like a credit card. It is a lot of fun until you get the bill.

Jadi, kesimpulannya, cuba elakkan sikap suka bertangguh macam saya. Do not procrastinate. 

💪💪💪



 

0 comments:

Selamat Tahun Baru 2021...

Friday, January 01, 2021 Ana 0 Comments

 

Selamat Tahun Baru 2021...


 Assalamualaikum & salam sejahtera...


Salam hari Jumaat, salam sayyidul ayyam. Jom kita perbanyakkan berselawat ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad saw...

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya
Selamat tahun baru 2021
Credit : Google


Selamat tinggal 2020. Tahun yang penuh dengan kejutan dan cabaran...

Selamat datang Tahun Baru 2021.

Tahun yang baru dan hari yang baru kita mulakan di hari Jumaat yang penuh keberkatan. Semoga segala kebaikan yang kita impikan pada tahun 2021 ini akan jadi kenyataan. InsyaAllah, amin.....

Sebut pasal impian di tahun baru, setiap daripada kita mempunyai impian yang tersendiri. Tak keterlaluan jika saya katakan masyarakat di seluruh dunia buat pertama kalinya mempunyai impian yang sama.

Impian dan harapan untuk dunia bebas daripada Covid-19 dan kehidupan kembali normal seperti sedia kala.

Bagi kaki travel, impian adalah untuk kembali merancang percutian di serata pelosok dunia.

Bagi kaki sukan, impian untuk kembali bersorak dan berpeluh menyokong pasukan pilihan di padang.

Bagi pekerja sektor penerbangan, impian untuk kembali terbang tinggi di angkasa dan berkhidmat dengan seikhlasnya.

Bagi pekerja sektor pelancongan, impian untuk kembali bangkit daripada kesuraman san melepaskan kerinduan menyambut mesra pelancong yang datang.

Bagi pakar penyedia khidmat majlis perkahwinan, impian untuk kembali mencurahkan idea kreatif buat kenangan pasangan pengantin yang diraikan.

Bagi semua yang terkesan dengan pandemik Covid-19, sama ada:

Yang kehilangan orang tersayang akibat virus yang tak mengenal mangsa...

Yang diberhentikan kerja atau yang dikurangkan separuh gajinya...

Yang kehilangan tempat tingggal kerana tak mampu membayar sewa...

Yang dilanda konflik rumahtangga dan diceraikan atau ditunggalkan begitu saja..

Yang resah ketinggalan dalam pelajaran kerana tak mampu ikuti belajar atas talian...

Dan buat semua sama ada yang terkesan secara langsung atau tidak, bertabah lah dan percayalah yang anda mampu untuk menghadapinya. Tiada masalah yang kekal untuk selama-lamanya. Teruskan usaha sedaya yang mampu seiring dengan doa yang tak pernah henti. Doa itu umpama mengayuh basikal. Kayuh lagi dan lagi sehingga akhirnya sampai ke destinasi (InsyaAllah doa dimakbulkan). Tugas kita adalah berusaha dan hasilnya adalah ketentuan Tuhan....

😊😊😊

Semoga yang baik-baik untuk kita semua di hari-hari yang mendatang...

Selamat Tahun Baru.....



0 comments: