Assalamualaikummmmm, kami datang nak raya....!

Monday, June 26, 2017 Ana 0 Comments


Assalamualaikummmmm, kami datang nak raya....!



Assalamualaikum & salam sejahtera....

Sayup-sayup terdengar suara kanak-kanak memberi salam di luar pagar rumah saya petang tadi. Sebelah kaki saya yang baru saja melangkah masuk ke dalam rumah setelah menyiram pokok bunga dan hampir saja hendak menutup pintu rumah terhenti seketika. Pagar luar saya hampiri dan terlihat 3 orang kanak-kanak, 2 berbaju merah dan seorang berbaju biru berdiri di luar rumah menanti pintu pagar dibuka.

"Assalamualaikum, kami datang nak raya"

"Wa'alaikumsalam. Masuklah dik, dari mana ni?"

"Dari rumah flat seberang jalan tu je"

Sambil menyediakan minuman di dapur sempat juga saya mendengar mak saya melayan celoteh kanak-kanak bertiga itu. Menjawab macam-macam soalan daripada emak saya seperti umur berapa, sekolah darjah berapa, periksa dapat nombor berapa. adik beradik berapa orang, kampung kat mana dan pelbagai lagi soalan yang dijawab dengan senang hati oleh mereka bertiga.

"Saya darjah 3 makcik, dia ni darjah 2, yang tu darjah satu"

"Oh, patutlah nampak kamu ni besar sikit. Dah banyak rumah ke kamu pergi beraya ni?"

"Yang ni baru rumah pertama makcik. Nasib baik akak tu baik nak buka pintu. Banyak rumah yang kitorang pergi tadi tak nak buka pintu"

Saya yang mendengar di dapur hanya tersengih mendengar ayat "akak yang baik" itu. Terasa sedikit muda apabila saya yang berpuluh-puluh tahun beza umur dengan mereka tapi dipanggilnya akak. Dalam masa yang sama rasa sedikit bersalah juga dalam hati. Sebenar-benarnya saya bukanlah "akak yang baik" kerana saya berbelah bahagi juga nak buka pintu semasa mendengar mereka memberi salam tadi. Rasa sedikit berat nak melayan kanak-kanak datang beraya setelah hampir seharian duduk melepak saja di rumah pada hari raya kedua ini.

Sudah lama juga sebenarnya tiada kanak-kanak yang datang beraya beramai-ramai di kawasan perumahan saya ini. Seingat saya sudah berbelas-belas tahun juga lah pupusnya aktiviti seperti itu dan hari ini muncul kembali. Seronok juga melihat kanak-kanak ini terus saja menuju ke meja makan dan mencapai bekas biskut raya serta menghabiskan air minuman dengan pantas. Mungkin ada "misi" atau target bilangan rumah yang hendak diziarahi untuk satu hari. Memahami "misi" sebenar kanak-kanak ini datang beraya, pantas saja saya siapkan sampul berisi duit raya untuk mereka. Dan apabila mereka melihatkan saja sampul itu di tangan emak saya, bekas biskut pun segera ditutup, air habis diminum dan mereka pun meminta diri untuk beredar.

Selamat hari raya


Sempat juga saya pesan agar berhati-hati dalam pada berjalan beraya. Tambahan pula langit sudah kelihatan mendung dan mungkin akan hujan pada bila-bila masa saja. Anak-anak dengan tubuh sekecil itu pasti saja terdedah dengan risiko keselamatan yang tak dijangka. Jika tidak di jalanan, mungkin juga risiko nya ketika berkunjung ke rumah orang yang tak dikenali. Di zaman serba kalut dengan sikap manusia yang kadangkala di luar batasan ini, pastinya ibu bapa atau penjaga kanak-kanak bertiga yang melepaskan mereka pergi beraya sendiri itu sangat yakin anak-anak mereka semuda itu sudah mampu untuk menjaga keselamatan diri mereka sendiri.

Selamatkah membiarkan anak-anak kecil pergi beraya sendiri di rumah orang yang tak dikenali?

20 minit kemudian, hujan turun dengan selebat-lebatnya. Gurun berdentum kilat sabung menyabung. Terus terbayang di fikiran bagaimana dengan 3 orang kanak-kanak itu tadi. Sempat tak agaknya mereka pulang ke rumah atau mencari tempat berlindung? Basah kuyup kah mereka atau seronok bermain hujan?

Semoga anak-anak itu selamat dalam perjalanan mereka beraya...

Dalam pada bergembira dan teruja di musim perayaan ini (bukan hanya di musim perayaan), utamakan keselamatan orang yang tersayang. Mungkin niat ibu bapa atau penjaga nya baik iaitu hendak melatih anak semuda itu berdikari atau menanam sikap berani, namun harus juga waspada dengan bahaya yang menanti. Semoga tiada sesalan bertamu di kemudian hari.

Selamat Hari Raya Aidilfitri, Taqabbalallahi Minna Wa Minkum...

😊😊  


0 comments: