Medical report yang ditunggu-tunggu...

Tuesday, January 28, 2020 Ana 0 Comments



Medical report yang ditunggu-tunggu...



Assalamualaikum & salam sejahtera....

Akhirnya medical report yang ditunggu-tunggu telah siap....

Pagi tadi saya ke Wisma Rekod Hospital Kuala Lumpur untuk mengambil laporan perubatan abang saya. Empat laporan perubatan yang setiap satunya dikenakan bayaran RM40.

4 laporan perubatan maka jumlah yang saya bayar ialah RM160.

2 laporan perubatan untuk permohonan pengeluaran KWSP (mengikut format borang KWSP). 1 laporan perubatan untuk PERKESO dan satu laporan perubatan format biasa.

Medical report


Laporan perubatan yang ambil dari HKL itu sedikit mengecewakan.

Mujur saya semak laporan tersebut sebelum meninggalkan kaunter serahan laporan.

'Eh, bahagian ni kenapa doktor tak tanda dan tulis apa-apa Cik?'

'Oh doktor tertinggal lah tu. Kejap ya saya cuba call doktor ada tak kat Klinik Neurosurgeri. Kalau doktor ada, Cik pergi teruslah ke klinik dan minta doktor isi bahagian yang tertinggal tu'

Sebenarnya bukan hanya satu bahagian yang tertinggal. Ada bahagian yang keterangan bertulis doktor tersebut tergantung ayatnya. Ayat tak habis.

10 minit kemudian saya diberitahu doktor tersebut ada di klinik. Maka berjalan lah saya dari Wisma Rekod ke Klinik Neurosurgeri di tingkat 5 bangunan SCACC.

'Ya, mana bahagian yang saya tak isi tu?'

'Yang ni doktor'

'Ok dah'

'Lepas tu ayat ni sampai sini je ke doktor. Ada sambungan lagi ke patutnya?'

'Betul lah ayat ni. Kenapa?'

'Ayat ni macam tak habis. Doktor tulis '......headache on' lepas tu habis. 'Headache on' apa doktor?'

Saya sangkakan doktor tersebut akan melengkapkan ayat tapi dengan mudah saja di cancel nya perkataan 'on' itu.

'Dah, ada lagi?'

Saya semak semula laporan tersebut satu persatu. Ada satu lagi. Ruang itu hanya dibiarkan kosong.

'Yang ni apa doktor? 'Pesakit mengidap _______' . Tulis 'Pesakit mengidap stroke' ke doktor?'

'Mengidap penyakit macam yang saya tulis kat bahagian depan tu la'

'Yang ni pula doktor? Pesakit perlu gunakan peralatan untuk rawatan fisioterapi kan doktor? Tapi doktor tak tanda kat bahagian perlu guna peralatan ni'

'Yang ni bukan saya yang isi. Yang ni bahagian Rehab. Cik kena minta bahagian Rehab jawab yang ni'

Oh macam tu pula. Saya yang kena bagitahu bahagian mana yang perlu bagi maklumat dalam laporan perubatan rupa-rupanya. Tak ada pula saya dimaklumkan begitu masa isi borang memohon laporan perubatan. Pada pemahaman saya, bahagian rekod yang akan bantu dapatkan maklumat / mengedarkan permohonan saya itu kepada unit-unit yang terlibat. Contoh dalam kes abang saya ni ialah klinik Neurosurgeri, unit pemulihan carakerja dan unit rehabilitasi.


RM160 itu mungkin kecil jumlahnya pada sesetengah orang. Tapi bagi saya jumlah itu besar maknanya.

RM160 untuk laporan perubatan yang kurang lengkap seperti itu...

Kecewa...

😔😔😔


0 comments:

Ini kah yang dipanggil kemurungan?

Monday, January 27, 2020 Ana 0 Comments


Ini kah yang dipanggil kemurungan?



Assalamualaikum & salam sejahtera....



Kemurungan
Credit : Google

Depression.

Kemurungan.

Saya pernah mengalami kemurungan. Itu pun jika betul apa yang saya alami itu boleh dikatakan sebagai kemurungan.

Ketika abang saya dimasukkan ke wad akibat serangan stroke November yang lepas, itu adalah perkara yang memang tak pernah terbayang sama sekali akan saya lalui.

Setiap detik selepas serangan stroke itu macam berlalu dengan perlahan sekali. Setiap masa macam-macam yang akan berlegar-legar dalam fikiran. Apa akan jadi dengan abang saya? Serius ke stroke nya? Boleh sembuh atau tidak? Apa pula akan berlaku selepas ini? Macam mana saya nak menjaga dan menguruskan abang saya dan emak saya yang juga masih dalam proses fisio dan belum boleh berjalan?

Rasa berat sangat-sangat beban di dada. Sampaikan saya tak lalu makan. Tak berselera. Nak buat apa pun tak semangat. Menonton tv jauh sama sekali. Anak-anak saudara pun kurang saya layani. Saya yang sememangnya seorang pendiam menjadi lebih pendiam. Saya paksakan diri tidur sebab pada fikiran saya apabila saya tidur masalah akan hilang.

Masalah tak akan hilang. Apabila terjaga, masalah itulah yang pertama muncul dalam fikiran.

Setiap saya saya berulang-alik ke wad Neurologi di Hospital Kuala Lumpur. Balik daripada menghantar anak-anak saudara ke sekolah, saya akan menguruskan emak pula. Selesai urusan emak, saya bersiap untuk ke wad melawat abang. Saya hanya akan pulang selepas tamat waktu lawatan jam 7.30 malam.

Urusan berkaitan abang tak selesai di situ saja. Apabila malam tiba, saya akan mengadap pula masalah yang lain. Abang saya setiap malam akan call dan mengadu tak tahan duduk di wad dan nak saya menjemput nya pulang ke rumah.

'Tolong Balong, tolong. Balong tak tahan duduk kat sini. Balong nak balik, tolonglah datang ambil Balong...'

Allah.

Bayangkan setiap malam mendapat panggilan sebegitu dan tak ada apa yang dapat saya lakukan.

Setiap malam saya mengadap perkara yang sama.

Setiap malam.

Hanya Allah tempat mengadu. Hanya Allah.

Berulang alik ke wad setiap hari, dapat panggilan yang menyusahkan hati setiap malam, tak lalu makan dan dalam masa yang sama menguruskan emak dan anak-anak saudara.

Berat badan saya turun 3 ke 4 kg dalam masa seminggu. Kepala kerap pening dan selalu rasa seperti melayang-layang.

Saya mula risau. Risau jika perkara ini berterusan apa akan jadi dengan saya. Depression kah saya? Ini ke yang dipanggil kemurungan? Yang paling penting apa akan jadi dengan emak saya jika apa-apa berlaku pada saya?

Saya kena kuat. Maka saya mula paksakan diri makan juga sedikit walaupun tak lalu. Saya sibukkan diri dengan anak-anak saudara. Saya teruskan juga rutin yang sama walaupun di hati masih terasa beban yang menghimpit. Setiap hari tanpa jemu saya teruskan berdoa memohon yang terbaik daripada Allah Yang Maha Mengetahui.

Sehinggalah sebulan setengah selepas abang saya keluar wad barulah saya kembali 'normal' seperti biasa.

Alhamdulillah.

Semalam abang saya yang telah sedikit pulih dan sudah mula boleh berjalan bertanyakan satu soalan.

'Balong nak tidur kat bilik atas boleh tak?'

Soalan yang menyebabkan semua memori kenangan pahit ketika mengalami kemurungan kembali terbayang-bayang dalam fikiran.

Terbayang-bayangkan memori itu saja sudah cukup untuk buat saya rasa sesak dada dan fikiran. Air mata bergenang. Saya tak sanggup nak lalui semua itu lagi. Saya tak sanggup!

Macam mana jika abang saya yang berseorangan di bilik atas itu terjatuh ketika di bili air? Terjatuh dan terhentak kepala? Stroke sekali lagi? Masuk wad sekali lagi? Saya berulang alik ke wad setiap hari lagi? Setiap malam dapat panggilan minta tolong daripada abang saya lagi?

Allahu.

Menulis kemungkinan-kemungkinan ini saja pun dah buat rasa susah hati itu kembali.

😢




0 comments:

Saya dan Hospital Kuala Lumpur...

Friday, January 24, 2020 Ana 0 Comments




Assalamualaikum & salam sejahtera...

Berulang alik ke Hospital Besar Kuala Lumpur untuk temujanji doktor abang saya membuatkan saya kini agak 'sedikit arif' dengan bahagian-bahagian di hospital tersebut.

Saya dah tahu yang kalau saya sampai di hospital lebih daripada pukul 7 pagi, maka jangan haraplah ada kekosongan tempat letak kereta di bahagian bawah parkir bertingkat itu. Tak payah buang masa berpusing-pusing cari tempat kosong. Terus saja naik ke tingkat 3, 4 dan seterusnya untuk letakkan kereta.

Saya dah tahu yang Unit Terapi Carakerja bukanlah terletak di bahagian yang sama dengan Unit Fisioterapi. Pertama kali datang, saya dengan yakinnya terus menonong ke Unit Fisioterapi. Siap tunjukkan kat temujanji kepada seorang doktor yang saya temui.

'Unit Terapi Carakerja kat sini ke doktor?'

'Ya ya, awak terus saja masuk ke dalam'

Sampai di kaunter yang tertulis Terapi Carakerja baru lah diberitahu yang itu bukanlah tempat yang saya cari.

Untuk ke Unit Terapi Carakerja, cari Unit Ortopedik dekat Wisma Kayu dan berjalan hingga ke bahagian belakang dan anda akan nampak papan tanda untuk ke Unit Terapi Carakerja. Jauh ke dalam. Ada tak rasanya pihak hospital terfikir nak buat papan tanda di bahagian pintu masuk supaya lebih mudah mencarinya?


Saya dah tahu yang jauh rupa-rupanya nak berjalan kaki menapak dari Institut Kaji Saraf Tunku Abdul Rahman ke tempat pembayaran caj keluar wad. Puas bertanya kepada seorang demi seorang, daripada polis bantuan, jururawat, doktor, pembantu kedai serbaguna sepanjang 'pencarian' saya yang kesemuanya menyuruh saya mencari bahagian kewangan.

'Eh, bayar discaj wad bukan kat sini, sini bahagian kewangan'

Hilang kegembiraan saya yang ingatkan dah berjaya jumpa tempat yang dicari. Padahal bahagian itu lah yang disuruh saya cari oleh hampir kesemua yang 'membantu' pencarian saya tadi.

Maka pencarian diteruskan dan akhirnya berjaya juga jumpa bahagian pembayaran untuk discaj wad tersebut setelah berpusing-pusing dan turun naik tangga sana sini.


Saya dah tahu yang rupa-rupanya untuk memohon laporan perubatan mengambil masa yang agak lama.

'Cik boleh ambil laporan perubatan di bahagian rekod dekat Wisma Kayu lepas sebulan dari hari ni'

Kata-kata jururawat lelaki di wad itu ketika menyerahkan discaj note masih saya ingat sehingga hari ini.

Discaj 19 November 2019. Maka saya dengan sabarnya menunggu sehingga sebulan. Hinggakan belum sampai sebulan, iaitu pada 12 Disember 2019 saya telah pun pergi ke bahagian rekod untuk bertanya 'kot-kot' laporan perubatan telah siap.

'Cik nak laporan perubatan ya. Ini borangnya Cik kena isi dan serahkan sekali dengan dokumen-dokumen yang ada tersenarai di sini. Lepas Cik serahkan borang yang lengkap dengan dokumen, kami akan proses dan dalam masa sebulan kami akan hantar sms untuk maklumkan jika laporan dah siap'

Hampa.

Hampa menunggu sebulan dengan sia-sia. Tunggu sebulan hanya untuk isi borang permohonan 😐

Akhirnya semalam, setelah 2, 3 kali berulang ke kaunter bertanyakan status permohonan, sms yang dinanti-nantikan telah tiba....☺

Laporan perubatan hospital kuala lumpur




0 comments:

Cuaca panas buat orang senang marah?

Sunday, January 12, 2020 Ana 0 Comments



Assalamualaikum & salam sejahtera...


Cuaca panas yang mencengkam jiwa.

Segala kipas yang ada di rumah dipasang pada full speed. Nak pasang aircond tak sanggup pula apabila membayangkan bil elektrik yang akan tiba hujung bulan nanti. Segala macam tips untuk sejukkan rumah dan bilik digoogle di Internet. Semua tips dan petua dicuba tapi peluh masih mengalir tika berpusing-pusing di katil tidur waktu malam yang berhaba.

Credit : Google


Waktu cuaca panas begini air kelapa sememangnya laku keras. Semestinya harga air kelapa pun akan naik setinggi permintaannya. Daripada harga RM3.50 untuk sebiji air kelapa muda, kini dah naik kepada RM5.00. Kalau teringin juga maka pejam mata saja lah bayar RM5.00. Kalau tidak, cari saja alternatif lain untuk melepaskan dahaga. Minum air putih saja pun dah hilang dahaga sebenarnya kan. Tapi untuk 'melayan tekak', maka saya pun beralih daripada air kelapa kepada air soya.

Air soya di gerai Jai Soya tepi jalan di Setiawangsa itu memang sedap. Memang lepas dahaga +layan tekak sekaligus. Tapi ada satu 'kejadian' yang saya tak boleh nak lupakan ketika saya singgah beli air soya pada satu hari yang panas terik lit-lit.

"Air soya satu. Bungkus!"

Saya yang pesan air soya dari dalam kereta saja terkejut dengan suara yang keras itu. Tengok luar tingkap rupa-rupanya suara itu milik seorang pakcik yang berbaju melayu merah jambu.

"Gula putih ke gula merah bang?" Tanya si penjual yang muda belia pada pakcik tersebut.

"Gula putih!"

Dah kenapa pakcik ni macam nak marah-marah je ni. Saya tertanya-tanya dalam hati.

"Ikat tepi atau ikat mati bang?" Tanya si penjual lagi.

"Ikat mampus!"

😮😮😮😮😮

Ada banyak kemungkinan.

Sama ada:

1. Pakcik itu haus sangat-sangat sampai moody macam tu.

2. Pakcik itu mungkin terkesan dengan cuaca panas terik ketika itu sampai naik darah dan marah-marah.

3. Atau pakcik itu memang begitu karakternya.


Cuaca panas nampaknya memang beri kesan kepada sesetengah individu 🤔🤔🤔

Bertabahlah dengan cuaca panas kali ini. Bayangkan saja kepanasan dan keresahan yang dihadapi oleh penduduk mahupun haiwan di New South Wales, Australia yang diuji kebakaran besar.

Atau bayangkan saja cuaca panas ini hanyalah sekelumit daripada kepanasan di padang Mahsyar nanti...

🙁🙁🙁

0 comments:

Tahun 2020 : Hidup mesti diteruskan.....

Sunday, January 12, 2020 Ana 0 Comments



Assalamualaikum & salam sejahtera....



Credit : Google

Apa khabar semua?

Dah hampir nak masuk 2 minggu kita di tahun baru 2020, baru hari ni saya berkesempatan nak update blog.

Update blog selepas hampir 6 bulan tersadai bersawang  😅

Macam mana dengan tahun baru anda semua setakat ni?

Bagi saya ketibaan tahun baru tak terasa sangat disebabkan mak masih lagi belum boleh berjalan setelah hampir 2 tahun jalani pembedahan akibat spinal stenosis. Ditambah pula dengan satu lagi 'tragedi November' yang menambah lagi rasa ketidakterujaan kedatangan tahun baru.

November lepas, abang saya diserang strok.

Kini ada dua orang pesakit untuk diuruskan di rumah.

Apa-apa pun yang terjadi, hidup mesti diteruskan. Life must go on.

Hadap saja apa yang mendatang. Redah saja halangan yang melintang. Agi idup, agi ngelaban.

La haula wala kuwwata illa billa hil aliyyil a'zim....

☺☺☺☺☺


0 comments: