Berani ke nak buat MRI?

Saturday, October 14, 2017 Ana 0 Comments



Berani ke nak buat MRI?



Assalamualaikum & salam sejahtera....


"Dalam 'terowong MRI' tu sempit, rasa macam dalam kubur!"

"Lama tau kena duduk dalam 'terowong' tu, ada lah dalam 1-2 jam camtu"


Saya kembali menulis hari ini setelah hampir 4 bulan meninggalkan blog ini bersawang.

Mengapa lama tak menulis? Masa saya banyak ditumpukan untuk menjaga emak yang kurang sihat yang mana sehingga hari ini masih lagi kurang sihat disebabkan masalah slipped disc yang dihidapinya. Kelemahan saya ialah apabila ada sebarang masalah atau isu-isu sebegini memang saya akan tumpu seratus peratus kepada perkara tersebut. Hilang mood hendak menulis walaupun jari jemari kadang kala terasa gatal nak menaip dan meng update blog.

Baru-baru ini saya menemani emak untuk menjalani ujian MRI (Magnetic Resonance Imaging) di Hospital Kuala Lumpur. Sebut saja MRI, memang 'terowong' lah yang akan muncul di kotak fikiran. Terowong yang sempit hanya muat-muat badan. Terowong yang gelap gelita umpama malam yang hitam pekat tanpa bayangan. Mudah kata, umpama berada di dalam kubur keadaaannya.

Mungkin sedikit sukar bagi individu yang mempunyai claustrophobia (fobia akan tempat sempit) untuk menjalani ujian MRI.

Sebaik saja mendapat tarikh untuk menjalani ujian MRI, perkara pertama yang saya buat ialah men 'google'. Betul ke takut sangat atau 'mengerikan' sangat ujian MRI ini?

Hasil carian di Google rupa-rupanya tak membantu kurangkan rasa 'saspen' saya mengenai MRI ini.

Sumber : Laman Web HKL


Ada yang cerita pengalaman MRI yang menakutkan. Kena makan ubat sebelum ujian dan selepas ujian pula muntah dengan teruk.

Ada yang cerita pengalaman MRI tak berani ditolak masuk ke dalam 'terowong'. Terpaksa ditemani oleh si suami setelah beberapa kali cubaan untuk 'duduk diam dalam terowong' tidak berjaya kerana terlalu takut.

Pengalaman-pengalaman sebegitu buatkan saya bertambah risau. Macam mana agaknya emak saya nak lalui ujian MRI ini?

Seminggu sebelum ujian MRI, saya dan emak ke HKL untuk sesi fisioterapi. Ketika sedang menunggu giliran sempat pula emak saya bersembang dengan 2 orang pesakit lain di situ dan kebetulan pula kedua-duanya pernah menjalani ujian MRI.

"Berani ke nak buat MRI? Saya dulu buat MRI kena masuk dalam terowong tu gelap gelita. Muka saya ditegakkan mendongak untuk pandang satu cahaya kecil di atas. Lama saya dalam terowong tu. Rasanya dalam sejam lebih baru habis"

Itu pengalaman makcik yang pertama. Beliau mengalami masalah slipped disc yang sangat teruk hingga tiada cara lain melainkan perlu menjalani pembedahan. Ayat yang pertama diucapkannya itu ("Berani ke buat MRI?") sangat-sangat tidak membantu emak saya. Kata emak, berderau darah mak dengar dia cakap macam tu!

"Eh, tak ada apa lah nak takut buat MRI ni. Saya buat MRI dulu sekejap je. 10 minit dah selesai. Tak ada apa sangat pun baring dalam terowong tu"

Ini pula pengalaman makcik yang kedua. Beliau menjalani ujian MRI bagi mengesan sekiranya ada masalah kesihatan yang lain selain kanser yang dihidapinya. Kata-kata yang positif daripada makcik ini tapi saya sedikit sangsi. Takkan 10 minit dah selesai buat MRI? Betul ke makcik ni buat MRI?

Dua minggu berlalu dan masanya telah tiba untuk emak saya menjalani ujian MRI. Awal-awal pagi lagi kami telah tiba di Jabatan Pengimejan bagi mengelakkan masalah tiada tempat letak kereta. Kalau ikutkan waktu temujanji sepatutnya giliran emak saya ialah pada pukul 1:30 petang tetapi menurut pegawai yang saya hubungi sehari sebelum itu, ujian dibuat berdasarkan first come first serve.

Setibanya kami di bahagian MRI telah ada 2 orang yang datang terlebih awal. Seorang makcik dan seorang pakcik yang saya anggarkan lebih kurang seusia dengan emak saya. Giliran emak saya untuk ujian MRI di bilik dua ialah selepas pakcik tersebut manakala ujian makcik itu pula akan dibuat di bilik satu. Sementara menunggu giliran pakcik tersebut selesai, seorang pegawai yang bertugas menerangkan kepada emak saya serba sedikit mengenai ujian yang akan dijalankan bagi mendapatkan gambaran apa yang akan dilalui nanti.

"Makcik ada apa-apa besi dalam badan? Ada guna pace maker? Ada gigi palsu?"

"Pernah buat MRI sebelum ni?"

Emak saya pula ada satu soalan yang 'penting' nak ditanyakan.

"Encik, boleh tak anak saya temankan saya kat dalam tu? Saya ni susah nak bergerak, kaki ni berat nak angkat. Lagipun saya ni ada asma, takut apa-apa hal nanti"

"InsyaAllah makcik setakat yang kami buat ni tak ada apa-apa masalah. Kat dalam bilik tu memang makcik sorang je yang boleh masuk. Kami pun tengok makcik di sebalik cermin. Tak ada apa nak ditakutkan makcik. Budak umur 7 tahun pun ok je buat MRI ni semalam"

Sumber : Laman Web HKL

"Kat dalam tu nanti ada bunyi bising sikit lah. Kami akan berikan makcik untuk headphone untuk dipakai. Ada juga butang untuk makcik tekan kalau makcik ada apa-apa masalah kat dalam tu"

Kurang sikit debaran emak saya mendengarkan penjelasan pegawai tersebut. Tapi.....debaran kembali memuncak apabila melihatkan seorang kakitangan memanggil anak kepada pakcik yang masuk giliran pertama tadi.

"Dia tak boleh buat lah. Dia takut"

Sejurus kemudian kelihatan pakcik itu keluar dari bilik MRI sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.

"Tak boleh, tak boleh. Sesak nafas!"

Saya pandang emak dan emak pandang saya.

Apa yang berlaku selepas itu semuanya berlalu dengan pantas. Emak saya dipanggil masuk ke bilik ujian. Saya pula menunggu dengan penuh debaran di tempat menunggu.

5 mint berlalu. 10 minit berlalu. 15 minit berlalu.

Saya sedikit lega apabila 15 minit telah berlalu dan emak saya masih di dalam bilik tersebut. Sekurang-kurangnya saya tahu yang emak saya tidak takut dan ujian MRI masih diteruskan.

Sumber : Laman Web HKL
Ujian MRI emak saya selesai selepas 30 minit. Alhamdulillah...

"Tak apa sangat lah dalam terowong tu. Masa mak mula-mula baring dan orang tu tolak mak masuk dalam terowong mak cuak juga. Tambah pula sambil tolak mak dalam terowong tu orang tu cakap kat mak "Assalamualaikum makcik". Mak rasa macam nak pergi mana je. Dalam tu tak gelap pun, ada lampu. Lepas tu ada macam-macam bunyi. Pakai headphone tapi mak dengar juga kuat bunyi kelentung kelentang macam dalam kilang, bunyi muzik pun ada"

Bangga betul saya dengan mak saya sebab berani harungi ujian tersebut. Saya sendiri tak pasti sama ada saya seberani itu. Berdasarkan pengalaman emak saya itu dapat saya simpulkan yang ujian MRI ini ada pelbagai cara bergantung pada penyakit yang dihidapi dan imej apa yang hendak diambil.

"Ok je mak rasa, tak ada apa nak takut pun"

"Kalau kena buat MRI lagi, mak ok ke?"

"Eh, tak nak lah, cukup lah sekali!"

😊😊😊



0 comments: