Saya dan Hospital Kuala Lumpur...

Friday, January 24, 2020 Ana 0 Comments




Assalamualaikum & salam sejahtera...

Berulang alik ke Hospital Besar Kuala Lumpur untuk temujanji doktor abang saya membuatkan saya kini agak 'sedikit arif' dengan bahagian-bahagian di hospital tersebut.

Saya dah tahu yang kalau saya sampai di hospital lebih daripada pukul 7 pagi, maka jangan haraplah ada kekosongan tempat letak kereta di bahagian bawah parkir bertingkat itu. Tak payah buang masa berpusing-pusing cari tempat kosong. Terus saja naik ke tingkat 3, 4 dan seterusnya untuk letakkan kereta.

Saya dah tahu yang Unit Terapi Carakerja bukanlah terletak di bahagian yang sama dengan Unit Fisioterapi. Pertama kali datang, saya dengan yakinnya terus menonong ke Unit Fisioterapi. Siap tunjukkan kat temujanji kepada seorang doktor yang saya temui.

'Unit Terapi Carakerja kat sini ke doktor?'

'Ya ya, awak terus saja masuk ke dalam'

Sampai di kaunter yang tertulis Terapi Carakerja baru lah diberitahu yang itu bukanlah tempat yang saya cari.

Untuk ke Unit Terapi Carakerja, cari Unit Ortopedik dekat Wisma Kayu dan berjalan hingga ke bahagian belakang dan anda akan nampak papan tanda untuk ke Unit Terapi Carakerja. Jauh ke dalam. Ada tak rasanya pihak hospital terfikir nak buat papan tanda di bahagian pintu masuk supaya lebih mudah mencarinya?


Saya dah tahu yang jauh rupa-rupanya nak berjalan kaki menapak dari Institut Kaji Saraf Tunku Abdul Rahman ke tempat pembayaran caj keluar wad. Puas bertanya kepada seorang demi seorang, daripada polis bantuan, jururawat, doktor, pembantu kedai serbaguna sepanjang 'pencarian' saya yang kesemuanya menyuruh saya mencari bahagian kewangan.

'Eh, bayar discaj wad bukan kat sini, sini bahagian kewangan'

Hilang kegembiraan saya yang ingatkan dah berjaya jumpa tempat yang dicari. Padahal bahagian itu lah yang disuruh saya cari oleh hampir kesemua yang 'membantu' pencarian saya tadi.

Maka pencarian diteruskan dan akhirnya berjaya juga jumpa bahagian pembayaran untuk discaj wad tersebut setelah berpusing-pusing dan turun naik tangga sana sini.


Saya dah tahu yang rupa-rupanya untuk memohon laporan perubatan mengambil masa yang agak lama.

'Cik boleh ambil laporan perubatan di bahagian rekod dekat Wisma Kayu lepas sebulan dari hari ni'

Kata-kata jururawat lelaki di wad itu ketika menyerahkan discaj note masih saya ingat sehingga hari ini.

Discaj 19 November 2019. Maka saya dengan sabarnya menunggu sehingga sebulan. Hinggakan belum sampai sebulan, iaitu pada 12 Disember 2019 saya telah pun pergi ke bahagian rekod untuk bertanya 'kot-kot' laporan perubatan telah siap.

'Cik nak laporan perubatan ya. Ini borangnya Cik kena isi dan serahkan sekali dengan dokumen-dokumen yang ada tersenarai di sini. Lepas Cik serahkan borang yang lengkap dengan dokumen, kami akan proses dan dalam masa sebulan kami akan hantar sms untuk maklumkan jika laporan dah siap'

Hampa.

Hampa menunggu sebulan dengan sia-sia. Tunggu sebulan hanya untuk isi borang permohonan 😐

Akhirnya semalam, setelah 2, 3 kali berulang ke kaunter bertanyakan status permohonan, sms yang dinanti-nantikan telah tiba....☺

Laporan perubatan hospital kuala lumpur




0 comments: